Menumbuhkan Keperibadian Islam dalam diri Muslimah Ideal
Oleh: Aliya Ab Aziz
Keperibadian Islam (as-syakhshiyyah al-Islamyah) adalah gabungan antara cara berfikir (aqliyah) dan cara bertindak/bersikap (nafsiyah) seseorang. Seseorang dianggap memiliki keperibadian Islam jika dia berfikir dan bertindak berdasarkan ajaran Islam. Ini bermakna, mereka selalu berfikir dengan pola fikir Islam dan berperilaku dalam memenuhi keperluan diri serta naluri mereka sesuai dengan syariat Islam, bukan mengikuti hawa nafsu. Jadi, keperibadian Islam adalah dasar utama yang perlu ada untuk membentuk karakter diri seorang Muslimah Ideal. Untuk menumbuhkan keperibadian Islam dalam diri seorang Muslimah Ideal, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan antara lain:
1. Memperkuat akidah – Memahami dan menghayati akidah Islam agar iman semakin kukuh.
Memperkuat akidah adalah langkah utama dalam menumbuhkan “syakhsiyah Islamyah” kerana akidah yang kuat menjadi asas kepada pola fikir (aqliyah) dan pola tindakan (nafsiyah) seorang Muslim. Akidah yang kukuh akan memandu seseorang untuk memiliki tujuan hidup yang jelas dan teguh dalam mematuhi syariat Islam. Ini membantu individu menjaga prinsip Islam dalam segala situasi dan menyesuaikan perilakunya dengan nilai-nilai yang diajarkan agama, sehingga terbentuk keperibadian Islam yang kukuh.
Iman yang teguh akan membimbing seseorang dalam kehidupan dunia dan akhirat, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 27:
“Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Hadis ini adalah salah satu contoh bagaimana mengaitkan iman yang kuat berpengaruh terhadap perilaku dan sikap yang baik, yang merupakan sebahagian daripada keperibadian Islam.
2. Meningkatkan tsaqafah Islam untuk memperdalam pemahaman tentang ajaran agama.
Meningkatkan ilmu keislaman adalah salah satu cara untuk menumbuhkan keperibadian Islam, di mana seorang Muslim perlu terus belajar tentang ajaran Islam, termasuk Al-Quran, sunnah, dan hukum-hukum agama. Dengan memperdalam pemahaman agama, seorang Muslim dapat membentuk pola fikir yang benar sesuai dengan tuntunan Islam (aqliyyah), yang kemudian membimbing tindakannya sesuai dengan nilai-nilai Islam. Belajar secara berterusan (pembelajaran sepanjang hayat) juga membantu membangun kesedaran yang lebih mendalam tentang pentingnya mengikuti syariat dalam setiap aspek kehidupan.
Dalam Surah Al-Mujaadalah ayat 11:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.“
Ayat ini menunjukkan bahawa mendalami ilmu Islam akan meningkatkan darjat seseorang, termasuk dalam membentuk karakter yang lebih baik sesuai ajaran Islam.
Sebagaimana penjelasan terkait ayat ini, bahawa melapangkan tempat bagi orang lain membawa keberkahan dari Allah berupa kelapangan dalam hidup. Manakala mengamalkan adab bermajlis dan memudahkan urusan sesama Muslim adalah tanda iman dan kebaikan yang akan mengangkat darjat seseorang. Ayat ini juga menghubungkan iman dan ilmu sebagai landasan utama untuk memperoleh kemuliaan di dunia dan akhirat, dan menunjukkan pentingnya konsistensi dalam akhlak dan kebaikan. (Li Yaddabbaru Ayatih / Markaz Tadabbur di bawah pengawasan Syaikh Prof. Dr. Umar bin Abdullah al-Muqbil, professor fakulti syariah Universiti Qashim – Saudi Arabia via tafsirweb.com)
Selain itu, Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.” (HR. Muslim)
Ini menunjukkan pentingnya mempelajari ilmu agama, yang akan membimbing seseorang ke arah akhlak yang baik dan memperkuat keperibadian Islam.
3. Mengamalkan ajaran islam dalam kehidupan sehari-hari
Menerapkan ajaran Islam dalam kehidupan sehari-hari bermakna menjadikan nilai-nilai Islam sebagai pedoman dalam setiap tindakan dan keputusan. Ini termasuk mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya, serta menunjukkan akhlak yang mulia dalam interaksi sosial.
Meneladani Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah (teladan yang baik) juga membantu kita memiliki keperibadian Islam kerana beliau merupakan contoh sempurna dalam setiap aspek kehidupan, baik dalam ibadah, akhlak, mahupun dalam interaksi sosial. Dengan meneladani sifat-sifat beliau seperti jujur, amanah, sabar, dan pemaaf, kita dapat mengembangkan keperibadian yang sesuai dengan ajaran Islam. Rasulullah juga memberikan contoh bagaimana menjaga hubungan dengan Allah dan manusia secara seimbang, sehingga kita dapat membentuk karakter yang mulia dan berakhlak baik, yang merupakan inti daripada keperibadian Islam.
4. Memelihara amal soleh dengan menjaga yang wajib serta memperbanyakkan amalan sunnah
Melaksanakan ibadah dengan istiqamah (konsisten) merupakan langkah penting dalam membentuk keperibadian Islam. Dengan menjaga solat wajib, memperbanyak ibadah sunnah, dan melaksanakan berbagai kewajipan agama secara konsisten, termasuklah amar makruf nahi mungkar, seorang Muslim akan mengukuhkan hubungannya dengan Allah dan membentuk pola tindakan (nafsiyah) yang selaras dengan ajaran Islam. Ibadah yang konsisten juga membentuk disiplin diri dan ketaatan, yang mana keduanya sangat penting dalam pengembangan keperibadian Islam.
Imam Hasan Al-Basri, rahimahullah berkata, “Sebahagian orang enggan untuk mudawamah (konsisten dalam beramal). Demi Allah, bukanlah seorang mukmin orang yang hanya beramal selama sebulan atau dua bulan, setahun atau dua tahun. Tidak, demi Allah! Allah tidak menjadikan batas akhir beramal bagi seorang mukmin kecuali kematian.” (lihat Aqwal al-Tabi’in fi Masa’il al-Tauhid wa al-Iman, hal. 1160)
Beliau juga mentafsirkan makna firman Allah ‘azza wa jalla (yang bermaksud), “Wahai Rabb kami berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.” Beliau mengatakan, “Kebaikan di dunia adalah ilmu dan ibadah. Adapun kebaikan di akhirat adalah syurga.” (lihat Akhlaq al-‘Ulama’, hal. 40)
Demikianlah istiqamah dalam ibadah adalah tanda keteguhan hati seorang mukmin. Dengan konsistensi, seorang Muslim akan memperkuat hubungannya dengan Allah dan membentuk perilaku yang sesuai dengan tuntunan agama.
Selain itu, Ibnul Qayyim dalam kitabnya “Madarij as-Salikin” menjelaskan bahawa istiqamah adalah salah satu kunci pembentukan akhlak mulia, yang menjadi bahagian penting dari keperibadian Islam yang kukuh.
5. Bergaul dengan lingkungan yang Islami, serta bergabung dengan komuniti yang mendukung pertumbuhan spiritual dan akhlak mulia.
Bergaul dengan lingkungan Islami (circle islamik) membantu membentuk keperibadian Islam dengan menyediakan suasana yang mendukung secara praktikal dan penghayatan ajaran Islam. Lingkungan atau circle yang baik akan menguatkan keimanan, memotivasi dalam beribadah, dan menjaga diri dari pengaruh negatif. Apabila berinteraksi dengan orang-orang yang memiliki nilai Islam yang sama, seorang Muslim akan lebih mudah mempertahankan pola fikir dan pola tindakan yang sesuai dengan syariat, serta terinspirasi untuk terus meningkatkan keperibadian Islam.
Rasulullah SAW bersabda, “Seseorang itu berada di atas agama teman dekatnya, maka hendaklah kalian melihat siapa yang menjadi teman dekatnya” (HR. Abu Daud dan Tirmidzi).
Ini menunjukkan pentingnya memiliki lingkungan yang baik untuk membentuk dan menjaga keperibadian Islam. Para ulama juga ramai menekankan pentingnya lingkungan positif dalam menguatkan iman.
Langkah-langkah ini, insyaAllah, akan membantu Muslimah membentuk keperibadian yang unggul dan sejalan dengan ajaran Islam, sekaligus menjadi teladan dalam masyarakat.