Rakyat telah turun, Anwar tak turun-turun, so what’s next?
Tiada siapa boleh menafikan kejayaan perhimpunan “Turun Anwar” pada 26 Julai lepas dari sudut kejayaan pihak penganjur menggerakkan penyokong mereka, dan juga rakyat, sehingga puluhan ribu telah turun berhimpun, dan paling penting, mesej yang ingin disampaikan oleh penganjur melalui perhimpunan tersebut, telah pun sampai.
Pihak pro kerajaan dan pembangkang bertelagah mengenai anggaran peserta yang hadir, di mana pro kerajaan meremehkan jumlah yang hadir dikatakan hanya 15,000-18,000, manakala pembangkang mendabik dada dengan menyatakan kehadiran mencecah 300,000 sebagaimana sasaran, malah ada yang menyatakan lebih dari itu.
Pertikaian nombor seumpama itu terjadi sejak dulu, kerana bagi kedua-dua blok (kerajaan dan pembangkang), nombor sangatlah penting, kerana ia mencerminkan kejayaan sesebuah perhimpunan. Perbalahan seperti ini memang tidak akan pernah selesai kerana ia merupakan salah satu senjata untuk melemahkan lawan dalam sistem yang sangat mementingkan bilangan majoriti ini.
Berapa pun bilangan peserta yang telah turun ke perhimpunan tersebut, pokoknya ialah rakyat telah pun turun beramai-ramai dalam rangka mendesak Perdana Menteri meletak jawatan, tetapi realitinya Perdana Menteri belum meletak jawatan, malah tidak ada tanda-tanda pun untuk meletak jawatan! Sebaliknya berdasarkan isyarat yang diberi, beliau tidak akan meletak jawatan. Kesimpulannya, biar pun rakyat telah turun demo, Anwar tidak akan turun takhta.
Rakyat seharusnya mempersoalkan kenapakah pembangkang tidak mahu menggunakan parlimen untuk menurunkan Anwar? Kenapa perlu mengerahkan puluhan ribu rakyat ke jalan raya untuk berbuat demikian? Bukankah perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa seseorang Perdana Menteri mesti berundur jika sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen? Jadi, kenapakah ahli-ahli parlimen pembangkang tidak menggunakan hak ini untuk mengusulkan undi tidak percaya di parlimen? Kenapa perlu bersusah-payah dan menghabiskan banyak wang, tenaga dan usaha untuk turun ke jalan raya, padahal terdapat cara yang jauh lebih mudah, cepat serta menjimatkan masa, wang dan tenaga?
Malah, Anwar sendiri telah mencabar pembangkang untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap beliau, dan beliau akan memberi laluan untuk usul tersebut dibahaskan dan diundi. Jadi, sungguh aneh kenapakah pembangkang tidak berbuat demikian? Adakah pembangkang risau jika usul dikemukakan dan mereka kalah dalam pengundian tersebut, maka mereka tidak lagi dapat menggunakan rakyat untuk mencapai objektif mereka?
Jika benar pembangkang memang serius untuk menurunkan Anwar, maka gunakanlah hak perlembagaan ini. Bukankah ini jalan demokrasi untuk menjatuhkan seseorang Perdana Menteri secara sah? Kenapa perlu pergunakan rakyat untuk turunkan Anwar melalui jalan raya?
Kita tidak menafikan hak rakyat untuk berhimpun atau berdemonstrasi. Kita juga tidak menafikan hak rakyat untuk menuntut seseorang Perdana Menteri meletak jawatan. Namun, kita ingin menyedarkan rakyat bahawa mereka juga boleh menuntut dan mendesak wakil-wakil mereka (ahli parlimen yang mereka pilih) untuk menurunkan Anwar dengan cara yang lebih cepat, jimat dan berkesan iaitu melalui undi tidak percaya. Bukankah ahli parlimen itu merupakan wakil mereka, dan bukankah wakil mereka mesti mendengar tuntutan mereka? Jika cara undi tidak percaya gagal, maka barulah lebih wajar untuk rakyat menggunakan cara jalan raya.
Rakyat perlu sedar bahawa walau sejuta, atau sepuluh juta orang sekali pun turun ke jalan raya mendesak Perdana Menteri untuk meletak jawatan, dari segi undang-undang, Perdana Menteri tidak wajib berundur. Namun, jika 113 orang ahli parlimen menyatakan tidak lagi percaya kepada Perdana Menteri, maka Perdana Menteri wajib berundur. Inilah ajaran demokrasi di Malaysia, yang mana Perdana Menteri tidak perlu tunduk kepada tuntutan jalan raya, tetapi wajib tunduk kepada tuntutan undi tidak percaya.
Namun, satu isu yang jauh lebih besar daripada semua itu ialah, jika Anwar Ibrahim benar-benar turun dari jawatan sekali pun, nasib rakyat tidak akan berubah selagi sistem demokrasi terus kekal. Ini kerana siapa pun yang menjadi Perdana Menteri dalam sistem warisan penjajah ini, dia hanyalah pelaksana kepada apa yang telah ditetapkan oleh penjajah, dan akan memerintah mengikut hawa sebagaimana penjajah, bukannya mengikut Al-Quran dan As-Sunnah. Sudah berlalu sembilan Perdana Menteri dan sekarang rakyat dipimpin oleh Perdana Menteri yang kesepuluh, Islam tidak pernah diterapkan dan nasib rakyat tidak pernah terbela.
Sekiranya Anwar turun sekarang, atau kalah PRU-16 nanti, dan diganti dengan Perdana Menteri yang baru, nescaya kitaran kezaliman akan terus berulang. Pada waktu itu rakyat mungkin sekali lagi akan digerakkan oleh parti pembangkang untuk menuntut Perdana Menteri meletak jawatan. Rakyat akan sekali lagi dikerahkan untuk turun ke jalan raya untuk berdemo, menuntut sesuatu yang hasilnya tidak pernah menguntungkan rakyat, tetapi menguntungkan ahli-ahli politik daripada barisan pembangkang yang telah mempergunakan mereka.
Tidak percaya? Cuba tanya berapa ramaikah peserta yang turun demo pada 26 Julai lalu, yang sebelum ini telah turun demo untuk menjatuhkan Mahathir, untuk menjatuhkan Najib dan mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri? Berapa ramai yang dulu berdemo untuk menaikkan Anwar, kini orang yang sama berdemo untuk menjatuhkan Anwar?
Semoga rakyat akan sedar bahawa malapetaka yang menimpa rakyat dan negara, bukan hanya berpunca daripada pemimpin semata-mata, tetapi juga daripada sistem yang diterapkan oleh pemimpin tersebut. Sistem apa lagi jika bukan sistem demokrasi warisan penjajah yang telah terbukti rosak dan merosakkan, dan telah terbukti pertentangannya dengan Islam.
Maka, next step and the only right step untuk rakyat Malaysia, khususnya umat Islam ialah, untuk berusaha menukar kedua-dua punca malapetaka yang menimpa mereka secara serentak – pemimpin dan sistem – kepada pemimpin dan sistem yang akan menerapkan Al-Quran dan As-Sunnah – Khalifah selaku pemimpinnya dan Khilafah selaku sistem dan negaranya. Inilah satu-satunya solusi yang harus disedari dan diambil oleh umat Islam, setelah umat Islam dipatuk dari lubang yang sama berkali-kali.
Wallahu a’lam.