Menyingkap Tirai Ramadhan
Berlalunya Rejab, tibanya Syaaban, dan kini Ramadhan semakin hampir membuka tirainya. Bulan yang penuh kemuliaan ini, yang di dalamnya dipenuhi barakah serta hamparan pahala serta keampunan, kini kembali menjengah kita. Pada bulan ini juga umat Islam diwajibkan untuk berpuasa, agar dengannya dapat memupuk ketakwaan kepada Allah (swt), sebagaimana firman-Nya,
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2): 183].
Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk dan bimbingan kepada umat ini dalam meniti perjalanan hidup di dunia ini. Allah (swt) berfirman;
شَهرُ رَمَضانَ الَّذي أُنزِلَ فيهِ ٱلقُرءَانُ هُدًى لِّلنّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الهُدىٰ وَالفُرقانِ ۚ
“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” [TMQ al-Baqarah (2): 185].
Maka sebagai hamba-Nya, kita tidak boleh meninggalkan al-Quran dan mengabaikan isi kandungannya. Apatah lagi dengan ketibaan bulan Ramadhan yang dirindui ini, tatkala pahala dilipatgandakan bagi mereka yang melakukan amal kebajikan. Justeru, marilah kita bersama-sama melazimi bacaan al-Quran khasnya di bulan yang mulia ini demi meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda. Daripada Ibnu Mas’ud (ra) ia berkata:
“Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan itu menyamai sepuluh pahala. Aku tidak menyatakan Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf” [HR Tirmizi].
Dalam pada itu, kita juga dituntut untuk meningkatkan lagi amalan sedekah sebagaimana sunnah junjungan mulia Rasulullah (saw) yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;
“Rasulullah (saw) adalah orang yang paling dermawan. Dan baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah (saw) melebihi angin yang berhembus” [HR Bukhari].
Menurut Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari, dijelaskan bahawa kedermawanan Rasulullah (saw) seperti angin yang berhembus memberi gambaran betapa baginda (saw) sangat ringan dan segera untuk bersedekah tanpa perlu berfikir panjang. Ia juga mengisyaratkan bahawa kedermawanan baginda (saw) juga memiliki manfaat yang besar sebagaimana angin yang bertiup membawa manfaat kepada semua.
Kita juga digalakkan untuk menyediakan makanan kepada orang yang berpuasa di saat berbuka, walau hanya dengan sebiji kurma. Sabda Rasulullah (saw);
“Siapa yang memberi makan (saat berbuka) untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang diberi makan itu tanpa dikurangi sedikit pun dari pahalanya” [HR Tirmizi].
Di bulan yang mulia ini juga, terdapat satu malam yang dikenali sebagai malam al-Qadar, yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah (saw) bersabda;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :” أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ ، فَرَضَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ ، تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ ، وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ ، وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ لِلَّهِ ، فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
“Abu Hurairah (ra) berkata: Rasulullah (saw) bersabda: Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardhukan ke atas kalian untuk berpuasa. Pintu-pintu langit telah dibuka, pintu-pintu neraka telah ditutup. Syaitan-syaitan telah dirantai kerana Allah. Padanya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan…” [HR an-Nasaie].
Nabi (saw) juga bersabda;
“Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan (pahala), diampuni dosa-dosanya yang terdahulu” [HR Bukhari].
Maka, tidak sewajarnya bagi mana-mana Muslim melepaskan peluang keemasan yang tiba setahun sekali ini untuk mengejar malam al-qadar dengan menghidupkannya bersama-sama ahli keluarga masing-masing. ‘Aisyah (ra) berkata:
“Rasulullah (saw) apabila masuk kepada sepuluh terakhir (Ramadhan), baginda (saw) akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan dengan isteri-isterinya)” [HR Muslim].
Jangan dipersiakan Ramadhan
Hadirnya Ramadhan membuka ruang yang luas untuk kita meraih sebanyak mungkin pahala yang berlipat ganda nilainya. Justeru, marilah kita mengambil kesempatan di bulan suci yang bakal berkunjung ini untuk memperbanyak amal ibadah serta mendekatkan diri kita kepada-Nya.
Jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai momentum untuk mempertingkat ibadah kita serta menyuburkan lagi ketakwaan diri masing-masing. Dalam masa yang sama perlu diingat bahawa amal ibadah itu tidak hanya dilaksanakan tatkala tibanya Ramadhan semata-mata, sebaliknya jadikanlah Ramadhan sebagai medan untuk meningkatkan lagi ketaatan kepada Allah dan Rasul – bukan hanya dalam soal ibadah mahdhah, bahkan dalam segenap aspek kehidupan.
Di samping itu, kita juga sewajarnya menginsafi dan menyedari hakikat bahawa buat ke sekian kalinya Ramadhan hadir dalam ketiadaan Khilafah Rasyidah – ibu segala kefardhuan. Sejak keruntuhannya pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924 M), umat ini dirundung pelbagai musibah dan dicengkam tatanan hidup yang dicorakkan oleh kuffar penjajah. Hukum-hakam yang berlandaskan syariah tidak dapat diterapkan secara sempurna, dan maksiat semakin berleluasa, sekali gus menimbulkan kerosakan dalam tubuh umat ini.
Dalam kita mempersiap diri untuk menyambut ketibaan Ramadhan ini, sewajarnya kita turut mengerah segenap upaya ke arah mengembalikan semula kewajipan yang telah sekian lama tidak dilaksanakan ini. Semoga dengan usaha yang terarah dan dipandu thariqah dakwah Rasulullah (saw) ini akan menatijahkan kemuliaan dan kemenangan hakiki buat umat ini, dengan izin-Nya.
Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan..sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.