SN 574 – Kerakusan Kuasa Yang Boleh Menjerumuskan Pelakunya Ke Neraka

SN574

5 November 2021 M / 29 Rabiul Awal 1443 H

 

Pilihan raya Negeri (PRN) Melaka telah ditetapkan pada 20 November 2021, dengan penamaan calon pada 8 November dan tempoh berkempen selama 12 hari. Umum mengetahui bahawa PRN Melaka terpaksa diadakan kerana bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Itulah hakikat yang berlaku, sebuah kerajaan menjatuhkan dirinya sendiri, sebuah fenomena yang sudah tidak lagi pelik kebelakangan ini. Faktornya tidak lain kecuali kerana pergaduhan dalaman, walaupun pada peringkat awal dinafikan oleh pihak-pihak yang terbabit. Kenapa berlaku pergaduhan? Apa lagi sebabnya jika bukan kerana perebutan dan ketamakan kuasa?

Selama ini kerajaan kononnya sangat mementingkan usaha-usaha melawan Covid-19 dan selalu menekankan agar mengetepikan permainan politik, dan mesti menumpukan usaha-usaha untuk menangani Covid-19 demi kemaslahatan rakyat. Itulah yang kerajaan beberkan setiap saat. Namun hakikat yang berlaku di depan mata rakyat adalah sebaliknya. Cakap tak serupa bikin, lidah bercabang, hipokrit, pembohongan dan sebagainya, ini semua merupakan karakter yang sudah mendarah daging dengan diri politikus demokrasi. Menipu rakyat untuk kepentingan parti dan peribadi sudah menjadi menu harian ahli-ahli politik demokrasi, tidak kira semasa pilihan raya atau tidak. Kuasa, pangkat, jawatan, populariti dan kemewahan dunia adalah tujuan hidup mereka yang tidak boleh dikompromi dengan apa pun. Tidak kiralah di saat negara dilanda masalah Covid-19, banjir besar, ribut taufan, gempa bumi, tsunami, peperangan dan seumpamanya, kuasa tetap menjadi idaman dan rebutan yang tiada galang gantinya. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa moto hidup mereka ialah “Biar hilang nyawa, jangan hilang kuasa”!

Kuasa Adalah Amanah Untuk Terap Hukum Allah

Isu gila kuasa sudah sebati dengan politik Malaysia sejak sekian lama dan ia semakin memburuk seiring dengan perkembangan semasa. Mereka yang gila kuasa ini tidak lagi menjadikan agama sebagai pegangan dan peraturan hidup. Mereka tidak lagi peduli pada halal dan haram kerana matlamat mereka hanyalah untuk berkuasa serta meraih sebanyak mungkin manfaat duniawi.

Islam bukanlah menghalang seseorang untuk berkuasa, tetapi Islam mengatur urusan kekuasaan yang wajib diikuti dan dipatuhi oleh setiap Muslim, sebagaimana Islam mengatur masalah ibadat, muamalat, pergaulan, ekonomi dan sebagainya. Selain memberikan aturan dan syarat yang terperinci perihal kekuasaan, Islam telah meletakkan kekuasaan sebagai satu amanah, dan Islam menjelaskan beratnya amanah tersebut yang bukan alang-kepalang, yang kesannya boleh membawa ke syurga atau neraka. Rasulullah (saw) pernah bersabda kepada Abu Dzar yang meminta jawatan (kekuasaan) daripada baginda;

“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah. Sungguh jawatan itu adalah amanah dan sungguh ia menjadi kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali orang yang mengambil amanah itu dengan benar dan menunaikan kewajipan di dalamnya” [HR Muslim].

Allah (swt) telah mewajibkan mereka yang berkuasa untuk menjalankan roda pemerintahan berdasarkan Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya. Firman-Nya;

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” [TMQ al-Ma’idah (5): 49].

Khithab (seruan) dalam ayat ini, walaupun ditujukan kepada Rasul, namun juga merupakan khithab kepada umatnya, yang sekali gus bermaksud merupakan khithab ke atas setiap penguasa Muslim untuk menerapkan hukum-Nya dan tidak terikut dengan hawa nafsu manusia sehingga meninggalkan hukum-Nya. Firman-Nya yang lain;

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya” [TMQ an-Nisa’ (4): 65].

Allah (swt) menafikan keimanan seseorang yang tidak menjadikan Rasul sebagai pemutus dalam apa jua perkara yang mereka perselisihkan. Rasulullah (saw) tidak akan memutuskan sesuatu kecuali dengan hukum Allah (swt). Justeru ayat ini merupakan perintah untuk berhukum dengan hukum Allah (swt), khasnya ke atas pemimpin yang berada dalam kapasiti sebagai pemerintah dan mempunyai autoriti memutuskan perselisihan yang terjadi dalam masyarakat. Sungguh banyak lagi ayat lainnya yang menunjukkan bahawa tugas dan tanggungjawab seseorang penguasa ialah untuk menerapkan hukum Allah (swt).

Gila Kuasa Dan Akibatnya

Sekiranya seseorang itu sangat menginginkan kekuasaan, dan apabila berkuasa ia menunaikan amanahnya dengan menerapkan hukum Allah (swt), maka “gila kuasa” seumpama ini tidak menjadi masalah. Malah ia sudah pasti akan menjadi pemimpin yang dicintai oleh Allah (swt). Apa yang menjadi masalah ialah seseorang yang gila kuasa dan memimpin dengan mengkhianati amanah, zalim, menipu dan sebagainya, maka ia akan menjadi manusia yang paling dibenci oleh Allah (swt), dan akan mendapat seburuk-buruk balasan di akhirat. Sabda baginda (saw);

“Makhluk yang paling dicintai Allah adalah pemimpin yang adil dan yang paling dibenci-Nya adalah pemimpin yang zalim” [HR Ahmad].

“(Di akhirat kelak) setiap pengkhianat akan mendapat bendera di belakangnya. Panjang dan pendek bendera tersebut bergantung kepada kadar pengkhianatannya. Ketahuilah bahawa pengkhianatan yang paling besar adalah pengkhianatan seorang pemimpin terhadap rakyatnya” [HR Bukhari].

“Dua golongan umatku yang keduanya tidak akan pernah mendapatkan syafaatku – pemimpin yang zalim, dan orang yang berlebihan dalam beragama hingga sesat dari agama” [HR Thabrani].

“Tidaklah seorang hamba yang diserahi Allah memelihara dan mengurus (kepentingan) rakyat lalu mati, sementara ia menipu rakyatnya, kecuali Allah mengharamkan baginya syurga” [HR Muslim, Ahmad dan ad-Darimi].

Allah (swt) telah menegaskan siapakah orang-orang yang zalim;

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5): 45].

Allah dan Rasul-Nya bukan sahaja mengingatkan kita tentang balasan ke atas pemimpin yang zalim dan suka berbohong, tetapi turut mengingatkan kita tentang siapa sahaja yang menyokong dan mendukung pemimpin seperti itu. Firman-Nya:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11): 113].

Sabda baginda (saw);

“Sungguh akan ada para pemimpin yang berbohong dan berbuat zalim, maka siapa sahaja yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong mereka dalam kezaliman mereka, maka dia tidak termasuk golonganku dan aku tidak termasuk golongannya, dan dia tidak akan bersamaku di telaga al-Haudh. Sebaliknya siapa sahaja yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong mereka dalam kezaliman mereka, maka dia sebahagian dariku dan aku sebahagian darinya, dan ia akan bersamaku di telaga al-Haudh” [HR Ahmad].

Begitulah balasan pemimpin yang gila kuasa, yang diberi kuasa oleh Allah (swt) lalu mengkhianati amanah. Sesungguhnya kekuasaan itu bukan perkara yang boleh dipandang remeh, tetapi suatu perkara besar yang menentukan bahagia dan celaka di Padang Mahsyar, yang menentukan nikmat dan azab di akhirat. Bahkan balasan yang sama juga turut terkena ke atas siapa sahaja yang walaupun tidak tamakkan kuasa dan tidak berkuasa, tetapi menyokong dan mendukung pemimpin yang gila kuasa dan mengkhianati amanah.

Tolak Pemimpin Gila Kuasa

Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kesemua pemimpin yang ada dalam sistem demokrasi pada hari ini tidak menerapkan hukum Allah (swt) dalam pemerintahan mereka, sebaliknya bermati-matian menerapkan dan mempertahankan hukum kufur warisan penjajah, walau para pemimpin ini datang daripada parti Islam sekali pun. Justeru, selain kewajipan kita untuk menolak sistem demokrasi, kita juga berkewajipan untuk menolak pemimpin yang mengambil sistem kufur warisan penjajah ini. Para pemimpin ini wajib ditolak, dimuhasabah, dan paling kurang pun, kita wajib mengingkari mereka. Sabda Rasulullah (saw);

“Nanti ada para penguasa, lalu kalian akan mengetahui kemakrufan dan kemungkarannya. Siapa saja yang membenci (kemungkaran yang dilakukan)nya, maka akan bebas (dari dosa). Siapa saja yang mengingkari (kemungkaran tersebut) akan selamat (dari dosa). Siapa saja yang redha dan mengikutinya (akan celaka)”. Para sahabat bertanya, ‘Tidakkah kita perangi sahaja mereka?’ Baginda menjawab, ‘Tidak, selagi mereka masih menegakkan solat (menegakkan Islam)” [HR Muslim].

Sabda baginda yang lain;

“Sebaik-baik pemimpin kalian adalah mereka yang kalian cintai, dan mereka pun mencintai kalian, mereka mendoakan kalian dan kalian pun mendoakan mereka. Seburuk-buruk pemimpin kalian adalah mereka yang kalian benci dan mereka pun membenci kalian, kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian. ‘Ditanyakan kepada Rasulullah: ‘Wahai Rasulullah, tidakkah kita perangi sahaja mereka itu?’ Baginda menjawab: ‘Jangan, selagi mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian’” [HR Muslim].

Ramai yang salah memahami hadis ini dengan menafsir secara literal lafaz “selagi mereka masih menegakkan solat”, sedangkan yang dimaksud oleh lafaz tersebut ialah menegakkan seluruh hukum syarak, bukan hanya menegakkan solat sahaja. Hal ini merupakan pembahasan majaz (kiasan) iaitu termasuk dalam kategori “itlaqul juz’i wa iradatul kulli” (menyebut bahagian tertentu, tetapi yang dimaksudkan ialah keseluruhan). Dengan kata lain, yang dimaksud dengan “menegakkan solat” dalam hadis di atas adalah “memerintah dengan Islam” iaitu menerapkan hukum-hukum syarak secara keseluruhan. Hal ini sama seperti firman Allah (swt):

“Maka merdekakanlah raqabah” [TMQ al-Mujadilah (58): 3].

Yang dimaksudkan dengan “raqabah” dalam ayat tersebut ialah “hamba” yakni memerdekakan diri hamba itu secara keseluruhan, bukan hanya raqabah (leher) sahaja. Ini merupakan pembahasan majaz yang termasuk dalam kategori “itlaqul juz’i wa iradatul kulli” [Nidzam al-Hukmi Fi al-Islam, Syeikh Abdul Qadim Zallum].

Siapa pun yang mengkaji nas akan mendapati dengan jelas bahawa kemungkaran dan kemaksiatan itu wajib ditolak, yang sekali gus bermaksud penguasa yang melakukan kemungkaran dan kemaksiatan juga wajib ditolak, dan haram untuk ditaati. Sabda Rasulullah (saw), “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan kemaksiatan kepada al-Khaliq” [HR Ahmad]. Kemungkaran dan kemaksiatan apa lagi yang lebih besar berbanding menerapkan hukum kufur dalam pemerintahan?

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! PRN Sabah telah menjadi bukti bagaimana kemaruk dan kerakusan kuasa orang-orang politik yang membawa kepada gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia. Mereka tidak pernah mempedulikan masalah Covid-19 atau kepentingan rakyat, sebagaimana yang sering mereka laungkan dalam ucapan mereka yang penuh pembohongan. Kini di saat pandemik Covid-19 masih belum reda, dan di saat rakyat masih sengsara, para politikus demokrasi sekali lagi membuktikan kegilaan kuasa mereka mengatasi segala-galanya. Mereka bermati-matian mengejar kuasa, bukan untuk menerapkan hukum Allah (swt), tetapi demi meraih kenikmatan duniawi semata-mata. Semoga mereka sedar dan sempat bertaubat kerana kerakusan kuasa seperti ini boleh menjadi tiket untuk membawa mereka ke neraka! Na’uzu billah min zalik.

 

Download PDF