Masalah Kesihatan: Sistem, Bukan Sekadar Individu Yang Perlu Berubah
Peningkatan kadar penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan kolesterol tinggi di Kelantan adalah petanda jelas tentang kegagalan sistem kesihatan semasa. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa 16.3% rakyat negeri itu menghidap kencing manis, manakala 34.9% mengalami paras kolesterol tinggi, kedua-duanya melebihi purata kebangsaan.
Namun, respons kerajaan kekal berlegar pada kempen kesedaran dan anjuran gaya hidup sihat, seolah-olah beban penyakit ini berpunca daripada kegagalan individu semata-mata, bukannya kegagalan sistem atau polisi kesihatan negara.
Suka atau tidak, hakikat yang perlu ditelan oleh rakyat dalam polisi kesihatan pada hari ini, ialah sebuah polisi bertunjangkan keuntungan di bawah ideologi kapitalisme. Pemerintah memandang isu kesihatan sebagai sebuah peluang komersial, sebagaimana lazimnya di negara-negara kapitalis berat. Manakala di pihak rakyat pula, apabila berbincang mengenai isu kesihatan, ia adalah sebuah isu yang termasuk dalam beban atau kos sara hidup.
Walaupun terdapat hospital kerajaan yang menawarkan perkhidmatan murah kepada rakyat, namun ia tidak pernah merubah mentaliti dan polisi kerajaan bahawa rawatan dan ubat sebagai satu ‘komoditi’ keuntungan. Kerajaan tidak pernah menganggap perkhidmatan kesihatan sebagai hak rakyat yang wajib disediakan secara percuma, secukupnya dan profesional. Samalah halnya dengan pendidikan dan keamanan, yang mana semuanya dipandang oleh kerajaan sebagai ‘komoditi yang boleh dikaut keuntungan habis-habisan daripada rakyat.
Rawatan kesihatan yang tinggi untuk sakit-sakit kronik menjadi penambah kepada penderitaan rakyat, kerana ramai yang tidak mampu membayarnya. Atas dasar itu kita sering melihat dan mendengar rintihan dan rayuan dari pesakit atau keluarga mereka dalam usaha mencari derma bagi menampung pembiayaan yang maha tinggi.
Dalam sistem yang ada pada hari ini, golongan miskin kekal sakit, manakala golongan kaya pula beruntung kerana kemampuan mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang bermutu tinggi.
Dari sudut lain yang lebih besar, dasar kesihatan yang diamalkan memberi keutamaan kepada syarikat farmaseutikal, pertumbuhan hospital-hospital swasta yang mewah dan mahal, dan pelbagai bentuk penswastaan yang menjadikan perkhidmatan kesihatan semakin jauh daripada kemampuan rakyat marhaen.
Sesungguhnya apa yang diperlukan di negara ini bukanlah sekadar kempen kesedaran mengenai kesihatan, tetapi perubahan sistemik. Dalam Islam, tanggungjawab menjaga kesihatan rakyat terletak di atas bahu negara. Negara wajib menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma dan bermutu tinggi kepada seluruh rakyat tanpa diskriminasi. Negara bukan sekadar menyediakan kemudahan asas, tetapi mesti membangunkan hospital yang dilengkapi teknologi moden, menyediakan ubat-ubatan tanpa bayaran, melatih tenaga kerja kesihatan yang berkualiti dan membebaskan penjagaan kesihatan daripada kepentingan komersial. Perkhidmatan ini bukan bersifat kebajikan sementara, tetapi satu kewajipan yang lahir daripada hukum syarak, sebagaimana negara wajib menjaga nyawa rakyatnya.
Dalam sistem Islam, tiada ruang untuk monopoli perubatan, tiada paten yang menjadikan ubat terlalu mahal untuk diakses. Negara tidak membenarkan industri makanan mempromosikan barangan yang jelas memudaratkan kesihatan, baik dalam jangka pendek mahu pun panjang. Kesihatan rakyat mesti menjadi keutamaan kerajaan, sehingga polisi kesihatan dalam negara dibangun berdasarkan sifat mencegah.
Media pula dikawal agar tidak menjadi alat promosi makanan atau minuman yang membahayakan atau memudaratkan kesihatan rakyat. Pendidikan kesihatan bukan sekadar satu mata pelajaran, tetapi menjadi budaya yang hidup dalam masyarakat, berpandukan akidah dan hukum yang mengatur seluruh aspek kehidupan.
Kegagalan menangani penyakit tidak berjangkit tidak boleh dilontarkan kepada rakyat semata-mata, kononnya rakyat malas bersenam atau suka memakan makanan yang manis. Realitinya, rakyat dibentuk oleh suatu polisi dalam sebuah suasana yang sistemik – dari harga makanan sihat yang mahal, kepada tekanan ekonomi yang mendorong jiwa menjadi tertekan (stres), hinggalah kepada budaya kerja yang mengabaikan kesejahteraan tubuh dan minda, demi mengejar keuntungan maksimum sebagai sifat sebuah negara kapitalis. Semua ini lahir daripada sistem hidup yang tidak dibina atas asas Islam, sebaliknya sangat bertentangan dengan Islam.
Selagi sistem ini tidak diubah dari asasnya secara menyeluruh, selagi itulah penyakit akan terus meningkat, dan rakyat akan terus dipersalahkan. Solusinya bukan pada slogan atau kempen, tetapi pada penggantian sistem. Kita memerlukan sebuah sistem pemerintahan yang menjadikan penjagaan kesihatan sebagai satu amanah, bukan peluang mendapatkan keuntungan; sistem yang tidak menjadikan hospital sebagai perniagaan, tetapi sebagai institusi ibadah yang melanjutkan misi negara menjaga nyawa dan kesihatan manusia.
Sudah tiba masanya untuk umat Islam berfikir bukan hanya mengenai kesihatan diri, tetapi asas sistem yang menjadikan manusia ini sakit. Jika kita faham bahawa sihat dan sakit itu datangnya dari Allah, maka polisi yang mengatur kesihatan dan kesakitan manusia juga mestilah bersumberkan daripada Dzat yang sama. Perlu difahami bahawa penyakit masyarakat hari ini bukan sekadar biologi, tetapi adalah gejala dari kerosakan sistemik yang hanya boleh disembuhkan dengan perubahan yang juga sistemik.