Jawapan kepada Beberapa Persoalan Terhadap Soal-Jawab “Implikasi Coronavirus”

بسم الله الرحمن الرحيم

[Berikut ialah terjemahan jawapan Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ Abu Ar-Rasytah]

Jawapan kepada Beberapa Persoalan Terhadap Soal-Jawab “Implikasi Coronavirus”

Kepada para penanya terhadap Soal-Jawab “Implikasi Coronavirus”, berikut ini ialah jawapan atas pertanyaan-pertanyaan anda:

1- Berkaitan dengan perbezaan antara epidemik dan taun atau antara Coronavirus (Covid-19) dan taun, tidak ada perbezaan dari segi penularan. Taun dan Coronavirus merupakan dua penyakit yang memiliki potensi penularan sebagaimana yang diciptakan oleh Allah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa, tidak kira samada penyakit itu ditularkan oleh bakteria atau virus. Dari sudut kemungkinan berlakunya penularan, maka hal itu memang ada (pada Covid-19). Itulah sebabnya kenapa hukumnya sama (antara keduanya) dari segi kemungkinan penularan, dan itulah yang menjadi fokus Soal-Jawab.

2- Berkaitan dengan pertanyaan sekitar apa yang terdapat dalam Soal-Jawab bahawa Coronavirus ini bukan dihasilkan oleh manusia, dan bahawa hal itu (jawapan kami) adalah didasarkan kepada laporan-laporan Barat sehingga kita tidak sepatutnya bergantung kepadanya, perkara ini adalah tidak tepat. Ini kerana, aspek saintifik (ilmiah) boleh diambil dari mana sahaja jika kita berpuas hati akan kekuatan kebenarannya. Oleh kerana itu, tidak ada masalah untuk bersandar kepada laporan-laporan Barat sekitar persoalan sama ada Coronavirus yang menularkan penyakit itu, dihasilkan oleh manusia atau tidak. Dengan itu (kami berpendapat) Coronavirus itu wujud secara semulajadi tanpa penghasilan daripada manusia seperti yang terdapat dalam Soal-Jawab. Kami melihat bahawa kewujudannya yang bersifat semulajadi itu lebih kuat berbanding hujah bahawa manusialah yang menghasilkannya untuk mencapai tujuan tertentu mereka. Apatah lagi dalam keadaan bahawa penyakit tersebut tersebar di negara-negara yang dituduh menghasilkannya seperti China dan Amerika…Jawapan kepada persoalan tersebut ada disebutkan dalam Soal-Jawab seperti berikut:

[Begitulah perang mulut antara Amerika dan China disebabkan oleh penularan Covid-19 (SARS-Cov2), dan masing-masing saling menuduh antara satu sama lain sebagai faktor langsung penularan wabak ini. Meskipun kedua sistem yang dilaksanakan di China dan Amerika tidak dapat dipisahkan daripada menjadi sebab di sebalik penularannya, namun setelah dilakukan penelitian, nampaknya tidak ada bukti yang kukuh bahawa Amerika atau China adalah pihak yang menyebarkan atau menghasilkan virus ini yang kemudian menularkannya ke negara-negara lain].

Hal ini sudah dirinci dalam Soal-Jawab yang telah pun dikeluarkan di laman sesawang dan boleh dirujuk di sana.

3- Solat Jumaat hendaklah didirikan di masjid, dan sebahagian fuqaha’ membolehkannya didirikan di ruangan umum, yakni di tempat umum yang orang-orang yang hendak solat tidak dihalang daripada memasukinya. Adapun di tempat khusus (rumah) maka yang lebih rajih (kuat) ialah tidak didirikan solat Jumaat di rumah dan tidak sah (jika didirikan). Sekiranya tidak ada masjid atau ruangan umum yang boleh diakses (untuk solat Jumaat), maka ditunaikan solat Zohor empat rakaat di rumah. Negara (pemerintah) berdosa apabila melarang solat Jumaat di masjid-masjid atau di ruangan umum, kerana nas-nas menjelaskan perkara ini, dan ini dapat difahami dari firman Allah (swt):

﴿ يَا أيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ ﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui” [Al-Jumu’ah (62): 9].

Jadi, seorang Muslim pergi untuk solat tanpa dihalangi-

﴿ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ﴾

“Maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli” [Al-Jumu’ah (62): 9].

Bersegera pergi untuk solat Jumaat adalah fardhu kerana ia dikaitkan dengan meninggalkan hal yang mubah (jual beli)…yakni solat Jumaat itu tidak dilakukan di tempat persendirian seperti rumah di mana perlunya izin masuk…Inilah sebabnya dinyatakan dalam Soal-Jawab bahawa penutupan masjid-masjid oleh pemerintah dan larangan masuk untuk solat di dalamnya adalah perkara yang tidak dibolehkan, dan pemerintah berdosa besar kerana berbuat demikian. Atas dasar itu, jika pemerintah melarang ditunaikannya solat Jumaat di masjid, dan tidak ada ruang lain lagi untuk solat kecuali di rumah, maka hendaklah solat di rumah iaitu solat Zohor empat rakaat. Negara yang menutup masjid-masjid menanggung dosa besar sebagaimana yang kami jelaskan dalam Soal-Jawab.

4- Mengenai pertanyaan: (Maka, solat Jumaat dan solat berjemaah itu gugur pada hari ini disebabkan oleh rasa takut terhadap penindasan pemerintah seperti yang saya fahami, wallahu a’lam)…Sesungguhnya hal ini memerlukan perincian. Dalam jawapan kami dinyatakan:

[dan solat Jumaat tidak wajib ke atas orang-orang yang takut, berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra), bahawa Nabi (saw) bersabda:

 

»مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إلَّا مِنْ عُذْرٍ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ» أخرجه البيهقي في السنن الكبرى

“Siapa sahaja yang mendengar seruan (azan) dan tidak menjawabnya (tidak menunaikan solat), maka tidak ada solat untuknya kecuali kerana uzur. Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah uzurnya?’ Baginda menjawab: ‘Takut atau sakit’” (HR al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra)].

Rasa takut, sebagaimana yang terdapat dalam al-Mughni oleh Ibnu Qudamah 1/451: [881) Fasal: “Diberikan keuzuran dalam meninggalkan solat Jumaat kepada orang yang takut disebabkan sabda Nabi (saw):

«اَلْعُذْرُ خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ»

“Uzurnya ialah rasa takut atau sakit”

Rasa takut itu ada tiga jenis: rasa takut terhadap jiwa, rasa takut terhadap harta dan rasa takut terhadap keluarga. Yang pertama, seseorang itu rasa takut atas dirinya bahawa penguasa atau musuh akan mengambilnya atau melakukan yang seumpamanya, yang boleh menyebabkan dharar (bahaya) pada dirinya…”. Demikian juga dinyatakan dalam al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam asy-Syafie karya asy-Syirazi: “…takut antara lain bermaksud kemudaratan ke atas dirinya atau hartanya, atau sakit teruk yang membuatkannya tidak dapat pergi solat. Dalilnya adalah apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas (ra) bahawa Nabi (saw) bersabda:

«مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إلَّا مِنْ عُذْرٍ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ»

“Siapa sahaja yang mendengar seruan (azan) dan tidak menjawabnya (tidak menunaikan solat), maka tidak ada solat untuknya kecuali kerana uzur. Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah uzurnya?’ Baginda menjawab: ‘Takut atau sakit.’”

Dengan itu, seseorang Muslim diberi keuzuran jika dirinya dikejar secara zalim oleh penguasa yang zalim. Jika dia yakin atau ghalabatu zhan (menduga kuat) bahawa para ejen penguasa tersebut berada di masjid menunggu kedatangannya untuk menangkapnya dan memudaratkannya, maka dia dimaafkan (diberi uzur) daripada menunaikan solat Jumaat di masjid yang berkenaan. Dia hendaklah mencari (solat) Jumaat di masjid yang lain. Setelah mengerahkan segenap usaha untuk solat (di tempat lain), namun gagal, maka hendaklah dia solat di tempat persendirian (yakni) solat Zohor empat rakaat…Jika penanya soalan telah memahami dari jawapan kami pemahaman yang ini, maka itu adalah benar, wallah a’lam wa ahkam.

5- Mengenai hadis:

»لَا عَدْوَى…»، أخرجه البخاري

“Tidak ada penularan…“ [HR al-Bukhari]

Ada yang menafsirkannya sebagai menafikan penularan…Tetapi, yang lebih rajih (kuat) ialah bahawa itu merupakan khabar (berita) dengan makna ath-thalab (tuntutan). Jika seseorang Muslim terkena penyakit yang menular yakni di situ ada potensi penularan (ke atas orang lain) seperti yang diciptakan oleh Allah (swt), maka dalam keadaan ini, dia dimaafkan (diberi keuzuran) daripada solat Jumaat dan solat berjemaah kerana khuatir akan menulari orang lain dalam kalangan mereka yang solat…hal ini juga termasuk keuzuran sebagaimana yang terdapat dalam hadis sebelumnya:

« اَلْعُذْرُ خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ»

“Uzurnya ialah rasa takut atau sakit.”

6- Mengenai hadis:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيماً صَحِيحاً» أخرجه البخاري»

“Jika seseorang sakit atau dalam safar (perjalanan), dituliskan untuknya (ganjaran) semisal apa yang dia lakukan saat dia mukim dan dalam keadaan sihat” [HR al-Bukhari].

Hadis ini mengenai musafir atau orang yang sakit, yakni golongan yang dimaafkan (diberi keuzuran) daripada melaksanakan solat berjemaah dan solat Jumaat. Dia hendaklah solat sebagaimana yang diwajibkan oleh syarak terhadapnya, dan dengan izin Allah dia mendapat pahala sebagaimana orang yang solat ketika mukim atau ketika sihat. Oleh kerana itu, hadis ini tidak terpakai terhadap orang yang sihat atau orang yang mukim yang tidak pergi untuk solat Jumaat tanpa uzur.

7- Adapun bantahan terhadap perkataan kami mengenai bilangan minimum untuk solat Jumaat adalah tiga orang, sedangkan menurut asy-Syafie empat puluh, ini merupakan pembahasan lain, tambahan itu, menurut Malikiyah bilangannya dua belas orang. Di sini tidak ada pertentangan, tetapi isunya adalah berkaitan tidak boleh menutup masjid untuk seseorang Muslim menunaikan solat Jumaat atau solat berjemaah, dengan bilangan yang syarie, memandangkan terdapat pendapat fiqh yang benar bahawa bilangan tiga orang sudah boleh (sah) untuk solat Jumaat sebagaimana yang kami sebutkan dalam Soal-Jawab.

8- Ada pun berhubung isu pengambilan sebab, ia adalah betul, tetapi hendaklah (diambil) tanpa menyalahi syarak. Pengambilan sebab di sini ialah (bermaksud) orang-orang yang sakit tidak pergi menunaikan solat Jumaat, manakala orang-orang yang sihat pergi…Kami telah pun menyebut dalam Soal-Jawab dan ia sudah memadai, bahawa masjid tidak boleh ditutup. Jadi orang-orang yang sihat boleh pergi solat, dengan mengambil langkah-langkah untuk mencegah orang-orang yang sakit daripada hadir yang boleh menyebabkan terjadinya jangkitan. Hal ini sudah jelas…Tidak boleh dikatakan bahawa orang-orang yang sihat boleh jadi ada Coronavirus tetapi gejala tidak kelihatan (padanya), oleh itu, semua orang perlu dihalang daripada memasuki masjid, iaitu semua penduduk dunia dihalang daripada memasuki masjid…! Ucapan/kenyataan seperti ini tidak boleh dijadikan hujah (yang meyakinkan), malah tidak ghalabatu dzan (dugaan kuat) pun. Sebaliknya (hujah yang benar ialah) orang-orang yang sakit yang sudah disahkan (ada jangkitan) dilarang (daripada memasuki masjid), Begitu juga dengan orang-orang yang diduga kuat terkena jangkitan (turut dilarang dari memasuki masjid). Manakala orang-orang yang lain (yang sihat) hendaklah solat.

9- Adapun mengenai penanya yang berkata Coronavirus tidak memiliki tulang belakang, yang ia maksudkan seperti tulang belakang manusia, maka ia benar…tetapi tampak bahawa ikatan tonjolan pada makhluk ini membuatkan satu sumber daripada Inggeris menyebutnya sebagai “backbone” (tulang belakang). Jadi maknanya secara perubatan dalam Bahasa Arab “al-amud al-faqriy (tulang belakang) digunakan, disebabkan kemiripan ikatan ini dengan ikatan tulang belakang manusia. Kami biarkan sahaja begitu, dan kami tidak menyangka yang hal ini pun akan menjadi isu yang dipersoalkan!

10- Berkaitan dengan memandikan mayat…hukum syarak dalam hal ini adalah sepertimana berikut:

  • Pendapat yang lebih rajih (kuat) adalah hukum memandikan mayat seseorang Muslim itu ialah fardhu kifayah. Di antara dalilnya adalah sebagaimana berikut:

Rasulullah (saw) bersabda mengenai seorang yang sedang ihram yang patah leher kerana dilemparkan untanya:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْهِ» أخرجه البخاري عن ابن عباس»

“Mandikan dia dengan air dan bidara dan kafankan dia dengan dua lembar pakaian (ihram)nya” [HR al-Bukhari dari Ibnu Abbas].

Nabi (saw) bersabda kepada orang-orang yang memandikan puterinya:

اغْسِلْنَهَا وِتْراً ثَلَاثاً أَوْ خَمْساً» أخرجه مسلم عن أم عطية»

“Mandikan dia dengan hitungan ganjil, tiga atau lima” [HR Muslim dari Ummu ‘Athiyah]

– Jelas dari dua hadis tersebut bahawa mereka yang memandikan mayat adalah sejumlah kaum Muslimin yang mencukupi (kifayah) dan bahawa Rasulullah (saw) telah berpuas hati dengannya. Rasulullah (saw) meneruskan hukum (kifayah) ini untuk setiap mayat kaum Muslimin selama hidup baginda (saw). Tidak ada mayat yang dikecuali dari dimandikan melainkan mereka yang syahid dalam pertempuran sebagaimana syuhada’ perang Badar dan Uhud. Ini bermakna memandikan mayat adalah fardhu kifayah.

  • Ramai fuqaha’ mengikuti pendapat di atas:

Dinyatakan dalam al-Mabsuth karya as-Sarakhsiy: “Ketahuilah bahawa memandikan mayat adalah wajib, yang merupakan tanggungjawab seorang Muslim ke atas Muslim lainnya. Rasulullah (saw) bersabda:

«لِلْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتَّةُ حُقُوقٍ»

“Seorang Muslim memiliki enam tanggungjawab terhadap Muslim lainnya.”

Di antaranya ialah memandikannya setelah kematiannya, tetapi jika sebahagian daripada kaum Muslimin telah melakukannya, maka gugurlah kewajipan tersebut daripada yang lain, kerana apa yang dimaksudkan telah tercapai.

– Imam asy-Syafie menyatakan dalam al-Umm: “Adalah menjadi kewajipan bagi orang-orang untuk memandikan mayat, mensolatkannya dan mengebumikannya. Hal ini tidak semestinya dilakukan oleh semua orang, di mana jika sebahagian daripada mereka yang mencukupi (kifayah) untuk melakukannya, maka sudah diterima insya Allah”.

– Dinyatakan dalam asy-Syarhu al-Kabir karya Ibnu Qudamah: [Fasal memandikan mayat, persoalan memandikan mayat, mengebumikannya, mengkafankannya dan mensolatkannya adalah fardhu kifayah] sebab Nabi (saw) bersabda tentang orang yang patah lehernya kerana dilemparkan oleh untanya:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْهِ» متفق عليه»

“Mandikan dia dengan air dan bidara dan kafankan dia dengan dua lembar pakaian (ihram)nya” [Muttafaq ‘alah].

  • Jika terhalang memandikan mayat kerana suatu sebab seperti tidak ada air, atau mayat yang terbakar jasadnya yang jika dimandikan nescaya terkoyak jasadnya…atau orang yang meninggal kerana penyakit menular seperti kusta, taun, Coronavirus dan penyakit lainnya di mana jika dimandikan boleh menjangkiti orang yang memandikannya, maka kami tidak ingin mentabanni (menetapkan) dalam hal ini. Seorang Muslim itu silakan bertaklid (bersandar) kepada pendapat fiqh yang paling rajih (kuat) yang menenteramkannya, dan saya sebutkan di sini beberapa pendapat syarie menurut para fuqaha’:

 

– Hanafiyah berpandangan bahawa siapa yang terhalang dimandikan dengan air kerana tidak ada air, maka ditayamumkan dengan debu tanah, sebagaimana dinyatakan dalam al-Inayah (16/261): “Sekiranya si mati tidak dapat dimandikan, kerana tidak ada sesuatu untuk memandikannya, maka ditayamumkan dengan debu tanah.” Adapun jika tidak dapat dimandikan kerana tidak boleh menyentuhnya, maka disiram dengan air, sebagaimana dinyatakan dalam Maraqi al-Falah (224): “Dan mayat yang membengkak yang tidak boleh disentuh, maka disiram dengan air.”

– Malikiyah berpandangan bahawa mayat yang terhalang daripada dimandikan dengan air kerana ketiadaan air, maka ditayamumkan…jika terhalang dimandikan disebabkan oleh luka di jasadnya, terbakar, kudis atau cacar, di mana seandainya dimandikan (dengan air) akan menyebabkan (kulitnya) terkelupas dan terpisah, maka disiramkan air padanya dengan kadar yang menjaganya dari terkelupas dan terpisah. Jika terhalang (tidak dapat) disiramkan air padanya, maka ditayamumkan…Sebagaimana yang ada dalam asy-Syarhu al-Kabir li asy-Syaikh Ahmad ad-Dardir ala Mukhtashar Khalil.

– Adapun Syafi’iyyah, mereka berpandangan jika si mayat tidak dapat dimandikan kerana suatu sebab, seperti tidak ada air atau khuatir jasad terkelupas kerana terbakar, maka mayat itu tidak dimandikan tetapi ditayamumkan. Bahkan mereka menyatakan jika dikhuatiri adanya dharar (mudarat) bagi orang yang memandikan mayat itu, maka wajib ditayamumkan. An-Nawawi rahimahullah menyatakan dalam al-Majmu’: “Jika tidak dapat memandikan mayat kerana tiada air atau mayat itu terbakar di mana jika dimandikan jasadnya akan terkelupas, maka ia tidak dimandikan tetapi ditayamumkan. Tayamum ini wajib kerana pembersihan itu bukanlah berkaitan dengan penghilangan najis. Jadi, apabila tidak dapat dimandikan dengan air, maka dilakukan tayamum sepertimana mandi junub. Jika si mati disengat, di mana jika dimandikan jasadnya akan rosak atau dikhuatiri akan menyebabkan dharar pada orang yang memandikannya, maka ditayamumkan…”.

– Adapun Hanabilah, maka ada dua riwayat. Riwayat pertama: “Apabila mayat tidak dapat dimandikan dengan digosok (seluruh badan) kerana ada sebab yang menghalang, maka disiramkan air ke atasnya tanpa digosok. Jika tidak dapat, maka ditayammum…”

Dalam riwayat kedua: “Apabila mayat tidak dapat dimandikan, maka ia tidak ditayamumkan. Ia disolatkan tanpa dimandikan dan tanpa ditayamumkan, kerana tujuan memandikan itu adalah untuk pembersihan dan itu tidak akan tercapai dengan tayamum.”

– Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar asy-Shanqithi menyatakan dalam Syarhu Umdati al-Fiqh: “Siapa yang terkena penyakit menular yang membahayakan, ini terkait dengan bahaya yang disebabkan oleh si mati, dan ia boleh membahayakan orang yang hidup yang memandikannya, contohnya si mati terkena penyakit menular,  berdasarkan penelitian dan kesaksian mereka yang pakar, seandainya membahayakan orang yang memandikannya, maka mayat itu ditayamumkan.”

Sebagaimana yang anda dapat saksikan, di sini ada dua pandangan: Jika mayat tidak dapat dimandikan, maka ia ditayamumkan, disolatkan dan dikebumikan…atau jika mayat tidak dapat dimandikan, maka ia tidak ditayamumkan tetapi disolatkan dan dikebumikan. Seperti yang kami katakan di awal jawapan bahawa seorang Muslim hendaknya mengikuti (taklid) pendapat yang ia merasa tenteram dengan kesahihannya.

11- Adapun berhubung persoalan bahawa kami tidak mentabanni dalam masalah akidah dan ibadah, maka ini adalah benar, kecuali dalam hal pokok akidah dan ibadah yang terkait dengan kesatuan umat Islam seperti (wajibnya) puasa dan hari raya apabila telah nampak hilal (anak bulan) di suatu tempat. Demikian juga di sini terkait dengan penutupan masjid di mana masjid wajib tetap dibuka pada waktu-waktu yang dituntut sebagaimana yang telah kami jelaskan dalam Soal-Jawab.

 

18 Sya’ban 1441 H

11 April 2020 M

https://www.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/photos/a.1705088409737176/2606833002896041/?type=3&theater