Penguasa dan sistem yang buruk tidak akan menjamin mufti yang baik

Setiap kali berlakunya pertukaran mufti di Malaysia, ramai yang menyambut baik dan mengucap tahniah atas pelantikan mereka. Bahkan pujian melambung kadang-kadang diberikan kepada mereka oleh pihak-pihak tertentu dengan mewar-warkan kelayakan dan kehebatan mereka dalam bidang agama.

Jika ditanya satu soalan yang sederhana sahaja – pernahkah nasib umat Islam bertambah baik, atau pernahkah agama Islam itu sendiri menjadi bertambah hebat dan kuat dengan setiap kali pelantikan mufti baru, jawapannya sudah tentu sedia maklum bagi ramai orang.

Hakikatnya, pelantikan mufti baru tidak lebih daripada menukar wajah yang berbeza dalam sistem yang sama — sistem sekular warisan penjajah yang terus mengongkong peranan ulama dan institusi agama agar kekal tunduk kepada kuasa politik pemerintah.

Dalam sistem ini, mufti bukanlah sosok bebas yang menjulang hukum Allah (swt), tetapi sekadar pegawai kerajaan yang tertakluk kepada arahan orang atasan, termasuk dalam hal-hal yang menyentuh hukum syarak. Ia tidak ada beza sedikit pun dengan pegawai atau jawatan-jawatan lain dalam sistem ini, yang semuanya tertakluk dan tunduk kepada arahan dan kehendak orang atasan yang membayar gaji mereka.

Dalam Islam, para ulama memiliki kedudukan yang mulia, bebas menyampaikan fatwa atas apa jua perkara berdasarkan keilmuan mereka, tanpa apa-apa arahan dari sesiapa, tanpa tekanan politik, dan tanpa bias kepada mana-mana pihak. Inilah peranan mulia para ulama, yang telah ditunjukkan di sepanjang sejarah pemerintahan Khilafah. Bahkan para ulama yang mengeluarkan fatwa, sering memuhasabah penguasa melalui fatwa mereka sehingga ada dalam kalangan mereka yang ditangkap, diseksa dan syahid kerananya.

Para ulama tersebut tidak pernah membiarkan kemungkaran atau penyimpangan dilakukan oleh penguasa secara terbuka, kecuali mereka mesti menegur, mengkritik dan menasihati para penguasa tersebut. Namun lain halnya dalam sistem demokrasi pada hari ini di mana para mufti hanya mampu mengeluarkan fatwa atau pandangan yang “selamat” selaras dengan kehendak penguasa, biar pun kadangkala fatwa mereka jelas bertentangan dengan nas-nas syarak yang qath’ie.

Lebih mendukacitakan, institusi mufti telah terbukti menjadi alat untuk mengeluarkan fatwa untuk menyesatkan mana-mana gerakan atau individu, yang tidak selari fikrah atau pandangan mereka dengan para penguasa, meski pun fikrah gerakan atau individu tersebut ternyata tidak sesat, malah ternyata lebih benar dan rajih berbanding fikrah penguasa.

Dalam sistem demokrasi, institusi mufti sering dijadikan alat untuk mempertahankan status quo pemerintahan atau untuk “menghalalkan” apa jua tindakan pemerintah, bukannya untuk menegakkan hukum Allah secara kaffah. Para mufti tidak berani, dan tidak pernah mengeluarkan apa-apa fatwa berkenaan sistem pemerintahan demokrasi yang jelas bertentangan dengan Islam, sistem ekonomi kapitalis yang juga jelas bertentangan dengan Islam, kewujudan perbankan ribawi, pusat-pusat judi, kilang-kilang arak, konsert-konsert maksiat dan lain-lain keharaman yang selama ini dibenarkan (diberikan lesen) oleh pemerintah.

Begitu juga jika dilihat perkembangan di Gaza yang sudah hancur lebur dibom oleh entiti Yahudi, tetap sahaja tidak ada seorang mufti pun yang berani mengeluarkan fatwa jihad ke atas entiti Yahudi, sejak dulu hingga kini. Bahkan, walaupun setelah Kesatuan Ulama Dunia mengeluarkan fatwa jihad ke atas Yahudi, para mufti yang ada terus menyepi.

Justeru, pelantikan mufti baru, sama ada individu tersebut dianggap progresif, konservatif, atau sederhana, atau sehebat mana sekalipun dia, tetap sahaja tidak akan membawa perubahan hakiki kepada umat Islam selagi mana sistem pemerintahan tidak bertunjangkan syariat Islam. Sistem yang buruk, dan para penguasa yang buruk sudah pasti tidak akan menjamin munculnya seorang mufti yang baik. Di bawah penguasa dan sistem yang buruk, ia hanya menghasilkan mufti yang akan mengeluarkan fatwa demi meraih redha penguasa, bukannya meraih redha Allah (swt).

Sesungguhnya apa yang diperlukan oleh umat Islam bukanlah pertukaran individu dalam sistem yang rosak, tetapi perubahan menyeluruh (inqilabi) daripada sistem pemerintahan kufur kepada sistem pemerintahan Islam iaitu Khilafah, sebuah sistem yang akan mengangkat kedudukan ulama sebagai penjaga agama dan pembimbing umat, bukan sebagai pengesah atau rubber stamp kepada dasar-dasar dan undang-undang yang diterapkan oleh penguasa.

Wallahu a’lam.