Di sebalik pembunuhan Ismail Haniyeh
Seluruh dunia dikejutkan dengan pembunuhan ke atas pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh. Menurut laporan, beliau telah terbunuh melalui serangan “Israel” di Tehran ketika menghadiri majlis pelantikan Presiden baru Iran, Masoud Pezeshkian. Turut terkorban dalam kejadian tersebut ialah pengawal peribadi beliau.
Selain ucapan takziah, kata-kata semangat memenuhi dunia maya dalam sekelip mata, malah berdatangan dari peringkat ketua negara hinggalah ke rakyat jelata dari segenap penjuru dunia. Ya memang wajar respons seperti ini datangnya dari kaum Muslimin mengingat Ismail Haniyeh sebagai watak penting dalam perjuangan rakyat Palestin.
Namun, kita perlu sedar bahawa nyawa setiap penduduk Palestin yang syahid di Palestin, tidak kira lelaki atau wanita, tua atau muda, kanak-kanak atau dewasa, miskin atau kaya, semuanya adalah sama nilainya di sisi Allah (swt). Setiap nyawa yang berjuang untuk membebaskan Tanah Palestin Yang Diberkati daripada belenggu penjajahan, apatah lagi yang berhadapan secara langsung dengan kekejaman Yahudi la’natullah, sudah pasti memiliki kemuliaan masing-masing di sisi Allah (swt).
Di sebalik peristiwa ini, kita hendaklah sentiasa peka dengan situasi antarabangsa yang menyelubungi isu Palestin. Setakat ini serangan Yahudi ke atas Gaza sudah memasuki bulan ke-10, dan penguasa kaum Muslimin hanya sekadar menjadi penonton, malah ada yang membantu dengan membekalkan pelbagai bentuk kekuatan, dan ada yang menjadi benteng kepada entiti haram Yahudi.
Paling tinggi pun “usaha” yang dilakukan oleh penguasa kaum Muslimin terhadap Palestin hanyalah mengecam atau mengutuk tindakan Yahudi, satu usaha yang boleh dilakukan oleh seorang murid sekolah rendah. Setelah lebih 40,000 nyawa umat Islam melayang di Gaza, dan Gaza sudah menjadi padang jarak padang tekukur, para penguasa ini tetap sahaja dengan retorik mereka mengecam sahaja tindakan Yahudi, tidak lebih dari itu!
Samalah keadaannya dengan pembunuhan terbaru ke atas pemimpin tertinggi Hamas ini, ia tidak menambah apa pun kepada para penguasa kaum Muslimin, kecuali satu lagi kecaman dan kutukan terhadap “Israel”.
Apa yang lebih pelik dan parah ialah dengan Iran itu sendiri. Bagaimana mungkin serangan boleh dilakukan oleh entiti Yahudi ke atas negaranya tanpa dapat dikesan sedikit pun? Sebelum ini pun apabila bangunan konsulatnya di Damsyik dibom oleh entiti Yahudi, tindak balas Iran sangatlah minimum, yang dilakukan hanya sekadar untuk menjaga air mukanya di hadapan rakyatnya. Di sebalik retorik Iran untuk memerangi entiti Yahudi sejak dulu, ternyata apa yang berlaku ialah sebaliknya iaitu entiti Yahudi-lah yang menyerang Iran dengan sangat mudah!
Setiap Muslim perlu sedar bahawa para penguasa mereka, sejak dulu hingga kini, hanya merupakan pelakon-pelakon handalan dalam isu Palestin. Apabila para penguasa ini berucap mengenai Palestin, gunung-ganang pun boleh pecah dengan retorik mereka. Hakikatnya, akibat pengkhianatan merekalah Tanah Palestin Yang Diberkati masih tetap terbelenggu di bawah penjajahan dan kawalan entiti Yahudi la’natullah.
Ala kulli hal, setiap Muslim hendaklah memahami bahawa usaha dan kewajipan membebaskan Tanah Isra’ dan Mi’rajnya Rasulullah (saw) itu bukan hanya berada di tangan Ismail Haniyeh atau Hamas, tetapi ia merupakan kewajipan yang terbeban di bahu setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah Azza wa Jalla.
Pada hari ini, para penguasa dan tentera kaum Muslimin tidak bergerak untuk membebaskan Tanah Yang Diberkati itu, padahal kewajipan utama ada di tangan mereka. Namun semua itu bukanlah “lesen” kepada kita untuk berdiam atau berlepas diri daripada membebaskan Palestin.
Selain wajib untuk terus melakukan muhasabah terhadap penguasa yang khianat, dan juga kepada tentera kaum Muslimin agar melancarkan jihad ke bumi Palestin, setiap Muslim hendaklah bergabung dalam usaha untuk menegakkan negara al-Khilafah ar-Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah. Negara ini telah pun dijanjikan oleh Rasulullah (saw) akan berdiri untuk kali yang kedua, yang Insya Allah tatkala ia berdiri sedikit masa lagi, akan pasti membenamkan entiti haram Yahudi sekali gus membebaskan keseluruhan Tanah Palestin Yang Diberkati.
Walllahu a’lam.