Jenayah Seksual: Sisi Kehidupan Seorang Wanita Tanpa Khilafah

Oleh : Iman Farhana      

                Sangat aneh kehidupan ini. Aneh bukan apabila seorang doktor yang telah memiliki latar belakang dan kelulusan dalam sektor perubatan, tetapi memilih menjadi tukang kebun. Pasti ramai yang mendesak doktor ini menukar segera profesionnya. Begitulah keanehan yang berlaku di sisi kehidupan seorang wanita, namun keanehan ini telah dipadam oleh masa dan propaganda. Wanita dengan fitrah yang telah diciptakan oleh Allah Taala sepatutnya mengisi hidup mereka dengan profesion utama mereka iaitu sebagai ummu warabbatul bait(ibu pengatur rumah tangga) termasuklah mendidik anak-anak mereka sehingga terbentuk generasi soleh dan solehah, bertakwa dan memiliki tujuan hidup yang jelas. Namun kini, rata-rata wanita mengalami tekanan untuk menyumbang kepada ekonomi keluarga dan negara. Wanita yang berjaya sering ditafsir dengan melihat kerjayanya. Inilah proses normalisasi yang telah berjalan sejak lenyapnya Khalifah di muka bumi ini pada 100 tahun yang lalu sehingga keanehan ini tidak terasa kini, malah menjadi sebuah kebanggaan.

                Sisi kehidupan seorang wanita bertambah buruk apabila wanita yang keluar bekerja dengan tujuan menanggung diri dan keluarga sering menjadi sasaran seksual ketika mereka melangkah keluar. Tanpa mengenal status wanita sama ada bujang atau sudah berkahwin, mereka diganggu di mana-mana mereka berada. Namun, seperti tiada jalan keluar, mereka terpaksa mengharungi gangguan-gangguan ini dan berdepan dengan risiko jenayah seksual.

                Dilema seorang wanita tidak terhenti setakat ini. Gangguan seksual bukan hanya  tertumpu kepada dirinya yang keluar bekerja, tetapi kepada anak-anak perempuan yang ditinggalkan ketika mereka sedang sibuk bekerja. Kes sumbang mahram yang berlaku ketika ketiadaan sang ibu di rumah menjadi bukti bahawa jenayah seksual berada di mana-mana, bukan hanya di tempat kerja. Dalam usia anak-anak meniti usia remaja dan berlaku perubahan besar dalam pertumbuhan fizikal dan emosi mereka, sepatutnya ibulah kawan dan teman untuk mereka berkongsi segala suka dan duka. Namun, peluang ini sangat terbatas kerana kepulangan sang ibu adalah untuk menyelesaikan segala urusan rumah yang tertunggak. Segala perubahan tingkah laku anak tidak dapat diselami oleh ibu yang kepenatan ini. Oleh itu, anak-anak perempuan yang kurang perhatian dan kasih sayang ini cuba mencari perhatian dan kasih sayang daripada orang yang sanggup meluangkan masa untuknya, namun, perempuan sekali lagi terjerat. Setelah menjadi mangsa jenayah seksual hasil pertemuan kali pertama dengan kenalan di aplikasi sosial, tentu sahaja si anak mengalami trauma dan perasaan rendah diri. Lebih buruk lagi, jika mereka terpaksa mengandungkan anak hasil daripada jenayah seksual yang menimpa dirinya.

                Statistik daripada Januari hingga Jun tahun lalu pasti memberikan kegusaran kepada para wanita. Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari hingga 30 Jun tahun lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat pernah memberitahu bahawa 75.5% jenayah seksual dilakukan oleh orang yang dikenali.

                Perit untuk diterima. Namun, inilah kenyataan kehidupan seorang wanita dalam sistem kapitalisme hari ini. Apabila mangsa atau pemangsa jenayah seksual itu merupakan zuriat kita sendiri,  si ibu perlu memikul segala kesalahan dan tohmahan kerana dianggap tidak pandai mendidik anak sehingga terjebak dengan jenayah keji ini. Tatkala ini, si ibu dianggap culas sebagai ibu dalam menjaga anak perempuannya, malah dilabel sebagai mementingkan material. Situasi lebih kurang sama kepada ibu pemangsa jenayah seksual. Tuduhan dan hinaan sebagai perogol dan pencabul bukan hanya perlu ditelan seumur hidup oleh penjenayah, namun turut menjadi mimpi ngeri bagi wanita yang bergelar ibu.

                Semua rentetan konflik tersebut benar-benar berlaku pada waktu ini. Dulu, ketika Daulah Khilafah (negara Islam) masih ada, wanita hidup dengan bermaruah dan dilindungi. Daulah Islam yang bertanggungjawab menerapkan sistem Islam sentiasa memastikan Islam menjadi peraturan dan undang-undang negara. Daulah Islam sentiasa memastikan lelaki dan wanita hidup berdasarkan al-Quran dan as-sunnah. Lelaki akan berfungsi sebagai pemberi nafkah dan pelindung  dalam kehidupan berkeluarga manakala wanita akan berfungsi sebagai isteri dan ibu yang akan melahirkan para generasi bertakwa dengan hasil sentuhan seorang ibu yang memiliki fikrah Islam dan thariqah Islam yang jelas. Negara akan bertanggungjawab memastikan setiap lelaki mampu menafkahkan ahli keluarganya. Wanita sama sekali tidak didesak untuk keluar bekerja sehingga menelantarkan tanggungjawabnya kepada keluarga seperti yang berlaku pada hari ini.

PENUTUP

                Seorang wanita selalu mengimpikan sebuah kehidupan yang ideal. Menjadi isteri dan ibu yang terbaik adalah salah satu impian mana-mana wanita. Berbahagia di samping orang-orang yang disayangi sering memberikan motivasi bagi wanita untuk bangun pada awal pagi, menyediakan segala keperluan keluarga sebelum masing-masing keluar bekerja atau menimba ilmu. Wanita yang sarat dengan emosi ini mampu berjaga malam untuk menjaga anaknya yang sakit. Kesibukan dan pengorbanan ini menjadi  kebahagiaan seorang wanita. Itulah uniknya seorang wanita, pengorbanan itulah kebahagiaan bagi dirinya.

                Namun,  dalam sistem kapitalisme hari ini, seorang wanita terjerat antara impian  menjadi isteri dan ibu terbaik dengan desakan memenuhi tuntutan ekonomi dan desakan sekeliling. Mereka juga berdepan dengan jenayah seksual walau di mana-mana mereka berada, termasuk di rumah mereka sendiri.

Sampai bila segala dilema ini harus menghantui hidup seorang wanita?