Ketamakan Pemimpin Punca Politik Malaysia Tidak Stabil
Oleh : Amani Mohamed
Malaysia mengalami krisis politik yang panjang sejak tahun 2018. Sejarah baru Malaysia tercatat bila 4 orang Perdana Menteri bertukar dalam tempoh 4 tahun. Setiap kali bertukarnya PM, berubah juga halatuju negara. Namun, masalah rakyat tidak pernah menemui penyelesaian. Kos sara hidup meningkat, angka pengangguran bertambah, kebejatan akhlak semakin serius, keruntuhan institusi keluarga dan sebagainya. Sistem kapitalisme-demokrasi membuatkan politikus menjadi rakus. Siang malam mereka bekerja keras mencari rakan bagi sama-sama menggulingkan pemimpin sedia ada. Sokongan tentunya berpihak kepada jagoh yang memberikan manfaat duniawi terbesar. Ramai ahli parlimen sanggup bertukar parti demi untuk meraih kuasa melalui prinsip ‘majoriti-rule’. Langkah ini kononnya akan membentuk kerajaan yang lebih stabil bagi meyakinkan para pelabur asing dan seterusnya meneguhkan ekonomi negara.
Bagi yang tersungkur dari persaingan merebut jawatan, satu per satu kejahatan lamanya disingkap. Tentunya yang paling ketara adalah menerima dan memberi rasuah. Jumlah rasuah dan penyelewengan dana bukanlah ratusan ringgit, tetapi mencecah angka bilion. Menurut laporan Global Financial Integrity pada 2017, Malaysia dianggarkan mengalami kerugian antara RM40 hingga RM60 bilion setahun akibat amalan rasuah, tidak berintegriti, konflik kepentingan diri serta tidak berlakunya ketelusan di dalam pengurusan negara. Tidak hairanlah rakyat saban hari dicengkam penderitaan, tetapi pemimpin dan kroninya mengaut segala yang ada termasuklah harta milik umum dan harta negara.
Ini amat bertolak belakang dengan kisah seorang gabenor di Damsyik ketika pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab. Namanya Said bin Amir. Rakyatnya mengadu kepada Khalifah Umar bahawa Said adalah gabenor yang baik tetapi selalu mengambil cuti dua hari dalam sebulan. Apabila ditanya, Said menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, walaupun aku Gabenor di Damsyik tetapi pakaianku hanya dua helai. Ada ketikanya aku terpaksa mencuci kedua-duanya dan mengambil masa untuk kering. Maka, aku tiada pakaian lain yang sesuai untuk aku bekerja.” Menangis Umar mendengar kisahnya lalu menghulurkan sumbangan peribadi bernilai ribuan dinar. Tetapi Said terus mengagihkan kepada fakir dan miskin di wilayahnya. Beginilah contoh pemimpin bertaqwa yang amanah dan bertanggungjawab hasil penerapan Islam Kaffah oleh Khilafah Islamiyah. Ingatlah firmah Allah s.w.t yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” [TMQ An-Nisa’:58]
Rujukan:
https://www.sinarharian.com.my/article/174981/khas/rasuah-busters/bantu-negara-elak-kerugian-hingga-rm60-bilion-angkara-rasuah