Menangani stress menurut Islam (Siri 3/4)

Musibah boleh jadi datangnya dari Allah (swt) tanpa campur tangan manusia sedikit pun seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, taufan, dan pelbagai bentuk bencana alam atau kemalangan. Hal ini di luar kawalan atau kekuasaan manusia. Jadi apa sahaja yang terjadi dalam wilayah yang tidak dikuasai oleh manusia ini, maka ini semua merupakan qadha’ dari Allah (swt). Sikap kita ialah beriman dengan qadha’ ini dan kita menerimanya dengan redha. Insya Allah akan ada banyak hikmah dan kebaikan dalamnya, sama ada yang kita tahu atau tidak. Sikap redha kepada qadha’ Allah (swt) dan bersabar dengannya ini, insya Allah akan menghilangkan stress walaupun kita mungkin mengalami kesusahan, kehilangan harta benda, malah kehilangan orang yang tersayang, dengan musibah yang melanda. Apa yang penting ialah kita redha dengan qadha’ Allah (swt).

Panduan menangani stress

Ada musibah yang terjadi akibat perbuatan tangan-tangan manusia. Hal ini terpecah kepada dua kategori iaitu boleh jadi akibat tangan (kesalahan) kita sendiri dan boleh jadi akibat tangan-tangan (kesalahan) orang lain. Baik kerana tangan kita mahupun tangan orang lain, apa pun stress yang kita hadapi, maka kita hendaklah melihat puncanya, dan menyelesaikan masalah daripada puncanya, barulah stress atau masalah tersebut dapat diatasi. Tanpa menyelesaikan punca, mustahil untuk kita dapat keluar dari masalah.

1. Stress akibat sikap atau tindakan kita sendiri

Sekiranya kita mengalami stress disebabkan oleh sikap atau tindakan kita sendiri, maka perlu dilihat apakah sikap atau tindakan kita itu menyalahi syarak atau tidak. Bagi hal-hal yang menyalahi syarak yang kita lakukan, maka penyelesaiannya tidak lain kecuali dengan meninggalkan segala kesalahan dan dosa tersebut, bertaubat kepada-Nya dan memperbaiki segala amalan kita. Manakala jika hal yang menyebabkan kita stress itu lahir daripada sikap atau tindakan kita yang mubah (harus), atau mungkin kerana kecuaian kita, maka di sini ada beberapa panduan yang boleh diambil untuk mengatasinya:

(i) Kenal pasti tahap stress dan puncanya – Setelah mengenal pasti punca, maka berusahalah untuk menghilangkannya jika kita mampu. Jika tidak mampu, maka kawallah stress dengan bersabar kerana Allah (swt) akan memberi ganjaran kepada mereka yang bersabar.

(ii) Mengenal pasti kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang yang ada pada diri – Dalam mengenal pasti kekuatan diri, kita hendaklah percaya dan yakin bahawa apabila kita tertimpa musibah yang menyebabkan kita stress, ini bermakna Allah (swt) telah menentukan yang terbaik untuk kita. Dalam masa yang sama, kenal pasti kelemahan diri, yang mana sebagai insan yang lemah, sudah pasti kita tidak dapat lari daripada kesilapan. Apa yang penting ialah kita berusaha untuk memperbaikinya. Kita hendaklah mengenal pasti apakah ancaman terhadap diri, yang mana kita perlu mengelaknya sejauh mungkin, dan mengenal pasti peluang yang ada, yang mana kita perlu memanfaatkannya sebaik mungkin.

(iii) Mengurus emosi dengan bijak dan berhemah – Kita hendaklah mengenal pasti reaksi diri ketika stress dan membuang sifat-sifat negatif yang ada, kerana sifat negatif inilah yang menjadikan kita lebih stress. Buang sifat panas baran atau “emosional” yang berlebihan. Berlatih mengawal emosi dengan cuba bertenang dan berfikir secara rasional setiap kali dilanda stress. Di sinilah pentingnya untuk kita berfikir dengan lurus sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini. Jika perlu, carilah orang (guru agama, keluarga atau kawan) yang boleh menenangkan emosi kita dan jauhilah orang yang boleh mempengaruhi kita ke arah yang lebih buruk.

(iv) Meluahkan perasaan kepada orang yang dipercayai – Pilihlah orang yang amanah dan “ahli” untuk mendapatkan nasihat dan pandangan ketika berhadapan dengan stress. Meluahkan perasaan kepada orang yang sepatutnya insya Allah akan dapat mengurangkan stress, walaupun tidak dapat menghilangkannya. Dalam masa yang sama, luahkan perasaan kepada Allah (swt) kerana Dia adalah Yang Maha Mendengar. Bermunajatlah kepada-Nya, mengadulah kepada-Nya dan menangislah di hadapan-Nya, kerana Dia sentiasa bersama orang-orang yang bertakwa dan bersabar, dan Dia akan membantu orang-orang yang dikehendaki-Nya.

(v) Mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub ilallah) – Mungkin sahaja selama ini kita jauh dari Allah (swt) yang menyebabkan hati kita tidak tenang dalam menghadapi stress, dan tidak dapat keluar daripada masalah. Maka, inilah masa dan peluang terbaik untuk kita mendekatkan diri kepada-Nya. Terlalu banyak amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah (swt) seperti solat sunat, puasa sunat, bersedekah, mengeratkan silaturahim, menjaga ukhuwwah, i’tikaf di masjid, belajar tsaqafah Islam dan mendakwahkannya dan lain-lain.

Tidak kurang penting ialah membaca Al-Quran, belajar, memahami dan melaksanakan apa yang dibaca. Sesungguhnya Al-Quran itu merupakan ubat dan penawar. Akhir sekali, jangan lupa untuk bertaubat kepada-Nya dan sentiasa berdoa agar Dia dapat meringankan beban yang ditanggung. Jangan lupa untuk terus istiqamah taqarrub ilallah, bukan hanya ketika kita stress atau berada dalam masalah sahaja, malah kena sentiasa taqarrub ilallah tanpa mengira masa, yang dengan itu Dia juga akan lebih dekat kepada kita.

2. Stress akibat sikap atau tindakan orang lain

Stress akibat sikap dan tindakan orang lain lebih susah untuk dihadapi atau diselesaikan berbanding stress akibat sikap dan tindakan diri sendiri. Ini kerana penyelesaiannya adalah bergantung kepada pihak lain. Bagaimana pun, beberapa panduan berikut boleh diambil:

(i) Jika mampu bersemuka dengan pihak yang menyebabkan kita stress, dengan kita dapat mengawal perasaan dan tahu bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah dengan baik, maka bersemuka merupakan pilihan yang terbaik dalam keadaan ini. Hal ini boleh dilakukan dengan syarat pihak lain tersebut juga sanggup untuk bersemuka dan dapat mengawal emosi yang sama. Jika tidak mampu bersemuka, maka bersabar adalah pilihan yang terbaik.

(ii) Jika kesalahan orang lain itu adalah suatu yang boleh dimaafkan, maka belajarlah untuk memaafkan kesalahan orang lain, kerana sifat memaafkan adalah suatu yang terpuji. Buang jauh-jauh sifat ego yang menjadikan diri kita stress, dan latih diri supaya sentiasa bersedia memaafkan orang lain. Dengan memiliki sifat terpuji suka memaafkan kesalahan orang lain, insya Allah hati kita menjadi lebih tenang, kerana kita memahami bahawa setiap insan, termasuk kita sendiri, tidak dapat lari daripada membuat kesalahan.

(iii) Jika terjadi kehilangan wang, harta, kehilangan pendapatan, pekerjaan, perniagaan yang terpaksa ditutup dan seumpamanya akibat tindakan orang lain, maka berusahalah untuk memulihkan keadaan dan jangan sesekali berputus asa dari nikmat Allah (swt). Ingatlah bahawa betapa susah sekali pun kita, masih ramai lagi orang yang jauh lebih susah daripada kita. Ada orang yang tidak mempunyai wang, tidak mempunyai rumah, tidak mempunyai keluarga, malah tidak mempunya apa-apa di dunia kecuali dirinya sebatang kara. Ada orang yang terlantar dan menderita dengan penyakit kronik bertahun-tahun lamanya, yang tidak boleh bergerak ke mana-mana, yang jauh lebih susah hidupnya daripada kita. Jadi, janganlah kita berputus asa dari rahmat Allah, dan gunalah segala potensi serta kekuatan diri yang ada untuk mencari nikmat Allah (swt) yang tidak terbatas di dunia ini.

Bersambung…