SN617 – Memanifestasikan Kerinduan dan Kecintaan Terhadap Rasulullah (Saw) dengan Meneladani Kepemimpinan Baginda (Saw)
Bil: SN617 – 24 Rabi’ulawal 1444 / 24 Oktober 2022
Saban tahun, ketibaan bulan Rabi’ul Awwal pastinya menggamit kerinduan umat Islam terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad (saw). Hal ini kerana pada bulan ini Rasulullah (saw) dilahirkan, pada bulan ini jugalah baginda (saw) wafat. Kerinduan ini dizahirkan oleh umat Islam dengan memperingati Maulidur Rasul (saw) yang disulami alunan selawat ke atas baginda (saw) di segenap pelusuk negara, baik di kampung mahupun di kota. Tidak kurang juga yang menganjurkan perhimpunan dan perarakan bagi memperingati peristiwa mulia ini. Semua ini semata-mata atas kecintaan dan kerinduan umat ini kepada baginda (saw).
Kewajipan Meneladani Rasulullah (Saw)
Allah (swt) telah memuji kemuliaan keperibadian Rasulullah (saw) melalui firman-Nya;
وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ
“Kami telah meninggikan bagimu sebutan (nama)-mu” [TMQ al-Insyirah (94): 4].
Sayyid Qutb menukilkan dalam tafsir beliau, Fi Zilal al-Quran ketika mentafsirkan firman Allah SWT tersebut: “Kami telah meninggikan sebutan namamu di alam yang tinggi. Kami telah meninggikan sebutan namamu di muka bumi. Kami telah meninggikan sebutan namamu di alam semesta ini. Kami meninggikannya setiap kali bibir manusia mengucapkan kalimat ‘La ilaha illa Allah’, Muhammad Rasulullah.’ Tidak ada lagi di atasnya kedudukan setinggi itu. Ini adalah kedudukan yang hanya dimiliki Rasulullah (saw). Tiada seorang manusia pun selain baginda yang memiliki kedudukan tersebut di seluruh alam ini” [Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/688].
Rasulullah (saw) adalah satu-satunya insan yang wajib diteladani dalam semua hal; baik sebagai ahli ibadah, sosok yang berakhlak mulia, suami yang lemah-lembut, bapa dan datuk mithali, panglima perang, serta sebagai ketua negara yang terulung.
Allah (swt) berfirman:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” [TMQ al-Ahzab (33): 21].
Setiap individu Muslim juga wajib taat sepenuhnya kepada Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw). Firman Allah (swt):
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan” [TMQ an-Nur (24): 51].
Tauladan dalam Kepemimpinan Baginda (saw)
Kepemimpinan Rasulullah (saw) ke atas umat manusia merupakan salah satu sunnah yang wajib diteladani oleh umat baginda (saw). Rasulullah (saw) bukan sekadar seorang pemimpin spiritual tanpa kekuasaan, sebagaimana Paus di Kota Vatikan, bahkan baginda (saw) merupakan seorang ketua negara Islam pertama. Rasulullah (saw) telah menyusun Piagam Madinah yang mengatur tatanan warga Madinah al-Munawwarah. Baginda (saw) kemudiannya melantik para wali (gabenor) dan hakim. Baginda (saw) memimpin dan mengerahkan pasukan tentera serta melantik para komandan perang. Baginda (saw) turut mengatur hal ehwal perekonomian. Di samping itu, Rasulullah (saw) juga mengirim para utusan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada kabilah-kabilah Arab, selain daripada mengutus mereka untuk berdakwah kepada kerajaan Rom dan Parsi.
Rasulullah (saw) juga ternyata merupakan seorang pemimpin negara yang berwibawa. Ketika kewafatan baginda (saw), liputan kekuasaan Islam telah menaungi seluruh Jazirah Arab. Jumlah penganut Islam juga semakin meningkat. Pengaruh Islam yang baginda (saw) bawa juga terus tersebar meluas dan berkembang dengan pesat.
Maka, tidak menghairankan jika kepemimpinan Rasulullah (saw) mengundang pujian daripada pelbagai cendekiawan dan orientalis Barat. Antaranya termasuklah Dr. Zuwaimer, seorang orientalis dari Kanada yang menganggap baginda (saw) sebagai seorang pemimpin agama, reformis dan pemikir agung, yang kebenarannya tertulis di dalam al-Quran.
Ciri-ciri Kepemimpinan Agung Rasulullah (Saw)
Pertama, Rasulullah (saw) menerapkan syariah Islam secara menyeluruh – tidak ada satu pun perintah atau larangan Allah (swt) yang ditangguhkan, apatah lagi ditinggalkan. Rasullullah (saw) juga tidak pernah menerapkan hukum selain syariat Islam dalam menjalankan pemerintahan. Baginda tidak pernah berkompromi dalam menerapkan hukum Allah (swt), sejajar dengan perintah-Nya;
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu” [TMQ al-Maidah (5): 49].
Kedua, Rasulullah (saw) menerapkan hukum secara adil. Tidak ada sedikitpun kelebihan mahupun keistimewaan hukum walaupun terhadap keluarga baginda (saw) sendiri. Baginda tanpa sebarang keraguan akan menjatuhkan hukuman hatta ke atas puteri kesayangan baginda (saw) sendiri, Fatimah (r.anha), sebagaimana sabda nabi (saw);
وَايْمُ اللهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
“Demi Allah, sungguh andai Fatimah binti Muhammad mencuri, aku sendiri yang akan memotong tangannya” [HR Bukhari].
Keadilan sebeginilah yang menjamin tertegaknya pemerintahan dan hukum di tengah-tengah masyarakat. Kepercayaan rakyat pada ketinggian hukum menjadi kukuh kerana pemerintah melaksanakan hukum kepada sesiapa sahaja yang disabitkan bersalah tanpa sebarang pengecualian mahupun pilih kasih.
Ketiga, Rasulullah (saw) sentiasa prihatin dan melayani kepentingan rakyat. Antara bukti keprihatinan Rasulullah (saw) apabila baginda memerintahkan Baitul Mal untuk melunasi hutang kaum fakir-miskin. Inilah pendapat yang disampaikan Imam al-Qurthubi dalam tafsir beliau ketika menjelaskan firman Allah (swt):
ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ
“Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri;” [TMQ al-Ahzab (33): 6].
Rasulullah (saw) juga bersabda;
أَنَا أَوْلَى بِالْمؤمنينَ مِنْ أَنْفُسِهِم، فَمَنْ تُوُفِّيَ وَ عَليْهِ دَيْنٌ فَعَليَّ قَضَاؤُهُ
“Aku lebih berhak atas orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri. Maka barang siapa meninggal sedang ia mempunyai hutang, maka akulah yang melunasinya” [HR Ibnu Majah].
Rasulullah (saw) juga menyediakan pekerjaan untuk umat baginda (saw). Ibnu Majah meriwayatkan bahawa nabi (saw) pernah membantu seorang lelaki dengan cara menggadaikan barang-barang baginda (saw) sehingga terjual dua dirham. Satu dirham digunakan untuk memenuhi nafkah keluarga lelaki tersebut. Satu dirham lagi diberikan kepada lelaki tersebut untuk membeli kapak sehingga ia berhasil mendapatkan keuntungan sepuluh dirham buat keluarganya.
Keempat, Rasulullah (saw) memelihara masyarakat agar tidak terjadi penyelewengan seperti penipuan dalam perniagaan, penindasan, dan lain-lain. Nabi (saw) pernah mendapati seorang peniaga yang mencampur makanan yang kering dan basah akibat terkena air hujan. Lalu baginda (saw) memerintahkan peniaga tersebut untuk meletakkan makanan basah itu di tempat yang mudah dilihat orang ramai. Baginda seraya menegur peniaga tersebut:
مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
“Siapa sahaja yang menipu maka dia bukan dari golonganku” [HR Muslim].
Kelima, Rasulullah (saw) memimpin pengadilan dan mengatur tatatertib pengadilan bagi para hakim. Maka, pengadilan dapat berjalan dengan adil tanpa menzalimi sesiapapun. Baginda (saw) bersabda:
لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، وَلَكِنِ الْبَيِّنَةُ عَلَـى الْـمُدَّعِيْ، وَالْيَمِيْنُ عَلَـى مَنْ أَنْكَرَ
“Sekiranya seseorang diberi peluang dengan dakwaan mereka, tentu ramai yang mendakwa terhadap harta orang lain dan darah mereka, tetapi bukti ke atas orang yang mendakwa, dan sumpah ke atas orang yang membantah” [HR al-Baihaqi].
Keenam, Rasulullah (saw) melindungi ahlu dzimmah (non-muslim) daripada sebarang kezaliman. Baginda (saw) membenarkan mereka melaksanakan ibadah, urusan makan-minum, dan pernikahan mengikut ajaran agama mereka. Baginda (saw) bersabda:
أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهَدًا، أَوِ انْتَقَصَهُ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيْبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيْجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Ingatlah, siapa saja yang menzalimi, merendahkan dan membebani seorang kafir mu’ahad melebihi kemampuannya, atau mengambil sesuatu daripada dirinya tanpa keredhaannya, maka aku menjadi lawannya pada Hari Kiamat” [HR Abu Daud].
Ketujuh, Nabi (saw) melindungi Islam dan kaum Muslimin daripada sebarang gangguan. Baginda (saw) memerangi dan mengusir Yahudi Bani Qainuqa’ setelah mereka mencemari kehormatan seorang Muslimah dan membunuh seorang pedagang Muslim. Rasulullah (saw) juga mengusir Yahudi Bani Quraizhah kerana mereka bersekongkol dengan kaum Quraisy yang menyerang kaum Muslimin (melanggar perjanjian damai yang telah dimeterai).
Kelapan, Rasulullah (saw) mengutus delegasi untuk bertemu pelbagai kabilah dan kerajaan untuk mendakwahkan Islam kepada mereka. Baginda (saw) juga memimpin jihad dalam rangka menyebarkan Islam atau mengirim saraya (pasukan yang dipimpin para Sahabat) untuk berjihad.
Khatimah
Demikianlah kepemimpinan Rasulullah (saw) yang sewajarnya diteladani oleh umat Islam pada hari ini. Kepemimpinan baginda (saw) berlandaskan akidah Islam, menegakkan hukum-hukum Allah dan menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia. Bukan kepemimpinan sekular yang mengabaikan hukum Islam dan tunduk pada konsep politik trias politica (demokrasi) yang terbukti memberi kesengsaraan pada rakyat. Apatah lagi kepimpinan para elit politik dan individu berkepentingan yang menyalahgunakan kepimpinan untuk kepentingan hawa nafsu mereka.
Sudah tiba masanya juga bagi umat ini selaku umat Muhammad (saw) untuk memanifestasikan kecintaan kita kepada baginda (saw) dengan kembali mengamalkan sunnah terbesar yang telah sekian lama dipinggirkan; iaitu menerapkan sistem pemerintahan yang dirintis oleh baginda (saw). Hanya dengan berbuat demikian, barulah Islam yang diturunkan melalui junjungan mulia Rasulullah (saw) dapat diterapkan secara kaffah merangkumi segenap aspek kehidupan.
Wallahu a’lam.
[Diadaptasi daripada Buletin Kaffah Edisi 263: Meneladani Kepemimpinan Nabi Muhammad saw]
PRU-15 PEMILIHAN DALAM PERPECAHAN
Akhirnya tarikh yang ditunggu-tunggu telah diumumkan. Rakyat Malaysia akan keluar mengundi sempena Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) pada 19hb November 2022. Sejak mula diumumkan tarikh PRU15, media massa mula sibuk menjalankan tugas untuk meraikan PRU15 dengan menyiarkan pelbagai rancangan dan ruangan untuk mengupas dan membahaskan pendapat tentang PRU15 dan hala tuju politik negara selepas PRU15. Semuanya di dalam usaha untuk membina dan menghangatkan suasana sehingga rakyat akan terpancing untuk menjayakan PRU15 kali ini.
Ada yang mengharapkan PRU15 kali ini dapat mengembalikan kestabilan politik dan memulihkan ekonomi negara serta menyatukan kembali umat Islam tetapi pada hakikatnya, belum pun PRU15 dilaksanakan, kita telah menyaksikan sejarah perpecahan terbesar di kalangan umat Islam di Malaysia. Ia melibatkan banyak parti yang baru ditubuhkan oleh orang melayu yang samada bersaing sesama mereka atau bergabung tatkala suatu kesepakatan manfaat boleh dicapai. Walaupun ada yang mengatakan perpecahan itu adalah atas asas prinsip dan keadilan namun hakikatnya ia tetap perpecahan. Umat Islam akan terus bertelagah sesama sendiri, masyarakat akan kekal terpecah belah dan aspirasi untuk mencapai kestabilan politik mungkin hanya tinggal impian. Sebenarnya, inilah yang diinginkan oleh pihak kuffar Barat – agar umat Islam terus berpecah dan kekal tidak bersatu, menjadi lemah dan mudah diperkotak-katikkan. Hal ini berlaku di hadapan mata kita. Umat Islam bukan sahaja berpecah secara global malah di dalam negara sendiri, kita tidak bersatu.
Islam mewajibkan umatnya bersatu bukan sahaja di dalam hal aqidah, kerohanian dan kebajikan, tetapi juga di dalam politik. Ia hanya akan dapat dicapai apabila seluruh umat Islam kembali menjadikan Islam sebagai satu-satunya asas di dalam kehidupan mereka. Namun, apabila Islam tidak dijadikan asas bagi setiap urusan kehidupan, maka manfaatlah menjadi galang gantinya. Di dalam hal ini, seperti halnya yang berlaku pada PRU yang lepas, para politikus hanya menjadikan manfaat sebagai asas persaingan sesama mereka. Mungkin ada segelintir yang ikhlas dan jujur untuk berkhidmat kepada rakyat namun umumnya, manfaatlah, tidak kira untuk diri sendiri mahupun parti, yang ingin diraih di dalam PRU15 kali ini.