SN216 – KEDAULATAN DI TANGAN SYARAK, KEKUASAAN DI TANGAN UMAT
[SN216] Senario politik tanah air kini diwarnai dan dicemari dengan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan pada 25 April nanti. Pilihan raya kecil ini yang asalnya merupakan pertandingan empat penjuru, kini bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru setelah dua calon bebas menarik diri di saat-saat akhir. Calon BN, P. Kamalanathan dari MIC akan berhadapan dengan calon Pakatan Rakyat dari PKR, Datuk Zaid Ibrahim bagi merebut kerusi yang sebelum ini disandang oleh PKR. Bagi mereka yang ada keimanan di dalam hatinya, untuk ke sekian kalinya, mereka akan bersedih dan beristighfar kepada Allah kerana mereka sedang dan akan menyaksikan satu lagi perbalahan dan persengketaan besar sesama kaum Muslimin, khususnya dari penyokong parti-parti yang bertanding. Inilah hakikat yang berlaku setiap kali menjelang ‘pesta demokrasi’ yang menjadi perjuangan sesetengah umat Islam ini! Ketika inilah segala bentuk fitnah, tuduhan, hasutan, rasuah, dendam, kemunafikan dan segala makar jahat akan terzahir dan tidak dapat dibendung lagi. Ketika inilah syaitan akan bermaharajalela dan bersorak kegembiraan kerana berjaya menghasut manusia ke arah segala bentuk kemaksiatan dan dosa.
Ini dari satu aspek. Dari aspek lainnya, kita juga akan mendapati bahawa setiap kali menjelang pilihan raya, maka pada waktu inilah rakyat dilayan umpama ‘raja’ oleh calon-calon yang bertanding khususnya dan parti yang bertanding amnya. Seperti biasa, kita dapat menyaksikan segala janji dan wang ditabur, segala projek dihambur dan segala ego dikuburkan oleh ‘pembesar-pembesar’ baik dari parti pemerintah mahupun pembangkang yang turun padang bagi ‘menghambakan’ diri kepada rakyat demi memastikan rakyat memilih mereka untuk menjadi ‘wakil rakyat’. Dalam usaha kedua-dua pihak merebut hati rakyat, kita semua tahu bahawa yang paling penting yang mereka rebutkan sebenarnya adalah kemenangan atau dengan kata lain ‘kekuasaan’.
Di sepanjang sejarahnya, demokrasi telah meletakkan kedaulatan di tangan rakyat. Abraham Lincoln telah mengajar penganut demokrasi bahawa demokrasi adalah sebuah sistem yang mana pemerintahannya adalah dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Kebanyakan dari umat Islam (termasuk para ulama dan cendekiawan) telah terpesona dan telah dirasuk oleh kata-kata ‘hikmat’ si kafir ini, lalu memuja demokrasi sebagai sebuah sistem yang sempurna kerana telah menjadikan rakyat sebagai sumber kekuasaan dan kedaulatan. Malah mereka sampai sanggup mengatakan bahawa demokrasi itu berasal dari Islam dan berusaha bersungguh-sungguh dalam mencari nas-nas bagi membenarkan hujah mereka yang menyeleweng itu! Berdasarkan teori dan penerapannya, demokrasi tidak pernah membezakan antara ‘kedaulatan’ dan ‘kekuasaan’. Bahkan keduanya sering dicampuradukkan menjadi satu. Ini kerana, dalam pemikiran politik Barat (tempat lahirnya demokrasi), kedua hal tersebut memang berasal dari satu sumber yang sama, iaitu rakyat. Pokok kepada demokrasi adalah rakyat sebagai sumber legislastif (source of legislation) sekaligus sumber kekuasaan (source of power).
Sedangkan di dalam pemerintahan Islam, ‘kedaulatan’ (as-siyadah) adalah di tangan syarak, bukan di tangan rakyat. Rakyat mahupun wakil rakyat langsung tidak berhak, malah haram secara qath’ie untuk membuat hukum (undang-undang), sebab yang menjadi Pembuat Hukum (Al-Musyarri’/Law Maker) hanyalah Allah SWT. Adapun mengenai ‘kekuasaan’ (as-sulthan) di tangan umat, ia bermaksud umatlah yang berhak membaiat siapa sahaja yang dikehendakinya untuk menjadi penguasa (Khalifah). Dengan perbezaan yang ketara antara konsep kedaulatan dan kekuasaan ini, terbukti bahawa konsep pemerintahan demokrasi berbeza sama sekali dengan konsep pemerintahan Islam. Menurut Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya Nizamul Hukmi Fil Islam, berdasarkan penelaahan dan analisis dari dalil-dalil syarak, prinsip pemerintahan (al-qawaid al-hukmi) dalam Islam itu ada empat:-
(1) Kedaulatan Di Tangan Syarak (as-siyadah li asy-syar’i)
‘Kedaulatan’ sebagai satu istilah yang memiliki makna tertentu memang tidak pernah menjadi istilah yang digunakan oleh generasi salaf (para sahabat). Meskipun demikian, pandangan Islam mengenai konsep ‘siapakah pemegang kedaulatan’ itu ada faktanya dan telah difahami dengan baik oleh kaum Muslimin sejak generasi awal, walaupun mereka tidak menyebutnya dengan istilah tertentu . Dengan kata lain, sejak awal lagi umat Islam sebenarnya telah memiliki persepsi mengenai, kepada siapakah kekuasaan hukum tertinggi harus diserahkan. Oleh kerana istilah kedaulatan (siyadah) belum dikenal di zaman terdahulu, maka permasalahan ini tidak kita temukan dalam nas-nas syarak secara literal. Namun, ketentuan mengenai konsep kedaulatan dalam Islam boleh digali dengan melakukan istiqra’ (penelaahan) dan tatabbu’ (penyelidikan) terhadap dalil-dalil syarak yang ada. Siapa sahaja yang meneliti dan menyelidiki masalah ini, maka mereka akan menemukan bahawa pemegang kedaulatan tertinggi dalam negara, sebagaimana diajarkan oleh Islam, adalah syarak, bukan yang lain.
Istilah sovereignty (arab=siyadah) adalah berasal dari bahasa Inggeris dan yang dimaksudkan dengannya adalah cara menangani/mengurus (mumaris) dan menjalankan/mengatur (musayyir) suatu kehendak atau aspirasi (iradah) tertentu. Kerana itu, apabila ada seseorang yang mengurus dan mengatur aspirasinya sendiri, maka ini bermakna kedaulatan ada di tangannya sendiri. Apabila aspirasi orang tersebut diurus dan diatur oleh orang lain, maka ini bermakna orang tersebut telah menjadi abdun (hamba) bagi orang lain. Mengikut demokrasi, apabila aspirasi rakyat atau sekelompok rakyat diurus dan dikendalikan oleh rakyat sendiri (dengan perantaraan individu-individunya yang disebut ‘wakil rakyat’) di mana rakyat memberikan hak pengurusan dan pengaturan tersebut kepada mereka (wakil tersebut) dengan suka rela, maka rakyat adalah sayyid (tuan) bagi dirinya sendiri. Dan apabila aspirasi rakyat diurus dan dikendalikan oleh orang lain dengan cara paksa maka rakyat tersebut telah menjadi hamba kepada orang tersebut. Oleh kerana itu, demokrasi mengajar bahawa kedaulatan hendaklah berada di tangan rakyat, yang bererti rakyatlah yang mesti mengurus dan mengatur aspirasinya sendiri. Rakyat akan mengangkat siapa sahaja yang mereka kehendaki dan akan memberikan hak pengurusan dan pengaturan aspirasinya kepada siapa sahaja (yang mereka kehendaki). Inilah fakta tentang ‘kedaulatan’ di bawah sistem demokrasi yang berada di tangan manusia.
Di dalam Islam, kedaulatan itu adalah di tangan syarak, bukan di tangan rakyat/manusia. Konsep as-siyadah li syar’i bermaksud, yang mengurus dan mengatur kehendak atau aspirasi individu adalah syarak dan bukannya individu itu sendiri. Segala aspirasi individu itu wajib diurus dan diatur berdasarkan perintah-perintah dan larangan-larangan Allah (hukum syarak). Dalil bahawa kedaulatan berada di tangan syarak adalah firman Allah,
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan” [TMQ an-Nisa’ (4):65].
FirmanNya yang lain, “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya) dan ulil amri di antara kamu, kemudian jika kamu berbantah-bantah tentang sesuatu, maka kembalikan ia kepada Allah (al-kitab) dan Rasul (as-sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian” [TMQ an-Nisa’ (4):59].
Maksud “kembalikan ia kepada Allah dan Rasul” adalah ‘kembalikan kepada hukum syarak’. Oleh kerana itu, yang ‘berdaulat’ di tengah-tengah umat atau individu serta yang mengatur dan mengendalikan aspirasi umat dan individu itu adalah apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW yakni hukum syarak, di mana seluruh manusia wajib tunduk kepadanya. Kerana itu, Islam mengajar bahawa kedaulatan adalah di tangan syarak, bukannya di tangan rakyat/manusia.
Oleh yang demikian, dalam sistem pemerintahan Islam, seorang pemimpin (Khalifah) itu tidak akan dibaiat oleh rakyat sebagai ajir (pekerja, buruh atau pegawai) rakyat, agar melaksanakan apa sahaja yang dikehendaki oleh rakyat, sebagaimana yang berlaku dalam sistem demokrasi. Namun, Khalifah itu dibaiat oleh rakyat berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya agar dia melaksanakan Kitabullah dan Sunnah Rasul tersebut, iaitu dengan kata lain, agar melaksanakan hukum syarak. Khalifah bukanlah dilantik untuk melaksanakan apa yang dikehendaki oleh rakyat, tetapi Khalifah dilantik untuk melaksanakan apa yang dikehendaki oleh Allah, yakni menerapkan hukum syarak. Inilah pengertian kedaulatan di tangan syarak.
(2) Kekuasaan Di Tangan Umat (as-sulthan li al-ummah)
Adapun mengenai prinsip kedua iaitu ‘kekuasaan di tangan umat’, ia di ambil dari fakta bahawa syarak telah meletakkan ‘kuasa melantik’ Khalifah di tangan umat, yang bermaksud seorang Khalifah hanya memiliki kekuasaan setelah dia dibaiat oleh umat. Nas bahawa Islam telah menjadikan pengangkatan Khalifah oleh umat begitu tegas sekali dinyatakan dalam hadis-hadis tentang baiat. Imam Muslim telah meriwayatkan dari Ubadah bin Samit yang berkata,
“Kami telah membaiat Rasulullah SAW untuk setia mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan susah mahupun senang, baik dalam keadaan yang kami suka ataupun tidak”.
Dari Jarir bin Abdillah yang berkata,
“Kami telah membaiat Rasulullah SAW untuk mendengar dan mentaati (perintah)nya, dan aku akan menasihati setiap Muslim.”
Dari Abi Hurairah yang berkata,
“Ada tiga golongan manusia di hari kiamat kelak yang tidak akan diajak berbicara oleh Allah, dan tidak akan disucikan olehNya, dan mereka akan diseksa dengan seksaan yang pedih, iaitu…orang yang membaiah seorang Imam, tetapi hanya kerana mencari keuntungan duniawi, jika diberi ia akan menepati baiahnya dan jika tidak, ia tidak akan menepatinya…” [HR Bukhari & Muslim].
Baiat tersebut diberikan oleh umat Islam kepada Khalifah, bukan oleh Khalifah kepada umat Islam. Ini kerana umatlah yang membaiat Khalifah, di mana merekalah yang sebenarnya mengangkat Khalifah sebagai pemerintah mereka. Inilah apa yang ditunjukkan oleh Khulafa’ Rasyidin di mana mereka telah menjadi Khalifah dengan cara mengambil baiat dari umat. Tidak ada di kalangan mereka yang menjadi Khalifah dengan tidak ada baiat dari umat. Kedudukan Khalifah yang memiliki kekuasaan hanya setelah dibaiat adalah amat jelas sekali berdasarkan hadis-hadis at-tha’at (kewajipan taat kepada Imam) dan hadis-hadis kesatuan Khilafah. Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin Ash yang berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Siapa sahaja yang telah membaiat seorang Imam, lalu ia memberikan huluran tangan dan buah hatinya, hendaklah mentaatinya jika ia mampu. Apabila ada orang lain yang hendak merebutnya maka penggallah leher orang itu.”
Dan dari Nafi’ yang berkata,
“Abdullah bin Umar berkata kepadaku, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Siapa sahaja yang melepaskan tangan dari ketaatan kepada Allah, ia akan bertemu dengan Allah di hari kiamat tanpa mempunyai hujah, dan siapa sahaja yang mati sedangkan di atas pundaknya tidak ada baiat, maka ia mati dalam keadaan mati jahiliyyah.”
Dari Ibnu Abbas dari Rasulullah SAW bersabda,
“Siapa sahaja yang membenci sesuatu dari pemimpinnya, hendaklah ia tetap bersabar, sebab siapa sahaja yang keluar (memberontak) dari penguasa (Khalifah) -yang sah- walaupun sejengkal, kemudian dia mati dalam keadaan demikian, maka matinya adalah seperti mati jahiliyyah.”
Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW bersabda,
“Dahulu Bani Israel dipimpin oleh para Nabi, setiap kali seorang Nabi meninggal, maka diganti oleh Nabi yang lain, dan sesungguhnya tidak akan ada Nabi sesudahku, (tetapi) nanti akan ada banyak Khalifah.’ Para sahabat bertanya, ‘Apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab ‘Penuhilah baiat yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Dan berikanlah hak mereka kepadanya, sebab Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa yang mereka pimpin” [HR Muslim].
Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa Khalifah memperoleh kekuasaan semata-mata melalui jalan baiat dan Allah telah mewajibkan umat Islam mentaati Khalifah yang telah dibaiat dengan sah. Kesemua nas di atas menunjukkan bahawa kekuasaan (untuk melantik Khalifah) itu ada di tangan umat. Begitulah juga halnya dengan Rasulullah SAW di mana walaupun baginda adalah seorang Rasul, namun baginda tetap sahaja mengambil baiat dari tangan umat. Perlu difahami bahawa baiat yang diambil oleh Rasulullah dari kaum Muslimin adalah baiat terhadap kekuasaan dan pemerintahan dan bukannya baiat terhadap kenabian. Baginda telah mengambil baiat tersebut baik dari lelaki mahupun wanita dan baginda tidak mengambil baiat dari anak-anak kecil yang belum baligh. Banyak lagi hadis lainnya yang menyentuh aspek ini di mana kaum Musliminlah yang berkuasa mengangkat seorang Khalifah dan membaiat mereka dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, yang semua ini menunjukkan bahawa as-sulthan li al-ummah (kekuasaan adalah milik umat) di mana umat boleh memberikannya kepada siapa sahaja yang dikehendakinya sesuai dengan tuntutan syarak.
(3) Mengangkat seorang Khalifah Hukumnya Fardhu Bagi Seluruh Kaum Muslimin (nasbu khalifah wahid fardh ‘ala al-muslimin)
Wajibnya mengangkat hanya seorang Khalifah telah ditetapkan di dalam hadis. Imam Muslim telah meriwayatkan dari Nafi’ yang berkata,
“Abdullah bin Umar berkata kepadaku, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Siapa sahaja yang melepaskan tangan dari ketaatan (kepada Khalifah), ia akan bertemu dengan Allah di hari kiamat tanpa mempunyai hujah, dan siapa sahaja yang mati sedangkan di atas pundaknya tidak ada baiat (kepada Khalifah), maka ia mati dalam keadaan mati jahiliyyah.”
Wajhul Istidlal (bentuk makna yang dapat di ambil sebagai dalil) melalui hadis ini adalah bahawa Rasulullah telah mewajibkan kepada setiap Muslim agar di atas pundak mereka ada baiat kepada seorang Khalifah. Adapun maksud ‘adanya baiat di atas pundak setiap Muslim’ ialah mesti ada seorang Khalifah yang dengan kewujudannya, barulah di atas pundak masing-masing orang Islam akan ada (wujud) baiat, baik Muslim itu memberi baiat secara langsung mahupun tidak.
Sedangkan mengenai Khalifah itu wajib seorang, tidak boleh lebih dari itu, ia disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan dari Abi Said Al-Khudri dari Nabi SAW, baginda bersabda,
“Apabila di baiat dua orang Khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya” [HR Muslim].
Dalam hadis ini Rasulullah begitu tegas menyatakan bahawa kaum Muslimin diharamkan untuk memiliki lebih dari seorang Khalifah. Justeru, kedudukan dunia Islam sekarang di mana umat Islam tidak mempunyai seorang Khalifah, malah kita kini mempunyai lebih dari 50 orang pemimpin, adalah haram secara mutlak! Oleh yang demikian, setiap dari kita wajib berusaha untuk mendirikan Daulah Khilafah dan melantik seorang Khalifah yang akan menjadi pemimpin atas seluruh kaum Muslimin di dunia. Hanya dengan adanya Khalifah, barulah baiat akan terwujud di pundak setiap Muslim.
(4) Hanya Khalifah Yang Berhak Melakukan Tabbani (adoption) Terhadap Hukum-hukum Syarak (li al-khalifah wahdah haq at-tabanni al-ahkam asy-syar’iyyah)
Prinsip ini ditetapkan berdasarkan dalil dari Ijma’ Sahabat. Para sahabat telah berijma’ bahawa hanya Khalifah yang berhak untuk mentabanni (menetapkan penerapan) hukum-hukum syarak. Berdasarkan Ijma’ Sahabat ini, diambil beberapa kaedah usul fiqh yang sangat masyhur, antaranya,
“amru al-imam yarfa’u al-khilaf” (perintah imam/khalifah menghilangkan perselisihan)
dan kaedah
“amru al-imam naafizun zaahiran wa baathinan” (perintah imam/khalifah berlaku, baik secara lahir mahupun batin).
Dan kaedah
“li al-sulthan an yuhdisa min al-aqdhiyah bi qadari ma yahdusu min musykilat” (bagi seorang sulthan/Khalifah diperbolehkan untuk mengambil keputusan hukum sesuai dengan masalah yang terjadi)
[Sila baca penjelasan menyeluruh mengenai masalah ini di dalam kitab Nizamul Hukmi Fil Islam].
Khatimah
Demikianlah sedikit perbezaan di antara konsep pemerintahan demokrasi dan Islam. Dalam pada sesetengah pihak sedang berpesta demokrasi di Hulu Selangor, Hizbut Tahrir menyeru agar umat Islam berfikir dengan ikhlas dan jernih, bahawa siapa pun yang akan menang dari pilihan raya tersebut, apakah mereka akan memartabatkan dan menerapkan Islam? Seorang calon bukan Islam sudah pasti tidak akan memartabatkan Islam, dan apakah seorang calon dari parti yang jelas-jelas sekular akan berbuat demikian? Fikirkanlah sebaik-baiknya dan bertindaklah berlandaskan hukum syarak serta ingatlah bahawa apa jua pilihan yang kalian ambil, Allah pasti akan menghisab kalian di akhirat kelak.
Wallahu a’lam.