Berkahnya Doamu Ibu

Oleh : Iman Farhana 

Tiada cinta yang lebih agung dari cinta seorang hamba kepada pencipta-Nya. Sebuah cinta yang mengharap  jutaan rahmat dan kasih beserta keampunan seluas langit dan bumi. Cinta inilah yang membawa seorang hamba bangkit di tengah malam tatkala segala isi bumi lena dibuai mimpi. Cinta ini membuat seorang hamba sentiasa berteman dengan al-Quran. Demi merealisasikan cinta ini dengan lebih sempurna,  segala perintah-Nya dipenuhi dengan taat dan sabar. Tatkala ujian melanda, seorang hamba kembali bangkit demi cinta kepada-Nya kerana seorang hamba sedar bahawa dia perlu terus melangkah sehingga dirinya kembali kepangkuan-Nya. Inilah gambaran ringkas cinta seorang hamba kepada Allah SWT, Pemilik langit dan bumi serta sekalian alam dan kehidupan. Dengan cinta inilah sepatutnya manusia dibesarkan. Dengan cinta inilah seharusnya seorang ibu membentuk generasi masa depan. Dengan cinta inilah seorang ibu harus membina keperibadian Muslim yang cemerlang.  Seorang ibu tanpa cinta kepada Tuhan ibarat layang-layang terputus talinya.  Seorang ibu tanpa bergantung dan berharap pada Allah SWT, pasti sesat walau melangkah di siang hari yang terang. 

Dalam era globalisasi digital tanpa sempadan, seorang ibu berdepan pelbagai cabaran. Ada ibu terpaksa melangkah keluar dari awal pagi untuk mencari extra income. Ada ibu perlu berjauhan dengan keluarga kerana tuntutan pekerjaan.  Ada pula berstatus ibu tunggal yang terpaksa memikul sendirian segala beban. Tidak kurang hebatnya para ibu suri rumahtangga yang perlu mengurus anak-anak sambil menjalankan perniagaan online atau affiliate. Ada ibu suri rumahtangga yang mengasuh anak orang sebagai jalan mencari pendapatan. Sistem kapitalis memberi tekanan luar biasa kepada para ibu sehingga mereka terpaksa bekerja sama ada di luar rumah atau bekerja dari rumah. Kedua-duanya menuntut komitmen.  Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Tekanan kenaikan harga barang tidak dapat diselesaikan jika si ibu hanya berpangku tangan. Tatkala pemerintah sepi tanpa penyelesaian, maka rakyatlah terkontang-kanting menyusun rentak berdepan kekejaman kos kehidupan. Tidak cukup dengan hanya kudrat seorang ayah, sang ibu juga perlu terjun ke dunia pekerjaan demi meneruskan sebuah perjalanan di bumi gersang.  

Begitulah dilema seorang ibu. Akhirnya, si ibu dibayangi rasa berdosa kerana tidak dapat sentiasa berada di sisi anak-anaknya ketika anak-anak memerlukan mereka. Lebih berat lagi untuk si ibu tunggal yang terpaksa memikul tekanan ini seorang diri.  Dengan tekanan dari kiri dan kanan, ke manakah lagi seorang ibu seharusnya meletakkan pengharapan dan pergantungan, melainkan hanya kepada Allah SWT. Adakaalanya si ibu terlupa bahawa dirinya memiliki power yang dikurniakan oleh Allah SWT. Ini berdasarkan sabda dari Junjungan mulia, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’’ Maka Rasulullah SAW menjawab: 

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ

Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu. [HR Muslim (2548)] 

Seseorang ibu harus menggunakan power ini demi untuk menyediakan anak terbaik sehingga akhirnya anak ini nanti sanggup berbakti kepada orang tuanya. Sudah pasti itulah impian setiap ibu, mendambakan anak soleh yang berbakti kepada orang tuanya. Namun, persoalan peritnya adalah, bagaimana seorang ibu mampu memilikinya sedangkan di luar sana terlalu banyak pengaruh liar yang sedang menanti anak-anak mereka? Sama ada si ibu bekerja ataupun tidak, anak-anak generasi kini tetap berdepan dengan pelbagai pengaruh buruk. Oleh itu, untuk para ibu jangan lupa untuk menggunakan power seorang ibu dalam berdoa. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nai SAW bersabda: 

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ، لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ

Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibubapa kepada anaknya. [Riwayat Ibn Majah (3862)]

Wahai ibu, tatkala kakimu melangkah keluar dari rumah kerana mencari rezeki, sesungguhnya letakkanlah tawakal dan doamu kepada Allah SWT. Begitu juga, ketika anakmu melangkah keluar dari rumah kerana ke sekolah atau pengajian tinggi,  susunlah doamu dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT. Tatkala anak tidak ke mana-mana sekalipun, tetaplah memohon dan berharap pertolongan daripada Allah.  Sehingga anak-anak ini dewasa, berkahwin, dan beranak-pinak, janganlah pernah berhenti mendoakan mereka kerana selama mana sang anak memiliki ibu, mereka memerlukan the power of doa daripada seorang ibu. 

PENUTUP 

Jiwa seorang ibu sangat menakjubkan. Allah memberi kekuatan bagi seorang ibu melahirkan anak berkali-kali walaupun terpaksa menanggung kepayahan semasa mengandung dan kesakitan semasa melahirkan anaknya. Namun, jangan sampai cinta dan kasih ibu kepada sang anak melebihi cintanya kepada Rabb sekalian alam. Pupuklah cinta kepada Allah melebihi segala-galanya. Bentuklah anak-anak dengan cinta yang sama, iaitu cinta kepada Rabb dan Rasul-Nya melebihi daripada yang lainnya.  Dengan cinta inilah seorang ibu hebat akan sentiasa bergantung dan berharap kepada Allah. Dengan kebergantungan inilah, seorang ibu akan berdoa dan terus berdoa buat anaknya tanpa putus asa kerana Allahlah sebaik-baik tempat bergantung dan berharap. 

Wallahu’alam.