Perangkap Retorika Politik
Walaupun kerajaan baru telah mula menjalankan tugas, kita masih lagi mendengar suara-suara tidak puashati, saling tuduh menuduh bahkan ada yang terus-menerus melancarkan berbagai kempen, propaganda dan perang siber di kalangan ahli politik kerajaan dan pembangkang. Ini menggambarkan seolah-olah usaha untuk merebut kekuasaan masih lagi berlaku. Ini tidak akan berhenti sehingga salah satu pihak berjaya mengalahkan kelompok satu lagi. Bahkan, walaupun kedudukan Perdana Menteri dikatakan telah mendapat sokongan undi percaya melalui suara ahli Parlimen, masih terdengar suara nakal yang cuba mempertikai keabsahan kedudukan PM-10.
Hal ini tidaklah menghairankan selagi ada di kalangan rakyat yang merasa tertipu kerana mereka langsung tidak pernah terfikir bahawa parti yang memperjuangkan amalan anti-rasuah, anti-korupsi dan memperjuangkan keadilan rela memberikan jawatan penting kerajaan kepada golongan ahli politik yang terpalit dengan berbagai kes mahkamah. Rakyat yang cintakan idealisme dan aspirasi kepimpinan yang suci dan bersih merasa tertipu. Inilah yang memberikan momentum kepada kempen dan propaganda blok pembangkang. Ini sudah tentu menjadikan ahli politik blok kerajaan tidak senang duduk, mereka perlu memberikan justifikasi bagi setiap tindakan dan keputusan yang diambil, melalui berbagai istilah lunak. Inilah kelebihan ahli politik, mereka mampu menguasai retorika politik yang digunakan untuk ‘memerangkap’ pendengar agar merasa yakin dengan apa yang diucapkan. Melalui retorika politik, hal yang kecil boleh diperbesarkan, ahli politik yang kotor boleh ‘dibersihkan’, keresahan kesempitan hidup boleh ‘ditenangkan’ dan pelbagai lagi pandangan yang boleh diolah untuk disesuaikan dengan keperluan semasa. Pelbagai istilah dan alasan digunakan sebagai bagai justifikasi atas apa juga keputusan yang diambil – demi kepentingan parti masing-masing.
Retorika merupakan seni berbicara dalam berkomunikasi. Apabila seni ini diamalkan di dalam politik, kita dapati ia sangat banyak digunakan untuk mendapatkan perhatian dan keyakinan penyokong politik. Penggunaan susunan kata yang menyakinkan tanpa dapat dipastikan kebenarannya sentiasa dimainkan terutama dalam memperoleh keyakinan rakyat. Kehidupan masyarakat seharusnya menjadikan pemikiran Islam sebagai asas utama. Retorika politik hanyalah alat komunikasi para politikus; jika asas politiknya adalah kebenaran Islam, maka retorika politiknya akan memberi penjelasan yang baik tentang Islam dan mengajak umat untuk mengambil Islam sebagai satu-satunya kaedah penyelesaian bagi semua perkara dan segenap masalah kehidupan. Pemikiran tentang hukum Islam akan menjadi modal untuk seseorang ahli politik itu menggunakan retorika politik dengan yakin dan benar. Umat Islam harus sentiasa memerhatikan retorika para politikus samada ia berlandaskan kebenaran atau hanya ilusi dan penipuan yang bertujuan untuk meraih kepentingan diri dan parti. Caranya adalah dengan menilai samada ia bersandar kepada kebenaran Islam atau tidak. Tanpa pemerhatian yang benar ini umat akan dengan mudah terjerumus dalam perangkap retorika politik yang penuh tipu daya.