Kempen Kesedaran Gagal Membendung Jangkitan HIV Dalam Golongan Muda

Oleh: Syamsiyah Jamil

Peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan penuntut universiti dan lepasan sekolah, yang kebanyakan mereka menerima jangkitan akibat aktiviti seksual, menunjukkan bahawa kempen kesedaran tentang HIV telah gagal membendung golongan ini daripada aktiviti seksual luar nikah, homoseksual dan biseksual.

Berdasarkan rekod terbaru, golongan homoseksual dan biseksual mencatatkan 62 peratus jangkitan HIV, manakala pasangan berlainan jantina mencatatkan 33 peratus jangkitan. Lebih teruk lagi, kanak-kanak bawah usia 13 tahun menyumbang lapan jangkitan baharu HIV. Golongan tertinggi iaitu 44 peratus golongan yang dikesan mendapat jangkitan HIV adalah remaja lepasan sekolah dan universiti iaitu mereka yang berusia 20 hingga 29 tahun. Empat peratus pula adalah golongan pelajar sekolah berusia 13 hingga 19 tahun. (Berita Harian Online, 26/4/2025)

Terbaru, Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF) melancarkan ProtectNow Hub sebagai usaha untuk menangani isu ini. Hub tersebut merupakan sebuah platform perkhidmatan digital pencegahan HIV yang pertama di Malaysia yang memberi akses segera kepada pelbagai perkhidmatan penting seperti PrEP (Profilaksis Pra-Pendedahan), ujian kendiri HIV dan sokongan kesihatan mental serta pemulihan ketagihan.

Hakikatnya, sudah terlalu banyak kempen kesedaran tentang HIV telah dilakukan di sekolah dan universiti melibatkan golongan muda. Contohnya, Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja (PROSTAR) telah diperkenalkan oleh KKM sejak tahun 1995 lagi sebagai usaha menangani masalah HIV/AIDS dalam kalangan remaja. Menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula, ada program Kafe Teen yang memberikan kesedaran kepada remaja mengenai HIV.

Namun, penularan jangkitan HIV masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda. Malah menunjukkan situasi yang lebih parah apabila melibatkan golongan pelajar yang sepatutnya fokus kepada pembelajaran untuk membina generasi pemimpin yang berkualiti di masa hadapan. Malangnya, sejak awal usia remaja lagi mereka telah terlibat dengan aktiviti seksual songsang atau luar nikah yang justeru merosakkan akhlak dan jati diri individu.

Apa yang perlu dilakukan saat ini adalah dengan memfokuskan pada punca peningkatan jangkitan tersebut iaitu aktiviti seksual. Puncanya telah jelas terang lagi bersuluh. Maka, kempen kesedaran tentang haramnya aktiviti seksual, lebih-lebih lagi homoseksual dan biseksual, perlu dilakukan segera.

Homoseksual (gay) adalah perbuatan liwath. Biseksual adalah perbuatan seksual yang dilakukan bersama kedua-dua jenis jantina. Jika dilakukan antara lelaki dan perempuan, ia adalah zina. Jika dilakukan dengan sesama lelaki, ia adalah homoseksual (gay) dan jika dilakukan dengan sesama wanita, ia adalah lesbianisme. Semuanya adalah perbuatan maksiat, keji dan haram di sisi Islam serta boleh dikenakan hukuman yang berat oleh negara. Sabda Nabi SAW,

“Allah telah mengutuk sesiapa saja yang membuat seperti perbuatan kaum Nabi Luth, Allah telah mengutuk sesiapa saja yang membuat seperti perbuatan kaum Nabi Luth, Allah telah mengutuk siapa saja yang membuat seperti perbuatan kaum Nabi Luth.” (HR Ahmad, no. 3908).

Kesimpulannya, golongan muda mesti disedarkan tentang keterikatan hidupnya dengan hukum Allah SWT sebagai pencipta yang akan menghisab amalannya selama hidup dunia bila tiba hari akhirat nanti. Mereka juga perlu tinggalkan gaya hidup bebas yang berasal daripada puak kafir-liberal kerana merekalah sebenarnya yang sentiasa berusaha untuk merosakkan pemikiran dan akhlak generasi muda hari ini.

Rujukan:

  1. https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2025/04/1389081/kes-hiv-penuntut-universiti-sekolah-makin-tinggi-angkara-aktiviti
  2. https://infosihat.moh.gov.my/penerbitan-projek-khas/prostar.html
  3. https://www.buletintv3.my/nasional/semakin-ramai-pelajar-universiti-sekolah-hidap-hiv/
  4. https://www.kosmo.com.my/2025/04/28/selangor-ambil-serius-trend-hiv-belia-bawah-30-tahun/