Ibu Berilmu Pendidik Generasi adalah Ibu yang bervisi Syurga
Oleh: Aliya Ab Aziz
Allah SWT berfirman;
ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَٰمًا ۖ وَفِى ٱلْءَاخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌ ۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلْغُرُورِ
“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah Al-Hadid: 20)
Menurut Syaikh Muhammad bin Shalih asy-Syawi terkait ayat di atas: Allah menjelaskan bahawa barangsiapa yang mementingkan dunia dan tidak berbekal dengan akhirat, maka di akhirat dia akan diazab dengan azab yang keras. Manakala sesiapa yang menggunakan dunia untuk mencari keredhaan Allah dan menjadikan tangga untuk meraih akhirat, maka dia adalah orang yang diampuni atas dosanya dan diredhai Allah.
Memahami sifat dunia yang sementara manakala akhirat adalah selamanya ini, maka wajar bagi setiap muslim yang beriman menjadikan akhirat, yakni syurga sebagai visi hidupnya. Begitu juga bagi ibu muslimah.
Ibu yang bervisi syurga bukanlah ungkapan khayalan ataupun retorik semata. Visi ini lahir dari seorang ibu yang memahami bahawa,
- Tujuan penciptaannya sebagai hamba Allah adalah untuk beribadah pada Allah SWT semata, taat dan patuh pada setiap perintah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya.
- Harta dunia dan anak-anaknya tidak bermakna apa pun jika tidak digunakan untuk meningkatkan ketaatan pada Allah. Misalnya hartanya dibelanjakan sesuai dengan syariat, disedekahkan dan digunakan untuk menegakkan agama Allah. Begitu juga dengan anak-anaknya, jika tidak dibina sebagai anak yang soleh atau solehah, mereka akan menjadi ujian baginya. Semuanya, baik harta mahupun anak-anaknya hanya, menjadi sia-sia jika tidak diarahkan pada tujuan Islami.
- Dunia hanyalah persinggahan sementara, sedangkan kehidupan abadi dan sebenarnya adalah di akhirat kelak. Ibu bervisi syurga beriman dengan penuh yakin akan adanya syurga dan neraka yang disediakan oleh Allah SWT. Oleh itu, cita-cita tertinggi baginya adalah berkumpul bersama para kekasih Allah di akhirat.
Apabila seorang ibu menjadikan syurga sebagai visinya, sudah pasti semua aktiviti dan tindak tanduknya akan tercermin dari visi tersebut. Sehingga, dia menjalani kehidupan ini dengan motivasi dan dorongan untuk meraih redha Allah SWT. Bagi ibu yang bervisi syurga, pendidikan dan ilmu pengetahuan sangatlah penting untuk mencapai tujuan tersebut. Pendidikan dan ilmu Islam (tsaqafah) merupakan aspek yang sangat penting dalam menuntun cara hidup dan berfikir manusia, agar kehidupannya berlandaskan syariat. Dengan pemahaman ini, ibu tidak akan tertipu oleh model kehidupan acuan ideologi kufur atau fahaman asing yang sudah pasti menggiring manusia jauh dari syurga Allah kelak. Na’uzubillah.
Selain itu, ibu yang bervisi syurga menyedari bahawa tsaqafah Islam dan ilmu pengetahuan sangat penting dalam membesarkan dan mendidik anak-anaknya sebagai anak soleh yang bermanfaat bagi diri, ummah dan agama. Bahkan ilmu juga diperlukan untuk mencetak seramainya generasi Muslim agar menjadi generasi khaira ummah sebagaimana umat terdahulu. Tidak mungkin seorang pendidik boleh mendidik tanpa ilmu. Begitu juga tidak mungkin dapat dicetak generasi khaira ummah tanpa para ibu yang benar-benar siap.
الام مدرسة إذا اعددتها اعددت شعبا طيب الاعراق
“Seorang ibu adalah sekolah bagi anaknya, jika disiapkan dengan baik, maka anda mempersiapkan generasi terbaik”.
Oleh itu, seorang ibu bervisi syurga memulai dengan membina keperibadian diri sebagai seorang muslim yang isitimewa, menginspirasi dan memotivasi dirinya sendiri untuk belajar. Ibu ini memupuk semangat mencintai ilmu dan mengikat dirinya dengan amanah keilmuan sebagai pembelajar dan pendidik. Selain menjadikan tsaqafah Islam sebagai metod mendidik anak generasinya, dia juga menjadi pemangkin perjuangan generasi dalam meninggikan agama Allah. Sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أو يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanya yang menjadikannya beragama yahudi atau menjadikannya beragama nasrani atau menjadikannya beragama majusi.” (HR Muslim(4805))
Dari sabda Rasulullah SAW ini kita pelajari antaranya, penting bagi ibu (dan bapa) menjadi teladan bagi anak-anaknya. Justeru, agar menjadi teladan yang baik bagi anak, sudah pasti wajar langkah itu bermula dengan si ibu (dan bapa).
Apabila ibu bervisi syurga disiapkan dengan tsaqafah yang mantap, sudah tentu para ibu akan mampu (bahkan perlu) mendidik anak-anak generasi muslimnya dengan ilmu yang dimiliki. Ini kerana, ilmu diibaratkan seperti pohon, manakala amalan adalah seperti buahnya. Apa guna pohon yang besar jika tidak mengeluarkan buah. Di sinilah pentingnya kelebihan sosok ibu berilmu menggunakan kedekatannya dengan anak-anak yang sangat berpengaruh dalam aspek pendidikan. Justeru, “power” atau kuasa ibu berilmu ini sangat penting dimaksimakan untuk membina masa depan generasi muslim. Tambahan pula, generasi umat (anak-anak) ini kian membesar populasinya. Maka, perlu dilengkapkan setiap seorang dengan tsaqafah Islam agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai khalifah di bumi Allah. Agar mereka menjadi populasi yang bermanfaat untuk manusia dan agama. Seterusnya, agar mereka tersebar di seluruh dunia bukan tanpa tujuan atau melakukan kerosakan dan kemaksiatan, melainkan untuk menjadikan Islam sebagai rahmatan lil alamin. Kita semestinya tidak mahu umat ini sekadar berkembang populasinya, namun ibarat buih di lautan, banyaknya tidak bermanfaat dan tidak berkualiti. Banyak, namun tidak mengenal Islam yang benar. Banyak, namun tidak menjadikan Islam sebagai way of life secara menyeluruh. Maka, satu-satunya acuan membina populasi generasi ini mestilah dengan acuan tsaqafah Islam yang benar. Bukan lainnya. Demikianlah pentingnya peranan para ibu bervisi syurga lagi berilmu pengetahuan.
Ibu yang bervisi syurga juga menyedari bahawa seseorang tidak mampu mengukuhkan keimanan dan ketakwaan pada Allah tanpa ilmu yang benar. Hanya melalui pendidikanlah manusia akan dapat beribadah kepada Allah dengan cara benar. Melalui pendidikan dan penguasaan tsaqafah Islam juga manusia akan tahu cara mengurus kehidupannya, baik mengurus keluarga, berkhidmat pada masyarakat, mahupun mentadbir negara. Begitu juga dalam menghadapi cabaran dan permasalahan sekelilingnya. Di sinilah kesedaran ibu bervisi syurga akan pentingnya ilmu pengetahuan tadi akan semakin mengukuh. Malah bukan sekadar itu, dia turut sedar bahawa peranan dan tanggungjawab besar sebagai pendidik generasi inilah yang akan menjadi jalan baginya merealisasikan visi besar, iaitu meraih syurga!
Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma dipetik berkata,
أدب ابنك فإنك مسؤول عنه ما ذا أدبته وما ذا علمته وهو مسؤول عن برك وطواعيته لك
“Didiklah anakmu, kerana sesungguhnya engkau akan dimintai pertanggungjawaban mengenai pendidikan dan pengajaran yang telah engkau berikan kepadanya. Dan dia juga akan ditanya mengenai kebaikan dirimu kepadanya serta ketaatannya kepada dirimu.”(Tuhfah al Maudud hal. 123).
Demikian juga, ibu yang bervisi syurga akan memotivasikan anak-anaknya untuk mengejar ilmu sebanyak mungkin bukan untuk tujuan lain, melainkan untuk menggapai redha Allah. Anak-anak, keluarganya dan generasi umat Islam tidak akan dibiarkan begitu sahaja tanpa dimanfaatkan dan diarahkan potensi mereka demi meraih cita-cita tertinggi, kerana si ibu faham bahawa anak-anaknya khususnya, merupakan aset penting dalam perjuangan Islam dan masa depan umat. Bahkan menjadi aset penting investasi pahala baginya kelak. Justeru, sangat penting untuk anak-anaknya tahu mengarahkan kompas aktiviti-aktiviti di dunia untuk meraih tujuan akhirat. Hal ini tidak lain dan tidak bukan, mesti dimulakan dengan pendidikan awal dan berterusan sehingga ilmu pengetahuan menjadi budaya dalam keluarga. Dari sini, ibu dan seluruh keluarga akan komited untuk melakukan amal-amal soleh secara terpandu, serta menjadi agen-agen penyebar kebaikan Islam (dakwah). Tanpa Islam, sudah pasti kehidupan manusia di dunia hanyalah sia-sia. Demikianlah seorang ibu yang bervisi syurga, sudah pasti akan mempengaruhi anak-anaknya untuk turut memiliki visi yang sama, iaitu – meraih redha dan syurga Allah SWT. Ibu ini juga akan menebarkan kebaikan dan pengaruh Islami dalam keluarga dan orang-orang di sekelilingnya.
Ayuh kita siapkan diri sebagai ibu bervisi syurga yang berilmu, menyebarkan kebaikan dan pengaruh Islami ke dalam keluarga dan sekeliling kita.