Melayu tidak akan bangkit kecuali dengan Islam (Siri 2/2)
Di sepanjang sejarah, kita telah melihat banyak bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, tanpa mengira bangsa mereka. Selama mana mereka menjadikan Islam sebagai pegangan dan perjuangan, maka mereka menjadi mulia. Namun tatkala mereka kembali berpegang dan memperjuangkan bangsa, maka mereka menjadi hina dan terpuruk.
Kita melihat bagaimana bangsa Turki diangkat oleh Allah kerana Islam yang mereka amal dan perjuangkan. Mereka memegang keKhilafahan di dunia selama lebih lima ratus tahun dan menjadi bangsa yang bangkit serta kuat. Kehebatan mereka bukan kerana bangsa, tetapi kerana Islam.
Barat yang merupakan musuh Islam itu sedar bahawa kekuatan sesuatu bangsa itu ada pada Islam. Atas dasar itu, mereka berusaha untuk menjatuhkan Islam dengan cara meracuni kaum Muslimin agar kembali menyarung baju kebangsaan, sekali gus menanggalkan baju keIslaman yang telah lama mereka pakai.
Antara sebab jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah ialah tatkala Barat berjaya membangkitkan gerakan-gerakan pemisahan dalam tubuh umat, dengan meniupkan perbezaan antara bangsa Turki dan Arab. Mereka diracun secara halus untuk menubuhkan gerakan-gerakan yang bersifat kebangsaan (nasionalisme). Barat secara terus-menerus menggerakkan, bahkan membantu mereka mendirikan parti-parti politik berkebangsaan Turki dan Arab, seperti Parti Turki Muda, Parti Persatuan dan Kemajuan, Parti Kemerdekaan Arab, Parti Keamanan, dan lain-lain.
Parti-parti inilah yang telah menyebabkan situasi dalam negeri Daulah Khilafah mengalami goncangan dan meretak. Di samping goncangan dalam negeri, Barat menambah pelbagai serangan dari luar secara konsisten sehinggalah meletusnya Perang Dunia I, yang memberi kesempatan terbuka bagi Barat untuk menyerang Khilafah secara langsung.
Itulah strategi Barat yang mana mereka telah mengkaji bahawa semangat nasionalisme dapat meruntuhkan Khilafah dan kekuatan Islam itu sendiri. Sebelum melakukan penjajahan lagi, kaum kafir imperialis itu telah mempropagandakan slogan-slogan nasionalisme Turki ke tengah-tengah generasi muda Turki. Dengan taktik menimbulkan keresahan, Barat mempropagandakan bahawa Turki sebenarnya memikul beban berat bangsa-bangsa lain. Maka, Turki mesti membebaskan diri daripada bangsa-bangsa tersebut. Turki harus menggerakkan parti-parti politik atas asas nasionalisme dalam rangka membebaskan Turki daripada semua negeri selain Turki. Inilah racun yang dihembus oleh Barat dalam tubuh Khilafah tanpa henti.
Begitu juga dalam kalangan para pemuda Arab di mana slogan-slogan nasionalisme Arab disebarluaskan oleh kafir penjajah. Antaranya, penjajah meniupkan bahawa Turki adalah negara penjajah! Sekaranglah saatnya bagi bangsa Arab untuk membebaskan diri daripada penjajahan Turki, dan sebagainya.
Melalui slogan-slogan inilah Barat mencorakkan dan menggerakkan parti-parti politik yang seterusnya memisahkan bangsa Arab dan Turki. Hal ini berlaku sebelum Barat masuk menjajah lagi, kerana mereka ingin memastikan terlebih dahulu akan keberhasilan racun nasionalisme yang mereka tanam. Akhirnya mereka berhasil, umat Islam ternyata kemudiannya menjadikan bangsa sebagai perjuangan, menggantikan Islam yang selama ini menempati nadi perjuangan umat. Maka penjajahan berlaku dengan lebih mudah dan efektif.
Turki kemudiannya diberikan kemerdekaan atas dasar nasionalisme. Bangsa Arab juga kemudian memisahkan diri daripada Turki sepenuhnya, lalu berjuang untuk pemerintahan sendiri atas dasar nasionalisme. Kata-kata atau perjuangan “nasionalisme” akhirnya menyebar dan memenuhi atmosfera dunia Islam sebagai suatu kata-kata atau perjuangan yang indah dan mulia. Akhirnya hancurlah Daulah Khilafah yang telah berdiri selama lebih 1300 tahun atas dasar Islam, diganti dengan negara yang berdiri atas dasar nasionalisme (nation-states) sebagaimana yang dikehendaki oleh Barat.
Begitulah juga dengan perjuangan Melayu, yang hanyalah salah satu daripada perjuangan nasionalisme yang wujud di dunia Islam hasil strategi Barat. Memperjuangkan bangsa dengan memuliakan atau melebihkan bangsa sendiri berbanding bangsa yang lain, bukan sahaja dilarang oleh Islam, tetapi ternyata telah membuatkan umat Islam terpecah-belah dan lemah, serta mudah dikendalikan oleh musuh-musuh Islam.
Ingatlah bahawa bangsa Arab dulu bangkit kerana Islam, bangsa Turki juga bangkit kerana Islam, dan bangsa apa pun di dunia ini hanya akan bangkit dengan sebuah kebangkitan yang benar apabila menjadikan Islam sebagai pegangan dan perjuangan.
Ingatlah bahawa “kebangsaan” seseorang itu tidak ada nilainya di sisi Allah, tetapi “keIslaman”nyalah yang menjadikannya mulia di sisi-Nya.
Jika ada seorang yang berbangsa Melayu tetapi tidak beragama Islam, atau seorang Melayu yang asalnya Islam tetapi kemudian murtad, maka sehebat mana pun Melayu tersebut, sekaya mana pun dia, setinggi mana pun taraf pendidikannya atau jawatannya dalam masyarakat atau negara, maka dia langsung tidak bernilai, malah apa yang ada padanya hanyalah sebuah “kecelakaan” baik di dunia apatah lagi akhirat.
Itulah perbezaan nyata antara Melayu dan Islam sekali gus menunjukkan perbezaan “nilai” sebuah keIslaman dan keMelayuan. Maka, untuk kembali kepada kemuliaan dan kebangkitan yang benar, serta keselamatan di akhirat, orang-orang Melayu atau bangsa apa sekali pun, wajib mengambil Islam, dan Islam semata-mata, sebagai pegangan dan perjuangan.
Wallahu a’lam.