Timah oh Timah
Beberapa hari kebelakangan ini kita dihebohkan dengan isu wiski berjenama ‘Timah’ keluaran sebuah syarikat tempatan. Perkara ini menjadi viral setelah dibangkitkan oleh segelintir pihak yang membantah pengeluaran arak tersebut kerana menggunakan perkataan bahasa Melayu ‘Timah’ yang turut memaparkan wajah seorang yang berjanggut dan memakai penutup kepala mirip kopiah. Tidak kurang juga yang berspekulasi bahawa ‘Timah’ itu dikatakan merujuk kepada nama Fatimah yang juga merupakan nama anakanda junjungan mulia Rasulullah (saw), yang sekali gus dikatakan satu penghinaan kepada Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Nor dalam sebuah kenyataannya yang dipetik oleh Astro Awani (18/10/2021) turut menyentuh mengenai perkara tersebut serta menggesa agar jenama arak tersebut ditukar demi “memelihara suasana harmoni di antara pelbagai kaum di negara ini”.
Pengeluar arak tersebut bagaimanapun telah tampil memberikan penjelasan mengenai asal-usul nama “Timah” dan sosok lelaki yang ditampilkan pada label wiski tersebut.
Dalam pada itu, kritikan turut ditujukan kepada kerajaan “Keluarga Malaysia” khususnya PAS sebagai parti Islam yang merupakan sekutu dalam pemerintahan sekarang ini. Namun, parti tersebut mengambil langkah defensif tatkala membalas kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap mereka.
Terdahulu, Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, adalah tidak wajar mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan (Astro Awani, 17/10/2021). Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS melalui Ketua Penerangannya pula telah mengeluarkan kenyataan mendesak operasi arak Timah dihentikan, di samping menempelak pembangkang yang “galak bermain isu ini supaya tidak menjadikannya modal sentimen politik murahan” (Harakahdaily, 16/10/2021).
Namun hakikatnya bukanlah nama ‘Timah’ mahupun logo sosok berjanggut dan berkopiah itu yang sewajarnya menjadi isu utama yang perlu diberikan perhatian. Bukanlah juga dengan menuding jari menyalahkan pentadbiran terdahulu atas alasan arak tersebut telah dikeluarkan semasa pemerintahan sebelum ini. Persoalannya, apa yang telah dilakukan dan apa yang akan dilakukan oleh kerajaan pada hari ini setelah mengetahui hal ini? Apakah tindakan kerajaan pada hari ini dalam menangani keharaman yang berleluasa ini? Inilah persoalannya!
Isunya ialah air kencing syaitan itu telah dihasilkan pada skala industri, sehingga ke tahap “mengharumkan” (baca: memalukan) nama negara kerana dilaporkan telah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa sebagai air kencing syaitan yang terbaik! Semua ini bukan sahaja mengundang kehinaan kepada kerajaan yang memerintah di mata umat Islam, bahkan mengundang kemurkaan Allah (swt) kerana pemerintah hakikatnya melakukan keharaman yang jelas lagi nyata.
Sudahlah kes-kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian insan tak berdosa terus meningkat, kilang arak yang sedia ada tidak ditutup, kini kilang baru pula dibenarkan untuk terus beroperasi. Memang hal ini sungguh memalukan dan menjengkelkan bagi sebuah kerajaan yang kononnya berbangga dengan gelaran kerajaan Melayu-Islam!
Dengan wujudnya kilang arak, dan penjualan arak secara terbuka, walaupun majoriti umat Islam mematuhi perintah Allah (swt) dari sudut tidak meminum khamr, namun yang pastinya masih tetap ada yang meminumnya, malah masih ramai yang terlibat dengan rantaian arak lainnya yang diharamkan oleh Islam.
Masih ramai Muslim yang bekerja di kilang arak, masih ramai yang menjadi pembawa arak, baik dari segi pengangkutan atau menghidangkannya di hotel-hotel, masih ramai yang terlibat dengan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka dan banyak lagi rantaian lainnya. Terdapat juga umat Islam yang menganggap arak ini sah-sah sahaja sebagai salah satu sumber hasil ekonomi dan merupakan hak orang-orang kafir yang wajib dijaga oleh kaum Muslimin. Inilah bahana arak yang berleluasa dalam negara ke atas kaum Muslimin.
Inilah isu yang perlu disedari oleh kerajaan yang memerintah khususnya PAS. Kuasa untuk meluluskan lesen operasi dan penjualan arak ada pada kerajaan. Begitu juga dengan lesen judi, kelab-kelab malam dan segala kemaksiatan yang ada dalam negara ini, semua di tangan kerajaan sama ada untuk meluluskannya atau tidak, yang mana PAS adalah sebahagian daripadanya. Jadi, tidak perlulah PAS berdalih dan “mensucikan” diri bahawa kilang arak ini didirikan di bawah kerajaan lama. Umat Islam mahu melihat PAS mengotakan kata-katanya semasa menjadi pembangkang yang berapi-api ingin menutup kilang arak, judi dan lain-lain.
Sungguh besar dosa yang ditanggung oleh pemerintah yang bukan sahaja tidak menerapkan hukum Allah, malah meluluskan segala perbuatan dan aktiviti yang memaksiati Allah.
Jika ditukar nama ‘Timah’ kepada nama apa sekalipun, ia bukanlah penyelesaian kepada isu ini, jauh sekali untuk mengundang redha Allah, kerana isunya ialah kilang dan minuman haram itu sendiri yang perlu ditangani menurut syarak. Alangkah hebatnya Keluarga Malaysia yang bersungguh-sungguh menjaga hati anak-anaknya yang kafir sehingga sanggup “menghidangkan” segala yang haram kepada anak-anaknya yang Muslim!