SN615 – Mubahalah

SN615

09 September 2022 M / 13 Safar 1444 H

 

Malaysia pernah dikejutkan dengan sumpah laknat yang telah dibuat oleh seorang ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah bersama rakan beliau Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka) dan Datuk Shuib Lazim (bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia). Dalam sumpahnya, beliau mengakui bahawa dirinya, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang yang berada dalam paparan video (merujuk kepada video seks) yang dirakamkan pada 21 Februari 2011 di mana Anwar adalah pelaku dalam video tersebut. Sekiranya beliau melakukan fitnah, maka Allah akan melaknat beliau. Itulah antara kandungan sumpah Datuk Eskay yang dilakukan di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul pada 29 April 2011.

Pada 21 Ogos lepas, negara sekali lagi dikejutkan dengan mubahalah yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak di Masjid Kampung Baru dalam rangka membersihkan nama beliau dan keluarganya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. “Sejak aku diamanahkan memimpin negara Malaysia ini, aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya, bahawa dana sebanyak RM42 juta itu datang dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung…sekiranya aku berdusta atas sumpahku, maka ya Allah halallah laknat-Mu ke atas diriku.” Itulah antara kandungan sumpah Najib.

Di sebalik mubahalah yang dilakukan oleh Najib, dua hari selepasnya Mahkamah Persekutuan menolak rayuan beliau dengan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta ke atasnya. Bekas Perdana Menteri itu akhirnya dihantar ke penjara. Begitulah berakhirnya episod perjuangan Najib dalam mempertahankan dirinya dalam sebuah skandal penyelewengan berskala dunia, dan begitulah ketentuan Allah terhadap seorang yang pernah berada di puncak kuasa, yang akhirnya terpaksa meringkuk dalam penjara. Benarlah firman Allah: “Katakanlah, “Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu” [TMQ Ali Imran (3): 26].

Mubahalah Dalam Islam

Al-mubahalah [المباهلة] adalah turunan dari kata al-bahl [البَهْل] yang bererti “laknat”. Dalam Lisan al-Arab dinyatakan,

البَهْل: اللعن، وبَهَله الله بَهْلاً أي: لعنه، وباهل القوم بعضهم بعضاً وتباهلوا وابتهلوا: تلاعنوا، والمباهلة: الملاعنة

Al-bahl ertinya laknat. Kalimat ‘bahalahullah bahlan’ ertinya Allah melaknatnya. Kalimat ‘baahala al-qaumu ba’dhuhum ba’dhan ertinya saling melaknat satu sama lain. Al-mubahalah bererti al-mula’anah (saling melaknat). [Lisan al-Arab, 11/71]

Selain pengertian dan hakikatnya sebagai sumpah untuk saling melaknati, mubahalah adalah termasuk salah satu uslub (cara) dakwah yang disebutkan di dalam Al-Quran, dan ia hanya dilakukan sekali sahaja oleh Nabi (saw). Uslub ini digunakan untuk melawan orang kafir (Ahli Kitab atau Musyrik) yang bersikap sombong, dengan tidak mahu menerima kebenaran padahal telah disampaikan dalil-dalil dan hujah yang sangat jelas, yang menunjukkan kesesatan dan kesalahan mereka, namun mereka tetap tidak mahu keluar daripadanya. Firman Allah (swt):

“Sesungguhnya misal (penciptaan) Isa di sisi Allah, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah” (seorang manusia), maka jadilah ia. (Apa yang telah Kami ceritakan itu), itulah yang hak, yang datang dari Tuhanmu, karena itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu. Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta” [Ali Imran (3): 59-61].

Berdasarkan ayat ini dan berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah (saw), dapat difahami mengenai pengertian mubahalah. Ia berlaku di antara dua pihak yang berselisih yang masing-masing mendakwa bahawa mereka di pihak yang benar, dan lawan mereka di pihak yang salah. Lalu keduanya berdoa kepada Allah (swt) dengan sungguh-sungguh agar Allah (swt) menimpakan laknat-Nya kepada siapa yang berdusta di antara mereka, kerana salah satu pihak adalah pendusta secara pasti.

Jika kita melihat kepada asbab an-nuzul (sebab turunnya) ayat tentang mubahalah ini, ia berpunca daripada kesombongan kaum Nasrani yang tidak mahu menerima kebenaran tentang hakikat penciptaan Nabi Isa (as). Mereka melontarkan pelbagai kesesatan dan dusta ke atas Nabi Isa (as). Lalu Allah (swt) memerintahkan kepada Rasulullah (saw) agar melakukan mubahalah (dengan Nasrani Najran pada waktu itu) bagi menentukan siapakah yang benar dengan masing-masing berdoa kepada Allah agar melaknat diri masing-masing jika mereka berdusta.

Sesungguhnya kaum Nasrani itu telah pun dijelaskan tentang kebenaran mengenai Nabi Isa (as), namun mereka tidak mahu menerimanya. Mereka bukan sekadar menyombongkan diri daripada kebenaran, tetapi terus menyebarkan pendustaan dan syubhat mengenai Nabi Isa (as) kepada masyarakat. Dengan perintah Allah (swt), Rasulullah (saw) lalu mengajak mereka untuk bermubahalah.

Bagaimanapun, kaum Nasrani Najran telah menolak mubahalah dan ternyata mereka takut untuk melakukannya. Sekiranya orang-orang Nasrani itu meyakini apa yang mereka katakan tentang Nabi Isa (as) adalah benar, bahawa Isa (as) bukanlah seorang hamba (manusia), tetapi Tuhan di sisi-Nya, nescaya mereka akan menerima mubahalah itu. Itu merupakan bukti nyata pendustaan mereka, jika kaum tersebut dan anak-cucu mereka berakal!

“Salah Guna” Mubahalah

Melalui perintah Allah, dan dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah, maka sememangnya diperbolehkan bagi seseorang Muslim untuk melakukan mubahalah. Namun demikian, ia bukannya boleh dilakukan secara sembarangan mengikut kepentingan dan kehendak kita, sebaliknya perlu memenuhi “syarat” sebagaimana yang terdapat di dalam Al-Quran itu sendiri. Antaranya:

Pertama: Mubahalah dilakukan dengan orang-orang kafir dan dalam persoalan akidah. Tidak pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah melakukan mubahalah sesama Muslim. Juga tidak pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah melakukan mubahalah dengan orang-orang kafir dalam persoalan hukum syarak, walaupun orang-orang kafir tidak bersetuju atau menolak hukum syarak. Persoalan Isa sebagai hamba atau sebagai Tuhan merupakan persoalan akidah, dan dalam hal inilah (akidah) Rasulullah diperintahkan untuk bermubahalah.

Kedua: Mubahalah hendaklah dilakukan di antara dua pihak, yang masing-masing merasakan mereka benar, sedangkan hakikatnya salah satu pihak adalah berdusta. Tidak dinamakan mubahalah jika ia hanya dilakukan oleh satu pihak, kerana maksud mubahalah itu sendiri ialah mula’anah (saling melaknat di antara dua pihak).

Ketiga: Dalam mubahalah, setiap pihak bukan sahaja perlu hadir dan berhadapan antara satu sama lain, tetapi hendaklah memanggil anak-anak dan isteri-isteri masing-masing, serta melakukan sumpah dengan sungguh-sungguh bahawa laknat Allah akan menimpa diri masing-masing jika mereka berdusta.

Keempat: Mubahalah tidak digunakan dalam perundangan atau peradilan Islam. Dengan kata lain, mubahalah tidak digunakan dalam proses mahkamah, sama ada untuk menafikan penglibatan diri dalam sesuatu kes / jenayah atau untuk membersihkan nama daripada sebarang pertuduhan di mahkamah. Tidak wujud dalam kamus perundangan Islam mengenai kebolehan mubahalah untuk menafikan seseorang itu mencuri, merompak, membunuh, berzina, melakukan rasuah, penyelewengan, makan riba, berjudi dan sebagainya.

Kelima: Mubahalah dilakukan setelah sebelumnya masing-masing pihak (khususnya pihak yang benar) telah mengemukakan hujah dan bukti yang jelas lagi nyata, malah telah menasihati dan memberikan peringatan kepada pihak lawan, namun ternyata semua hujah, bukti, nasihat serta peringatan tersebut tidak diendah sedikit pun oleh pihak lawan.

Demikianlah di antara “syarat-syarat” yang boleh difahami daripada Al-Quran itu sendiri, dan daripada apa yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) tatkala turunnya perintah mengajak Nasrani Najran untuk bermubahalah. Terdapat beberapa lagi syarat lain lagi yang dibincangkan oleh para ulama dalam isu ini.

Apa yang jelas, mubahalah bukanlah dilakukan untuk tujuan politik atau untuk meraih simpati dengan apa yang menimpa diri seseorang. Seseorang yang melakukan mubahalah juga tidak secara automatik menunjukkan bahawa dirinya benar. Contohnya jika ada kaum Nasrani yang sanggup bermubahalah untuk menyatakan bahawa Isa adalah Tuhan di sisi-Nya, hal ini tidak secara automatik membuktikan yang mereka adalah benar. Apa yang pasti ialah, dalam mubahalah mereka bersumpah agar laknat Allah akan menimpa mereka jika mereka berdusta, dan laknat Allah itu boleh tertimpa ke atas mereka dalam apa jua bentuk, dan jika tidak didunia, sudah pasti di akhirat, atas kedustaan mereka itu.

Oleh kerana mubahalah tidak terdapat dalam perundangan Islam, atau dengan kata lain tidak termasuk dalam ahkam al-bayyinat (hukum-hukum pembuktian), maka sekiranya seseorang yang sedang berhadapan dengan kes mahkamah melakukan mubahalah, atau melakukan apa-apa sumpah di luar mahkamah dengan menyatakan bahawa ia tidak bersalah, maka sumpah seperti ini tidak ada nilainya sedikit pun di sisi qadhi (hakim) mahupun di sisi syarak.

Menurut ahkam al-bayyinat dalam Islam, sumpah yang diambil kira (diterima) ialah sumpah yang dilakukan oleh pihak yang mendakwa mahupun yang terdakwa, dalam sebuah sidang pengadilan, yakni di hadapan qadhi yang sedang mengadili kes tersebut. Orang yang mendakwa boleh melakukan sumpah jika ia tidak mempunyai cukup saksi, dalam rangka untuk memperkuatkan pembuktiannya.

Manakala bagi yang terdakwa, ia boleh melakukan sumpah untuk menafikan dakwaan ke atasnya. Sumpah penafian ini boleh diterima oleh qadhi dalam keadaan sekiranya si pendakwa tidak mempunyai saksi atau bukti untuk membuktikan dakwaannya. Namun, dalam keadaan adanya saksi atau bukti yang mencukupi yang telah meletakkan qadhi dalam keadaan ala ghalabati dzan (melangkaui keraguan yang munasabah), maka qadhi hendaklah menerima kesaksian dan  pembuktian daripada pihak yang mendakwa.

Tambahan lagi, sumpah orang yang terdakwa hanya dilakukan jika qadhi memintanya untuk berbuat demikian, dan ia dilakukan berdasarkan niat orang yang meminta (qadhi), bukannya berdasarkan niat orang yang bersumpah. Sabda Rasulullah (saw): “Sumpah itu wajib didasarkan pada niat orang yang meminta” [HR Muslim]. Begitulah sekilas fakta mengenai kedudukan sumpah dalam perundangan Islam.

Khatimah

Sungguh ajaib dengan para penguasa kaum Muslimin hari ini! Mereka “pandai” merujuk salah satu ayat daripada Al-Quran untuk melakukan sumpah di saat mereka sudah tidak lagi mempunyai kuasa, dan di saat tenggorok mereka sudah terseksa. Pada masa berkuasa, tidak pula mereka merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran yang begitu banyak memerintahkan mereka untuk menerapkan hukum Allah, menunaikan amanah, bertakwa dan menjauhi segala keharaman. Sesungguhnya sumpah bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main, apatah lagi jika dijadikan sebagai “perisai politik”. Firman Allah (swt):

“Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan” [TMQ al-Mujadilah (58):16].

 

Download PDF