SST Yang Bakal “Membebankan” Kerajaan
Bermula 1 Mac ini, kerajaan akan menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 6 peratus kepada 8 peratus. Seperti biasa, kerajaan telah memberikan pelbagai justifikasi terhadap kenaikan ini dalam rangka meredakan kemarahan rakyat.
Kerajaan Madani menjelaskan bahawa, agar tidak membebankan rakyat, peningkatan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. Kerajaan juga menjelaskan bahawa kenaikan ini lebih baik berbanding jika diganti dengan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), di mana keseluruhan 30 juta rakyat akan terkesan dan rakyat akan lebih terbeban.
Selain itu, kerajaan Madani turut membandingkan kadar cukai di Malaysia dengan negara-negara lain, yang menunjukkan kadar cukai di Malaysia jauh lebih rendah dan tidak menekan rakyat. Perbandingan seumpama ini hanyalah dua kali lima dengan kerajaan sebelum-sebelum ini, setiap kali mereka menaikkan sesuatu yang menyusahkan rakyat.
Begitulah hakikat yang perlu ditelan oleh rakyat, sama ada suka atau tidak, sama ada marah atau tidak, sama ada susah atau tidak, SST akan tetap dinaikkan. Kerajaan peduli apa dengan semua yang dialami rakyat, kerana apa yang kerajaan peduli hanyalah kantung mereka sahaja.
Mengikut laporan, kerajaan dijangka menjana pendapatan cukai perkhidmatan tambahan sebanyak RM900 juta pada tahun ini berikutan kenaikan tersebut. Lumayan bukan? Nanti kerajaan akan memberikan justifikasi tambahan bahawa semua itu akan digunakan untuk projek pembangunan yang akan menyenangkan rakyat juga.
Di saat kos sara hidup masih lagi membelenggu rakyat, sekarang ditambah lagi dengan satu beban baru dengan kenaikan SST. Apa pun alasan lunak kerajaan untuk menyejukkan hati rakyat, semua orang tahu bahawa kenaikan cukai, walaupun dalam sektor-sektor tertentu, akan pasti membawa kepada rantaian kenaikan harga dalam sekotor-sektor lain, yang kesudahannya akan meningkatkan kos sara hidup rakyat.
Walaupun kerajaan sedar semua itu, tetapi kerakusan untuk memenuhi tembolok tidak pernah berhenti dengan kerajaan mana pun, sejak dulu hingga kini, kerana sudah menjadi tabiat sebuah pemerintahan kapitalis untuk menghisap darah rakyat. Selagi belum kering darah rakyat, selagi itulah akan dihisapnya.
Satu perkara yang kerajaan tidak sedar ialah, bahawa kenaikan SST ini sesungguhnya akan sangat “membebankan” mereka! Apa tidaknya, kenaikan ini (malah cukai itu sendiri) merupakan sebuah kezaliman, yang mana pelaku kezaliman sudah pasti akan menanggung beban yang berat di akhirat.
Pemerintah mana pun, jika mahu mengambil sesuatu daripada rakyat, hendaklah mempunyai hujah (nas) untuk berbuat demikian. Jika tidak, ini bermakna mereka telah mengambil hak rakyat dengan zalim. Contohnya zakat, pemerintah dibenarkan mengambil zakat daripada rakyat kerana adanya nas. Sama seperti dharibah, kharaj, jizyah dan lain-lain, yang semuanya boleh diambil oleh pemerintah daripada rakyat kerana adanya nas yang membenarkannya.
Persoalannya, wujudkah nas yang membenarkan pemerintah mengambil cukai daripada rakyat? Sesungguhnya nas yang ada menunjukkan sebaliknya iaitu haram bagi pemerintah memungut cukai daripada rakyat! Sabda Rasulullah (saw):
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ صَاحِبُ مَكْسٍ
“Tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai” [HR Ahmad, ad-Darami & Abu Ubaid]:
Hadis ini bersifat umum yang meliputi segala jenis cukai. Satu-satunya pengecualian yang dibenarkan oleh nas ialah “cukai sempadan” di mana Negara Islam (Khilafah) boleh mengenakan cukai sempadan ke atas barang dagangan daripada negara kufur, dengan kadar yang sama atau lebih rendah, yang negara kufur tersebut kenakan ke atas kita. Itu pun dalam keadaan di mana negara kufur tersebut mengenakan cukai terlebih dahulu kepada Khilafah. Jika mereka tidak mengenakannya, maka Khilafah tetap tidak boleh mengenakan cukai sempadan tersebut ke atas mereka.
Kerajaan perlu ingat bahawa mengambil harta rakyat dengan jalan paksa atau tanpa izin daripada pemiliknya, adalah dilarang dengan sangat tegas oleh Islam. Dari Sa’id bin Zaid (ra) berkata; aku mendengar Rasulullah (saw) bersabda:
مَنْ أَخَذَ شِبْرًا مِنَ الأَرْضِ ظُلْمًا، فَإِنَّهُ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ سَبْعِ أَرَضِيْنَ
“Siapa saja yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, Allah akan mengalungkan tujuh lapis bumi padanya (di hari kiamat)” [Muttafaq ‘alaih].
Firman Allah (swt):
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu” [An-Nisa’ (4): 29].
Sangat jelas berdasarkan nas bahawa memungut cukai merupakan sebuah keharaman, dan pelakunya akan mendapat seksa yang berat di hari kiamat. Namun, pemerintah yang ada pada hari ini nampaknya begitu berani melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya dengan mengambil harta daripada rakyat secara paksa.
Walaupun rakyat terbeban dengan kezaliman mereka di dunia, namun mereka perlu sedar bahawa bebanan yang mereka akan pikul di Padang Mahsyar kelak jauh lebih berat.
Rasulullah (saw) mendoakan keburukan buat penguasa yang menyusahkan kehidupan rakyat:
اللَّهُمَّ، مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ، فَاشْقُقْ عَلَيْهِ
“Ya Allah, siapa saja yang mengurusi urusan umatku, lalu dia memberatkan mereka, maka beratkanlah dia” [HR Muslim].
Sesungguhnya kita amat memerlukan syafaat daripada Rasulullah (saw) di akhirat kelak. Namun apabila Rasulullah (saw) sendiri telah mendoakan sedemikian untuk para pemimpin yang memberatkan rakyat ini, dan doa baginda adalah doa yang pasti dimakbulkan oleh Allah (swt), maka fikirkanlah wahai pemimpin yang zalim, apakah nasib yang bakal anda terima di akhirat kelak!
Wallahu a’lam wa ahkam.