Strategi Sepak Takraw Takiyuddin Tidak ada Bezanya dengan BN dan PH
Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan gabungan tiga parti Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ibarat seperti strategi dalam sukan sepak takraw, iaitu gabungan tiga tonggak yang bersatu hati dan tindakan akan mencapai kejayaan [Sinar Harian, 20/4/2021].
Apa yang sangat jelas dan pasti ialah, kejayaan yang dimaksudkan oleh PAS bersama dengan sekutunya ialah kejayaan untuk memenangi pilihanraya yang akan datang, yang seterusnya akan mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan, dan membolehkan mereka terus mengekalkan sistem sekular-demokrasi sebagai asas kepada sistem pemerintahan negara.
Persoalannya, apa bezanya dan apa keistimewaannya “gabungan takraw” PAS ini dengan gabungan takraw di bawah Barisan Nasional (BN) dahulu atau di bawah Pakatan Harapan (PH)? Sesungguhnya strategi sepak takraw atau apa sahaja namanya hanyalah merupakan strategi parti-parti politik yang bergelumang dalam sistem demokrasi ini untuk memenangi pilihanraya, dan seterusnya menjadi pemerintah agar dapat membolot semua ghanimah dan kekayaan yang ada dalam negara, di samping merampas semua duit yang ada dalam poket-poket rakyat. Itu sahajalah tujuannya.
Mereka bergabung hanya atas dasar kepentingan dan maslahat yang sama, iaitu untuk menduduki kerusi empuk pemerintahan kerana habuan besar yang menanti jika dapat memegang pemerintahan merupakan suatu nikmat duniawi yang tidak boleh dilepaskan. Inilah tujuan gabungan mereka, tidak lebih daripada itu.
Langsung tidak kedengaran dalam agenda atau strategi mereka untuk menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai asas dalam pemerintahan jika mereka berjaya memerintah nanti. Langsung tidak kedengaran dalam strategi takraw mereka untuk menggantikan kitab Lord Reid dengan Kitabullah, seterusnya mempersatukan umat Islam di seluruh dunia di bawah satu payung pemerintahan. Langsung tidak kedengaran dalam strategi takraw mereka untuk membebaskan umat Islam yang dizalimi di seluruh dunia, membuka wilayah-wilayah baru, dan memerangi negara kafir harbi yang memusuhi Islam, dengan jalan dakwah dan jihad fi sabillah.
Sesungguhnya parti mana sahaja, termasuklah parti Islam sekali pun, apabila bergelumang dengan demokrasi, maka penerapan hukum Allah bukanlah menjadi keutamaan mereka, tetapi kemenangan dalam pilihanraya-lah menjadi objektif tertinggi, sehingga keseluruhan perjuangan dan kekuatan yang mereka ada dikerahkan untuk mendapat kerusi, bukannya untuk mendapatkan redha Allah. Keseluruhan strategi mereka, baik strategi takraw, strategi bola tampar, strategi ragbi atau apa sahaja namanya, hanyalah strategi untuk menang pilihanraya, bukannya strategi untuk menerapkan hukum-Nya.
Sesungguhnya perjuangan yang benar ialah perjuangan untuk menerapkan hukum Allah (swt) sepenuhnya, melalui thariqah (jalan) sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw), dengan menegakkan sebuah negara (Khilafah) yang akan menjadi institusi penegak hukum-Nya.
Wallahu a’lam.