Maksiat Akan Pasti Berterusan Di Bawah Penguasa Dan Sistem Sekular

Setelah terdapat gesaan oleh golongan yang mempunyai “autoriti” dalam bidang agama di Malaysia, Perdana Menteri Malaysia kelihatan cuba menyelamatkan diri daripada keadaan tersepit dengan menyatakan bahawa beliau akan menemui mufti Wilayah Persekutuan untuk berbincang lebih lanjut mengenai konsert Coldplay.

PMX sebelumnya mengalu-alukan kedatangan Coldplay ke Malaysia, dan terbaru beliau menjelaskan bahawa Coldplay merupakan sebuah kumpulan yang menyokong Palestin, yang memberi gambaran seolah-olah tiada salahnya jika kumpulan tersebut meneruskan konsert mereka di sini.

Wahai Perdana Menteri Malaysia, apakah ukuran “menyokong Palestin” akan menghalalkan suatu yang haram?! Jika demikian, mudahlah untuk mana-mana kumpulan datang ke Malaysia kerana hanya perlu mengisytiharkan sokongan mereka kepada Palestin, atau menghulurkan sedikit derma kepada Palestin, maka bolehlah mereka datang dan merosakkan negara ini dengan budaya haram mereka!

Jadi, isu sokongan Coldplay kepada LGBT sudah tidak perlu dipermasalahkan lagi, kerana yang penting sekarang ialah sokongan mereka kepada Palestin!

PMX turut menyatakan bahawa kerajaan yang lalu juga telah meluluskan (konsert seumpamanya) yang sekali lagi memberi gambaran bahawa beliau tidak boleh dipersalahkan kerana meluluskan konsert Coldplay sekarang!

Betapa naif dan mudahnya untuk seorang Perdana Menteri memberi justifikasi mengenai satu perkara maksiat yang bukan sahaja bakal merosakkan generasi umat Islam, bahkan generasi manusia!

Dalam pada itu, ramai yang memuji “keberanian” mufti Wilayah Persekutuan dan juga Timbalan Mufti Perak yang menggesa agar konsert Coldplay dibatalkan.

Namun, kita perlu faham bahawa kita mahu agar konsert Coldplay dibatalkan bukan kerana ia bertentangan dengan nilai-nilai murni serta budaya masyarakat negara ini, dan bukan juga kerana ingin menjaga sensitiviti isu Palestin, tetapi kerana ia adalah haram. Itu sahaja, titik.

Dengan apa yang kita saksikan sekarang ini, baik di dalam mahupun di luar negara, kita perlu sedar bahawa sesungguhnya segala masalah ini berpunca daripada pemerintah yang tidak menerapkan Islam. Konsert Coldplay dan lain-lain konsert sudah pasti tidak akan diadakan sekiranya pemerintah menerapkan Islam, kerana semua ini jelas merupakan kemaksiatan yang diharamkan oleh Islam.

Namun, inilah realiti pahit yang kita terpaksa telan saat ini apabila mempunyai pemerintah dan sistem sekular, yang memilih untuk memaksiati Allah berbanding mencari redha Allah. Jadi, kita tidak akan terkejut sedikit pun jika konsert Coldplay diteruskan, malah bukan sahaja Coldplay, banyak lagi konsert lain yang sudah pun dijadualkan akan berlangsung dalam negara, yang kesemuanya bakal diteruskan selagi pemerintah mencintai maksiat lebih daripada mencintai Allah.

Akhir kalam, kita juga perlu sedar bahawa maksiat terbesar di negara ini ialah apabila pemimpin tidak menerapkan hukum yang datangnya daripada Allah, tetapi terus mengekalkan hukum yang datangnya daripada penjajah.

Maka, selagi hukum penjajah diterapkan, tidak hairanlah apabila kumpulan penyanyi daripada negara penjajah disambut meriah di negara yang mengaku sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah!

Wallahu a’lam.