Benarkah undang-undang yang digubal oleh DUN dan Parlimen adalah ta’zir?

Salah satu isu yang menarik perhatian daripada kes Nik Elin ialah mengenai ta’zir. Ini kerana mahkamah menyatakan bahawa undang-undang yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga Parlimen adalah ta’zir. Ada pihak yang setuju, dan ada yang tidak setuju dengan kenyataan ini, dan lebih ramai yang hanya berdiam diri kerana tidak punya ilmu.

Apa pun, selama ini kita mungkin sering mendengar golongan-golongan tertentu yang mendakwa bahawa undang-undang yang digubal oleh DUN ialah ta’zir, dan hampir tidak kedengaran bahawa undang-undang yang digubal oleh parlimen juga digelar ta’zir. Justeru, amat penting bagi setiap Muslim untuk mengetahui sejauh manakah benarnya dakwaan ini.

Pengertian Ta’zir

Menurut Syeikh Abdurrahman al-Maliki dalam kitabnya Nidzam al-Uqubat Fi al-Islam, ta’zir ialah hukuman atas kesalahan atau kemaksiatan yang di dalamnya tidak dinyatakan had atau kifarat. Ta’zir merupakan kesalahan yang dilakukan oleh manusia yang melanggar perintah Allah (swt), samada dengan melakukan keharaman atau tidak menunaikan kewajipan.

Oleh kerana tidak ada had tertentu yang ditetapkan oleh nas untuk kesalahan ta’zir, maka apabila kita merujuk kepada apa yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) dan juga Khulafa’ ar-Rasyidin, hukuman untuk kesalahan ta’zir boleh bermula dari seringan-ringan bentuk seperti nasihat (bagi kesalahan ringan) hinggalah ke hukuman bunuh (bagi kesalahan berat). Berat-ringan hukuman yang akan dikenakan adalah tergantung kepada ijtihad Khalifah / Qadhi dalam membuat keputusan, yang berbeza dari seorang pesalah dengan pesalah lainnya, dan dari satu kes dengan kes lainnya.

Dengan memetik pelbagai nas dan peristiwa yang terjadi, Abdurrahman al-Maliki menjelaskan bahawa terdapat 14 bentuk ta’zir yang pernah dijatuhkan oleh Rasulullah (saw) dan Khulafa’ ar-Rasyidin terhadap pesalah iaitu:

  1. Bunuh/Mati
  2. Sebat
  3. Penjara
  4. Pengasingan / Buang Daerah
  5. Al-Hijr (Pemulauan)
  6. Salib
  7. Ghuramah (Gantirugi/Denda)
  8. Memusnahkan harta
  9. Mengubah bentuk barang
  10. Tahdid as-Sodiq (Amaran keras)
  11. Wa’dh (Nasihat)
  12. Hurman (Pencabutan/*Injunksi)
  13. Taubikh (Pencelaan)
  14. Tasyhir (Publikasi)

Oleh kerana telah terdapat nas-nas yang sangat jelas mengenai ta’zir, dengan hukuman yang berbeza-beza tergantung kepada perilaku pesalah dan berat-ringan kesalahan, Abdurrahman al-Maliki menyimpulkan bahawa seseorang Khalifah / Qadhi tidak boleh mencipta bentuk hukuman sendiri, kecuali wajib tertakluk kepada nas. Khalifah / Qadhi hanya mempunyai budi bicara dalam menentukan “berat-ringan” hukuman daripada 14 bentuk yang sedia ada, dan tidak boleh mencipta bentuk baru yang tidak terdapat dalam nas.

Contohnya, Qadhi boleh menjatuhkan hukuman sebulan penjara, atau 3 bulan, atau 2 tahun penjara; atau Qadhi juga boleh menjatuhkan hukuman denda sebanyak 10 dinar, atau 50 dinar, atau 100 dinar; atau Qadhi juga boleh menjatuhkan hukuman 10 kali sebatan, 20 kali sebatan atau 30 kali sebatan – tergantung kepada perilaku pesalah dan berat-ringan kesalahan. Namun Qadhi sama sekali tidak boleh menjatuhkan hukuman seperti menenggelamkan pesalah ke dalam air, membakar pesalah, menghantuk kepala pesalah ke dinding, menembak kaki pesalah, mengenakan renjatan elektrik, melakukan kerja-kerja amal dan sebagainya yang tidak ditunjukkan oleh nas. Dengan kata lain, Qadhi tidak boleh membuat undang-undang atau mencipta hukuman sendiri, yang tidak terdapat dalam nas.

Melihat kepada nas dan realiti, kita akan dapati perbezaan yang sangat ketara antara ta’zir yang benar-benar terdapat dalam Islam, dengan “ta’zir” yang didakwa digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Setidaknya ada tiga perbezaan mendasar:

1. Dari segi pembuatan hukum:

Dalam Islam, ta’zir datangnya dari nas iaitu berupa hukuman yang datangnya daripada Rasulullah (As-Sunnah) dan juga Ijma’ as-Sahabat. Perlu difahami bahawa Rasulullah (saw) tidak pernah memutuskan sesuatu perkara kecuali dengan wahyu. Oleh itu, hukuman ta’zir sebenarnya datang daripada wahyu, dan bukannya “rekaan” Rasulullah (saw). Dengan kata lain, Rasulullah (dan para Khulafa’ ar-Rasyidin) tidak membuat hukum sendiri.

Sedangkan “ta’zir” dalam sistem demokrasi datangnya daripada manusia. Kita tahu bahawa ahli-ahli parlimen mahupun DUN yang menggubal undang-undang tidak pernah pun merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah semasa menggubal undang-undang. Tambahan lagi setiap undang-undang terpaksa melalui proses yang telah ditentukan oleh demokrasi iaitu mesti melalui bacaan kali pertama, kedua, peringkat jawatankuasa, bacaan ketiga, dibahaskan serta diundi dan setelah lulus, dibawa pula kepada YDPA/Sultan untuk diwartakan. Semua proses ini tidak ada dalam Islam.

2. Dari segi pelaksanaan:

Dalam Islam, ta’zir dilaksanakan oleh Qadhi, atau dengan kata lain Qadhi-lah yang akan menjatuhkan hukuman. Jika untuk hudud, Qadhi wajib terikat dengan batas-batas tertentu yang mana tidak boleh dikurangi atau dilebihkan hukumannya, namun tidak demikian untuk ta’zir. Seseorang Qadhi berhak menjatuhkan 14 bentuk hukuman yang dinyatakan di atas, bergantung kepada berat ringan kesalahan dan perilaku pesalah.

Di Malaysia, apa yang mereka namakan sebagai “ta’zir” itu adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang mana hanya terdapat 3 bentuk hukuman sahaja iaitu penjara, denda dan sebatan, yang masing-masing tidak boleh lebih 3 tahun (penjara), lima ribu ringgit (denda) dan enam kali (sebatan). Seseorang hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman selain daripada 3 bentuk di atas, dengan hukuman maksimum sebagaimana yang telah disebutkan. Semua ini amat jelas berbeza dan tentangan dengan Islam.

3. Dari segi cakupan:

Dalam Islam, ta’zir terpakai kepada semua warganegara baik Muslim mahupun bukan. Ini kerana segala bentuk uqubat (hudud, jinayat, ta’zir dan mukhalafat) serta muamalat, merupakan hukum atau undang-undang negara, yang terkena bukan ke atas orang Islam semata-mata, tetapi juga ke atas orang kafir. Orang kafir hanya dikecualikan dalam beberapa perkara tertentu seperti dalam hal akidah, perkahwinan, perceraian dan seumpamanya.

Adapun “ta’zir” yang terdapat dalam enakmen jenayah syariah negeri-negeri di Malaysia sekarang hanya terpakai kepada orang-orang Islam sahaja, sedangkan orang-orang kafir tidak terkena. Malah mahkamah syariah juga tidak ada bidang kuasa ke atas orang-orang kafir. Sedangkan dalam Islam, semua warganegara adalah tertakluk kepada satu mahkamah yang sama.

Haram Untuk Manusia Buat Hukum Kecuali Mukhalafat

Sesungguhnya hak untuk membuat hukum hanya ada pada Allah (swt) semata-mata selaku al-Musyarri’ (Pembuat Syariat). Manusia tidak berhak untuk membuat hukum atau menggubal undang-undang, walau bertepatan dengan syarak sekali pun. Apatah lagi kalau hukum itu bertentangan dengan syarak! Kewajipan manusia hanyalah untuk “melaksanakan” hukum yang telah ditetapkan oleh Allah (swt), bukannya menggubal, membahas atau meluluskan hukum Allah (swt).

Konsep manusia menggubal undang-undang tidak pernah dikenal dalam Islam sejak zaman Rasulullah (saw) hinggalah ke Khalifah yang terakhir di Turki. Hanya setelah runtuhnya Khilafah dan dunia Islam dijajah oleh kafir Barat, barulah konsep ini diperkenalkan oleh Barat melalui sistem demokrasi yang dibawa bersama dengan penjajahan. Di Barat sendiri pun tidak pernah dikenal konsep ini kecuali setelah mereka berjaya keluar daripada zaman kegelapan (dark ages) akibat penindasan raja dan gereja sekitar abad ke 17-18 Masihi. Mereka kemudian membentuk pemerintahan sendiri yang mereka namakan sebagai demokrasi. Dari sinilah bermulanya konsep pembuatan undang-undang di Barat.

Dalam Islam, pemerintah hanya dibenarkan membuat undang-undang atau peraturan dalam hal mukhalafat sahaja. Ini dilakukan oleh pemerintah dalam rangka ri’ayah (mengurus) rakyat dalam hal-hal yang bersifat keduniaan. Contohnya peraturan jalan raya, penjagaan alam sekitar, pembinaan bangunan, kilang perumahan, jambatan dan sebagainya – semua ini perlu ada undang-undang yang mengaturnya. Nah, di sinilah kebolehan dan keperluan pemerintah untuk membuat undang-undang, kerana jika tiada peraturan mengenai semua ini, sudah tentu akan menimbulkan kemudaratan.

Semua peraturan ini wajib dipatuhi oleh rakyat. Jika ada pelanggaran, maka hukuman wajib dikenakan ke atas pesalah. Inilah yang dimaksudkan dengan mukhalafat iaitu hukuman atas apa juga kesalahan meninggalkan perkara yang diperintahkan oleh pemerintah (negara) atau mengerjakan perkara yang dilarang oleh negara. Manakala bentuk hukuman yang dikenakan pula tidak lari daripada bentuk hukuman seperti ta’zir, dan Qadhi akan melihat kepada berat-ringan kesalahan dalam menjatuhkan hukuman yang setimpal.

Kesimpulan

Umat Islam seharusnya mempelajari dan memahami nidzam al-uqubat fi al-Islam (sistem hukuman dalam Islam) agar tidak terjatuh dalam kekeliruan dan kesalahan. Ingatlah bahawa sistem Islam itu tidak sama dengan sistem demokrasi, malah tidak akan pernah sama dan tidak boleh disamakan. Demokrasi merupakan sistem kufur yang datangnya daripada Barat dan haram untuk umat Islam mengambilnya, menerapkannya dan menyebarluaskannya. Melalui sistem demokrasi inilah, manusia telah diberi “hak keTuhanan” yakni hak untuk membuat hukum, sedangkan dalam Islam, hak untuk membuat hukum itu hanya ada pada Allah (swt) sahaja. Justeru, apabila kita berbicara mengenai ta’zir, sesungguhnya ta’zir dalam Islam sama sekali berbeza, dan tidak boleh disamakan dengan “ta’zir” dalam sistem demokrasi.

Wallahu a’lam wa ahkam.