Sedikit petua kejayaan di bulan Ramadhan

kejayaan-ramadhanHadirnya Ramadhan menjanjikan begitu banyak pahala, rahmat dan keampunan kepada umat Islam. Bukan sekadar itu, ganjaran bagi setiap amal kebajikan yang dilakukan di bulan ini akan dilipatgandakan oleh Allah SWT. Bahkan di bulan ini juga, terdapat malam al-Qadar, satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Kesemua ini pastinya menjadikan seseorang Muslim itu teruja untuk meraih segala kebaikan yang terhidang di hadapannya dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT, meraih redhaNya dan syurgaNya. Kesedaran seperti inilah yang perlu dimiliki oleh setiap Muslim, sehingga Muslim yang sejati pastinya tidak akan mensia-siakan sedikit pun peluang keemasan di bulan suci ini. Namun, persoalannya, apakah antara petua bagi menggapai semua kebaikan tersebut agar kita melalui Ramadhan dengan kejayaan? 

Pertama; Selain menyedari kemuliaan dan keutamaan bulan Ramadhan itu sendiri, seseorang Muslim itu perlu sedar bahawa dirinya adalah manusia yang tidak bebas dari dosa, maka dia hendaklah mempunyai keazaman yang tinggi untuk meraih segala kebaikan dan keutamaan yang terkandung dalam bulan Ramadhan sehingga dia termotivasi untuk melipat gandakan amalannya di bulan ini, sebagai penambah bekal untuk dia menghadap Allah SWT pada Hari Kiamat kelak. Kesedaran ini perlu ada dan perlu kukuh dalam dirinya, yang akan menggerakkannya untuk merebut segala “tawaran” yang Allah berikan sempena bulan Ramadhan. 

Kedua; Dalam usaha untuk merebut semua tawaran tadi, setiap Muslim perlu mempunyai rancangan peribadi, malah amat baik jika kalendar Ramadhannya dipenuhi dengan checklist yang sentiasa akan mengingatkannya, sebuah checklist yang dipenuhi dengan amalan-amalan soleh yang akan dilakukannya sepanjang Ramadhan, bermula dari taubat nasuha sehinggalah ke amalan-amalan sunat yang lain. Dia hendaklah memastikan perancangannya direalisasikan dan dalam masa yang sama, setiasa berdoa kepada Allah SWT agar menjadikan dirinya sentiasa istiqamah dalam melaksanakannya.

Ketiga; Walaupun telah dibuat pelbagai perancangan dan checklist, namun secara praktikalnya, sering kali hal  tersebut tidak berjalan seperti yang dirancang, kerana pelbagai faktor. Untuk itu diperlukan langkah seterusnya iaitu pelan penggantian (backup) atau rancangan sokongan, agar tawaran hebat yang ada dalam bulan Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja. Pelan penggantian ini sewajarnya merangkumi perkara-perkara yang lebih mudah dan praktikal untuk dilakukan. Contohnya seperti membaca sebanyak mungkin al-Quran setiap kali berkesempatan, yang boleh menjadi rancangan backup atau sokongan yang Insya Allah mampu dilakukan oleh setiap individu, agar hari-hari Ramadhan yang berlalu tetap berisi dengan pahala.

Keempat; Di samping meningkatkan amalan sunat di sepanjang Ramadhan, amalan wajib yang mungkin sering dilalaikan sebelum ini hendaklah diperhatikan betul-betul agar tidak terus dilalaikan. Mempelajari Islam serta mendakwahi manusia dengan Islam merupakan satu kewajipan yang tidak seharusnya diabaikan. Rasulullah SAW merupakan suri teladan kita yang tidak pernah lekang, jemu atau putus asa dengan dakwah. Hidup baginda sentiasa dihiasi dengan dakwah, baik semasa di Madinah (setelah berdirinya Negara Islam), apatah lagi semasa di Makkah. Tatkala di Makkah, Rasulullah SAW menjalankan kewajipan dakwah dengan sungguh-sungguh, siang dan malam, dengan pelbagai ujian dan cabaran yang melanda. Bahkan, berapa ramai di kalangan para sahabat yang diseksa dan syahid semata-mata kerana berdakwah (menyeru) manusia kepada Islam. Walau sehebat mana sekali pun ujian yang melanda, Rasulullah SAW dan para sahabat terus berdakwah sehinggalah mereka berjaya menegakkan Daulah Islam di Madinah yang dengan tertegaknya Daulah Islam-lah, barulah hukum Allah SWT dapat diterapkan secara kaffah dan Islam seterusnya zahir berbanding agama-agama lain dan rahmat Allah tersebar ke seluruh alam. Dengan adanya Negara Islam, kejayaan demi kejayaan dicapai oleh umat Islam dengan jalan dakwah dan jihad sehingga Islam menguasai dua per tiga dunia selama lebih 1300 tahun sehinggalah kejatuhan Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924). Jadi, kewajipan berdakwah dalam rangka menegakkan syariah dan mengembalikan semula Khilafah merupakan kewajipan agung yang tidak seharusnya diabaikan oleh setiap Muslim di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Inilah beberapa petua kejayaan untuk mendapatkan semaksimum mungkin ganjaran daripada Allah SWT di bulan Ramadhan ini, dan tidak sayugia bagi setiap Muslim melepaskan atau mensia-siakan peluang keemasan ini. Akhir sekali, setiap Muslim hendaklah terus istiqamah melakukan segala amal soleh yang dilakukannya sepanjang Ramadhan, di bulan-bulan lain setelah Ramadhan, sehinggalah datang Ramadhan berikutnya. Dengan ini barulah, kejayaan benar-benar menjadi miliknya.

Wallahu a’lam.