Wanita Beriman itu Sentiasa Berwaspada

Oleh: Afiqah Hidayati

Wanita begitu sinonim dengan ikon kecantikan yang sentiasa dipuja dan dipuji oleh manusia secara umumnya. Namun, Islam hadir untuk mematahkan pandangan materialistik ini serta mengangkat martabat wanita menjadi suatu ikon yang penting dalam pembinaan generasi ummah yang terbilang. Wanita yang dahulunya dijadikan objek yang dipandang rendah telah berubah menjadi seorang manusia yang perlu dihormati dan dilindungi oleh setiap generasi. Bahkan, Islam menegaskan tentang penciptaan lelaki mahupun wanita yang tarafnya dipandang sama dan tiada yang lebih mulia di antara keduanya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT,

 “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu..” [TMQ Al-Hujurat (49):13].

Melalui ayat ini, Allah juga menekankan konsep taqwa yang sangat berkait rapat dengan karakter seorang Mukmin yang sentiasa berjaga-jaga mengenai imannya.  Terdapat beberapa tatacara yang boleh dipenuhi bagi membentuk karakter seorang Mukminah yang terpuji. Antaranya:

1. Kesedaran Spiritual

Seorang wanita beriman perlu sentiasa bersiap sedia dalam menilai tahap keimanannya serta memastikan ia bukan sahaja terpelihara tetapi semakin kuat. Hal ini kerana kesedaran spiritual yang tinggi boleh menjadi benteng yang kukuh dalam menghadirkan rasa ketundukan kepada Allah. Selain itu, dia juga berusaha keras untuk melindungi hatinya daripada keraguan dan gangguan yang boleh melemahkan hubungannya dengan Allah SWT. Rasa waspada ini muncul disebabkan kefahaman yang begitu mendalam tentang tujuan penciptaan manusia untuk meraih keredhaan serta beribadah kepada Allah SWT.

2. Kewaspadaan dalam Kehidupan Seharian

Seorang wanita beriman perlu kekal berwaspada dalam setiap interaksi dan tugas hariannya, sama ada berkaitan keluarga, pekerjaan, atau masyarakat. Kewaspadaannya tercermin pada akhlaknya dan tindakannya dengan memastikan dia sentiasa mengikuti panduan Islam dalam segala perkara. Justeru, kesedaran perlu dipupuk bagi membantu diri untuk menghindari kesilapan dan perbuatan dosa, dengan sentiasa berusaha untuk bertindak mengikut standard capaian keredhaan Allah SWT. Dia perlu sentiasa komited untuk memenuhi standard capaian yang digariskan dengan membuang rasa malas dan lalai yang pastinya akan mengganggu komitmennya.

3. Menjaga Diri dari Godaan

Karakter wanita beriman yang berwaspada dalam setiap tindak tanduknya dalam kehidupan seharian menjadikannya sentiasa berhati-hati dengan godaan, gangguan, dan pengaruh yang memungkinkan dirinya jauh daripada rasa keimanan kepada Allah SWT. Sikap ini akan hadir kerana wujud kesedaran tinggi bahawa dunia ini hanyalah sementara serta menjadi medan ujian yang menawarkan pelbagai bentuk cabaran yang memerlukan keteguhan iman dan kesungguhan jiwa bagi menggapai keredhaan Allah SWT.

4. Kesedaran Terhadap Waktu

Islam begitu mementingkan penjagaan waktu sehinggakan terdapat surah khusus (al-‘Asr) yang terpatri indah dalam al-Quran. Allah SWT bersumpah dengan masa bagi mengingatkan manusia untuk sentiasa mengambil peluang yang ada untuk berpesan-pesan dengan kebenaran kepada seluruh manusia di sekelilingnya agar syariah Islam dapat meliputi ke seluruh pelusuk dunia. InsyaAllah!

Seorang wanita beriman akan menggunakan waktunya dengan bijak, mengimbangkan tanggungjawab dan ibadahnya. Kewaspadaannya memastikan bahawa dia akan mengutamakan perkara yang benar-benar penting. Wanita beriman ini juga akan memberi tumpuan kepada perkara yang mendekatkan dirinya kepada Allah dan memberi manfaat kepadanya di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, setiap wanita yang beriman perlu sedaya upaya berusaha dalam mempunyai impian yang tinggi dalam meraih redha Allah SWT. Impian yang besar dan setinggi gunung ini tidaklah merugikan malah memberi kebahagiaan yang berkekalan di dunia dan akhirat. Kewaspadaan ini juga perlu dilentur dan dipupuk bagi membolehkan wanita Muslim berdiri teguh dan konsisten dalam perjalanannya untuk mencapai objektif sebagai Muslimah yang ideal. InsyaAllah!