Kerajaan Tebuk Atap Itu Akhirnya Tumbang
Sehebat mana pun Firaun, akhirnya Allah (swt) menenggelamkannya dan semua konco-konconya, yang sekali gus menghancurkan kerajaannya. Itulah kehendak Allah, dan tiada siapa pun yang dapat menghalangnya. Allah berkuasa menjatuhkan kekuasaan seseorang atau sesebuah kerajaan dengan cara yang Dia kehendaki, termasuklah dengan cara yang hina, yang selayaknya bagi mereka yang tidak beriman kepada-Nya.
Begitulah juga dengan mana-mana penguasa dan kerajaan yang ada di dunia pada hari ini, yang kesemuanya boleh “dijatuhkan” dengan mudah oleh Allah. Kita telah melihat bagaimana diktator-diktator Arab yang berkuasa selama puluhan tahun, jatuh dalam keadaan terhina, walaupun mereka merasa diri mereka cukup kuat, besar dan hebat.
Begitu juga di Malaysia, kita menyaksikan bagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama lebih 60 tahun, akhirnya tumbang dalam keadaan yang cukup memalukan. Kemudian Allah memberikan peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memerintah, dan kemudian ia juga tumbang. Kerajaan ini ditumbangkan dengan cara pintu belakang atau dengan cara “tebuk atap” sebagaimana diakui sendiri oleh mereka yang berkomplot menumbangkannya.
Setelah 17 bulan berkuasa dengan cara mengkhianati undi rakyat, hari ini (16/08/2021), kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berbangga sebagai sebuah kerajaan Melayu-Islam ini tumbang secara rasminya, setelah dikhianati oleh rakan komponen mereka sendiri, sebagaimana mereka dahulu mengkhianati rakan-rakan komponen mereka untuk mendapatkan kuasa melalui jalan tebuk atap. Dengan kata lain, mereka mendapat balasan yang sama atas apa yang mereka lakukan dahulu. Benarlah firman:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu” [Ali Imran (3): 26]
Ketiga-tiga kerajaan, BN, PH dan PN merupakan kerajaan yang tidak menerapkan Islam, walaupun majoriti yang berada di pemerintahan ialah orang Melayu-Islam. Mereka ialah kerajaan yang tidak menunaikan amanah Allah ke atas bahu mereka yakni untuk menerapkan hukum-Nya secara kaffah. Sebaliknya, mereka tetap meneruskan dan mempertahankan sistem kufur demokrasi tinggalan penjajah. Lalu, tidak ada apa yang mereka bawa semasa dan selepas pemerintahan mereka, kecuali dosa.
Tidak lama lagi Allah akan memberikan pula kekuasaan kepada orang yang Dia kehendaki untuk Dia melihat sejauh mana orang itu akan menerapkan hukum-Nya. Maka beruntunglah orang yang akan menerapkan hukum-Nya kerana sudah pasti akan dimuliakan oleh-Nya, dan amat rugilah orang yang menderhakai-Nya, dan kerugian yang lebih besar akan mereka rasai di akhirat kelak. Na’uzubillah min zalik.
Wallahu ‘alam.