Bagaimana memilih pemimpin – Pemimpin yang menjaga kepentingan rakyat (Siri 3)
Belum pun PRU15 berlaku, pelbagai masalah dan cabaran sedang dihadapi oleh rakyat. Seluruh dunia telah dilanda COVID-19 dan tidak terkecuali Malaysia yang menyebabkan ramai masih berada di dalam kesusahan dan ada yang telah kehilangan orang tersayang akibat jangkitan COVID-19, kehilangan pekerjaan, kehilangan sumber sara hidup dan bermacam-macam lagi. Kita tentu masih ingat peristiwa yang dilalui oleh masyarakat di Lembah Klang pada Disember 2021 yang telah mengalami banjir besar dan menyebabkan kerugian yang berjumlah RM6.1 bilion seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan dalam Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia pada 2021. Selepas itu, rakyat menghadapi kekurangan bekalan makanan seperti telur, ayam dan macam-macam lagi dan kos sara hidup telah meningkat disebabkan masalah inflasi pada kadar 4.5% (September 2022). Bukan itu sahaja, sejak itu, peningkatan kos pendidikan telah mengakibatkan ramai di kalangan rakyat keciciran terutamanya golongan B40. Lebih membebankan lagi adalah hutang isi rumah yang tinggi sentiasa membelenggu masyarakat tanpa henti.
PRU15 kali ini juga dijangka berlaku pada musim tengkujuh. Ramai rakyat memandang keputusan mengadakan PRU15 dengan tergesa-gesa kerana para pemimpin tertentu takut dengan kes mahkamah mereka dan menggunakan alasan ‘demi rakyat’ dalam menyegerakannya. Kali ini, seramai 10.6 juta pengundi muda berusia dari 18 hingga 39 atau 50.4% daripada jumlah 21 juta ini dijangka akan menentukan kerajaan yang bakal memerintah kelak. Kebanyakan adalah mereka yang pertama kali mengundi dan tertanya-tanya siapakah pemimpin yang layak untuk mereka undi.
Pemimpin yang layak dan terbaik adalah yang menjadikan Rasulullah (saw) sebagai suri tauladan dalam kepimpinan mereka. Pemimpin ini mempunyai cita-cita melaksanakan Islam, sentiasa mengharapkan keredaan Allah (swt) dan memiliki sikap tanggungjawab besar terhadap kepimpinannya. Pemimpin sebegini sentiasa memerhatikan permasalahan dan menjaga kepentingan rakyat menurut hukum syarak. Adakah pemimpin sebegini wujud dari kalangan yang akan menjadi calon PRU15?
Rasulullah (saw) bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawaban ke atas kepemimpinannya. Seorang penguasa adalah pemimpin bagi rakyatnya dan bertanggungjawab ke atas mereka. Seorang isteri adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan bertanggungjawab ke atasnya. Seorang hamba adalah penjaga bagi harta tuannya dan dia bertanggungjawab ke atasnya” [HR Bukhari].
Rasulullah (saw) bersabda lagi yang maksudnya: “Pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, tetapi tidak bersungguh-sungguh memerhatikan kepentingan kaumnya (rakyatnya), tidak nasihat menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak dia tidak dapat masuk syurga bersama-sama mereka” [HR Bukhari & Muslim].
Demikianlah betapa besar dan beratnya tanggungjawab seorang pemimpin yang diamanahkan Allah (saw) kepadanya kuasa kepemimpinan untuk menerajui rakyat ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang sentiasa berkhidmat dan berkorban demi kepentingan rakyat yang dipimpinnya dan tidak akan sekali-kali mengutamakan kepentingan dirinya, keluarganya mahu pun kerabat terdekatnya.
Rasulullah (saw) sendiri adalah seorang pemimpin yang amat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya dan baginda sanggup berkorban demi kesejahteraan rakyatnya. Pernah satu hari, Saidatina Aisyah (r.anha) kebingungan untuk menyediakan hidangan makanan untuk dimakan bersama baginda. Di dapur tidak ada apa-apa bahan yang boleh dimasaknya kecuali segenggam gandum. Akhirnya, gandum yang sedikit itulah yang dimasaknya untuk hidangan bersama Rasulullah. Tatkala Rasulullah hendak makan, tiba-tiba dari depan pintu rumahnya datang seorang mengucapkan salam, iaitu seorang lelaki yang kurus kering tubuhnya dan pakaiannya nampak lusuh.
Aishah tidak senang hati apabila Rasulullah menyerahkan sekeping roti bakar yang pada awalnya adalah makanan mereka berdua. Baginda menjawab: “Wahai isteriku! Aku adalah pemimpin rakyatku. Kewajipanku adalah memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada mereka. Ingatlah, bagaimana aku harus menjawab apabila kelak Allah bertanya kepadaku: Wahai Muhammad! Mana tanggungjawabmu sebagai pemimpin? Mengapa rakyatmu kelaparan sedangkan perutmu selalu kenyang?”
Hadis Rasulullah (saw) lagi, daripada Ma’qil bin Yasar al-Muzani (ra) yang mengatakan bahawa sesungguhnya aku mendengar Rasulullah (saw) bersabda: “Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga” [Sahih Muslim].
Imam Nawawi menjelaskan makna menipu adalah “(Iaitu mereka) tidak mengambil berat tentang perundangan Islam, atau mengabaikan hak-hak orang Islam, atau tidak memelihara keselamatan mereka, dan tidak bersungguh menentang musuh Islam, atau meninggalkan kepimpinan yang adil; lalu ini semua termasuk dalam apa yang dikatakan sebagai pemimpin yang menipu kaum muslimin” [al-Nawawi, Syarh Muslim].
Rasulullah (saw) juga memerintahkan Baitul Mal untuk melunasi hutang kaum fakir-miskin serta memberikan mereka kecukupan untuk keperluan hidup. Ini sangat berbeza dengan hari ini. Ideologi kapitalisme-demokrasi yang dilaksanakan sebagai tunjang kepada pemerintahan hari ini telah gagal dalam segenap aspek. Walaupun ada pemimpin yang sensitif dengan masalah rakyat, namun menjanjikan dan mengambil peraturan penyelesaian masalah selain daripada hukum syariah. Akibatnya, masalah kehidupan rakyat tidak pernah selesai. Di samping itu, para pemimpin ini ketika berkempen,terus memburukkan lawannya dengan menggunakan agenda pembunuhan karakter. Amat sukar menemui pemimpin yang menjanjikan penegakan Islam dalam manifesto mereka apatah lagi melaksanakan Islam secara kaffah apabila terpilih kelak.
Wahai umat Islam yang akan mengundi, bukan pemimpin yang menjanjikan bulan bintang yang seharusnya dipilih. Bukan juga pemimpin yang apabila mereka menang, hak dan tanggungjawab terhadap rakyat diabaikan atau pemimpin yang prihatin terhadap masalah rakyat tetapi menjanjikan penyelesaian yang bukan dari hukum syarak. Pemimpin yang wajar dipilih adalah dari kalangan mereka yang memahami punca permasalahan sebenar hari ini – tidak tegaknya Islam sebagai ideologi dan tiada nya pemerintahan Khilafah Islam. Khalifah yang ikhlas akan menggunakan hukum syarak sebagai penyelesaian dalam membantu, memerhati, memimpin dan menjaga kepentingan rakyatnya dengan cara yang betul.