Hak Non-Muslim Berkaitan Arak Menurut Islam

Kebanyakan pihak di negara ini masih berpendapat bahawa walaupun umat Islam dilarang oleh agamanya daripada mengambil arak, namun bagi orang-orang kafir, mereka dibenarkan mengambilnya. Dengan pemahaman ini, maka dibolehkan bagi orang-orang kafir untuk meminum arak, membuatnya, mengedarkannya dan menjualkannya sesama mereka.

Oleh yang demikian, di negara ini kita dapat melihat arak dijual dan diminum secara terbuka seperti di restoran, hotel, pub-pub dan kedai-kedai serbaneka. Malah arak juga dihasilkan melalui kilang-kilang arak yang tersergam kukuh yang dibina atas kebenaran negara.

Benarkah apabila syariat Islam membenarkan orang-orang kafir meminum arak, maka mereka bebas dan secara terbuka boleh meminum dan menjualkannya kepada yang lain?

Siapakah Ahlu Zimmah?

Bagi memahami hak-hak orang kafir dalam syariat Islam, maka kita perlulah terlebih dahulu memahami kedudukan mereka dalam Daulah Islam iaitu sebagai ahlu zimmah atau az-Zimmiy. Az-Zimmiy berasal daripada perkataan az-zimmah yang berasal daripada zamma–yazummu–zamman; yang ertinya ialah celaan. Kemudian diberi makna yang lain. Murtadha az-Zubaidi di dalam Taj al-‘Arusy mengatakan orang zimmiy yakni (bermaksud) dia memiliki ‘ahdu (perjanjian).

Al-Jauhari berkata, ahlu zimmah adalah ahlu al-‘aqdi. Az-Zubaidi lalu mengatakan, mereka adalah orang yang menunaikan jizyah yakni daripada orang-orang musyrik seluruhnya. Dikatakan pula, az-zimmah adalah jaminan keamanan dan disebut az-zimmiy kerana dia masuk dalam jaminan keamanan kaum Muslimin.

Rawas Qal’ah Ji di dalam Mu’jam Lughah al-Fuqaha’ mengatakan, ‘aqdu az-zimmah adalah perjanjian yang diberikan kepada warga non-Muslim di dalam Daulah Islam agar nyawa dan harta mereka dilindungi dan agama mereka tidak disentuh. Az-Zimmiy adalah orang yang akad zimmah terealisasi ke atasnya. Dengan akad az-zimmah itu, non-Muslim menjadi rakyat Daulah Islamiyah dengan tetap kekal pada agamanya.

Menurut Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam Asy-Syakhshiyyah al-Islamiyah Juz II pada bab Ahkam az-Zimmiy, “Ahlu zimmah adalah setiap orang yang beragama selain Islam dan menjadi rakyat Daulah Islamiyah, sementara dia tetap beragama selain Islam”. Dalil tentang ahlu zimmah di antaranya adalah firman Allah (swt):

قَٰتِلُواْ ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ ٱلۡحَقِّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ حَتَّىٰ يُعۡطُواْ ٱلۡجِزۡيَةَ عَن يَدٖ وَهُمۡ صَٰغِرُونَ

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari Akhirat, yang tidak mengharamkan apa yang Allah dan Rasul-Nya haramkan, yang tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberi al-Kitab, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk” [At-Taubah (9): 29].

Makna ‘an yadin ialah ‘an qudratin (daripada kemampuan). Adapun frasa wa hum shaghirun, dinukil dari Imam asy-Syafie, maknanya adalah penerapan hukum-hukum Islam terhadap mereka (Tafsir al-Alusi, tafsir Surah at-Taubah ayat 29).

Jadi, ayat ini menjelaskan, jika orang-orang kafir ingin tinggal dalam Daulah Islam dan tunduk kepada hukum Islam – yakni bersedia diterapkan hukum-hukum Islam ke atas mereka dengan membayar jizyah – maka mereka tidak akan diperangi. Mereka akan menjadi warga negara Daulah Islam tetapi tetap beragama dengan agama mereka dan tidak dipaksa masuk Islam. Akad zimmah itu diterima daripada semua non-Muslim baik Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani) atau selain mereka, kecuali orang musyrik Arab sebab mereka tidak diterima kecuali beragama Islam atau mereka diperangi.

Hukum (Undang-Undang) Ke Atas Ahlu Zimmah

Daulah Islam akan menerapkan semua hukum Islam terhadap ahlu zimmah, kecuali dalam perkara akidah, ibadah atau keyakinan mereka, perkahwinan, makan dan minum. Akidah dan ibadah mereka tidak diganggu meskipun ia bertentangan dengan syariat Islam, dengan syarat mereka tidak menzahirkan syiar agama mereka secara terbuka atau besar-besaran. Dalam masa yang sama, mereka tetap perlu mematuhi semua undang-undang negara yang sedang diterapkan.

Jika contohnya menurut keyakinan mereka, khamr (arak) dan babi dibolehkan, maka mereka boleh meminum, memakan dan memperjual-belikannya sesama mereka. Namun demikian, ia tidak boleh dilakukan secara terang-terangan atau besar-besaran, dan tidak boleh dilakukan di tengah-tengah kehidupan kaum Muslimin. Begitu juga mereka boleh mengenakan pakaian keagamaan mereka, atau pakaian yang sesuai menurut keyakinan mereka. Namun, itu semua berlaku dalam kehidupan khas mereka atau dalam komuniti mereka, manakala dalam kehidupan umum seperti di tempat-tempat awam, mereka mestilah mengenakan pakaian dengan mematuhi ketetapan dari negara. Islam tidak membolehkan mereka bertelanjang atau berpakaian seksi atau menjolok mata di tempat-tempat umum.

Dalam aspek muamalah, apatah lagi apabila bermuamalah dengan kaum Muslimin seperti jual-beli, syirkahijarahwakalah, dan sebagainya, ahlu zimmah tertakluk kepada hukum-hakam Islam yang menjadi undang-undang negara. Dalilnya ialah Rasulullah (saw) pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani (Kristian):

إِنَّ مَنْ بَايَعَ مِنْكُمْ بِالرِّباَ فَلاَ ذِمَّةَ لَهُ

“Siapa saja daripada kalian yang berjual-beli dengan riba maka tidak ada zimmah (perlindungan) untuknya” [HR Ibn Abi Syaibah].

Meskipun riba dibenarkan oleh agama mereka, mereka tetap tidak boleh terlibat dalam transaksi riba kerana ia bertentangan dengan hukum Islam yang menjadi undang-undang negara.

Dalam aspek uqubat (hukuman) juga, ahlu zimmah tertakluk dengan hukum Islam. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Umar (ra) bahawa pernah ada orang Yahudi yang datang kepada Nabi (saw) menghadapkan lelaki dan wanita yang berzina. Lalu Nabi (saw) memerintahkan agar kedua-duanya direjam. Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa Nabi (saw) pernah menghukum bunuh seorang Yahudi yang telah membunuh seorang wanita.

Dengan ini, jelaslah bahawa orang-orang kafir yang menjadi warganegara Daulah Islam tertakluk kepada hukum Islam seluruhnya kecuali hanya dalam hal-hal yang dikecualikan oleh syarak seperti akidah, ibadah, perkahwinan, makan dan minum, sebatas yang dibenarkan oleh agama mereka, dengan mematuhi ketetapan daripada negara.

Hak Ahlu Zimmah Terhadap Arak

Oleh kerana Ahlu Zimmah merupakan warga negara Daulah Islam, maka mereka secara umumnya memiliki hak sama seperti kaum Muslimin juga. Mereka memiliki hak berpolitik dalam batas-batas tertentu, hak untuk berperang walaupun berperang tidak diwajibkan ke atas mereka, hak untuk mendapatkan keadilan, hak untuk mengadu kezaliman yang diterapkan ke atas mereka dan juga hak untuk makan dan minum seperti arak dan babi yang dibenarkan oleh agama atau keyakinan mereka.

Namun demikian, dalam hal pengambilan arak, mereka tidak dibiarkan sebebasnya meminum, menjual atau menubuhkan kilang arak dan lain-lain yang berkaitan dengan arak. Mereka sama sekali tidak boleh membina kilang arak, mengimport arak dalam skala yang besar, memperjual-belikan arak secara terbuka atau meminum arak di tempat awam. Mereka tertakluk kepada hukum Islam dan apa jua undang-undang negara dalam hal ini. Ini sebagaimana hadis dari Anas bin Malik yang menuturkan,

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ r فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

“Rasulullah (saw) melaknat dalam hal khamr sepuluh golongan: yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membelinya dan yang dibelikan untuknya” [HR at-Tirmidzi dan Ibn Majah].

Dari hadis ini, selain keseluruhan rantaian arak yang diharamkan sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah (saw) itu, dapat difahami bahawa Islam melarang dengan tegas beredarnya arak dalam pasaran dan dalam masyarakat.

Selain itu, arak adalah ibu kepada segala kemaksiatan dan merupakan syiar kekufuran, yang tidak boleh dibiarkan atau dizahirkan di tengah-tengah masyarakat. Hal ini sebagaimana berhala yang tidak boleh dizahirkan dalam negara Islam. Tatkala Rasulullah (saw) membuka Makkah, baginda terus menghancurkan berhala yang ada di dalam dan di sekeliling Kaabah. Begitu juga apabila Tsaqif dibuka, Rasulullah (saw) memerintahkan agar berhala dihancurkan kerana berada di tempat umum yang menjadi syiar kekufuran.

Walaupun terdapat larangan terhadap arak sebagaimana disebutkan di atas, namun untuk ahlu zimmah, terdapat pengecualian di mana mereka dibenarkan meminum atau memperjualbelikan arak dalam kehidupan peribadi mereka, tetapi bukan dalam kehidupan umum. Dalam kehidupan khas seperti di rumah-rumah atau komuniti kecil mereka, ahlu zimmah boleh membuat, meminum dan memperjual-beli arak sesama mereka, tanpa dilakukan secara terbuka. Hal ini kerana Rasulullah (saw) membiarkan kaum Yahudi dan Nasrani berbuat demikian ketika di Madinah, tanpa menghukum mereka.

Namun, jika mereka didapati menzahirkannya atau melakukannya secara terang-terangan seperti membina kilang arak, menjual arak di restoran, atau di kedai-kedai, apatah lagi mengadakan pesta yang menghidangkan arak, maka mereka akan dikenakan uqubat sama seperti warganegara Muslim lainnya. Termasuklah jika mereka meminum arak, lalu memandu dalam keadaan mabuk dan membahayakan orang ramai atau melibatkan kemalangan atau kematian, maka uqubat Islam wajib dijatuhkan ke atas mereka, sama seperti warga Muslim yang melakukan kesalahan yang sama.

Khatimah

Pemahaman yang mengatakan arak boleh diambil oleh orang-orang kafir secara terbuka kerana mereka tidak terikat dengan hukum Islam merupakan kefahaman yang bertentangan dengan syariat Islam. Islam akan menghukum tidak kira Muslim atau non-Muslim yang meminum arak dengan menyalahi nas atau undang-undang yang ditetapkan oleh negara. Malangnya di Malaysia sekarang yang merupakan sebuah negara demokrasi-sekular, kilang air kencing syaitan dan ibu kepada segala maksiat itu terus dibiarkan, yang dari sinilah menjadi punca kepada wujudnya pemandu mabuk dan banyak lagi kerosakan lainnya dalam masyarakat. Jika kita ingin menghentikan segala keburukan ini, tidak ada cari lain kecuali menggantikan pemerintahan sekular pada hari ini dengan pemerintahan Islam. Sesungguhnya kewajipan untuk menegakkan pemerintahan Islam (Khilafah) itu terletak di bahu setiap Muslim.

Wallahu a’lam.