Jebakan Kerusi Dalam Demokrasi
Pilihan raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan berlangsung pada 11 Mei ini selepas penyandang kerusi itu, Lee Kee Hiong, meninggal dunia pada Mac lalu. Seramai 40,226 orang pengundi Kuala Kubu Bharu akan membuat pilihan bagi melantik wakil rakyat mereka yang baru.
Seperti biasa, gendang perang telah lama dipalu oleh parti-parti yang bakal bertanding dan ramai yang mengakui bahawa akan berlaku pertembungan sengit kali ini di antara parti-parti yang bertanding. Maka, tidak hairanlah perang propaganda di sosmed juga turut sengit dengan pelbagai taktik kotor untuk menjatuhkan kredibiliti parti lawan seperti lazimnya dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini. Inilah lumrah pilihan raya dalam sistem demokrasi.
Seperti biasa juga, gerakan Islam tidak terkecuali dalam setiap pesta demokrasi. Jika tidak bertanding pun, akan parti turun untuk berkempen dan melakukan propaganda sebagai sebuah parti sekutu. Sebuah kerusi sangat bernilai bagi parti mana pun yang bermain dalam game demokrasi, sehingga hampir mustahil bagi mereka untuk melepaskannya begitu sahaja kepada pihak lawan tanpa melawan habis-habisan.
Di seluruh dunia, tidak sedikit gerakan Islam yang memilih jalur parlimen untuk menuju kekuasaan mahu pun melakukan sebuah perubahan. Alasan mereka juga beragam, tetapi yang pasti mesti dikaitkan dengan Islam. Alasan seperti tidak mahu memberi kemenangan kepada orang kafir / sekular atau “kewajipan” memasuki parlimen bagi menghalang orang kafir / sekular berkuasa serta membuat undang-undang atau polisi yang merugikan umat Islam, dan banyak lagilah alasan yang seumpamanya, sering kedengaran setiap kali pilihan raya.
Hakikatnya, parti Islam tidak pernah menang pilihan raya dengan kemenangan yang hakiki, dan jika mereka menang sekali pun, Islam tetap tidak dapat diterapkan, dan umat Islam akan melihat bahawa parti-parti tersebut tidak ada bezanya dengan parti-parti kafir / sekular yang telah berkuasa sebelumnya.
Mengharap Perubahan Melalui Pilihan Raya
Apabila kita membincangkan mengenai perubahan, sebagaimana yang sering dilaung-laungkan oleh parti-parti yang bertanding, satu persoalan yang mesti dijawab ialah, benarkah terjadinya perubahan selepas setiap kali pilihan raya, baik PRK, PRN mahu pun PRU? Jika berlaku sekalipun perubahan, sejauh manakah perubahan tersebut berlaku? Adakah sehingga Islam berjaya diterapkan, atau setidaknya mencapai apa yang diinginkan oleh umat Islam?
Umat Islam perlu sedar bahawa pilihan raya dalam sistem demokrasi bukannya di“design” untuk berlakunya perubahan mendasar. Sebaliknya, pilihan raya tersebut adalah demi mengekalkan sistem demokrasi itu sendiri, demi mengekalkan perlembagaan dan juga status quo sesebuah negara.
Atas dasar itu, negara mana pun yang mengamalkan demokrasi, tidak akan pernah ada perubahan mendasar walaupun setelah puluhan tahun berlakunya pilihan raya, berlakunya pertukaran parti pemerintah, dan pertukaran wajah pemerintah. Demokrasi tetap kekal, perlembagaan tetap kekal, kezaliman tetap kekal, rasuah dan korupsi tetap kekal, penderitaan rakyat tetap kekal, dan segala masalah dalam negara juga tetap kekal, malah sebahagian besarnya lebih buruk.
Bagi gerakan-gerakan Islam yang mendambakan penerapan syariat melalui demokrasi, mereka seharusnya sedar bahawa sejak wujudnya demokrasi di dunia Islam, syariat Islam tidak pernah berjaya ditegakkan, kecuali sangat sedikit dalam hal-hal perkahwinan, kekeluargaan, pewarisan dan seumpamanya. Itu pun banyak berlaku ketempangan dalam pelaksanaannya. Hakikatnya, sudah terbukti selama puluhan tahun bahawa mustahil untuk menerapkan syariat Islam secara kaffah melalui demokrasi.
Justeru, di sebalik keghairahan merebut kerusi pilihan raya, baik gerakan Islam mahu pun umat Islam, perlu sedar bahawa cita-cita dan keinginan untuk melihat tegaknya syariat secara kaffah sesungguhnya memerlukan jalan dan kekuatan di luar demokrasi. Berapa banyak sekali pun kerusi yang dimenangi, realitinya undang-undang Islam tetap tidak dapat diterapkan, dan undang-undang sekular terus mendominasi.
Di Mana Silapnya
Gerakan Islam, khususnya yang terlibat dalam pilihan raya dan masih percayakan sistem demokrasi, perlu melihat dan mengkaji dengan mendalam serta jernih kenapakah masyarakat masih tetap memilih parti sekular untuk mewakili mereka? Di manakah silapnya parti Islam? Atau di manakah silapnya masyarakat, khususnya umat Islam, yang memberi kemenangan kepada parti sekular? Malah kemenangan calon non-Muslim pun hakikatnya ialah dengan sumbangan undi daripada umat Islam itu sendiri. Kenapa semua ini boleh berlaku?
Di pihak mereka yang berjuang untuk menegakkan Islam, muhasabah diri perlu dilakukan dalam mencari jawapan kenapa umat Islam tidak memilih mereka, dan apa yang jauh lebih penting daripada itu ialah, apakah jalan pilihan raya yang mereka ambil atas alasan untuk melakukan perubahan atau menegakkan Islam, merupakan jalan yang banar dan syarie untuk menegakkan Islam dan Negara Islam?
Parti Islam seharusnya belajar bahawa sejarah dan juga fakta di lapangan telah menunjukkan secara terang lagi bersuluh bahawa perubahan total (daripada sekular kepada Islam) tidak pernah terjadi melalui jalan pilihan raya. Secara teori perubahan tampak boleh berlaku melalui jalan pilihan raya, yang menyebabkan parti Islam sentiasa menaruh harapan dan berusaha untuk memenangi setiap kerusi, namun realitinya tidak begitu, tidak pernah begitu dan tidak akan begitu.
Fakta menunjukkan bahawa parti mana pun yang bertanding dalam pilihan raya demokrasi “mewajibkan” mereka untuk terikat dan tunduk kepada undang-undang sekular yang nyata-nyata bertentangan dengan Islam. Fakta ini sahaja sudah cukup membuktikan bahawa pilihan raya demokrasi hanya merupakan sebuah jebakan untuk parti-parti yang bertanding agar sentiasa patuh kepada undang-undang dan permainan yang diberi oleh kafir penjajah.
Pilihan raya tidak pernah dirangka untuk melakukan perubahan mendasar atau perubahan total pada sistem. Ia hanya boleh merubah wajah calon-calon yang bertanding sahaja. Sistem sedia ada tetap terjaga dan tidak tersentuh. Siapa pun yang menang, status quo sistem tetap utuh. Di sinilah bijaknya Barat dalam memasang jebak, sehingga benar-benar tidak terlihat dan tidak terasa sedikit pun oleh mereka yang terjebak.
Apa yang lebih buruk ialah, apabila menang pilihan raya dan memasuki parlimen atau DUN, umat Islam tidak lagi dapat membezakan antara gelagat parti Islam dan parti sekular. Kononnya alasan untuk masuk ke parlimen atau DUN ialah untuk “mengIslamkan” wakil-wakil rakyat yang sekular, namun apa yang berlaku ialah sebaliknya, wakil-wakil daripada parti Islam pula yang berjaya “disekularkan”. Ramai pemimpin parti Islam yang dahulunya terkenal zuhud dan tawadhu’, namun apabila menang kerusi, ternyata semakin mencipta kekayaan duniawi dengan meninggalkan perjuangan Islam yang berkobar-kobar dalam sanubari mereka satu ketika dahulu.
Atas dasar itulah, semakin kuat kedengaran suara mereka yang tidak mahu keluar mengundi dengan keluhan “tidak guna pilih siapa pun kerana mereka itu sama sahaja”. Umat Islam semakin nampak bahawa sistem demokrasi sebenarnya ternyata menguntungkan parti sekular berbanding parti Islam, dan sistem yang datangnya dari penjajah ini juga berjaya menukar orang yang baik menjadi sebaliknya.
Maka sudah saatnya parti Islam yang memilih jalur parlimen untuk sedar dan keluar dari jebakan-jebakan kerusi yang dijanjikan oleh demokrasi yang hanya indah kata dari rupa. Sesungguhnya kerusi itu, walaupun sangat bernilai di sisi manusia, namun tidak bernilai sedikit pun di sisi Allah apabila hukum-Nya diketepikan. Malah setiap pemilik kerusi akan berhadapan dengan hisab yang sangat menakutkan di hadapan-Nya kelak.
Wallahu a’lam wa ahkam.