Jika tak sertai pilihan raya, parti Islam takkan menang?
Persoalan 3
Jika tak sertai pilihanraya dan tak mengundi, bagaimana parti Islam nak menang, berkuasa dan terapkan hukum Islam?
Jawapan:
Soalan ini sudah menjadi soalan lapuk yang diulang-ulang bagi menjustifikasi penglibatan parti Islam dalam sistem kufur demokrasi, seolah-olah sudah tidak ada jalan lain lagi untuk parti Islam meraih kekuasaan kecuali melalui pilihan raya. Jika dulu mungkin ramai yang tidak nampak hal ini, tetapi perkembangan politik mutakhir ini sudah membuka mata banyak pihak, sehingga menjadikan soalan ini tidak lagi relevan.
Realitinya, parti Islam yang ada dalam demokrasi pada hari ini, walaupun telah menang, ternyata mereka tidak menerapkan Islam. Sebaliknya mereka hanya meneruskan dan mengekalkan sistem dan undang-undang kufur warisan penjajah. Mereka pada hakikatnya tidak pernah bersedia dan tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa mereka tidak tahu pun cara untuk memerintah dengan Islam. Telah terbukti bahawa apabila mereka berkuasa, Islam tidak lagi menjadi agenda mereka, sebaliknya mereka terus leka dengan dunia dan meninggalkan perjuangan.
Terdapat sudah banyak bukti di depan mata bahawa pilihan raya bukanlah satu-satunya jalan untuk berkuasa. Di Malaysia sendiri, sudah berlaku dua kali pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya, dan sudah berlaku empat kali pertukaran Perdana Menteri tanpa pilihan raya.
Melalui langkah Sheraton, atau langkah “tebuk atap” sebagaimana yang diakui sendiri oleh mereka yang “merampas kuasa”, ternyata telah menjadi satu jalan baru untuk menukar kerajaan dalam sistem demokrasi tanpa pilihan raya, dan kaedah ini telah terbukti berjaya. Melalui jalan tebuk atap ini, kerajaan PH tumbang lalu diganti dengan kerajaan PN dalam masa yang cukup singkat.
Langkah tebuk atap tersebut terkait rapat dengan langkah lompat parti atau menarik balik sokongan, yang menyaksikan dua kali pertukaran kerajaan persekutuan (tanpa pilihan raya) dalam masa tak sampai dua tahun. Mahathir memerintah selama 22 bulan sebelum kerajaannya tumbang, dan Muhyiddin mendapat balasan yang sama setelah memerintah selama 17 bulan. Manakala kerajaan negeri Kedah, Johor, Perak, Melaka dan Sabah turut tumbang hanya kerana pertukaran sokongan, juga tanpa pilihan raya.
Jauh sedikit sebelumnya, Najib Razak naik menjadi Perdana Menteri setelah berlaku penyerahan kuasa oleh Pak Lah kepada beliau. Dengan kata lain, Najib menjadi Perdana Menteri bukan melalui pilihan raya, tetapi kerana Pak Lah yang ditekan cukup hebat dari dalam UMNO sendiri pada waktu itu, sehingga memaksa beliau melepaskan jawatan. Sebelumnya, Pak Lah diberi kuasa oleh Dr. Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri, juga sebuah peralihan kuasa tertinggi dalam negara, tanpa pilihan raya.
Apa yang berlaku telah membuktikan dengan cukup jelas bahawa terdapat cara lain untuk menjadi kerajaan tanpa melalui pilihan raya, dan langkah tebuk atap yang melibatkan persekongkolan oleh parti Islam sendiri, merupakan salah satu cara untuk berkuasa tanpa pilihan raya. Maka, persoalan jika tidak menyertai pilihan raya, bagaimana parti Islam akan menang, berkuasa dan menerapkan Islam, sebenarnya sudah tidak lagi relevan.
Jika kita lihat di luar negara, Indonesia, Suharto jatuh pada tahun 1998 dan BJ Habibie naik menjadi Presiden juga bukan melalui pilihan raya, tetapi melalui langkah yang dipanggil sebagai people’s power. Di Malaysia, Dr. Mahathir sendiri hampir jatuh melalui gerakan people’s power pada tahun yang sama.
Revolusi Arab Spring juga menyaksikan tumbangnya rejim Zainal Abidin Bin Ali (Tunisia), Hosni Mubarak (Mesir), Ali Abdullah Solleh (Yemen) dan Muammar Gaddafi (Libya) melalui gerakan people’s power.
Terbaru, Taliban berjaya menguasai Afghanistan juga bukan melalui pilihan raya, tetapi melalui perlawanan bersenjata terhadap Amerika yang secara de facto memerintah Afghanistan. Setelah Amerika keluar dari Afghanistan dengan kekalahan yang memalukan, Taliban dengan mudah menguasai Kabul sekaligus menguasai Afghanistan apabila Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani cabut lari ke UEA.
Kita juga menyaksikan beberapa negara di dunia yang bertukar kuasa melalui kudeta, ada yang menumpahkan darah dan ada yang tidak. Muammar Gadafi merampas kuasa di Libya, Saddam Hussein mengambil alih Iraq, Khomeini berjaya menjatuhkan Shah Iran dan Perves Musharaf menggulingkan presiden Nawaz Sharif di Pakistan. Mereka semua berkuasa melalui jalan kudeta, dan mereka memerintah negara masing-masing dengan cukup lama, malah kedudukan mereka diiktiraf oleh seluruh dunia, walaupun mereka naik tanpa pilihan raya.
Justeru, hujah oleh siapa pun, khususnya parti Islam yang menyatakan bahawa satu-satunya jalan menuju kekuasaan ialah pilihan raya ternyata bertentangan dengan fakta dan realiti. Kejadian tebuk atap yang kita saksikan yang melibatkan parti Islam sendiri, menjadi bukti bahawa terdapat cara yang selamat, jimat, mudah dan cepat untuk meraih kekuasaan tanpa pilihan raya.
Di atas semua itu, terdapat satu-satunya jalan yang syarie untuk mengambil alih pemerintahan tanpa melalui pilihan raya iaitu jalan thalab an-nusrah (mencari pertolongan) daripada ahlul quwwah wal man’ah, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah (saw). Rasulullah melakukan aktiviti thalab an-nusrah sehingga akhirnya diberi nusrah (pertolongan) oleh kaum Aus dan Khazraj yang berasal dari Madinah, sehingga tegaknya negara Islam di Madinah. Inilah satu-satunya jalan yang syarie yang wajib diikuti oleh mana-mana Muslim pun, khususnya parti Islam jika ingin berkuasa dan menegakkan Islam.
Jadi, persoalan jika memboikot pilihan raya dan tidak mengundi parti Islam, bagaimana parti Islam akan berkuasa, sesungguhnya sudah tidak perlu lagi ditanya, apatah lagi oleh mereka dari parti Islam itu sendiri. Ia hanya akan menjadi senjata makan tuan sahaja. Soalan seumpama ini juga seolah-olah menafikan jalan yang diambil oleh Rasulullah (saw), kerana Rasulullah (saw) tidak pernah mengambil jalan pilihan raya, namun ternyata mendapat kekuasaan di Madinah.