Pelaksanaan Solat Jumaat di Halaman Masjid Jami’ yang Ditutup oleh Penguasa
(Terjemahan)
بسم الله الرحمن الرحيم
Kepada: Muhammad Amin al-Judaidi
Soalan:
Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuhu
Sebahagian daripada syabab dan warga di Tunisia mendirikan solat Jumaat di halaman masjid-masjid setelah ia ditutup oleh pemerintah. Lalu beberapa orang imam mengingkari hal tersebut dan menilai solat mereka batil dengan anggapan bahawa solat Jumaat tidak boleh dilakukan kecuali di dalam masjid.
Kami mohon beri bimbingan kepada kami mengenai hukum syarak dalam keadaan seperti ini, dan apakah yang mesti dilakukan oleh setiap warga jika penutupan masjid-masjid mereka terus berlanjutan.
Semoga Allah melimpahkan keberkatan kepada anda dan terima kasih atas usaha anda (menjawab soalan) ini.
Jawapan:
Wa ’alaikum salam wa rahmatullahi wa barakatuhu
Solat Jumaat boleh ditunaikan di dalam masjid mahu pun di ruang terbuka. Jika keduanya memungkinkan yakni jika masjid dibuka dan orang-orang yang solat tidak mendapat kesulitan, maka solat Jumaat boleh ditunaikan di dalam masjid itu. Sekiranya ruang (dalam masjid) tidak mencukupi, maka solat boleh dilakukan di ruang terbuka. Apa yang penting dalam hal ini ialah tempat tersebut bukan tempat peribadi. Ertinya tidak boleh menunaikan solat Jumaat di rumah, tetapi wajib di masjid atau tempat terbuka, tempat yang mana tidak ada seorang pun dilarang daripada berada di situ untuk solat. Adapun jika masjid-masjid dikunci, maka solat Jumaat di ruang terbuka adalah sah dan tidak ada masalah dalam hal itu. Orang yang melarangnya (menghalanginya) adalah berdosa. Kami sebelum ini telah pun mengeluarkan penulisan mengenainya…Petikan daripada apa yang telah kami keluarkan adalah seperti berikut:
1- Pada 18 Sya’ban 1441 H bersamaan 11 April 2020 M: […Dan negara berdosa jika melarang solat Jumaat di masjid-masjid atau di ruang terbuka. Hal ini kerana nas-nas telah memberikan kefahaman mengenai perkara ini, dan hal ini dapat difahami dari firman Allah ((swt)):
﴿ يَا أيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui” [Al-Jumu’ah (62): 9].
Jadi, seorang Muslim keluar untuk solat Jumaat tanpa boleh dihalang. Firman-Nya:
﴿ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ﴾
“Maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli”
Jadi, bersegera keluar untuk solat Jumaat adalah fardhu kerana ia dikaitkan dengan meninggalkan hal mubah (jual beli)…dan negara yang menutup masjid-masjid berdosa besar sebagaimana yang kami sebutkan di dalam Soal Jawab].
2- Hal itu telah dirinci di dalam kitab Ahkaam ash-Shalaah yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir. Di sana dinyatakan:
[Dan solat Jumaat sah ditunaikan di kota, kampung, masjid, bangunan negeri dan ruang terbuka yang ada di kawasan itu:
- Hal itu kerana Rasul (saw) solat Jumaat di Madinah, sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra), ia berkata:
«أَوَّلُ جُمْعَةٍ جُمِعَتْ بَعْدَ جُمْعَةٍ جُمِعَتْ فِيْ مَسْجِدِ رَسُوْلِ اللهِ ﷺ فِيْ مَسْجِدِ عَبْدِ قَيْسِ بِجُوَاثَى مِنَ الْبَحْرَيْنِ»
“Solat Jumaat pertama setelah solat Jumaat yang dilakukan di masjid Rasulullah (saw) adalah di masjid suku ‘Abdu Qais di Juwaatsaa di Bahrain”.
Juwaatsaa merupakan salah satu kampung di Bahrain. Abu Hurairah (ra) meriwayatkan:
«أَنَّهُ كَتَبَ إِلَى عُمَرٍ يَسْأَلُهُ عَنِ الْجُمْعَةِ بِالْبَحْرَيْنِ وَكَانَ عَامِلَهُ عَلَيْهَا فَكَتَبَ إِلَيْهِ عُمَرٌ جَمَّعُوْا حَيْثُ كُنْتُمْ»
“Bahawa dia menulis surat kepada Umar bertanya tentang solat Jumaat di Bahrain, dan dia adalah ‘amil Umar untuk Bahrain. Maka Umar menulis surat kepadanya: berkumpullah untuk solat Jumaat di mana kalian berada.”
Adapun apa yang diriwayatkan dari Nabi (saw) bahawa baginda bersabda:
«لاَ جُمْعَةَ وَلَا تَشْرِيْقَ إِلاَّ فِيْ مِصْرَ جَامِعٍ»
“Tidak ada solat Jumaat dan tidak ada Tasyriq (solat Eid) kecuali di kota (di masjid) Jami’”
Sesungguhnya riwayat ini tidak sah. Imam Ahmad berkata: “Ini bukan hadis”.
- Adapun kebolehan solat di ruang terbuka, ini kerana tidak ada nas yang mensyaratkan ketidakbolehannya. Solat Jumaat itu hukumnya sama seperti solat lain yang dituntut (diwajibkan) untuk ditunaikan. Jika ada syarat ketidakbolehan, maka harus ada nas yang menyatakannya. Jika tiada, maka nas yang bersifat umum yang mewajibkan solat Jumaat tersebut akan terpakai.
- Diperbolehkan mendirikan beberapa solat Jumaat (serentak) di satu kota. Jika kota itu besar, maka boleh sahaja ditunaikan solat Jumaat di kota tersebut di dalam sejumlah masjid, tanpa perlu memperhatikan lagi samada wujud keperluan untuk itu atau tidak. Ini kerana tidak ada nas tentang larangan menunaikan solat Jumaat di banyak masjid (secara serentak), dan tidak ada nas tentang persoalan keperluannya. Maka nas yang bersifat mutlak tetap berlaku pada kemutlakannya. Adapun fakta bahawa Nabi (saw) tidak menunaikan solat Jumaat kecuali di satu masjid sahaja, hal ini tidak menunjukkan ketidakbolehan menunaikan solat Jumaat di lebih daripada satu masjid (secara serentak). Ini kerana, dalam keadaan Rasul (saw) tidak melakukan sesuatu, ia tidak menunjukkan larangan untuk melakukan sesuatu itu. Sebab. baginda hanya mempunyai satu masjid sahaja (pada waktu itu) untuk solat. Jadi, hal ini tidak menunjukkan bahawa baginda tidak ingin solat di lebih daripada satu masjid] Tamat.
3- Dinyatakan di dalam kitab al-Fiqh ‘alaa al-Madzhaahib al-Arba’ah karya Abdurrahman al-Jaziri (w. 1360 H) sebagai berikut:
[…Apakah sah solat Jumaat di ruang terbuka? Tiga Imam sepakat atas kebolehan dan keabsahan solat Jumaat di ruang terbuka. Malikiyah menyatakan tidak sah:
- Al-Malikiyah berkata: Tidak sah solat Jumaat di rumah dan di ruang terbuka, tetapi mesti ditunaikan di masjid jami’.
- Al-Hanabilah berkata: Sah solat Jumaat di ruang terbuka jika berhampiran dengan bangunan masjid, dan ukuran hampir itu adalah berdasarkan ‘urf (tradisi setempat). Jika jaraknya tidak dikatakan hampir (menurut ‘urf), maka tidak sah solat Jumaat tersebut. Jika Imam solat di padang pasir, dia hendaklah mengangkat seseorang untuk memimpin (mengimami) solat di masjid bagi mereka yang tidak mampu (ke padang pasir).
- Asy-Syafi’iyah berkata: Sah solat Jumaat di ruang terbuka jika hampir dengan bangunan masjid. Batasan hampir menurut mereka adalah tempat yang tidak sah di situ untuk musafir meng-qasar solat ketika dia sampai di situ (dari perjalanan)…
- Al-Hanafiyah berkata: Tidak disyaratkan solat Jumaat itu wajib dilakukan di masjid. Tetapi solat Jumaat sah di lakukan di ruang terbuka, dengan syarat tidak jauh dari kota lebih dari satu farsakh dan Imam mengizinkan ditunaikan solat Jumaat di situ, seperti yang telah dijelaskan sebelumnya dalam syarat-syarat mengenainya].
4- Kesimpulannya:
- Sebagaimana yang anda lihat, Imam Malik mewajibkan solat Jumaat di dalam masjid…Dan berdasarkan hal itu, maka penutupan masjid oleh penguasa menyebabkan terlantarnya kewajipan solat Jumaat. Umat Islam wajib berdiri di hadapan penguasa (membantah) apabila penguasa tersebut mencegahnya daripada menunaikan solat di masjid…
- Adapun para fuqaha’ yang lain, khususnya para pemilik mazhab, mereka memperbolehkan solat Jumaat di masjid dan di ruang terbuka.
- Adapun apa yang kami rajihkan adalah apa yang telah kami jelaskan di atas: (Solat Jumaat boleh ditunaikan di masjid dan di ruang terbuka. Jika keduanya memungkinkan yakni jika masjid dibuka dan orang-orang yang solat tidak mendapat kesulitan, maka solat Jumaat boleh ditunaikan di dalam masjid itu. Sekiranya ruang (dalam masjid) tidak mencukupi, maka solat boleh dilakukan di ruang terbuka. Apa yang penting dalam hal ini ialah tempat tersebut bukan tempat peribadi. Ertinya tidak boleh menunaikan solat Jumaat di rumah, tetapi wajib di masjid atau ruang terbuka, tempat yang mana tidak ada seorang pun dilarang daripada berada di situ untuk solat. Adapun jika masjid-masjid dikunci, maka solat Jumaat di ruang terbuka adalah sah dan tidak ada masalah dalam hal itu. Orang yang melarangnya (menghalanginya) adalah berdosa…).
- Atas dasar itu, maka solat anda di halaman masjid adalah sah, dan negara telah berdosa dua kali: Pertama, kerana mengunci masjid. Kedua, kerana menghalangi solat di halaman masjid…Dan sungguh kami memohon kepada Allah (swt) agar menyegerakan tegaknya al-Khilafah sehingga kaum Muslimin dapat menunaikan solat dengan benar.
﴿وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ﴾
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus” [Al-Bayyinah (98): 5].
Saudaramu,
Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
22 Jumada al-Ula 1442 H
06 Januari 2021 M
http://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/72629.html
https://web.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/posts/2834200536825952
http://www.hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/qestions/jurisprudence-questions/20702.html