Menangani stress menurut Islam (Siri 1/4)
Rakyat semakin tertekan!!! Tidak ada seorang pun yang dapat menafikan hakikat ini. Tertekan kerana apa? Kerana apa lagi jika bukan kerana kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19? Kerana apa lagi jika bukan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersilih ganti dilaksanakan, tetapi tidak pernah berjaya menyelesaikan masalah, sebaliknya memburukkan lagi masalah? Kerana apa lagi jika bukan kerana Standard Operating Procedure (SOP) yang caca-marba dan tidak pernah masak?
Itulah sebabnya rakyat stress. Kerana apa lagi jika bukan kerana semua itu, yang telah menyebabkan rakyat bukan sahaja terkurung, tetapi hilang punca pendapatan dan pekerjaan? Malangnya kerajaan tidak pernah mahu mengaku yang mereka telah gagal. Lebih buruk, kerajaan menyalahkan rakyat kerana gagal mematuhi SOP, gagal mencari pekerjaan, gagal mencari makan, gagal berdoa dan rakyat hanya menuding jari kepada kerajaan. Justeru, siapa tidak mengamuk dengan sikap kerajaan seperti ini?
Bagaimana pun, penulisan ini bukanlah ingin membincangkan mengenai kegagalan kerajaan, kerana hakikat ini sudah pun diketahui oleh semua orang, tetapi penulisan ini akan membincangkan mengenai stress (tekanan) yang dihadapi oleh rakyat dari sudut bagaimana untuk menghadapinya dengan cara berfikir yang benar serta sedikit panduan untuk mengatasinya. Cara berfikir yang benar di sini bermaksud cara berfikir menurut Islam. Walaupun stress mungkin tidak akan hilang dari semua orang, tetapi apa yang penting ialah untuk kita berfikir dengan benar dalam menghadapi stress, yang seterusnya dapat menjadi panduan kepada kita dalam mengharungi kehidupan di saat yang amat sukar ini.
Apa yang perlu difahami dengan stress
Secara umumnya, stress bermaksud tindak balas fizikal badan dan emosi (perasaan), termasuk mental, terhadap semua masalah yang dihadapi dalam hidup. Punca stress boleh jadi daripada diri sendiri atau diakibatkan oleh orang lain. Jika ia berpunca dari diri sendiri, maka ia lebih mudah untuk dikawal atau diatasi. Manakala jika ia berpunca dari orang lain, ia lebih sukar untuk diatasi kerana penyelesaiannya bergantung kepada pihak lain. Bagaimana pun, ia tetap boleh dikawal, walaupun mungkin tidak dapat diselesaikan, asalkan kita memiliki cara berfikir yang benar dalam menghadapinya. Di sinilah pentingnya cara berfikir yang benar dalam menghadapi stress.
Stress mesti dihadapi dengan cara yang benar kerana jika gagal diatasi atau dikawal, apatah lagi jika ia berpanjangan, akan menyebabkan kesan yang buruk. Stress yang berpanjangan akan menjadikan seseorang gagal mengawal emosinya menyebabkan ia menjadi seorang yang hilang pertimbangan, cepat meradang, murung, sedih, suka mengasingkan diri, kurang selera makan, kurang tidur, migrain dan sebagainya, hingga ke tahap yang paling buruk ialah membunuh diri, atau membunuh orang lain. Keadaan ini sudah pasti bukan sahaja menjejaskan individu tersebut, tetapi juga orang lain di sekitarnya khususnya keluarga dan teman-teman yang terdekat.
Stress menjadikan hati dan pemikiran lemah, dan tidak dapat berfikir dengan baik. Orang yang stress, jiwanya tertekan, dirinya bagai diseliputi api yang menyala-nyala. Apabila jiwa tertekan, syaitanlah yang akan menungganginya, yang sudah pasti akan memburukkan lagi keadaan. Perasaan dan pemikiran yang stress tanpa dipandu akan menjadikan seseorang semakin jauh daripada Allah (swt) dan semakin mudah dipengaruhi oleh syaitan. Syaitan akan terus meniupkan api stress kepada orang yang jauh daripada Allah (swt). Di sinilah pentingnya untuk kita memiliki cara berfikir yang benar dalam menghadapi stress, yang bukan sahaja bertujuan untuk menghindari stress itu sendiri, tetapi yang lebih penting untuk menghindari dosa. Ini kerana, stress sering sahaja membawa kepada dosa apabila gagal dikawal.
Kisah dan teladan dalam Al-Quran
Di dalam Al-Quran terdapat banyak kisah para Nabi dan orang-orang soleh yang diuji oleh Allah (swt) dengan pelbagai ujian. Walaupun para Nabi ini diberi wayhu dan mukjizat oleh Allah (swt), namun atas sifatnya sebagai seorang manusia, mereka tetap mempunyai perasaan, dan emosi mereka tetap terganggu tatkala berhadapan dengan beberapa ujian atau masalah. Degan kata lain, mereka juga mengalami “stress”. Namun dengan mengikuti perintah Allah (swt), hati mereka menjadi tenang dan mereka berjaya keluar daripada masalah. Nah, di sinilah teladan yang perlu kita ikuti apabila kita dilanda masalah dan stress. Ada beberapa kisah yang boleh dijadikan teladan untuk kita, antaranya:
1. Kisah Nabi Ya’qub
Kita semua tahu kisah Nabi Ya’qub yang diuji oleh Allah (swt) dengan sikap anak-anaknya yang iri terhadap Nabi Yusuf, sehingga mereka berusaha untuk membunuh Nabi Yusuf. Tatkala Nabi Yusuf tidak pulang ke pangkuannya, Nabi Ya’qub amat bersedih dan menangis yang bersangatan sehingga matanya menjadi buta. Firman Allah (swt):
وَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَا أَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ وَابْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ الْحُزْنِ فَهُوَ كَظِيمٌ
“Dan Ya’qub berpaling dari mereka (anak-anaknya) seraya berkata: ‘Aduhai dukacitaku terhadap Yusuf, dan kedua matanya menjadi putih (buta) karena kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya (terhadap anak-anaknya)” [Yusuf (12): 84]
Ayat ini menunjukkan bagaimana Nabi Ya’qub berada dalam keadaan “stress” dengan masalah yang dihadapinya. Baginda menahan marahnya, dan menangis sehingga buta matanya. Dalam ayat seterusnya dinyatakan:
يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ
“Wahai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiadalah berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir” [Yusuf (12): 87].
Dalam ayat ini Allah (swt) “mengajar” kita melalui lisan Nabi Ya’qub bagaimana cara untuk menghadapi masalah yakni mesti berusaha, dan sentiasa mengharap pada Allah (swt). Perintah Nabi Ya’qub kepada anaknya untuk mencari Nabi Yusuf merupakan usaha dan ikhtiar yang mesti dilakukan tatkala kita berhadapan dengan masalah. Dalam masa yang sama, kita hendaklah sentiasa berharap pada Allah (swt) dan jangan sesekali putus asa dari rahmat-Nya. Inilah pengajaran yang perlu kita ambil melalui ayat ini.
2. Kisah Maryam
Maryam diuji oleh Allah (swt) dengan satu ujian yang sangat berat sebagai seorang wanita, yakni mengandung tanpa mempunyai suami. Kita semua boleh bayangkan betapa stress dan betapa terganggunya emosi seorang wanita dalam keadaan ini. Firman Allah (swt):
فَحَمَلَتْهُ فَانْتَبَذَتْ بِهِ مَكَانًا قَصِيًّا – فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنْتُ نَسْيًا مَنْسِيًّا – فَنَادَاهَا مِنْ تَحْتِهَا أَلَّا تَحْزَنِي قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا – وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا
“Maka Maryam mengandungnya, lalu ia menyisihkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh. Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa ia (bersandar) pada pangkal pohon kurma, dia berkata: ‘Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak bererti, lagi dilupakan’. Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah: Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu’” [Maryam (19): 22–25]
Tekanan emosi yang dialami oleh Maryam amat berat sehingga beliau lari menyisihkan diri daripada orang ramai. Beratnya “stress” yang dihadapi sehingga Maryam menyatakan bahawa lebih baik ia mati sebelumnya. Sungguh, tekanan emosi seorang perempuan dalam keadaan ini tidak dapat dibayangkan. Namun demikian, Allah (swt) mengutuskan Jibril dan memerintahkan Maryam agar jangan bersedih kerana Dia akan menolongnya.
Inilah pengajaran yang perlu kita ambil iaitu betapa berat pun masalah yang kita hadapi, Allah (swt) sentiasa ada di sisi kita dan akan menolong kita jika kita mentaati perintah-Nya.
3. Kisah Rasulullah (saw)
Rasulullah (saw) merupakan orang yang paling banyak diuji oleh Allah (swt). Walaupun baginda diberi pelbagai mukjizat, namun atas sifatnya sebagai seorang manusia, baginda juga tetap merasa sesak dada dengan masalah dakwah yang dihadapinya. Hal ini disebut oleh Allah (swt) di dalam Al-Quran:
وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ
“Dan sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa dada engkau (Muhammad) menjadi sesak disebabkan ucapan mereka. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat)” [Al-Hijr (15):97-98]
Dalam ayat ini, di samping menjelaskan bahawa Dia (swt) tahu bahawa Rasulullah (saw) tertekan dengan apa yang dihadapi baginda, Allah (swt) mengajar kepada Rasul-Nya dan kepada kita semua agar bertasbih memuji-Nya dan bersujud kepada-Nya. Ayat ini memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mengingati Allah (swt), bersujud kepada-Nya, dan menunaikan segala perintah-Nya. Inilah yang akan melegakan kita daripada stress insya Allah.
Sungguh banyak lagi kisah lainnya di dalam Al-Quran yang menceritakan perihal tekanan yang dihadapi oleh para Nabi dan orang-orang terdahulu dan bagaimana Allah (swt) menunjukkan jalan keluar untuk mereka. Ringkasnya, apa yang wajib kita lakukan dalam menghadapi masalah atau tekanan ialah kembali kepada-Nya, patuhi perintah dan larangan-Nya. Dengan kata lain bertakwa kepada-Nya. Inilah satu-satunya cara berfikir yang benar, dan satu-satunya jalan keluar tatkala kita menghadapi sebarang masalah, yakni takwa. Firman-Nya:
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu” [At-Talaq (65): 2-3].
Ayat ini seharusnya menjadi motivasi bagi kita, untuk tidak berputus asa dalam menghadapi sebarang masalah kerana Allah (swt) telah pun menyediakan jalan keluarnya, dengan syarat kita bertakwa kepada-Nya.
Bersambung…