SN628 – Ramadhan 1444H : Melahirkan Muslim Bercirikan Mabda Islam
Bil: SN628 (PDF) – 15 Ramadhan 1444 / 6 April 2023
Ramadhan kembali lagi tahun ini dan inilah bulan yang ditunggu-tunggu oleh hampir keseluruhan umat Islam sedunia. Rata-rata umat Islam seluruh dunia mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas nikmat dan rahmah-Nya mengizinkan kita bertemu kembali Ramadhan yang sungguh dirindui. Umat Islam berpusu-pusu ke masjid dan surau untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan.
Dan bila tiba sepuluh malam terakhir Ramadhan, umat Islam berusaha untuk meraih keberkatan Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Tidak kurang juga yang berlumba-lumba memberi sedekah kepada yang memerlukan. Masjid dan surau sentiasa mendapat sumbangan untuk menampung keperluan menyediakan juadah berbuka dan hidangan moreh. Sungguh luar biasa sekali sambutan umat Islam dengan kehadiran Ramadhan ini.
Hakikatnya, di sebalik kemeriahan dan kesungguhan melakukan amal ibadah sepanjang Ramadhan, bulan yang mulia ini merupakan bulan tarbiyah bagi kaum Muslimin. Ramadhan, samada kita sedar atau tidak, ia sebenarnya memberi teladan yang cukup mendalam mengenai kehidupan kita sebagai manusia dan seorang Muslim. Berikut disingkap beberapa aspek pentarbiyahan Ramadhan.
DISIPLIN DIRI – Displin dalam konteks tarbiyah Ramadhan ini bermaksud sentiasa menjaga diri daripada melakukan sebarang kemaksiatan kepada Allah SWT dan menjadi seorang yang ikhlas dan bertakwa di sisiNya. Puasa, terutamanya di bulan Ramadhan merupakan ibadah yang cukup istimewa di mana Allah SWT mengatakan di dalam sebuah hadis Qudsi, dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Allah berfirman, Semua amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.”
Setiap individu Muslim menjaga puasanya tanpa ada sesiapapun yang memerhatikan atau menilai hal tersebut, melainkan dirinya sendiri. Kesedaran akan ganjaran puasa yang begitu besar menyebabkan seorang individu Muslim itu benar-benar menjaga puasanya, lebih-lebih lagi apabila Allah SWT sendiri menyatakan bahawa puasa, tidak seperti ibadah lain, dilakukan hanya untukNya.
Keikhlasan dalam menjalankan puasa ini memperkukuh disiplin diri kerana ia datang tulus dari hati yang tunduk hanya kepada Allah SWT, bebas dari kemungkinan untuk riya’. Satu lagi sifat yang dipupuk oleh Ramadhan yang terkait dengan disiplin diri dan keikhlasan adalah kesabaran. Dan kita tidak perlu menggambarkan nilai kesabaran kerana sifat ini merupakan sifat mulia yang begitu banyak disebut di dalam Al-Quran dan Sunnah.
PENGUKUHAN EMPATI – Rasa lapar dan dahaga ketika berpuasa melatih kita untuk memiliki sikap empati – benar-benar menghayati dan merasai keperitan hidup orang-orang yang sedang berada di dalam kesusahan. Perasaan empati ini menerbitkan kesungguhan dalam bersedekah serta membantu mereka yang memerlukan.
Zakat fitrah yang diwajibkan ke atas setiap individu Muslim di bulan Ramadhan merupakan simbol pengukuhan empati dan bukan semata-mata bayaran yang perlu diselesaikan sebagai satu ibadah. Bila tiba Ramadhan, keinginan umat Islam untuk bersedekah dan membantu ini bertambah kuat melalui tarbiyah pengukuhan empati ini. Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa sahaja yang memberi makan orang-orang yang berbuka puasa, dia mendapat pahala senilai pahala orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangi walau sedikitpun.” (HR Ahmad, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
REFLEKSI ROHANI – Ramadhan merupakan bulan penuh keberkatan dan suasana ini mengintensifikasi umat Islam untuk merenung kembali hubungan mereka dengan Allah SWT, untuk bertaqarrub kepada Allah Sang Pencipta Alam. Ramadhan, selain menjadi wadah umat Islam menambahkan amalan solat, zikir, doa dan istighfar, ia juga merupakan penggerak momentum untuk melakukan bentuk ibadah umum lain seperti memperbanyak aktiviti dakwah dan amar makruf nahi mungkar. Setiap aktiviti ibadah ini memperkukuh kesedaran seorang Muslim terhadap tanggungjawabnya kepada Allah SWT serta kekerdilan dirinya di sisi Sang Pencipta yang Maha Kuasa.
MENINGKATKAN UKHUWAH – Salah satu suasana yang begitu ketara di bulan Ramadhan adalah bertambahnya kehadiran kaum Muslimin di masjid-masjid. Hakikatnya, galakan ke atas umat Islam untuk mengunjungi masjid di bulan yang mulia ini seharusnya melahirkan elemen yang cukup berharga – menghidupkan ukhuwah di kalangan kaum Muslimin.
Solat dan berbuka puasa secara berjamaah sebagai contoh, terutamanya di bulan Ramadhan, memanifestasikan penyatuan umat tanpa mengira batasan bangsa, suku, paras rupa, keanggotaan parti mahupun status ekonomi. Sungguh, umat Islam itu asalnya bersatu dan Ramadhan mengingatkan umat Islam mengenai hakikat tersebut. Allah SWT berfiman:
“Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara” (Al-Hujurat [49]: 10)
Inilah acuan kehidupan yang seharusnya ada pada tubuh umat Islam sepanjang masa. Tarbiyah ini seharusnya dihayati di sepanjang bulan Ramadhan dan terus kekal menjadi acuan kehidupan seorang Muslim sehingga ke akhir hayatnya. Janganlah kehangatan ibadah di bulan yang mulia ini hanya tinggal tradisi dan budaya yang berulang setiap tahun semata-mata. Keempat-empat aspek pentarbiyahan ini, sekiranya dihayati dengan sedalam-dalamnya akan melahirkan seorang Muslim yang memiliki iman dan mabda (ideologi) Islam yang kukuh. Disiplin diri, empati, pengukuhan rohani dan peningkatan ukhuwah merupakan karakteristik yang menjadi pilar utama bagi memantapkan implementasi hukum Allah SWT ke atas diri sendiri, masyarakat dan negara.
Bayangkan, seorang Muslim yang menghayati disiplin diri, ikhlas dan penuh kesabaran dalam menjalankan puasa, akan mempamerkan sikap yang sama dalam ibadah khusus dan umum yang lainnya. Dia memiliki kesedaran bahawa Islam tidak akan dapat diterapkan secara sepenuhnya tanpa keikhlasan, disiplin yang mantap dan kesabaran yang tinggi. Muslim yang sama juga memiliki empati terhadap permasalahan umat Islam, menjadikannya individu Muslim yang prihatin, tidak pernah lalai dalam membantu mereka yang memerlukan, dari Bani Adam umumnya dan kaum Muslimin khususnya tanpa mengira batasan bangsa dan agama.
Baginya, semangat nasionalisme sebahagian umat Islam akan menghilangkan empati terhadap sebahagian lain kaum Muslimin yang lain mengakibatkan munculnya sikap memandang rendah dan benci terhadap mereka yang hakikatnya benar-benar memerlukan bantuan. Perasaan kerdil di hadapan Sang Pencipta pula menjadikan Muslim ini sentiasa mencari jalan untuk bertaqarrub kepadaNya dan sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dalam setiap detik dan setiap aspek kehidupannya. Dia akan sedar bahawa taqarrub kepada Allah bukanlah muncul hanya pada saat dia melakukan suatu ibadah khusus semata-mata.
Namun, kedekatan dan ketakwaannya harus wujud setiap saat dalam kehidupannya dengan menjadikan Allah SWT dan RasulNya SAW sebagai rujukan dalam setiap perbuatan dan keputusannya. Manakala pengukuhan ukhuwah melalui tarbiyah Ramadhan ini pula akan menjadikannya berang terhadap permusuhan dan sikap benci-membenci sesama kaum Muslimin. Dan Muslim ini akan menjadi antara yang paling terkehadapan dalam usaha untuk mengembalikan wadah penyatuan sebenar umat Islam, iaitu Khilafah atas jalan kenabian.
Khatimah
Amatlah rugi sekiranya Ramadhan yang penuh keberkatan ini dilalui hanya dengan peningkatan ibadah khusus dan lantunan suara bacaan merdu Al-Quran semata-mata. Ramadhan seharusnya menghasilkan momentum untuk kaum Muslimin memperhebat dan memperkukuh disiplin diri, keikhlasan, kesabaran, empati diri, ketaqwaan dan ukhuwah dalam rangka untuk menyiapkan diri sebagai pejuang dalam mengembalikan kehidupan Islam secara hakiki. Inilah yang ditunjukkan kepada kita oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dan hakikatnya, inilah yang seharusnya berlaku hari ini. Islam diturunkan oleh Allah SWT sebagai Deen yang lengkap dan penerapannya secara kaffah pastinya akan mengembalikan kegemilangan Islam seperti di zaman Rasulullah SAW, insya Allah.
Marilah kita sama-sama menjadikan Ramadhan kali ini sebagai wadah lonjakan perubahan paradigma kita bagi meraih kemuliaan sebenar yang menanti umat Islam. Marilah bersama-sama meraih penyatuan hakiki umat Islam di bawah Daulah Khilafah Islam di atas jalan kenabian. Moga Allah SWT memberikan kekuatan, kesungguhan dan keberkatan bagi kaum Muslimin untuk berganding bahu mencapai kemuliaan tersebut.
KOLUM SIYASAH
Mencampakkan Sekularisasi Ramadhan
Ketika umat Islam di ambang menyambut Ramadhan, heboh diperkatakan mengenai sebuah kelab malam di Kuala Lumpur yang ingin mengadakan acara pertunjukkan lelaki macho ‘Thai Hot Guy’ pada 30 Mac. Ramai pihak menentang acara tersebut dengan alasan ia mencemarkan kemuliaan bulan Ramadhan. Dalam menanggapi hal ini, Menteri KDN, Saifuddin Nasution memberi reaksi bahawa rakyat harus “…hormat menghormati dan tidak memasuki ‘territory’ yang dianggap boleh mencetuskan sensitiviti (agama),”.
Walaupun acara Thai Hot Guy akhirnya dibatalkan dan pihak penganjur sudahpun memohon maaf, namun beberapa persoalan bermain di fikiran umat Islam. Apakah acara seperti itu hanya dibatalkan pada bulan Ramadhan namun diluluskan pada bulan-bulan yang lain? Mengapa aktiviti maksiat hanya dihalang pada bulan Ramadhan sahaja tetapi tidak pada bulan yang lain? Jika negara begitu mudah menghentikan aktiviti maksiat di bulan Ramadhan, mengapa ia tidak dilakukan sepanjang tahun?
Walaupun bulan Ramadhan adalah bulan istimewa, di mana balasan amal kebaikan dilipat gandakan, namun ia bukan bermaksud amar makruf nahi mungkar hanya khusus di bulan Ramadhan sahaja. Tindakan individu Muslim dan negara yang membeza-bezakan bulan Ramadhan dengan bulan yang lain menunjukkan bahawa ideologi sekularisme sudahpun mengakar dan menancap kuat dalam masyarakat ini.
Sekularisme membawa maksud memisahkan kehidupan dunia dari peraturan agama. Urusan yang dianggap terkait dengan ‘urusan akhirat’ seperti pernikahan, perceraian, faraid dan lain-lain dirujuk kepada agama, manakala ‘urusan duniawi’ seperi pemerintahan dan undang-undang sivil dirujuk kepada akal manusia. Padahal, akal manusia adalah sangat lemah dan penyelesaian yang dihasilkan oleh akal kerap menimbulkan konflik di kalangan manusia.
Memandang bahawa adalah penting untuk melakukan amar makruf dan nahi munkar di bulan Ramadhan (kerana keberkatannya) tetapi kepentingan ini hilang pada bulan yang lain merupakan cara pandang sekularisme. Cara pandang sekularisme tertancap begitu kuat dalam diri umat Islam, ia menjadi penghalang kepada kebangkitannya – di masjid aurat wajib ditutup tetapi di luar masjid aurat boleh didedahkan. Di masjid juga, seseorang itu akan solat dengan khusyuk, namun di luar masjid dia mengambil rasuah, menyalahguna kuasa dan menolak banyak syariat Islam seperti hudud dan Khilafah.
Apa yang berlaku adalah, ada dari kalangan kaum Muslimin yang merasa ruh Islamnya, yakni kesedaran tentang hubungan mereka dengan Allah SWT, menjadi lebih dominan ketika berada di masjid dan bulan Ramadhan. Dalam situasi itu, mereka merujuk kepada agama dalam beraktiviti. Namun di luar masjid dan Ramadhan, dalam urusan ‘duniawi’, mereka meninggalkan agama dan merujuk kepada akal mereka dalam menentukan apa yang baik dan apa yang buruk.
Hakikatnya, Islam datang untuk memandu manusia dalam semua aspek kehidupan. Dalam Islam, setiap urusan adalah urusan akhirat, dalam konteks setiap amal perbuatan manusia, tidak kira yang dianggap tergolong dalam aspek ‘ukhrawi’ mahupun ‘duniawi’, akan dihisab oleh Allah SWT. Hakikat ini boleh dilihat dari Al-Quran dan Sunnah. Allah SWT menurunkan banyak ayat yang terkait dengan aspek ‘duniawi’ seperti jual beli dan hutang piutang (ekonomi), hukum berkaitan dengan aurat, pakaian wanita dan perkahwinan (sosial) dan hukum berkaitan perang, penjanjian damai dan melantik pemimpin (politik). Begitu juga dengan ayat yang kerap dikaitkan dengan ibadah ‘ukhrawi’ seperti solat, puasa, zikir dan lain-lain. Hakikatnya, Islam datang menguruskan seluruh aspek kehidupan manusia. Umat Islam wajib mengamalkan Deen ini sepenuhnya tanpa memisah-misahkan dan membeza-bezakannya berdasarkan tempat mahupun waktu tertentu. Dalam hal ini, Islam tidak membezakan amal ‘ukhrawi’ dan ‘duniawi’.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan (kaffah), dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, dia adalah musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah [2]: 208)
Oleh yang demikian, bulan Ramadhan seharusnya menjadi momentum bagi kita untuk mengamalkan Islam secara keseluruhan dan mencampakkan sekularisme sejauh-jauhnya. Amalan amar makruf dan nahi munkar wajib dilakukan tanpa henti. Insya Allah, apabila umat Islam berjaya mencabut akar sekularisme dari dirinya, kebangkitan umat adalah sangat hampir. Wallahualam.