Soal Jawab: Hukum Syarak Mengenai Pembedahan Plastik/Kosmetik

Soalan:

Soalan kepada Al Faqih Syeikh Ata Bin Khalil Abu Al-Rashtah, Assalamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh, Syeikh yang dihormati – Apakah hukum syarak mengenai pembedahan plastik? Daripada Mourad Maalej.

Jawapan:

Wa ‘Alaikum Assalam wa Rahmatullahi wa Barakatuh,

1. Jika pembedahan plastik bertujuan untuk perubatan, seperti pembedahan terhadap kecacatan pada badan disebabkan sakit, kemalangan, terbakar atau sebaliknya, serta disebabkan oleh kecacatan sejak lahir seperti membuang jari yang lebih atau memisahkan jari-jari yang bercantum dan sebagainya maka pembedahan seperti ini hukumnya dibolehkan. Dalil tentang kebolehan ini ialah sebagaimana diriwayatkan oleh Imam  al-Tirmidzi yang dinukilkan daripada Arfajah ibn As’ad yang berkata:

أُصِيبَ أَنْفِي يَوْمَ الْكُلَابِ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَاتَّخَذْتُ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ فَأَنْتَنَ عَلَيَّ فَأَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَتَّخِذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

“Hidungku telah terputus pada hari peperangan Al-Kulab masa Jahiliyyah. Jadi saya mengambil (menggantikan) hidung dengan wariq (perak). Lalu (beberapa ketika) hidungku menghasilkan bau busuk. Maka Rasulullah saw memerintahkan aku untuk menggantikannya dengan hidung yang diperbuat daripada emas.” 

Abu Issa mengatakan hadis ini Hasan Gharib. Maksud hidung wariq adalah perak. Hal ini sebagai indikasi bahawa pembedahan plastik untuk rawatan dan pengubatan dibolehkan.

2. Walau bagaimanapun, jika pembedahan itu dilakukan untuk menambah baik penampilan diri dan kecantikan, bukannya untuk perubatan maka ia tidak dibolehkan. Dalilnya seperti yang diriwayatkan daripada Imam al-Bukhari melalui Alqama, telah berkata Abdullah:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ تَعَالَى

“Allah SWT melaknat ke atas perempuan yang membuat tatu (Washimat), yang meminta dibuat tatu untuknya (Mustawshimat), seseorang yang mencukur bulu yang tumbuh pada mukanya atau kening kedua matanya (Mutanammisath), dan perempuan yang menjarangkan gigi-gigi hadapannya  (Mutafallijat) untuk kecantikan, dan mereka mengubah apa yang telah diciptakan oleh Allah SWT.

Dan telah diriwayatkan juga oleh Imam  Muslim:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّه

 “Allah telah melaknat ke atas perempuan yang membuat tatu (Washimat) dan yang meminta dibuat tatu untuknya(Mustawshimat), para wanita yang mencukur bulu yang tumbuh pada mukanya(Namisat ) serta wanita yang meminta untuk dibuang bulu pada mukanya (Mutanammisath), dan perempuan yang menjarangkan gigi-gigi hadapannya (Mutafallijat) untuk kecantikan, yang mengubah apa yang telah diciptakan oleh Allah swt.

Jadi, telah jelas daripada hadis tersebut bahawa perempuan yang menjarangkan gigi hadapan (Mutafallijat) untuk kecantikan adalah berdosa. Dengan kata lain, perbuatan tersebut haram dengan sebab(mu’alal) “untuk kecantikan” yang menunjukkan sebab akibat (causal attribute/wasf mufhim). Oleh itu, Mutafallijat (seorang perempuan yang menjarangkan gigi-giginya) untuk tujuan kecantikan adalah berdosa. Ini juga membawa makna bahawa jika ia tidak dibuat untuk tujuan kecantikan tetapi untuk rawatan dan perubatan maka itu dibolehkan. Ia dinyatakan dalam Kamus Lisan Al-Arab:

‘Alfalaj’ merupakan ruang belahan pada gigi yang wujud secara tabii antara gigi hadapan dan bahagian sisinya. Sekiranya belahan ini dibuat dengan sengaja maka perbuatan ini disebut sebagai tafleej (pembuangan gigi). ‘Rajul Aflaj’ adalah istilah yang digunakan  untuk seorang lelaki yang memiliki belahan pada giginya dan ‘imra’ah aflaj’ merupakan istilah yang digunakan untuk wanita yang memiliki belahan pada giginya.

Oleh itu, maksud al-Mutafallija ialah perempuan yang memotong gigi-gigi untuk mengurangkannya dan membuat ruang di antara gigi-gigi tersebut untuk mencantikkannya supaya kelihatan seperti seorang gadis, tanpa adanya kecacatan yang memerlukan rawatan dan perubatan, tetapi hanya untuk menambah baik penampilan dan kecantikan semata-mata maka ini tidak dibenarkan berdasarkan hadis Rasulullah saw melaknat perempuan yang menjarangkan gigi-gigi mereka untuk kecantikan iaitu mereka melakukannya semata-mata untuk kecantikan. Dengan demikian, kata ‘untuk tujuan kecantikan’ merupakan ‘illah (alasan) yang menunjukkan perbuatan tersebut dilarang. Tetapi jika ia dilakukan bukan atas sebab kecantikan melainkan untuk rawatan dan perubatan maka ia dibolehkan.

Imam Al-Nawawi berkata dalam penjelasan beliau tentang al-Matafallijat untuk kecantikan yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim:

(Al-Matafalijat dengan huruf  ‘fa’ and ‘jiim’, dan yang dimaksud dengan  Mufalijat adalah untuk memotong di antara gigi kacip dengan gigi taring, yang terbit daripada perkataan “al-Falaj” iaitu satu ruang di antara gigi kacip dengan gigi taring. Wanita berumur melakukan sedemikian untuk kelihatan seperti gadis dan menunjukkan kecantikan gigi-gigi mereka sebab ruang antara gigi-gigi ini biasanya ada pada gadis-gadis… Merujuk kepada pendapat beliau tentang Al-Mutafallijat, ia bermaksud mereka melakukannya untuk tujuan kecantikan. Jadi, itu menunjukkan bahawa keharaman perbuatan tersebut ialah disebabkan oleh tujuan untuk kecantikan. Sedangkan jika ia melakukan perkara itu untuk keperluan rawatan atau disebabkan masalah kerosakan pada gigi-gigi dan yang sepertinya maka ia dibolehkan dan Allah lebih mengetahui.

Kesimpulannya, hukum pembedahan plastik ini perlu dilihat ada atau tidaknya ‘illah(alasan). ‘Illahnya ialah untuk tujuan kecantikan. Jadi, jika pembedahan itu dilakukan untuk rawatan dan perubatan (bukan untuk kecantikan) maka ia dibenarkan. Namun jika tujuannya dilakukan ‘untuk kecantikan’ dan menambah baik  penampilan maka ia tidak dibolehkan. Ini adalah apa yang saya yakini jawapannya dan Allah jua yang Maha Mengetahui  lagi Maha Bijaksana.

Saudaramu,

Ata Bin Khalil Abu Al-Rashtah
25 Rajab 1439 AH
12/04/2018 CE

Terjemahan: http://www.hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/qestions/jurisprudence-questions/15218.html