Pilihan raya sekarang bertepatan dengan Islam?
Persoalan 9
Pilihan raya sekarang bertepatan dengan Islam sebagaimana Abu Bakar dan Utsman dipilih menjadi Khalifah juga melalui pilihan raya.
Jawapan:
Pertamanya perlu difahami bahawa terdapat perbezaan yang sangat mendasar antara fakta pilihan raya dalam sistem demokrasi dengan fakta pilihan raya dalam sistem Islam.
Pilihan raya demokrasi adalah untuk memilih wakil ke dewan legislatif untuk menggubal undang-undang, meminda dan menghapuskannya. Sebab itulah ahli parlimen atau DUN dipanggil sebagai legislator atau law maker (pembuat undang-undang) atau dalam bahasa Arabnya dipanggil Musyarri’.
Sedangkan pilihan raya dalam Islam ialah untuk memilih wakil ke Majlis Umat (Majlis Syura) sebagai badan penasihat kepada Khalifah dalam memberi masukan dan juga muhasabah. Selain itu, Majlis Umat juga boleh bertindak sebagai badan yang akan melantik Khalifah. Ketua Negara (Khalifah) dilantik untuk menerap dan melaksanakan hukum Allah, bukannya untuk membuat hukum sebagaimana dalam sistem demokrasi.
Abu Bakar dilantik oleh Ahlu al-Halli wa al-Aqdi (wakil kaum Muslimin) di Saqifah Bani Sa’idah, setelah sebelumnya berlaku pencalonan terhadap beliau, Umar, Abu Ubaidah dan Saad bin Ubadah. Umar dan Abu Ubaidah merasa tidak sepadan dengan Abu Bakar sehingga keduanya tidak mahu bersaing dengan Abu Bakar. Lalu pencalonan secara praktis terjadi di antara Abu Bakar dan Saad bin Ubadah. Setelah itu Abu Bakar terpilih, dan kemudian beliau dibaiat oleh kaum Muslimin.
Setelah merasakan ajalnya akan tiba, Abu Bakar Bakar mencalonkan Umar sebagai satu-satunya calon, setelah ia mengumpul pendapat kaum Muslimin selama lebih kurang 3 bulan. Setelah kewafatan Abu Bakar, kaum Muslimin lalu membaiat Umar.
Semasa sakit dan merasakan ajalnya akan tiba, Umar mencalonkan enam orang dan mengarahkan dipilih salah seorang daripada mereka sebagai Khalifah. Kemudian Abdurrahman bin Auf (salah seorang calon) berbincang dengan kelima-lima calon yang lain dan akhirnya mereka sepakat untuk membatasi calon hanya kepada dua orang, iaitu Ali dan Utsman. Abdurrahman kemudian mengumpul pendapat masyarakat di Madinah, dan akhirnya menetapkan Uthman sebagai Khalifah. Utsman lalu dibaiah sebagai Khalifah yang ketiga.
Adapun berkenaan pelantikan Ali, tidak ada calon lain lagi selain beliau untuk menduduki jawatan kekhilafahan setelah kematian Utsman. Lalu majoriti kaum Muslimin di Madinah dan Kufah membaiatnya sebagai Khalifah yang keempat.
Begitulah proses pelantikan empat orang Khulafa’ ar-Rasyidin di mana memang benar terdapat pengambilan pendapat (seakan-akan pilihan raya) daripada kalangan kaum Muslimin semasa pelantikan Abu Bakar dan Utsman. Tetapi perlu difahami bahawa yang mengabsahkan mereka sebagai Khalifah adalah “baiat” yang datangnya dari Ahlu al-Halli Wa al-Aqdi.
Abu Bakar dan Utsman bukan dipilih untuk menjadi legislator atau law maker. Mereka dipilih dan dibaiah untuk melaksanakan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Jadi, langsung tidak boleh disamakan pemilihan Abu Bakar dan Utsman sebagai Khalifah, dengan pemilihan wakil rakyat dalam pilihan raya sistem demokrasi pada hari ini. Ya benar adanya pengambilan pendapat (seakan-akan pilihan raya dalam istilah sekarang) dalam pelantikan Abu Bakar dan Utsman, tetapi pendapat itu hanya diambil daripada Ahlu al-Halli Wa al-Aqdi yang merupakan wakil umat, dan Ahlu al-Halli Wa al-Aqdi itu wajib beragama Islam.
Hal ini berbeza dengan sistem demokrasi yang mana orang-orang kafir turut terlibat dalam pelantikan ketua negara, dan tiadanya proses baiat terhadap ketua negara tersebut. Tambahan lagi, tujuan pilihan raya dalam sistem demokrasi adalah untuk melantik wakil yang akan menjadi Musyarri’ (Pembuat hukum), sedangkan dalam Islam, Khalifah dilantik sebagai wakil umat untuk menerapkan hukum.
Justeru, menyamakan proses pelantikan Abu Bakar dan Utsman dengan proses pilihan raya sekarang sungguh amat jauh perbezaannya, umpama langit dan bumi, malah lebih jauh lagi daripada itu.