Kos Sara Hidup: Tanggungjawab Negara, Bukan Modal Pilihan Raya
Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini menjadikan isu kos sara hidup dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai agenda utama. Walaupun sekali pandang nampak macam baik dan tidak ada salahnya, namun agenda seperti ini sesungguhnya memperlihatkan bagaimana isu penderitaan rakyat akibat tekanan ekonomi dijadikan antara bahan utama strategi politik sempena musim pilihanraya.
Tindakan seperti ini bukan sahaja menyempitkan skop penyelesaian terhadap masalah tersebut, malah mendedahkan hakikat sebenar permainan politik di bawah sistem demokrasi, di mana kebajikan rakyat hanya dijadikan alat untuk meraih sokongan, bukan dilihat sebagai tanggungjawab dalam sebuah pemerintahan.
Isu kos sara hidup bukanlah perkara baru. Ia juga bukan berlegar sekitar isu kenaikan harga barang atau gaji yang tidak sepadan, tetapi berpunca dari sistem ekonomi yang rosak. Kenaikan harga barangan asas, beban cukai, kebergantungan kepada pelabur asing dan kapitalis swasta, serta pengabaian terhadap keperluan asas rakyat – semua ini merupakan sebahagian daripada keburukan yang terjadi akibat pelaksanaan sebuah sistem ekonomi yang gagal menjamin kesejahteraan hidup rakyat. Sistem apa lagi jika bukan kapitalisme?
Dalam kerangka sistem demokrasi-kapitalisme yang diamalkan pada hari ini, dasar-dasar ekonomi yang digubal lazimnya mengutamakan kepentingan pasaran, pelabur dan sektor swasta, berbanding kepentingan sebenar rakyat. Bantuan bersifat sementara atau insentif bermusim hanya berfungsi sebagai ‘plaster’ kepada luka yang dalam. Apabila musim pilihanraya tiba, penderitaan rakyat akan dijadikan ‘modal’ untuk ahli-ahli politik berjanji, merayu dan meraih undi, kemudian semuanya dilupakan selepas menang, dan rakyat kembali hidup dalam penderitaan seperti sebelumnya, malah seringkali lebih buruk.
Dalam sistem pemerintahan Islam, tanggungjawab menangani kos sara hidup terbeban di bahu pemerintah, dan ia bukannya modal untuk berkempen atau meraih sokongan di musim pilihanraya. Pemerintah adalah penjaga rakyat (ra’in), dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah (swt) terhadap nasib rakyatnya. Negara wajib mengatur hal ehwal ekonomi dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas.
Malangnya dalam sistem kapitalisme, parti yang memerintah sentiasa meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan rakyat di sebalik laungan mereka kononnya rakyat diutamakan. Sumber kekayaan negara seperti minyak, gas asli, emas, bauksit serta segala khazanah bumi lainnya, yang merupakan milik rakyat, dikaut oleh pemerintah dan kroni mereka, sehingga menatijahkan segala bentuk penderitaan ke atas rakyat – rakyat menderita di tanah air sendiri yang memiliki kekayaan alam yang luar biasa.
Sistem Islam tidak akan membiarkan rakyat menanggung kenaikan kos sara hidup secara berterusan. Selain daripada mengembalikan segala keuntungan dari sumber alam kepada rakyat, negara dalam masa yang sama akan memastikan bahawa tidak ada kekayaan yang berlegar hanya pada segelintir manusia, dan negara juga akan campur tangan bagi mencegah sebarang monopoli, kewujudan kartel, manipulasi atau ketidakadilan atau penyelewengan yang berlaku dalam pasaran.
Manakala hasil kekayaan negara lainnya berupa ghanimah, fai’, jizyah dan lain-lain yang menjadi tunjang kepada ekonomi negara, semua ini akan turut dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk penyediaan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan dan keselamatan secara menyeluruh.
Khalifah Umar bin al-Khattab (ra), ketika berlaku krisis kekurangan makanan pada tahun-tahun kemarau, tidak sekadar menunggu hasil kutipan zakat atau mengumumkan bantuan bersifat sementara, tetapi beliau memobilisasi seluruh sumber yang ada dalam wilayah Islam untuk mengatasi masalah itu, dan memastikan keperluan rakyat dipenuhi sehingga krisis benar-benar berakhir.
Apa yang jelas, penyelesaian sebenar terhadap isu kos sara hidup tidak akan dapat dicapai melalui pendekatan yang terikat dengan kepentingan politik semasa atau musim pilihanraya. Ia memerlukan satu perubahan menyeluruh terhadap asas pemerintahan dan sistem ekonomi yang digunakan.
Selagi dasar-dasar negara tunduk kepada ideologi kapitalisme dan sistem demokrasi yang berpaksikan persaingan kuasa, maka selagi itulah penderitaan rakyat akan terus dijadikan umpan menjelang pilihanraya, tanpa solusi tuntas yang mengakar dari tanggungjawab sebenar pemerintahan.
Sudah sampai masanya untuk umat Islam menilai kembali sistem hidup yang sedang mereka lalui. Jalan penyelesaian sebenar hanya akan hadir dengan kembalinya sebuah sistem Islam yang menyeluruh, yang bukan sahaja menetapkan dasar pemerintahan yang adil, tetapi juga memastikan keperluan rakyat dipenuhi dengan penuh tanggungjawab dan takwa kepada Allah (swt).