SN590 – Khilafah Adalah Janji Allah

SN590

25 Februari 2022 M / 24 Rejab 1443 H

 

Pada 28 Rajab 1342 H, kuffar Barat bersama para pengkhianat Arab dan Turki pada waktu itu, telah berjaya menghancurkan Khilafah secara rasmi. Rajab tahun ini genaplah 101 tahun runtuhnya institusi politik agung umat Islam itu. Kejayaan Barat menghancurkan Khilafah dianggap oleh mereka sebagai sangat besar dan setara dengan penaklukan Konstantinopel oleh Muhammad al-Fatih. Ini kerana dengannya Barat kembali memperolehi kekuatan mereka yang telah lama hilang. Tidak berhenti di situ, setelah berjaya menjatuhkan Khilafah, Barat kemudiannya memfokuskan segenap kekuatan dan usaha agar Khilafah tidak berdiri kembali. Mereka sentiasa memerhatikan dengan sangat dekat gerakan-gerakan Islam yang muncul di seluruh negeri kaum Muslimin, kerana mereka khuatir akan menjadi benih kepada seruan dan usaha untuk menegakkan kembali Khilafah.

Ketika diumumkan berdirinya Hizbut Tahrir pada tahun 1372 H (1953 M) di Al-Quds, maka Barat mula kepanasan kerana amat jelas bagi mereka bahawa objektif dan agenda Hizbut Tahrir adalah mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah dengan jalan menegakkan kembali Khilafah. Barat telah melihat betapa serius dan bersungguh-sungguhnya Hizb dalam perjuangannya, sehingga memaksa Barat mengarahkan ejen-ejen mereka daripada para penguasa Muslim untuk mengharamkan dan seterusnya melarang segala aktiviti Hizb. Dari sinilah bermulanya penangkapan, pemenjaraan, penyeksaan dan pembunuhan ke atas anggota-anggota Hizb di banyak wilayah umat Islam.

Tidak cukup dengan itu, Barat menambah lagi dengan pelbagai cara dan taktik propaganda, pembohongan, tuduhan palsu, manipulasi dan penyelewengan fakta dan sebagainya yang semuanya dilakukan tanpa rasa malu sedikit pun. Di sesetengah negeri kaum Muslimin, Hizbut Tahrir dituduh sesat, ekstrem, menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar, memecah-belah dan mengancam keselamatan negara dan bermacam tuduhan lagi, dengan tujuan mereka untuk mempengaruhi umat Islam agar menolak dan menjauhi Hizbut Tahrir. Semua itu dilakukan oleh Barat dan ejen-ejen mereka daripada kalangan penguasa kaum Muslimin bagi memastikan Islam kaffah dan Khilafah yang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir tidak akan tegak kembali.

Tiga Bisyarah Besar

Pada hari Selasa 20 Jamadil Awal 857 H, Muhammad al-Fatih berjaya menakluk dan membuka Konstantinopel, setelah kira-kira dua bulan menyerang dan mengepung kota hebat tersebut. Ketika memasuki kota Konstantinopel, al-Fatih turun dari kudanya lalu bersujud kepada Allah (swt) sebagai tanda syukur atas kemenangan tersebut, sekali gus bersyukur atas kemuliaan yang telah diberikan oleh Allah (swt) kepadanya sebagai sebaik-baik Amir yang memimpin sebaik-baik tentera yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah (saw) lebih kurang 800 tahun sebelumnya.

Begitulah bisyarah (khabar gembira) daripada Rasulullah (saw) yang telah benar-benar terealisasi di tangan seorang pemuda yang baru berusia 21 tahun, yang telah menyediakan dirinya sejak kecil dan berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap detik hidupnya bagi merealisasikan bisyarah tersebut, sekali gus menjadi pemilik kemuliaan yang tiada taranya.

Sesungguhnya peristiwa penaklukan Konstantinopel telah dikisahkan secara turun-temurun dari satu generasi ke satu generasi umat Islam tanpa jemu, kerana ia merupakan sebuah kebanggaan yang tidak seharusnya dilupakan oleh siapa pun yang bergelar Muslim. Namun kisahnya tidak seharusnya berhenti di situ, kerana junjungan besar kita Muhammad (saw) telah memberikan dua lagi khabar gembira lainnya berupa kembalinya Daulah Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah dan juga pembukaan kota Rom.

Kedua-dua bisyarah ini masih belum terealisasi, dan akan terealisasi dengan izin Allah sebagaimana terealisasinya pembukaan kota Konstantinopel. Malah, kedua-dua bisyarah ini sudah semakin hampir, khususnya pada pandangan mereka yang memperjuangkannya. Dengan tegaknya Khilafah, maka insya Allah akan terealisasilah juga bisyarah lainnya seperti perang ke atas Yahudi dan kekalahan kaum terlaknat itu secara total di bawah pasukan kaum Muslimin. Sesungguhnya hal ini pasti terjadi kerana Rasulullah (saw) tidak berbicara mengikut hawa, melainkan mengikut wahyu yang telah diwahyukan kepadanya.

Kami di Hizbut Tahrir meyakini bahawa malaikat tidak akan turun dari langit untuk menegakkan Khilafah untuk kita semua. Namun, kami meyakini bahawa Allah (swt) akan menurunkan malaikat untuk membantu kita apabila kita berjuang dengan sungguh-sungguh, jujur dan ikhlas untuk menegakkan agama-Nya di muka bumi ini dan untuk menegakkan Khilafah, yang merupakan janji-Nya. Sesungguhnya tegaknya kekuasaan Islam itu merupakan janji Allah (swt) yang telah dimaktubkan-Nya di dalam kitab-Nya, yang pasti akan terealisasi.

Walaupun terdapat banyak tuduhan bahawa Hizbut Tahrir sedang berkhayal dengan penegakan Khilafah, namun kami ingin katakan bahawa si penuduhlah yang sebenarnya sedang berada dalam khayalan, kerana gagal memahami hakikat yang berlaku di depan mata dan buta mengenai janji Allah dan Rasul-Nya. Kami ingin tegaskan empat perkara yang kami yakini bahawa Khilafah akan tegak kembali:

Pertama: Janji Allah (swt), “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa” [TMQ an-Nur (24): 55].

Kedua: Bisyarah dari Rasulullah (saw) akan kembalinya Khilafah di atas manhaj (jalan) kenabian, setelah berakhirnya kekuasaan diktator sekarang ini. Rasulullah (saw) bersabda, “..kemudian ada kekuasaan diktator, dan akan terus ada selagi Allah menghendakinya. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendakinya. Kemudian ada Khilafah di atas jalan kenabian, kemudian baginda diam” [HR Ahmad].

Ketiga: Umat ini adalah umat yang hidup dan aktif, dan sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” [TMQ Ali Imran (3): 110]. Walaupun “status” ini mungkin telah hilang daripada umat ini buat seketika, namun ia akan kembali semula dengan izin-Nya, kerana Dia-lah yang telah menjadikan dan menetapkan umat ini sebagai umat yang terbaik.

Keempat: Hizbut Tahrir dengan izin Allah, sentiasa ikhlas berjuang untuk-Nya, tidak pernah mengharap atau mencari manfaat atau kepentingan duniawi dalam perjuangannya, tetapi hanya mengharapkan redha-Nya semata-mata. Hizbut Tahri dengan izin-Nya sentiasa jujur dengan Rasulullah (saw), terus berjuang siang dan malam bagi merealisasi janji dan bisyarah baginda, dan mengharap termasuk kelompok yang disabdakan oleh baginda, “Senantiasa ada sekelompok dari umatku yang akan sentiasa menang atas kebenaran. Orang yang menghinakan mereka tidak pernah dapat memudaratkan mereka, sehingga datangnya ketentuan Allah, dan mereka tetap berada dalam keadaan sedemikian” [HR Muslim dari Tsauban].

Sesungguhnya kewujudan salah satu daripada empat perkara di atas sudah cukup untuk mengatakan bahawa perjuangan untuk menegakkan Khilafah bukanlah satu khayalan, kerana tegaknya Khilafah itu merupakan janji Allah dan Rasul-Nya. Lalu bagaimana jika keempat-empatnya wujud secara serentak?! Demikianlah, tegaknya Khilafah itu adalah sebuah hakikat, yang dengan izin Allah, akan terjadi dalam waktu yang terdekat.

Selain kembalinya Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah ke pangkuan kaum Muslimin, satu lagi bisyarah yang bakal terealisasi ialah pembukaan kota Rom. Kota Rom akan dibuka, sebagaimana saudaranya, kota Konstantinopel telah dibuka, kerana Rasulullah (saw) tidak pernah berdusta. Baginda telah pun menyampaikan bisyarah bahawa kota Konstantinopel akan dibuka lebih dahulu, yang kemudian akan disusuli dengan pembukaan kota Rom insya Allah.

Bisyarah Pasti Terjadi Dan Wajib Diusahakan

Selain tiga bisyarah besar yang telah dinyatakan, terdapat banyak lagi bisyarah yang terkait dengan kemenangan Islam di akhir zaman. Antaranya sebuah hadis riwayat Imam Ahmad dari Tamim ad-Dari, “Sungguh perkara ini (agama Islam) pasti menjangkau (ke tempat) yang dijangkau oleh siang dan malam, dan Allah tidak membiarkan satu rumah pun sama ada di kota atau di kampung, kecuali Dia akan memasukkan agama ini, dengan kemuliaan orang yang mulia atau dengan kehinaan orang yang hina. Kemuliaan yang dengannya Allah muliakan Islam dan kehinaan yang dengannya Allah hinakan kekufuran”

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah (saw) bersabda, “Sesungguhnya Allah (swt) telah memperlihatkan kepadaku bumi, bahagian timur dan baratnya, dan kekuasaan umatku akan mencapai seluruh bahagian yang aku lihat itu.”

Kemenangan yang dijanjikan oleh Rasulullah (saw) dalam bisyarah di atas adalah mustahil untuk dicapai dalam keadaan sekarang, dalam keadaan di mana para penguasa kaum Muslimin semuanya terdiri daripada pengkhianat yang telah mencampakkan hukum Allah daripada pemerintahan mereka, yang tunduk kepada kehendak Barat serta sebahagiannya sangat jelas merupakan ejen Barat. Malah para penguasa khianat inilah yang sebenarnya menjadi penghalang utama kepada tegaknya kekuasaan Islam (Khilafah).

Sesungguhnya bisyarah itu akan pasti terjadi. Namun dalam masa yang sama kita harus ingat bahawa bisyarah itu bukan sahaja perlu diyakini akan terjadi, tetapi wajib diusahakan agar terjadi! Hal ini sebagaimana Muhammad al-Fatih yang bukan sahaja meyakini bahawa kota Konstantinopel akan dibuka, tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk membukanya. Apa yang pasti, janji dan bisyarah daripada Rasulullah (saw) hanya akan terealisasi melalui tangan orang-orang Mukmin yang bertakwa, yang ikhlas dan sungguh-sungguh berjuang di jalan kebenaran untuk merealisasikannya.

Allah (swt) telah pun memberikan kemuliaan kepada Muhammad al-Fatih dengan terealisasinya pembukaan kota Konstantinopel melalui tangannya. Namun demikian, masih terdapat dua lagi kemuliaan yang menunggu kita dengan dua bisyarah yang masih belum terealisasi. yakni tegaknya Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua, dan pembukaan kota Rom.

Justeru, kami ingin ulangi lagi dan lagi bahawa Allah (swt) tidak akan menurunkan malaikat dari langit untuk menegakkan Khilafah atau membuka kota Rom bagi pihak kita, sehingga kita tidak perlu melakukan apa-apa untuknya. Akan tetapi, Sunatullahnya ialah apabila kita menolong agama Allah, maka Allah akan menolong kita; kita berusaha untuk menegakkan agama-Nya dengan semampu-mampu kita; kita berjihad di jalan-Nya dengan semampu-mampu kita; maka pada waktu itu Allah (swt) menurunkan malaikatnya untuk membantu kita.

Hizbut Tahrir telah berusaha dengan bersungguh-sungguh sedari awal penubuhannya untuk merealisasikan bisyarah Rasulullah (saw) dengan tegaknya Khilafah. Hizbut Tahrir sangat mengharap dan berdoa kepada Allah (swt) agar penegakannya terjadi sebelum 100 tahun keruntuhannya, namun ternyata hari-hari yang berlalu selama 70 tahun umur Hizbut Tahrir, di mana kami hampir menggapai Khilafah, tetapi ia menjauh. Meskipun demikian, Hizbut Tahrir tidak pernah berputus asa daripada rahmat Allah. Kami tetap meneruskan perjuangan dengan mata yang sentiasa menatap ke arah Khilafah dan hati yang sentiasa mengharap redha-Nya dan syurga-Nya.

Khatimah

Sesungguhnya tegaknya Khilafah hanyalah persoalan waktu. Khilafah adalah janji Allah dan Rasul-Nya. Apa yang wajib kita lakukan ialah berusaha tanpa putus asa untuk merealisasikan janji ini. Khilafah akan muncul dengan izin Allah sebagaimana munculnya siang setelah berlalunya malam. Pada waktu kemunculannya, tanah yang diberkati Palestin akan dibebaskan, kota Rom akan dibuka, Barat dan Timur dunia akan berada di bawah kekuasaan Islam, orang-orang kafir akan masuk ke dalam agama Allah secara berbondong-bondong, dunia akan dipenuhi dengan laungan azan, takbir, tahmid dan tasbih kepada Allah dan bumi akan disinari dengan cahaya Islam.

“Pada hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang Dia kehendaki. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang” [TMQ ar-Rum (30): 4-5].

Wallahu a’lam.

 

Download PDF