Disebalik HIMPIT 2023
Tindakan sekumpulan ahli Pemuda PAS berarak membawa replika pedang, lembing dan perisai di Setiu, Terengganu baru-baru ini yang gambar dan video mengenainya tular di media sosial, dipersoalkan pelbagai pihak yang mengaitkannya dengan keganasan serta provokasi. Isu ini juga turut mendapat reaksi daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan apabila tular di media sosial, ia akan menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat. Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar juga turut mengeluarkan kenyataan bahawa perarakan dengan menggunakan simbol pahlawan Islam dengan senjata memberi gambaran tidak baik kepada agama dan negara. Beliau juga menambah bahawa semua pihak adalah bertanggungjawab untuk menyeru kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Menurut kenyataan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa, Program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) yang merupakan acara tahunan sejak tahun 1991 telah menjadi tradisi lapan Pemuda PAS kawasan. Sehubungan dengan itu, pihak polis telah menjalankan siasatan dan merampas replika senjata yang digunakan ketika perarakan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan. Selain itu, pihak polis juga pernah menjalankan siasatan dan menahan para peserta pameran cosplay sebelum ini kerana memakai pakaian military dan membawa replika senjata.
Ada beberapa persoalan yang timbul akibat dari peristiwa ini. Antaranya adalah, adakah ini merupakan sebahagian dari momentum PAS menuju PRN di mana parti ini cuba menonjolkan bahawa mereka memperjuangkan Islam dan cuba menggambarkan kerajaan Anwar pada hari ini membawa idea yang bertentangan? Kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama pula dilihat membawa imej Islam harmoni dan patuh dengan peruntukan undang-undang. Persoalannya, harmoni yang bagaimanakah menurut beliau? Apa yang boleh dilihat, naratif yang dibawa oleh Menteri Hal Ehwal Agama dalam hal ini seolah-olah menggambarkan bahawa Islam yang ‘harmonis’ hanyalah sebatas ibadah dan akhlak sedangkan hakikatnya, Islam adalah agama yang membawa seluruh aspek kehidupan (kaffah) di dalam masyarakat termasuklah pemerintahan dan jihad. Firman Allah SWT:-
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara kaffah, dan janganlah kalian mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh yang nyata bagi kalian” [TMQ al-Baqarah (2): 208].
Menurut Imam al-Qurthubi, kata “kaffah” di dalam ayat tersebut berfungsi sebagai hal (penjelasan keadaan) dari kata “al-silmi” (Islam) [Tafsir al-Qurthubi, III/18]. Ertinya, melalui ayat ini Allah (swt) menuntut orang-orang yang memeluk Islam untuk masuk ke dalam Islam secara keseluruhan, bukan sebahagian. Dengan kata lain, mereka tidak boleh memilih hukum Islam mana untuk diamalkan, kecuali wajib diamalkan semuanya. Firman Allah SWT:-
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain dari mereka yang tidak kamu ketahui sedangkan Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” [TMQ al-Anfal (8): 60]
Usaha sebegini yang melibatkan persediaan kelengkapan dan latihan ketenteraan hanya boleh dilakukan oleh negara dan bukan rakyat biasa. Namun, negara juga tidak boleh menghalang umat Islam berdakwah dan memuhasabahnya agar menerapkan ajaran Islam dan melaksanakan jihad.
Pada hari ini, dilihat terdapat pihak yang memiliki sikap Islamofobia khususnya berkaitan jihad dan sirah peperangan dan cuba memberikan naratif yang buruk mengenai Islam dan umat Islam. Hakikatnya jihad adalah ibadah yang mulia yang membawa rahmat ke sekalian alam di mana ibadah jihad ini adalah merupakan sebuah ibadah yang dapat membebaskan sesebuah negara dari diatur sistemnya berlandaskan akal manusia menuju kepada penerapan sistem yang datang dari Allah SWT. Islamofobia bukanlah hal yang baru bagi Islam dan umat Islam. Islamofobia muncul dari kebencian kaum kafir terhadap Islam dan kaum Muslimin. Kewujudan sikap Islamofobia ini sebenarnya telah ada sejak zaman Rasulullah SAW sehingga ke hari ini. Selama era Mekah (610–622 Masehi), Rasulullah SAW dan umat Islam menghadapi ujian yang begitu dahsyat daripada kaum kafir Mekah.
Islamofobia yang melanda dunia hari ini telah memberikan isyarat jelas bahawa kaum kafir tidak akan berhenti dari melakukan provokasi, menghina, menyeksa, mendiskriminasi, bahkan sampai ke peringkat membunuh umat Islam kerana kebencian mereka terhadap Islam dan umat Islam itu sendiri. Adalah menyedihkan juga apabila ada dari kalangan umat Islam sendiri yang menuturkan naratif Islamofobia demi kepentingan tertentu. Situasi getir sebegini merupakan bukti keperluan mendesak untuk segera mengembalikan Khilafah Rasyidah yang berperanan sebagai perisai umat (junnah) seperti sabda Rasulullah SAW:
”Sesungguhnya al-Imam (Khalifah) itu bagaikan perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya.” [HR. Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud]
Wallahualam.