SN553 – Menyingkap Tabir Ramadhan

Bil: SN553 – 13 Syaaban 1440 / 19 April 2019

SN553 - Menyingkap Tabir Ramadhan

Rindu setahun kembali terubat, menyambut ketibaaan bulan kemuliaan dengan penuh kesyukuran. Ketibaan yang amat dinantikan oleh hamba-hambaNya yang merindui suasana ruhiyah dengan limpahan pahala yang berlipat ganda. Marhaban ya Ramadhan, Selamat datang bulan Ramadhan. Bulan di mana setiap amalan kebaikan digandakan oleh Allah SWT. Bulan di mana pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup manakala syaitan dan iblis diikat serta dibelenggu. Bulan yang di dalamnya terdapat keampunan dan keberkatan. Bulan yang dimana di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar. Ia adalah anugerah terulung yang Allah SWT sediakan untuk setiap orang-orang beriman yang berusaha untuk mendapatkannya. Justeru, selayaknya setiap Muslim bergembira menyambut kedatangan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda,

Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan-Nya, maka dosa-dosa mereka yang dilakukan pada masa lalu akan diampuni” [HR Bukhari, an-Nasaie, Ibnu Majah, Ahmad, dan Ibnu Hibban].

Demikianlah sebahagian daripada kelebihan yang di­janjikan bagi mereka yang mengharapkan keredhaan dan keampunan daripada-Nya, setiap detik di bulan Ramadhan adalah amat berharga, tidak ada waktu yang beredar tanpa didalamnya disulami dengan ibadah dan tausiyah.

Menggapai Takwa Yang Hakiki

Dalam kita memasuki Ramadhan kali ini, tentunya kita berharap agar ibadah puasa benar-benar mampu membawa kepada ketakwaan hakiki, sebagaimana yang Allah SWT kehendaki:

Hai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana puasa itu pernah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2): 183].

Imam ath-Thabari ketika mentafsirkan ayat di atas, antara lain menukilkan Al-Hasan yang  menyatakan, “Orang-orang bertakwa adalah mereka yang takut terhadap perkara apa sahaja yang telah Allah haramkan atas diri mereka dan melaksanakan perkara apa sahaja yang telah Allah perintahkan atas diri mereka.” [Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân li Ta’wîl al-Qur’ân, I/232-233].

Seandainya puasa di bulan Ramadhan benar-benar mem­buahkan ketakwaan, maka sewajarnya setiap Mukmin sentiasa menjalankan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya meskipun sesudah Ramadhan berlalu pergi. Ketakwaan tersebut diterjemahkan kepada pengamalan seluruh syariat-Nya meliputi aspek  akidah dan ubudiah; makanan, minuman, pakaian dan akhlak; muamalah (ekonomi, politik, pendidi­kan, pemerintahan, sosial, budaya, dll); mahupun ‘uqubat (hukuman) seperti hudud, jinayat, ta’zir dan mukhalafat. Bukanlah takwa namanya jika seseorang itu menunaikan solat, melaksanakan puasa Ramadhan atau bahkan menunaikan ibadah haji ke Baitullah; namun dalam masa yang sama memakan riba, mengamalkan rasuah dan korupsi, mengabaikan urusan masyarakat, menzalimi rakyat dan menolak penerapan syariah secara kaffah.

Dalam al-Quran, frasa; la’allakum tattaqun (agar kalian bertakwa) bukan sekadar terangkum dalam ayat yang menerangkan kewajipan berpuasa semata-mata. Bahkan dalam beberapa ayat lain Allah SWT juga berfirman, “Sungguh, inilah jalan-Ku yang lurus (Islam). Kerana itu ikutilah jalan itu dan jangan kalian mengikuti jalan-jalan lain hingga kalian tercerai-berai dari jalan-Nya. Yang demikian Allah perintahkan agar kalian bertakwa” [TMQ al-An’am (6): 153]. Ia juga disebutkan di dalam al-Baqarah  ayat 21, al-Baqarah ayat 179 dan banyak ayat lain yang jelas menunjukkan bahawa ketakwaan tidak diraih sekadar dengan puasa semata-mata.

Ramadhan dan Dunia Islam

Dalam keghairahan kita meraih ganjaran yang dijanjikan, jangan pula kita lupa pada saudara seakidah kita yang diuji dengan penderitaan di segenap penjuru dunia. Ketika kita berkesempatan untuk melaksanakan ibadah puasa di sepanjang Ramadhan serta menghidupkan malamnya, Muslim Uyghur telah dilarang berpuasa, manakala masjid-masjidnya diruntuhkan, dan identiti Islam mereka cuba dihapuskan oleh rejim Komunis China. Bahkan dilaporkan lebih daripada sejuta orang Muslim Uyghur telah ditahan dalam kem pendidikan semula, yang hakikatnya bertujuan menafikan hak mereka untuk mengamalkan ajaran Islam.

Dalam pada itu, ketika kita berbuka puasa dengan pelbagai hidangan yang menyelerakan, umat Islam di Yaman, khususnya kanak-kanak diancam krisis kebuluran akibat peperangan. Menurut perangkaan Pertubuhan  Badan-badan Bersatu (PBB), konflik ini telah menyebabkan 7,025 orang awam terbunuh dan 11,148 cedera – 60% daripada jumlah tersebut berpunca daripada serangan udara oleh pakatan ketenteraan yang diterajui oleh Arab Saudi. Kemelut ini juga telah menggugat perkhidmatan kesihatan dan bekalan air bersih di negara tersebut, sekali gus mencetuskan wabak kolera yang paling buruk dalam sejarah dunia.

Sementara itu, tentera rejim Zionis pula telah bertindak ganas mengebom beberapa buah lokasi di Gaza di saat umat Islam sedang menyambut ketibaan Ramadhan. Kekejaman sebegini bukanlah yang pertama kali terjadi, dan pastinya bukanlah yang terakhir seandainya tiada tindakan tuntas diambil bagi menghentikan kitaran kezaliman ini. Malangnya sehingga ke saat ini, tindakan tuntas ini tidak dilaksanakan akibat ketiadaan sebuah kepemimpinan yang ikhlas untuk menyatukan umat ini serta mengerahkan segenap upaya bagi melaksanakannya sepertimana Salahuddin al-Ayubi yang membebaskan Al-Quds daripada cengkaman tentera Salib suatu ketika dahulu.

Krisis yang tercetus di wilayah-wilayah tersebut hanyalah sebahagian daripada penderitaan yang menimpa umat Islam di segenap belahan dunia. Kita juga dapat menyaksi­kan bagaimana umat Islam di Afghanistan, Iraq, Syria, dan Myanmar saban tahun menjalani ibadah puasa dalam keadaan berlinangan air mata dan darah.

Sejak runtuhnya Khilafah Islam pada 3 Mac 1924, umat ini dilanda pelbagai kemelut yang berpunca daripada per­pecahan serta tiadanya penerapan sistem Islam dalam aturan kehidupan secara menyeluruh. Akibat perpecahan dan pemisahan berdasarkan batas-batas palsu nasionalisme, umat Islam telah menjadi mangsa dalam percaturan politik antarabangsa. Sentimen kebangsaan ini jugalah yang membuatkan sebahagian umat Islam ber­bangga dengan keamanan yang dikecapi oleh negara mereka namun bungkam tatkala menyaksikan penderitaan yang dialami saudara mereka. Sedangkan Islam menolak sentimen assobiyyah sebaliknya menekankan bahawa umat Islam adalah umat yang satu. Sabda baginda SAW, “Orang-orang Mukmin itu ibarat satu tubuh. Apabila satu anggota badan sakit, maka seluruh tubuh turut merasa sakit dengan demam dan tidak dapat tidur” [HR Muslim].

Penerapan sistem sekular demokrasi kapitalis pada hari ini pula telah memburukkan lagi keadaan dengan segala macam penindasan serta kesempitan hidup. Jurang antara yang miskin dan kaya semakin luas, manakala gaya hidup individualistik serta materialistik semakin menebal sehingga menghakis nilai kemanusiaan dan persaudaraan yang menjadi teras kemasyarakatan menurut Islam. Isu peningkatan kos sara hidup dan kemiskinan di bandar mahupun di desa masih terus menghimpit rakyat meskipun kerajaan mencanang-canangkan laporan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik. Jelaslah bahawa data-data tersebut hakikatnya tidak mencerminkan keadaan sebenar masyarakat. Kemakmuran tidak dinikmati oleh semua, sebaliknya hanya semakin menggemukkan para kapitalis yang erat dengan pemerintah, sekali gus melebarkan jurang kekayaan yang sudah sememangnya ketara. Di samping itu, kemuliaan Islam turut diancam serta di­perlekehkan bukan sahaja daripada segelintir orang-orang kafir, bahkan melibatkan sebilangan umat Islam sendiri. Mereka melihat Islam sebagai ajaran yang kolot serta tidak lagi sesuai diamalkan pada masa kini. Lalu mereka menjunjung tinggi fahaman sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan, sehinggakan Islam pada hari ini hanya sinonim dengan amalan kerohanian serta sekadar menjadi simbol dalam majlis-majlis keramaian.

Apakah Islam tidak mempunyai aturan dan penyelesaian bagi kemelut yang melanda pada hari ini? Tidakkah Islam mempunyai sistem yang mencorak kehidupan umat manusia agar dengannya rahmah dan kesejahteraan akan tersebar ke seluruh alam? Justeru, mengapa pada hari ini hukum dan aturan Islam tidak lagi diamalkan secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan? Sedangkan Allah SWT telah berfirman, “Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat” [TMQ Al-Baqarah: 85].

Bahkan sesungguhnya Islam merupakan mabda’ (ideologi) yang diwahyukan Allah SWT kepada Rasulullah SAW bagi mengatur seluruh aspek kehidupan, baik dalam amal-amal ruhiyah, mahupun dalam urusan-urusan kehidupan lainnya termasuklah aspek siyasiyah (politik) meliputi kenegaraan dan kemasyarakatan.

Ramadhan, Momentum Kebangkitan

Wahai Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian, Allah SWT telah berfirman,

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeza (antara yang benar dengan yang salah)” [TMQ Al-Baqarah:185].

Sesungguhnya bulan Ramadhan bukan sekadar bulan untuk kita berpuasa (syahrul-siyam), bahkan merupakan bulan al-Quran (syahrul-quran). Hal ini kerana Ramadhan adalah bulan bermulanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk (al-Huda) kepada manusia dan sebagai pembeza (al-Furqan) antara yang hak dan batil, antara memberi kebaikan dan memberi kerosakan, serta antara yang terpuji dan yang tercela. Bersempena ketibaan Ramadhan kali ini, marilah kita meraih momentum untuk memotivasikan diri ini ke arah menghayati isi kandungan al-Quran serta men­jadikannya sebagai garis panduan dalam kita menjalani kehidupan ini, bukan hanya menyempitkannya kepada amalan ruhiyah semata-mata. Allah SWT berfirman:

Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Qur’an) sebagai penjelasan atas segala sesuatu, petunjuk dan rahmat serta kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri” [TMQ al-Nahl (16): 89]

Pastinya penerapan aturan kehidupan sebagaimana yang digariskan al-Quran dan as-Sunnah ini tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa adanya sebuah institusi kenegaraan yang melaksanakan serta memantaunya. Hanya dengan sistem pemerintahan Islam iaitu Khilafah Islamiyyah barulah keseluruhan isi al-Quran dan as-Sunnah boleh diamalkan dan dilaksanakan. Khilafah akan menerapkan seluruh ajaran Islam termasuk dalam bidang pemerintahan, ekonomi, pendidikan, sosial dan juga dasar luar negara. Khilafah jualah yang akan mem­bebaskan tanah umat Islam yang terjajah serta menamat­kan kezaliman yang diperlakukan ke atas umat ini. Maka, marilah kita bersama-sama menggembleng usaha ke arah menegakkannya semula dengan penuh keazaman, demi meraih kemenangan hakiki di dunia mahupun di akhirat kelak. Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita sepanjang Ramadhan ini dan membawa kemenangan kepada umat Islam.

Download PDF