Wajib terap Islam secara kaffah
Seminar atas talian bertajuk “Kewajipan Menerapkan Islam Secara Kaffah” menjadi pembuka tirai kepada kempen Rajab bertemakan “Islam Kaffah Di Bawah Khilafah” anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM).
Ahli panel pertama iaitu Ustaz Muhammad Amin menerangkan mengenai tafsir Surah al-Baqarah ayat 208, ayat di mana Allah (swt) mewajibkan umat Islam untuk masuk ke dalam agama Islam secara kaffah, yang menurut ramai Mufassirin (ahli tafsir) bermaksud kewajipan untuk mengamalkan dan menerapkan syariat Islam secara keseluruhan tanpa pilihan.
Manakala ahli panel kedua, Ustaz Abdul Hakim Othman menerangkan mengenai takrif Islam yang dipetik daripada kitab Nizam al-Islam karangan pendiri Hizbut Tahrir, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (rahimahullah).
Jurucakap HTM itu menjelaskan dengan terperinci apakah yang dimaksudkan dengan Islam Kaffah yang merangkumi seluruh hubungan manusia dengan Allah, dengan dirinya sendiri dan dengan manusia yang lain. Runtuhnya Khilafah pada bulan Rajab 101 tahun yang lalu menandakan runtuhnya Islam Kaffah, tekan beliau.
Kedua-dua ahli panel membuat penegasan sekali gus peringatan kepada umat Islam amnya, dan pemerintah khususnya bahawa penerapan Islam Kaffah tidak akan dapat direalisasikan kecuali di bawah Khilafah, sebagaimana telah terbukti di sepanjang sejarah Islam.
Atas dasar itu, wajib bagi umat Islam berjuang untuk menegakkan kembali Khilafah, kerana pemerintah yang ada ternyata tidak mahu menerapkannya, yang jelas merupakan suatu pelanggaran kepada perintah Allah (swt).
Sebelum tamat seminar, kedua-dua ahli panel menjawab persoalan yang dikemukakan oleh penonton dalam sesi soal jawab.