Soal-Jawab: Dampak Politik Terhadap Afghanistan
(Terjemahan)
Soalan:
Pada 17 Julai 2021, satu rundingan berprofil tinggi telah diumumkan di Qatar antara dua delegasi peringkat tinggi, tujuh perwakilan dari Taliban dan tujuh perwakilan pemerintah [Afghanistan], untuk membincangkan isu-isu kritikal yang tertangguh antara kedua-dua pihak berikutan pengumuman Presiden AS pada 8 Julai 2021 bahawa penarikan pasukan tenteranya dari Afghanistan akan selesai pada 31 Ogos, lebih awal daripada yang telah ditetapkan sebelumnya. Penguasaan gerakan Taliban telah diperhatikan di sebahagian besar wilayah Afghanistan, dengan mencapai 85% seperti yang diumumkan oleh gerakan tersebut…Menurut Perjanjian Doha pada tahun 2020, rundingan antara gerakan Taliban dan kerajaan sedia ada ditugaskan untuk mencapai formula perkongsian kuasa politik. Persoalannya, adakah Taliban akan menguasai pemerintahan sepenuhnya atau hanya akan berkongsi kuasa? Dan apakah Amerika akan benar-benar keluar dari Afghanistan, atau pengaruhnya akan masih berterusan?
Jawapan:
Untuk tiba kepada pandangan yang paling utama mengenai perkara ini, kami mempertimbangkan perkara berikut:
1. Ketika Amerika Syarikat mulai mempertimbangkan pengundurannya dari Afghanistan, di antara akhir 2010 dan awal 2011, Amerika berusaha untuk memulakan rundingan dengan pemimpin kanan Taliban secara serius, dengan Pakistan sebagai fasilitator dalam rundingan ini. AS menunjukkan sikap toleransi terhadap Taliban, seperti rundingan pada tahun 2014 sehingga menyebabkan berlakunya pertukaran tahanan. Lima tahanan Taliban dari Teluk Guantánamo dibebaskan sebagai pertukaran untuk pembebasan seorang warga Amerika, Private Beaudry Robert “Bowe” Bergdahl, yang ditawan oleh Taliban…
Kemajuan terhadap rundingan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan di bawah dua individu yang berkhidmat lama terhadap kedua-dua pihak berkuasa yang mereka masing-masing wakili. Pada 5 September 2018, Zalmay Khalilzad dilantik sebagai Wakil Khas AS untuk Pendamaian Afghanistan, yang ditugaskan untuk mengakhiri pendudukan tentera AS di Afghanistan. Dalam tempoh dua bulan setelah pelantikan Khalilzad, pada 22 Oktober 2018, Pakistan telah membebaskan Mullah Abdul Ghani Baradar, yang telah ditahan di Pakistan sejak penangkapannya di Karachi, berikutan serbuan pada 8 Februari 2010. Setelah dibebaskan, Mullah Baradar dilantik sebagai ketua pejabat diplomatik Taliban di Doha.
BBC Arab News melaporkan pada 25 Februari 2019, bahawa, “Nama Mullah Baradar berada pada senarai teratas daftar tahanan yang dikehendaki untuk dibebaskan oleh gerakan itu, dalam beberapa siri perundingan dengan pegawai AS dan pemerintah Afghanistan, hingga akhirnya membawa kepada pembebasannya pada Oktober 2018, setelah rundingan diselia oleh Qatar”. Kedua-dua individu inilah yang memainkan peranan penting dalam proses rundingan seterusnya.
2. Rundingan ini mencapai kemuncak pada Perjanjian Doha pada 29 Februari 2020, dengan aspek yang paling menonjol dilaporkan oleh BBC Arabic News yang menyatakan, “Pegawai AS dan Afghanistan mengumumkan bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya NATO akan mengundurkan pasukan mereka dari Afghanistan dalam tempoh masa empat belas bulan, jika Taliban memenuhi syarat di bawah perjanjian yang ditandatangani di Qatar di Doha hari ini”. Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan bersama AS-Afghanistan yang dikeluarkan di Kabul. Presiden Donald Trump menyatakan bahawa ia adalah “perjalanan panjang dan sukar” di Afghanistan. “Sudah sampai waktunya setelah bertahun-tahun untuk membawa warga kita pulang,” katanya. BBC kemudiannya menambah, “Lebih dari 2,400 tentera AS telah terbunuh sepanjang konflik”.
3. Selepas Perjanjian Doha, kenyataan dan mesyuarat dipercepatkan walaupun di saat berlaku pertempuran yang berterusan, dengan ada kalanya mencapai kejayaan dan ada kalanya mengalami kegagalan. CNN melaporkan pada 14 April 2021 bahawa Joe Biden mengumumkan, “Sekarang saya ialah presiden Amerika keempat yang memimpin kehadiran pasukan Amerika di Afghanistan. Dua Republikan. Dua Demokrat,” ujarnya lagi. “Saya tidak akan menyerahkan tanggungjawab ini kepada presiden yang kelima … Sampai waktunya untuk mengakhiri perang terpanjang Amerika.”
Biden kemudian menyampaikan ucapan, diikuti dengan sidang media yang disiarkan di televisyen Amerika dan antarabangsa, pada 8 Julai 2021, dengan mengatakan, “Kita akan mengakhiri perang terpanjang Amerika…Kami pergi dengan dua sebab: Pertama, untuk menangani Osama bin Laden…Sebab kedua adalah untuk menghapuskan al-Qaeda…Kita telah pun mencapai kedua-dua objektif – noktah.”
Dia juga mengatakan bahawa, “Misi ketenteraan kami di Afghanistan akan berakhir pada 31 Ogos” Tambahnya lagi, “Kita tidak pergi ke Afghanistan untuk membangunkan negara tersebut. Dan itu adalah hak dan tanggungjawab orang Afghan sendiri untuk menentukan masa depan mereka dan bagaimana mereka mahu mengatur negara mereka”.
Biden juga menyatakan, “Dan kita juga perlu fokus untuk mengumpulkan kekuatan teras Amerika untuk memenuhi persaingan strategik dengan China….Kita perlu mengalahkan COVID-19…Kita perlu menetapkan norma-norma antarabangsa untuk alam siber…Dan kita akan lebih hebat….jika kita bertempur dalam perang untuk 20 tahun akan datang, bukan pertempuran 20 tahun yang kebelakang”.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih AS, Jen Psaki menyatakan dengan nada yang lebih jelas, “Kita tidak akan meraikan detik ‘misi selesai’ dalam hal ini. Ini adalah perang 20 tahun yang tidak dimenangi secara ketenteraan,” (Anatolia Arab 8 Julai 2021), bermakna Amerika tidak mencapai kemenangan di Afghanistan, walaupun setelah 20 tahun mencuba. Pada 2 Julai 2021, AS menamatkan operasi pangkalannya yang paling penting dan terbesar, Bagram, setelah terlebih dahulu menutup pangkalan-pangkalan lain, dengan rasminya menamatkan “perang salibnya” sebelum tarikh rasmi yang diumumkan oleh Presiden AS sebelumnya iaitu pada 11 September, dan sebelum tarikh kedua yang ditetapkan berikutnya, iaitu 31 Ogos.
Pada masa yang sama gerakan Taliban meluaskan serangan ketenteraannya mengakibatkan daerah-daerah mulai jatuh di utara, selatan, barat dan kemudian pusatnya. Kepantasan gerakan Taliban menguasai banyak wilayah Afghanistan dianggap luar biasa, terutamanya di perbatasan negara-negara jiran, serta penaklukan pintu masuk sempadan negara-negara tetangga.
Shahabuddin Delawar, anggota pasukan perundingan Taliban ke Moscow, menyatakan pada 9 Julai 2021, “85% wilayah Afghanistan telah berada di bawah penguasaan ( Taliban),” sementara Jurucakap pasukan keselamatan Afghanistan, Ajmal Omar Shinwari, dengan tegas menafikannya dan mengatakan: “Ini tidak benar. Pertempuran berterusan di kebanyakan kawasan,” (Agence France-Presse Arab, 11 Julai 2021). Walau bagaimanapun, delegasi Taliban berjanji, “tidak akan campur tangan dengan negara bersempadan dan negara jiran”…Dia (Delawar) mengatakan bahawa lawatannya ke Moscow bertujuan untuk memberikan semua maklumat mengenai apa yang digelarnya sebagai ‘Negara Emirat Islam’. Dia menambah, Taliban tidak akan membenarkan pengembangan ISIS di Afghanistan dan menekankan bahawa gerakan itu akan memeranginya.
Rombongan itu juga mengesahkan bahawa gerakan tersebut sedang melaksanakan rundingan dengan perwakilan masyarakat untuk menentukan struktur umum negara dan bahawa perkara ini hampir selesai…dan bahawa gerakan itu tidak berhajat untuk merebut kekuasaan sepenuhnya (Al-Jazeera Arab 9 Julai 2021).
4. Pada 17 Julai 2021, telah diumumkan bahawa, “Kedua-dua pihak dalam konflik di Afghanistan bersepakat pada hari ini, Sabtu, di Doha, untuk membentuk sebuah jawatankuasa yang terdiri dari empat belas anggota, secara saksama, untuk membincangkan agenda perundingan, iaitu membincangkan perkara-perkara tertunggak. Wartawan Al-Jazeera memetik sumber dalam perundingan Afghanistan di Doha, sebagai mengatakan bahawa sesi pembukaan rundingan berakhir dalam suasana yang positif. Rundingan pusingan baru antara pemerintah Afghanistan dan gerakan Taliban dilancarkan hari ini di ibukota Qatar, Doha dan pusingan ini membincangkan perkara dan isu yang disifatkan penting.
Abdullah Abdullah, Pengerusi Majlis Tertinggi untuk Perdamaian Nasional Afghanistan dan ketua delegasi kerajaan (Afghanistan), mengatakan bahawa untuk mencapai keamanan di negara ini memerlukan fleksibiliti di kedua-dua belah pihak, sambil menambah bahawa keadaan sekarang sesuai untuk perdamaian. Di pihak ketua pejabat diplomatik Taliban di Doha, Mullah Abdul Ghani Baradar pula mengatakan bahawa mereka akan melakukan yang terbaik untuk mencapai keputusan yang positif dalam rundingan damai Afghanistan yang bermula hari ini di Doha ” (Sumber: Al-Jazeera Bahasa Arab dan Agensi).
5. Kemudian jawatankuasa itu menyiapkan kerjanya hari ini, 18 Julai 2021, dengan kenyataan bersama yang dikeluarkan mengenai mesyuarat tersebut. Dilaporkan bahawa, “Wartawan Al-Jazeera di Doha mengatakan bahawa delegasi pemerintah Afghanistan dan gerakan Taliban mencapai kata sepakat mengenai pernyataan akhir bersama untuk rundingan mereka yang sedang berlangsung, di Doha dengan seliaan Qatar, untuk mengadakan pertemuan lain dengan segera setelah pencapaian Doha. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mempercepat rundingan untuk mencari jalan penyelesaian yang tepat terhadap konflik yang berlaku di negara ini selama beberapa dekad. Pernyataan bersama perwakilan pemerintah Afghanistan dan Taliban menetapkan perjanjian untuk mempercepat rundingan bagi mencapai penyelesaian yang adil, dengan komitmen untuk melanjutkan perbincangan ke peringkat tertinggi hingga penyelesaian dicapai. Sekali gus mengakhiri pusingan kedua rundingan damai Afghanistan, yang bertujuan untuk mencapai penyelesaian politik yang membawa kepada keamanan di negara itu, setelah beberapa dekad berperang. Satu sumber dalaman delegasi Taliban menyatakan bahawa gerakan tersebut mengemukakan cadangan yang merangkumi langkah-langkah membina kepercayaan antara mereka dan kerajaan Afghanistan, dengan membebaskan tahanan di kedua-dua belah pihak dan menyatakan gencatan senjata sementara sepanjang tempoh Idul Adh ….” (Sumber : Al Jazeera dan Agensi).
6. Perlu disebutkan peranan yang dimainkan oleh negara berpengaruh yang digunakan Amerika secara aktif dalam rundingan dengan Taliban di Afghanistan adalah:
(i) Pakistan: Pakistan-lah yang memberi tekanan dan dorongan kepada Taliban untuk mengadakan rundingan dengan AS pada tahun 2018. Zalmay Khalilzad mengucapkan terima kasih kepada Pakistan kerana telah mempermudah perjalanan Taliban untuk berunding di Doha, manakala Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd James Austin III, dalam perbualannya melalui telefon pada 21 Mac 2021 dengan Panglima Tentera Darat Pakistan, Jeneral Bajwa, “mengucapkan terima kasih ke atas sokongan berterusan Islamabad untuk proses keamanan Afghanistan” (‘Ketua Turus Pentagon Memuji peranan Pakistan dalam Proses Damai Afghanistan’, Majalah Al-Fajr, 23 Mac 2021). Pegawai kanan tentera dan golongan elit politik di Pakistan telah memainkan peranan utama dalam strategi AS untuk Afghanistan.
Oleh itu, Pakistan memainkan peranan yang sangat mendasar, baik sekarang mahupun dalam liputan sejarah. Gerakan Taliban Afghanistan mempunyai akar dari Pakistan, sebagaimana ISI Pakistan dan agensi perisikan Pakistan lainnya mempunyai pengaruh di Afghanistan, dengan kerjasama hubungan dan individu perantaraan mereka dalam Taliban. Oleh demikian Amerika sangat bergantung pada peranan yang dimainkan oleh Pakistan.
(ii) Turki: Seperti yang dilaksanakan di Syria dan Libya, Turki juga berhasrat untuk memainkan peranan di Afghanistan, bagi membantu menjayakan dasar luar Amerika Syarikat. Semasa pertemuan perbincangan antarabangsa di sebuah resort laut di Antalya, Menteri Luar Negeri Turki, Mevlut Cavusoglu, mencadangkan supaya operasi dan keselamatan Lapangan Terbang Kabul dikawalselia oleh Turki…Washington mengalu-alukan komitmen Ankara untuk memainkan peranan penting dalam mengawal keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul, rentetan pertemuan Biden dengan Erdogan di Brussels bulan lalu.
AS merancang Turki untuk melaksanakan tugas pengawasan di lapangan terbang, sementara masih menempatkan sekitar 500 askarnya sendiri berhampiran lapangan terbang antarabangsa berkenaan. Dalam ucapannya pada 8 Julai 2021, Biden memaklumkan hal tersebut, dengan mengatakan, “kami berkoordinasi erat dengan rakan-rakan antarabangsa kami untuk terus mengawasi lapangan terbang antarabangsa di Kabul”. Erdogan berkata, “Kami telah menetapkan bersama Amerika Syarikat dan NATO pengaturan untuk misi akan datang dan apa yang kami akan dan tidak akan terima. Kami telah membangkitkan masalah ini semasa mesyuarat NATO, semasa pertemuan saya dengan Biden dan semasa perbincangan antara delegasi kami. Kami akan melaksanakan operasi ini di Afghanistan dengan cara yang terbaik” (Al Jazeera Arab, 9 Julai 2021).
Dilaporkan pada 2 Julai 2021, Jurucakap Presiden Turki, Ibrahim Kalin menegaskan “Turki kemungkinan akan terus mengawasi lapangan terbang Kabul walaupun setelah pasukan NATO menarik diri dari Afghanistan pada musim panas ini” (Al-Awsat, 3 Julai 2021), sementara gerakan Taliban menolak kehadiran dan penglibatan Turki. Taliban mengumumkan dalam satu kenyataan, “Penolakannya untuk mengekalkan pasukan Turki di Afghanistan setelah penarikan pasukan antarabangsa yang dipimpin oleh Amerika Syarikat dari negara itu dan menekankan bahawa keputusan seperti itu adalah tindakan yang patut dikecam. Keputusan kepemimpinan Turki adalah tidak bijak, melanggar kedaulatan dan integriti wilayah kami, dan bertentangan dengan kepentingan nasional kami…Dan kami sangat mendesak para pegawai Turki untuk menarik balik keputusan mereka kerana ia merugikan kedua-dua negara” (Al-Jazeera, 13 Julai 2021)
(iii) Asia Tengah: Amerika Syarikat telah berhubung dengan para pemimpin di Asia Tengah mengenai penempatan semula beberapa pasukannya di sana. The New York Times melaporkan bahawa pegawai AS telah menghubungi pihak berkuasa Kazakhstan, Uzbekistan, dan Tajikistan mengenai kemungkinan untuk menggunakan pangkalan di rantau itu. Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken, mengatakan dalam satu siri ciapan bahawa pada 22 April dia telah bercakap dengan menteri luar Uzbekistan dan Kazakhstan mengenai penggunaan pangkalan tentera oleh AS dan pasukan NATO yang lain. The New York Times menyatakan bahawa, “Drone, pengebom jarak jauh dan jaringan pengintip akan digunakan oleh AS dan sekutu Baratnya dalam usaha untuk mencegah Afghanistan dari muncul kembali sebagai pangkalan bagi pergerakan pengganas” (The New York Times 27 April 2021).
7. Berdasarkan perkembangan yang disebutkan di atas, adalah jelas bahawa:
(a) Perundingan yang berterusan tidak akan membawa keluar Amerika dari Afghanistan, tetapi sebaliknya untuk mengalihkan pandangan seumpama AS keluar dari pintu depan, hanya untuk masuk semula melalui pintu belakang, yang dikawal oleh ejen dan pengikutnya di Pakistan, Turki, dan Iran serta mereka yang bekerjasama dengan ejen Amerika di Afghanistan sendiri, sementara negara-negara yang disebutkan ini memainkan peranan kritikal untuk mengekalkan pengaruh AS di Afghanistan…
(b) Adapun untuk Qatar, ia sedang mempersiapkan suasana rundingan untuk dua tujuan: yang pertama, sebagai tawar-menawar dengan Amerika bagi mengangkat sekatan ekonomi Saudi atau “kepungan” menentangnya, dan inilah yang telah terjadi…terutamanya setelah Perjanjian Doha dimeterai pada 29 Februari 2020 semasa pentadbiran Trump…dan tujuan kedua bahawa Qatar, dengan dukungan British di belakangnya, telah mulai menggunakan hubungan mereka dengan Taliban untuk memalukan Amerika. Dilihat dari sudut campur tangan yang disengajakan Qatar memberikan bantuan kewangan kepada gerakan Taliban dengan menyediakan pejabat diplomatik dan platform media untuk mereka, sehingga AS kemudian memerlukan peranan Qatar untuk menjayakan hubungannya dengan gerakan Taliban…Dan ini adalah cara bagaimana British menjadikan diri mereka relevan dalam isu ini. Dan British menggunakan perkara ini sebagai manipulasi kepentingan mereka di Qatar dan Teluk, mengambil kesempatan keperluan Amerika terhadap peranan Qatar dalam mewujudkan hubungan dengan Taliban.
(c) Kemasukan Taliban dalam rundingan dengan Amerika dan ejennya dalam rejim Afghanistan adalah satu kesilapan besa …Kami memohon kepada Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Kuasa, untuk melindungi umat Islam di Afghanistan dari kejahatan mereka, disebabkan kuffar penjajah berunding untuk mencapai kepentingan mereka hanya kerana keadaan memaksa mereka. Bagi mereka yang meneliti situasi yang mendesak bagi Amerika, mereka akan menemukan bukti yang jelas. Oleh itu, bagi setiap orang yang memikirkan, mendengarkan dan memerhatikan:
Pertama: Kemunculan China sebagai kekuatan ketenteraan dan ekonomi pada abad ini mengancam kepentingan Amerika…Orientasi semula Amerika terhadapnya telah menjadi keutamaan. Kenyataan pegawai Amerika mengesahkan apa yang kami sebutkan terdahulu mengenai ucapan Biden pada 8 Julai 2021, ketika dia menyatakan, “Dan kami juga perlu fokus untuk mengumpulkan kekuatan dasar Amerika untuk menguasai persaingan strategik dengan China dan negara-negara lain yang benar-benar memberi penentuan – menentukan masa depan kita.”
Kedua: Kerugian yang ditanggung oleh Amerika di Afghanistan semasa pendudukannya. Seperti yang kami sebutkan di atas, laporan BBC pada 29 Februari 2020 menyatakan, “Lebih dari 2,400 tentera AS telah terbunuh semasa konflik berlangsung”.
Semua ini menunjukkan bahawa Amerika meninggalkan Afghanistan dengan mengalami kekalahan dan kehinaan, lantas bertindak mengadakan rundingan yang dapat mengekalkan pengaruh mereka yang gagal dicapai melalui perang!
(d) Kami menyedari bahawa ada saudara-saudara kami yang jujur dan ikhlas dalam Taliban, jadi pemberitahuan inilah yang kami tujukan kepada mereka:
- Bahawa mereka yang ikhlas tersebut berusaha membetulkan perkara ini dengan memberhentikan rundingan ini, sehingga menghalang Amerika mencapai apa yang tidak dapat mereka capai melalui perang…
- Dan mereka yang ikhlas tersebut seharusnya yakin bahawa masalah yang paling utama bagi umat Islam adalah mengembalikan Khilafah setelah ketiadaannya buat sekian lama, kerana ia adalah kefarduan yang diperintahkan oleh Allah (swt) dan satu bentuk ketaatan kepada Rasulullah (saw)…
- Dan mereka yang ikhlas tersebut sedia maklum bahawa penglibatan dalam aturan campuran antara Islam dan sekularisme tidak dapat diterima oleh Allah (swt), kerana Yang Maha Perkasa dan Yang Maha kuasa tidak menerima apa-apa kecuali yang baik…
فَذٰلِكُمُ اللّٰهُ رَبُّكُمُ الْحَقُّۚ فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ اِلَّا الضَّلٰلُ ۖفَاَنّٰى تُصْرَفُوْنَ
“Maka (Zat yang demikian) itulah Allah, Tuhan kamu yang sebenarnya; maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari kebenaran)?” [Yunus (10):32].
Dan hanya dengan mengikuti kebenaran sahajalah yang akan menyelamatkan Taliban, negara, rakyatnya dan semua umat Islam…Inilah yang Hizbut Tahrir nasihatkan kepada anda sekarang, sama seperti kami menasihati anda pada awal pemerintahan anda untuk mengisytiharkan keKhilafahan. Namun, anda menolaknya dan kemudian anda menyedari bahawa anda telah melakukan kesalahan dengan penolakan itu, seperti yang dinyatakan oleh Mullah Omar (semoga Allah merahmati beliau) dalam salah satu majlisnya, dan pada waktu itu sudah terlambat…dan di sini kami mengulangi nasihat yang sama, maka apakah kami akan mendapat respons yang positif sekarang?
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اسْتَجِيْبُوْا لِلّٰهِ وَلِلرَّسُوْلِ اِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيْكُمْۚ وَاعْلَمُوْٓا اَنَّ اللّٰهَ يَحُوْلُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهٖ وَاَنَّهٗٓ اِلَيْهِ تُحْشَرُوْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nya-lah kamu akan dikumpulkan.” [Al-Anfal (8):24].
9 Zulhijjah 1442 H
19 Julai 2021 M