Hilal Syawal nampak di negara mana pun, maka kita wajib raya

Sungguh menyedihkan apabila terdapat golongan cerdik pandai dan juga agamawan yang “berfatwa” bahawa kita tidak perlu mengikut atau terpengaruh dengan rukyah hilal negara lain. Ungkapan seumpama ini jelas menunjukkan bahawa minda mereka masih terjajah, di samping tergelincir daripada hukum syarak yang benar mengenai rukyatul hilal.

Tidakkah mereka sedar bahawa terpecahnya umat Islam kepada negara-negara bangsa yang wujud pada hari ini ialah hasil daripada penjajahan kuffar Barat? Tidakkah mereka sedar bahawa selama lebih 1400 tahun umat Islam berada dalam negara yang satu (Khilafah), dan hanya setelah runtuhnya Khilafah 102 tahun yang lalu, barulah umat ini terpecah-belah kepada lebih 50 buah negara?

Sesungguhnya umat Islam adalah umat yang satu, dan negara umat Islam juga adalah negara yang satu, kerana umat Islam itu wajib mempunyai hanya seorang Ulil Amri (Khalifah) sahaja. Hal ini bukan sahaja berdasarkan dalil yang jelas berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, malah telah terbukti selama lebih 13 abad keKhilafahan yang mempersatukan umat Islam di bawah satu negara, satu bendera dan satu Ulil Amri. Tidak pernah wujud istilah “negara lain” bagi umat Islam yang tinggal dalam negara Khilafah, padahal Khilafah pada waktu itu meliputi lebih satu per tiga dunia.

Atas dasar itu, apabila kita berbicara mengenai isu umat Islam, atau hukum Islam, termasuk mengenai rukyatul hilal, kita tidak boleh memisahkan atau membezakan umat Islam di mana pun mereka berada, sama ada di Arab Saudi, Palestin, Sudan, Pakistan, Turki, Afghanistan, Indonesia dan lain-lain. Ini kerana, kita adalah umat Islam yang satu, yang terikat dengan al-Quran yang sama, Hadis yang sama, Ijma’ as-Sahabat yang sama dan Qiyas yang sama, atau dengan kata lain wajib tunduk kepada hukum yang sama.

Al-Quran yang dimiliki oleh orang Arab adalah al-Quran yang sama yang dimiliki oleh orang Malaysia. Hadis yang menjadi dalil kepada orang Bangladesh adalah Hadis yang sama yang menjadi dalil kepada orang Malaysia. Ijma’ as-Sahabat yang menjadi rujukan orang Turki adalah ijma’ as-Sahabat yang sama yang menjadi rujukan orang Malaysia.

Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla, dan Rasul-Nya (saw), apabila mentaklifkan sesuatu hukum, tidak pernah menjadikan “tempat tinggal” atau “negeri” kaum Muslimin sebagai sandaran. Malah jika umat Islam itu tinggal di negara kafir sekali pun, hukum yang sama terpakai kepada mereka.

Solat sebagai contoh, diwajibkan oleh Allah (swt) tanpa mengira tempat tinggal, dengan jumlah rakaat yang sama antara Muslim yang tinggal di Kanada dan Muslim yang tinggal di Malaysia. Begitu juga dengan puasa Ramadhan di mana umat Islam yang tinggal di negara kafir seperti Amerika, Eropah, Rusia, China dan lain-lain diwajibkan berpuasa sebagaimana umat Islam di Malaysia, Indonesia, Brunei Syria, Jordan, Mesir dan lain-lain berpuasa.

Zakat itu diwajibkan ke atas Muslim di Mongolia, sama sebagaimana yang diwajibkan ke atas Muslim di Kuwait. Menuntut ilmu dan berdakwah itu diwajibkan ke atas Muslim di German, sama sebagaimana diwajibkan ke atas Muslim di Thailand…dan begitulah seterusnya.

Maka begitulah juga dengan hukum yang terkait dengan hilal, di mana umat Islam diwajibkan merukyah hilal bagi memulakan puasa dan raya, tanpa mengira di mana pun mereka tinggal di atas muka bumi ini, baik di negara kaum Muslimin atau negara kafir; dan umat Islam itu diwajibkan berpuasa apabila hilal Ramadhan telah kelihatan, dan berhari raya apabila hilal Syawal telah kelihatan.

Jadi, hukum merukyah hilal itu sama sahaja baik ke atas Muslim di Malaysia, atau Muslim di Bangladesh, atau Muslim di Hong Kong, tidak ada bezanya sedikit pun. Apabila seseorang Muslim di mana pun jua telah nampak hilal dan informasinya telah sampai kepada Muslim yang lain di tempat yang lain, maka kesemua Muslim wajib berpuasa atau berhari raya. Itulah perintah Allah dan Rasul-Nya, yang ditujukan kepada setiap Muslim tanpa mengira tempat tinggal mereka di muka bumi ini. Sabda Rasulullah (saw):

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ

“Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya (hilal). Apabila pandangan kalian terhalang, maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban menjadi 30 hari” [HR Bukhari, dari Abu Hurairah]

“Kalian” dalam hadis di atas bermaksud semua Muslim, tanpa kecuali dan tanpa dibezakan negeri tempat tinggal Muslim tersebut. Rasulullah (saw) telah menunjukkan kepada kita bahawa baginda berpuasa dan juga berhari raya apabila informasi mengenai nampaknya hilal telah sampai kepada baginda, sebagaimana terdapat dalam hadis:

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي رَأَيْتُ الْهِلَالَ قَالَ الْحَسَنُ فِي حَدِيثِهِ يَعْنِي رَمَضَانَ فَقَالَ أَتَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ قَالَ نَعَمْ قَالَ أَتَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ قَالَ نَعَمْ قَالَ يَا بِلَالُ أَذِّنْ فِي النَّاسِ فَلْيَصُومُوا غَدًا

“Datang seorang Badwi kepada Rasulullah (saw) sambil berkata, ‘Sesungguhnya aku telah melihat hilal. (Hasan, perawi hadis menjelaskan bahawa hilal yang dimaksudkan oleh orang Badwi tersebut adalah hilal Ramadhan). Rasulullah bertanya, ‘Adakah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah?’ Dia berkata, ‘Benar.’ Baginda meneruskan pertanyaannya, ‘Adakah  engkau bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah?’ Dia berkata, ‘Ya benar.’ Kemudian Rasulullah bersabda, ‘Wahai Bilal umumkan kepada orang ramai untuk berpuasa esok” [HR Abu Daud dan at-Tirmidzi, disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban].

Imam Ahmad telah mengeluarkan dalam Musnadnya, di mana para Sahabat berkata;

غُمَّ عَلَيْنَا هِلَالُ شَوَّالٍ فَأَصْبَحْنَا صِيَامًا فَجَاءَ رَكْبٌ مِنْ آخِرِ النَّهَارِ فَشَهِدُوا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ رَأَوْا الْهِلَالَ بِالْأَمْسِ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُفْطِرُوا مِنْ يَوْمِهِمْ وَأَنْ يَخْرُجُوا لِعِيدِهِمْ مِنْ الْغَدِ

“Hilal Syawal tertutup oleh mendung bagi kami sehinggakan kami tetap berpuasa pada keesokan harinya (menggenapkan Ramadhan). Menjelang petang datanglah beberapa musafir (dari luar Madinah). Mereka memberikan kesaksian di hadapan Nabi (saw) bahawa mereka telah melihat hilal semalam. Maka Rasulullah (saw) memerintahkan mereka (kaum Muslimin) untuk segera berbuka dan melaksanakan solat Eid pada keesokan harinya.“

Dengan adanya hadis yang begitu jelas, bagaimana mungkin ada yang berani berpendapat bahawa kita tidak perlu mengikut rukyah hilal daripada Muslim di tempat lain, sedangkan Rasulullah (saw) sendiri berpuasa dan berhari raya berdasarkan rukyah hilal daripada Muslim di tempat lain?

Sesungguhnya perbezaan puasa dan raya umat Islam pada hari ini terjadi  disebabkan oleh sempadan politik ciptaan penjajah, di mana para penguasa yang ada telah “menetapkan” hukum berdasarkan sempadan yang diberikan oleh penjajah, bukan lagi berdasarkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Usahkan negara-negara lain, kita boleh bayangkan sekiranya Johor terpisah daripada Malaysia, atau Kelantan terpisah daripada Malaysia, atau Sabah dan Sarawak terpisah daripada Malaysia, maka sudah pasti negeri-negeri tersebut akan menetapkan puasa dan raya berdasarkan perintah penguasa masing-masing dan mengikut sempadan masing-masing. Hal ini sebagaimana Singapura yang telah terpisah daripada Malaysia, maka puasa dan rayanya ditetapkan oleh penguasa Singapura berdasarkan sempadannya, tanpa mengikut Malaysia.

Inilah isu sebenar mengapa puasa dan raya umat Islam tidak sama di seluruh dunia, iaitu disebabkan oleh sempadan assabiyyah yang muncul akibat penjajahan, sehingga hukum syarak pun turut “ditetapkan” oleh para penguasa yang ada, berdasarkan sempadan assabiyyah yang dilukis oleh penjajah!

Sebagai Muslim, kita wajib berpegang kepada nas dan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Rasulullah (saw) di mana baginda tidak pernah menetapkan hukum dengan membezakan Muslim berdasarkan tempat tinggal. Oleh itu, jika hilal Syawal 1444H nanti kelihatan di negara mana sekali pun dengan rukyah yang syarie, lalu informasi itu sampai kepada kita, maka kita wajib berhari raya, sebagaimana Rasulullah (saw) berhari raya apabila sampainya informasi kepada baginda walaupun daripada luar.

Ini kerana, apabila hilal telah kelihatan di bahagian mana pun muka bumi ini, maka bulan baru (Syawal) telah pun masuk, dan Ramadhan telah berakhir. Maka, kita wajib berhari raya, kerana haram hukumnya bagi umat Islam untuk berpuasa pada hari raya.

Wallahu a’lam.