Bisyarah Rasulullah Saw Menjadi Landasan Kebangkitan Khilafah Kali Kedua

Oleh : Hamimah

Penderitaan umat Islam hari ini memerlukan pembelaan yang tegas setelah pelbagai cara yang telah dilakukan tidak dapat menamatkannya. Untuk merealisasikannya, kita mesti yakin dengan khabar gembira (bisyarah) dari Allah SWT tentang kebangkitan umat Islam kali kedua. Setiap Muslim sejati mesti yakin dengan bisyarah ini dan mula berusaha untuk merealisasikannya dengan harapan agar Allah SWT menjadikannya di antara mereka yang berjaya menjadikan bisyarah tersebut sebagai kenyataan.

Apa itu Bisyarah?

Bisyarah merujuk kepada janji atau khabar gembira yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam, sama ada melalui al-Quran atau melalui ucapan Rasulullah SAW. Bisyarah ini berkaitan dengan peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang dan janji Allah SWT ini menjadi pembakar semangat umat Islam sejak berabad lamanya. Keyakinan terhadap janji Allah SWT ini tertanam kuat di dalam jiwa umat Islam dan menjadi sumber semangat dan harapan di tengah-tengah keputusasaan dan kealpaan umat hari ini. Bisyarah ini mendorong umat Islam untuk terus berjuang dan melakar sejarah gemilang dalam peradaban dunia.

Bisyarah yang dimaksudkan di sini adalah bisyarah kembalinya Khilafah Rasyidah ‘ala minhaj an-nubuwwah untuk kali kedua. Walaupun Khilafah kali kedua belum lagi tertegak, bukan bermakna bisyarah itu salah, tidak realistik, malah jauh sekali mustahil. Hanya saja, umat Islam kini masih tersalah langkah atau belum bersedia untuk memenuhi syarat-syarat yang melayakkan mereka menerima pertolongan daripada Allah SWT sehingga Allah SWT belum mengizinkannya. Bisyarah kembalinya Khilafah kali kedua turut dinyatakan dengan jelas berdasarkan hadis Nu’man bin Basyir dari Huzaifah bahawa Rasulullah SAW bersabda,

”Akan ada zaman kenabian di tengah-tengah kalian, ia ada selama Allah SWT menghendakinya ada. Kemudian Allah SWT mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman Khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah), ia ada selama Allah SWT menghendakinya ada. Kemudian Allah SWT mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhdhan), ia ada selama Allah SWT menghendakinya ada. Kemudian Allah SWT mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman kerajaan yang diktator (Mulkan Jabriyyan), ia ada selama Allah (SWT) menghendakinya ada. Kemudian Allah SWT mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan kembali zaman Khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian baginda SAW diam”. [HR Ahmad No 17680].

Berdasarkan hadis ini, terdapat lima fasa peralihan secara berurutan dari segi bentuk dan sistem pemerintahan yang telah terjadi, sedang terjadi dan akan terjadi seperti berikut:

Fasa pertama: Masa pemerintahan yang dipimpin langsung oleh Nabi Muhammad SAW yang disebut sebagai masa kenabian. Masa ini telah berakhir dengan kewafatan Rasulullah SAW.

Fasa kedua: Khilafah berdasarkan minhaj an-nubuwwah iaitu Khilafah Rasyidah. Masa ini bermula dengan berdirinya kekhalifahan Saidina Abu Bakar RA sehingga wafatnya Saidina Ali RA. Sebahagian ulama memasukkan pemerintahan Hasan bin Ali ke dalam zaman ini. Inilah 30 tahun masa Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang lain.

Fasa ketiga: Zaman mulkan ‘adhdhan (para penguasa yang menggigit), iaitu selepas kekhilafahan Hasan bin Ali sehingga runtuhnya kekuasaan Khilafah Uthmaniyyah menjelang abad ke-20M. Permulaan zaman ini adalah selepas berakhirnya zaman khilafah Rasyidah, atau disebut dalam hadis lain sebagai zaman raja-raja. Namun, perlu diingat bahawa ‘raja-raja’ tersebut hanyalah gelaran, sedangkan sistem pemerintahan mereka masih tetap sistem Khilafah, walaupun terdapat kezaliman di dalamnya. Tetap terdapat Khalifah di dalamnya seperti Umar bin Abdul Aziz.

Fasa keempat: Zaman mulkan jabriyyan (penguasa-penguasa yang memaksakan kehendak seperti diktator), iaitu sejak runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah sehingga ke hari ini. Titik hitam sejarah umat Islam ini berlaku pada 28 Rejab 1342H bersamaan dengan 3 Mac 1924M, ketika kaum kafir penjajah yang diketuai oleh British, dengan bantuan para penguasa pengkhianat Arab dan Turki berjaya menghapuskan Daulah Khilafah. Zaman ini mencakupi semua bentuk pemerintahan di dunia Islam pada hari ini, baik sistem beraja, demokrasi atau penguasaan rejim kafir ke atas umat Islam.

Fasa kelima: Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah iaitu zaman yang akan muncul kembali setelah berakhirnya zaman mulkan jabriyyan, dan sistem pemerintahannya akan mengikuti jalan kenabian seperti pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin.

Berdasarkan hadis di atas, tiga fasa awal telah pun berakhir dan kini kita sedang mengharungi fasa keempat, iaitu fasa pemerintahan zalim (diktator) walaupun atas sistem demokrasi. Bagi yang mengimani hadis ini pasti yakin bahawa kekhilafahan di atas jalan kenabian akan pasti kembali dengan izin Allah SWT. Lebih dari itu, dia berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkannya.

Bagaimana Untuk Merealisasikan Bisyarah?

Dalam usaha mendirikan kembali Khilafah, setiap Muslim perlu mengikuti tiga tahapan yang diambil dari sirah Rasulullah SAW dalam mendirikan Daulah Islam di Madinah. Tahapan pertama adalah Tatsqif wa Takwin (pembinaan dan pengkaderan), di mana setiap muslim harus mempelajari akidah dan syariah Islam untuk menjadi daie bersahsiah Islam dan bergabung dalam kutlah (kelompok) dakwah. Tahapan kedua adalah Tafa’ul wa al-Kifah (interaksi dan perjuangan), di mana para daie harus melakukan as-sira’ al-fikri (pergelutan pemikiran), al-kifah as-siyasi (perjuangan politik) dan kasyfu al-khutat (membongkar rencana jahat) untuk membongkar kejahatan sistem sekarang serta memuhasabah pemerintah dan juga menyedarkan umat. Tahapan terakhir adalah Istilam al-Hukmi (penyerahan kekuasaan), melalui Thalab an-Nusrah, di mana setiap kelompok pejuang syariah dan khilafah perlu mencari sokongan daripada ahlul quwwah (individu atau kelompok yang memiliki kekuatan seperti tentera) untuk mencapai penyerahan kuasa secara aman, sebagai satu-satunya thariqah yang syarie dalam menegakkan kekuasaan.

Khatimah

Bisyarah ini semestinya menjadi cita-cita umat Islam sehingga sanggup mengerahkan seluruh tenaga, mengorbankan harta bahkan nyawa untuk merealisasikan bisyarah ini. Demikianlah seharusnya kita beriman dengan berita gembira daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW.