Memahami Perang Iran-‘Israel’

Buletin HTM – Perang antara Iran dan entiti Yahudi yang tercetus baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat dunia, dan Malaysia tidak terkecuali. Dari satu sisi, ada yang melihatnya sebagai suatu yang sangat serius hingga menyifatkannya sebagai permulaan kepada Perang Dunia Ketiga. Manakala di sisi lain, ada yang menilainya sebagai satu lagi sandiwara dunia dengan Amerika sebagai sutradara.

Setiap orang berhak melakukan analisis dan penilaian masing-masing terhadap perang ini, cumanya ada beberapa perkara atau fakta penting yang perlu diketahui oleh umat Islam. Demikianlah Ustaz Abdul Hakim Othman memulakan kupasan beliau dalam segmen Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM yang disiarkan secara live pada Jumaat malam, 27 Jun 2025.

Ustaz Hakim menjelaskan bahawa perang ini tercetus apabila entiti Yahudi terlebih dahulu menyerang Iran, lalu Iran bertindak balas. Dari segi fakta yang tidak dapat dinafikan, Iran bukanlah berperang untuk membebaskan Palestin; bukan juga untuk menyelamatkan darah dan nyawa penduduk Gaza; bukan untuk menghancurkan ‘Israel’ dan bukan juga untuk menghalau penjajah Yahudi keluar dari bumi Palestin. “Iran hanya membalas serangan ‘Israel’ kerana kepentingan nasional atau kepentingan peribadi, yakni kerana negaranya diserang. Itu sahaja”, tegas Jurucakap HTM itu.

Beliau berulang kali menegaskan bahawa perang ini tidak boleh dilihat sebagai usaha Iran untuk membela umat Islam mahupun membebaskan Palestin. “Ini kerana, jika benar Iran ingin berbuat demikian, sudah lama Iran menyerang ‘Israel’ tanpa menunggu negaranya diserang terlebih dahulu. Iran tidak pernah berhasrat pun untuk membebaskan Masjidil Aqsa mahupun menyelamatkan darah dan maruah umat Islam, kerana sudah berapa lama entiti Yahudi membantai Gaza, tetapi ternyata Iran hanya berdiam diri. Hanya apabila negaranya diserang, barulah Iran membalas serangan, itu pun sangat minimum berbanding kejahatan Yahudi” , ujar Ustaz Hakim dengan nada emosi.

Beliau juga menegaskan bahawa peranan Amerika dalam konflik ini amat besar. Amerika bukan sahaja menjadi dalang di sebalik serangan ‘Israel’, malah menjadi pihak yang mengumumkan gencatan senjata, yang menjadi bukti nyata bahawa Iran dan Israel kedua-duanya tunduk kepada ketentuan Amerika. “Perang berlaku antara Iran dan ‘Israel’, tetapi kenapa pula Amerika yang menentukan gencatan senjata?”, soal beliau. “Inilah bukti bahawa Amerika menjadi penentu terhadap perang ini, bilakah ia bermula dan bilakah ia akan berakhir”, sambung Ust Hakim.

Satu lagi pendedahan penting oleh Ust Hakim dalam kupasan ini adalah bagaimana Amerika menggunakan perang ini untuk mencapai beberapa objektif strategik iaitu antaranya ialah menghentikan program nuklear Iran yang dilihat sebagai ancaman kepada ‘Israel’. Amerika juga ingin menunjukkan kepada ‘anak nakalnya’ (‘Israel’) bahawa anaknya itu tidak boleh dan tidak mampu bertindak sendiri untuk menghapuskan fasiliti nuklear Iran, tanpa restu dan bantuan daripada Amerika.

Di atas semua itu, apa yang penting ialah bagi Amerika ialah untuk membuka fasa baru hubungan antara Iran dan ‘Israel’ tanpa ancaman atau rundingan mengenai nuklear lagi. Ini kerana Amerika ingin memfokuskan perang dagangnya dengan China, dan juga ingin memisahkan kerjasama erat antara Rusia dan China, yang boleh menjadi ancaman kepada hegemoni Amerika di dunia amnya, dan di Timur Tengah khususnya.

Jurucakap HTM itu turut menyentuh betapa jahat dan khianatnya para penguasa umat Islam, termasuk Jordan, Mesir, Turki dan lain-lain yang secara terang-terangan menjadi perisai kepada ‘Israel’ selama ini. Para penguasa umat Islam hari ini tunduk sepenuhnya kepada Barat, sehingga untuk membangun kekuatan tentera sendiri pun memerlukan izin dan restu dari musuh, seperti mana yang berlaku dalam isu perjanjian nuklear Iran selama ini.

Padahal Allah (swt) memerintahkan para penguasa ini untuk mempersiapkan kekuatan tentera semaksimum mungkin untuk menggentarkan musuh dan seterusnya berjihad melawan musuh. Namun, apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Para penguasa ini bukan sahaja berbaik dengan musuh, malah tunduk kepada musuh.

Ustaz Abdul Hakim mengakhiri sesi dengan menyimpulkan bahawa sudah tidak ada apa-apa harapan lagi bagi umat Islam melalui rejim penguasa yang ada sekarang untuk menyelamatkan saudara-saudara mereka di Gaza, membebaskan Palestin dan memerangi Yahudi habis-habisan, kecuali satu-satunya pilihan yang tinggal ialah dengan tegaknya Khilafah, sebuah negara adidaya yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir.