SN684 – ART: Ketundukan Malaysia Kepada Neo-Imperalisme Amerika

Bil: SN684 (PDF/Print) – 4 Jamadilakhir 1447 / 25 November 2025
Pada 26 Oktober 2025, Malaysia menandatangani The Agreement on Reciprocal Trade (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala, merangkumi aspek akses pasaran, tarif, sektor digital dan pelaburan. Namun, perjanjian ini dimeterai dalam konteks tekanan tarif serta sekatan bukan tarif yang semakin meningkat dari pihak AS (theedgemalaysia.com), sekali gus menimbulkan persepsi bahawa Malaysia berada dalam kedudukan tawar-menawar yang lemah. Kritikan utama terhadap ART ialah kewujudan elemen yang dianggap mencerminkan “ketundukan” Malaysia kepada AS, khususnya melalui klausa yang mewajibkan Malaysia berkonsultasi dengan Washington sebelum memeterai sebarang perjanjian digital dengan negara lain. Sarjana seperti Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah turut berhujah bahawa tindakan tersebut menggambarkan Malaysia sebagai sebuah “negara kecil” yang akur kepada tekanan kuasa besar (www.isis.org.my).
Sebagai maklum balas, kerajaan menegaskan bahawa kedaulatan Malaysia tidak tergugat. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia tidak tunduk kepada mana-mana kuasa asing dan ART tidak menghalang negara membuat keputusan sendiri (www.malaymail.com), malah kerajaan melalui MITI menegaskan Malaysia berhak menamatkan perjanjian jika bercanggah dengan kepentingan nasional (www.miti.gov.my).
Hakikatnya, Malaysia bukanlah sebuah kuasa adidaya dunia sebagaimana Daulah Islam atau Khilafah yang meletakkan as-siyādah li al-sharʿi (kedaulatan pada syarak). Sebaliknya, Malaysia ialah sebuah negara bangsa berteraskan nasionalisme dan berperanan sebagai pemain ekonomi berskala kecil hingga sederhana dalam sistem global. Dalam kedudukan sebegini, Malaysia sentiasa berusaha menyeimbangkan kepentingan nasionalnya dengan tekanan yang datang daripada kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Namun, kewujudan klausa-klausa dalam ART yang dianggap kabur serta berat sebelah — termasuk yang menyentuh mineral strategik, sektor digital dan pelaburan — menimbulkan kebimbangan mengenai ruang dasar yang dimiliki Malaysia. Kritikan utama ialah bahawa syarat-syarat tersebut dilihat telah menyerahkan negara kepada AS di dalam menentukan dasar ekonomi dan perdagangan sendiri, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Malaysia benar-benar mampu mempertahankan kebebasan strategiknya dalam jangka panjang.
Keraguan dalam Perjanjian ART.
Malaysia kelihatan tergesa-gesa menandatangani ART akibat tekanan ekonomi dan geopolitik, khususnya selepas Amerika Syarikat mengenakan tarif tinggi terhadap produk Malaysia. Kebergantungan negara kepada pasaran AS untuk mengekalkan kedudukannya dalam rantaian bekalan elektronik dan semikonduktor global turut memperkukuh desakan tersebut. Sebagai sebuah ekonomi kecil berorientasikan eksport, kerajaan melihat ART sebagai laluan pantas untuk memperoleh akses pasaran yang lebih stabil, mengurangkan halangan bukan tarif, serta memperluas kerjasama teknologi. Namun, rasional ini menimbulkan keraguan yang ketara kerana keputusan tersebut dibuat ketika Malaysia berada dalam kedudukan tawar-menawar yang lemah.
Kebimbangan utama timbul daripada klausa digital dalam ART, khususnya Artikel 3.3, yang mewajibkan Malaysia untuk “berkonsultasi dengan AS” sebelum menandatangani sebarang perjanjian digital dengan negara lain sekiranya ia dianggap menjejaskan kepentingan Amerika. Di samping itu, keistimewaan yang diberikan terhadap cukai perkhidmatan digital yang memanfaatkan syarikat-syarikat teknologi AS menimbulkan persoalan besar tentang keseimbangan manfaat dalam perjanjian ini. Secara keseluruhannya, klausa tersebut jelas memberikan kelebihan yang tidak seimbang kepada firma digital AS.
Lebih membimbangkan, ART turut meliputi aspek mineral nadir bumi, tenaga dan infrastruktur strategik negara. Artikel 6.1 mengikat Malaysia untuk memudahkan pelaburan bernilai USD 70 bilion ke dalam ekonomi AS, manakala Artikel 5.2 pula memberi ruang kepada Washington untuk campur tangan dalam kawalan eksport teknologi sensitif serta menentukan jenis pelaburan yang dianggap berisiko. Melalui klausa-klausa ini, jelas bahawa Malaysia berisiko menjadi terlalu bergantung kepada AS dalam menentukan dasar bagi sektor strategiknya sendiri. Ini menimbulkan persoalan yang lebih besar: bagaimana kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat sekiranya dasar-dasar kritikal dibentuk berdasarkan kepentingan kuasa luar? Dan apakah kesannya terhadap generasi akan datang sekiranya ruang membuat keputusan dasar negara semakin mengecil?
ART adalah Strategi Neo-Imperialisme AS
Berbeza dengan perjanjian-perjanjian perdagangan lain, perjanjian ART ini sebenarnya adalah satu mekanisme neo-imperialisme ekonomi AS sebagai kuasa besar yang digunakan untuk menekan dan mendesak Malaysia supaya terpaksa tunduk dan memberikan kelebihan kepada ekonomi AS. Malaysia yang bergantung kepada eksport dan rantaian bekalan elektronik global terpaksa menandatangani perjanjian dengan syarat yang berat sebelah, berbanding perundingan dengan kedudukan setara. Kesedaran terhadap klausa seperti konsultasi digital, kefleksibelan terhadap tarif barangan AS, pengiktirafan standard AS (produk daging dan perkaitan halal) menunjukkan bahawa Malaysia telah bergerak ke arah memenuhi kehendak Washington dalam beberapa bidang dasar utama.
Malaysia hakikatnya berada di dalam kedudukan yang sempit ketika berunding dengan kuasa besar. Walaupun Malaysia mendakwa bebas dan berdaulat, namun realitinya Malaysia terpaksa mengalah semata-mata untuk mendapatkan kepentingan segera dengan melepaskan potensi kekayaan besar dan berdaya tahan. Semua tahu, Malaysia memiliki sumber strategik seperti mineral kritikal atau nadir bumi, yang boleh menjadi leverage dalam rundingan. Namun, Malaysia telah mengikat diri untuk bekerjasama dengan AS dalam bidang kritikal tersebut tanpa mendapatkan syarat yang benar-benar menyokong pembangunan dalam negara dan kawalan penuh terhadap sumbernya. Malaysia bersetuju untuk memudahkan pelaburan ke AS dan bekerjasama dalam pengawalan eksport “critical minerals and infrastructure”. Ini jelas memperlihatkan Malaysia seakan tidak memanfaatkan leverage sedia ada untuk menuntut syarat yang lebih menguntungkan bagi pihaknya atau menegaskan hak kawalan penuh terhadap sumber strategik. Dalam kerangka neo-imperialisme, memang kuasa besar memanfaatkan negara kecil dan sumbernya melalui perjanjian seperti ini.
Penyelesaian Islam
Pada dasarnya, ART tidak boleh diterima kerana ia bercanggah dengan prinsip asas hubungan antarabangsa dalam Islam. Islam telah menetapkan bahawa negara tidak boleh menyerahkan atau memberikan apa-apa kelebihan kepentingan strategik kepada negara kafir, apalagi memberikan kelebihan kepada musuh Islam untuk mendapat akses kepada sumber strategik negara dan tidak boleh tunduk kepada tekanan geopolitik. Berikut adalah keterangan dan hujah yang membuktikan bahwa ART telah melanggar apa yang telah diterangkan di dalam Islam samada yang diamalkan oleh para sahabat dan dalil syarak.
Pertama, Islam membenarkan tarif dikenakan secara timbal balas (mu‘āmalah bi al-mithl). Secara praktikal ini ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a. ketika mengadakan perjanjian dengan Rom dan Parsi. Jika negara kafir harbi mengenakan cukai 10% terhadap pedagang Muslim, daulah akan mengenakan kadar yang sama kepada pedagang mereka. Prinsip ini direkodkan dalam Kitab al-Kharaj karya Abu Yusuf dan Al-Amwal oleh Abu ‘Ubayd. Namun dalam ART, Malaysia memberikan lebih banyak konsesi berbanding Amerika Syarikat—yang akan menyebabkan kekayaan dari sumber bumi Malaysia mengalir ke AS – yang mana ia telah menurunkan pelbagai halangan perolehan sementara AS mengekalkan sebahagian tarif dan menetapkan pula syarat tambahan seperti keperluan konsultasi digital. Ini jelas memberi kelebihan kepada AS.
Kedua, larangan untuk menyerahkan barangan atau sumber strategik kepada negara musuh. Dalam hadis Nabi SAW memberi amaran agar umat Islam tidak membantu musuh apa-apa alat yang dapat memperkuatkan mereka membunuh kaum Muslimin.
“Barang siapa membantu pembunuhan seorang Muslim walaupun dengan separuh kata, maka pada hari kiamat akan tertulis di antara kedua matanya: ‘Orang ini terputus daripada rahmat Allah’.” [Riwayat Ibnu Majah]
Ulama fiqh menjelaskan larangan ini meliputi bukan hanya senjata, tetapi juga segala bentuk bahan strategik seperti mineral nadir bumi, logam teknologi tinggi, sumber tenaga, data, keselamatan siber, teknologi kritikal dan sokongan politik yang menyebabkan musuh kuat terhadap Muslim. ART membuka ruang bagi AS menguasai standard keselamatan mineral kritikal Malaysia, menentukan bentuk pelaburan tenaga, dan berpotensi menguasai rantaian pengeluaran mineral strategik. Hal ini jelas melanggar larangan syarak yang bertujuan melindungi kekuatan umat Islam daripada diperalatkan oleh musuh.
Ketiga, yang paling serius, larangan untuk tunduk atau menyerahkan kuasa di dalam menentukan dasar negara sendiri kepada kuasa kafir harbi.
“Allah tidak akan sekali-kali memberi jalan (sulṭān) kepada orang kafir untuk menguasai orang-orang beriman.” [TMQ An-Nisa:141]
Menurut tafsiran fuqaha serta penjelasan dalam kitab-kitab Nizham al-Iqtishadi fi al-Islam dan Ajhizah Dawlah al-Khilafah, ayat ini melarang segala bentuk penyerahan kuasa strategik kepada musuh, sama ada dalam bentuk undang-undang, polisi, standard keselamatan, atau kawalan ekonomi. ART, melalui beberapa klausanya, akan memberikan laluan AS untuk mempengaruhi dasar Malaysia, terutama dalam sektor digital dan mineral kritikal. Ini adalah bentuk penyerahan “sulṭān” (kekuasaan) kepada negara kafir, yang hukumnya haram. Oleh itu, jelas bahawa ART bukanlah sebuah perjanjian perdagangan yang neutral, tetapi satu bentuk ketundukan politik yang serius.
Khatimah
Kesimpulannya, perjanjian ART membawa cabaran penting: Malaysia sebagai negara kecil menghadapi risiko “ketundukan” kepada kehendak kuasa besar, ditampilkan melalui syarat-syarat yang membabitkan teknologi digital, sumber strategik dan konsultasi pra-kesepakatan dengan AS. Ia bukan sekadar isu perdagangan, tetapi pengkhianatan kepada kedaulatan negara, penyerahan kuasa strategik kepada kuasa kafir, dan pelanggaran prinsip hukum syarak. Ketundukan ini adalah hasil langsung daripada sistem politik sekular demokrasi yang menolak syariah sebagai asas pemerintahan sehingga tidak dapat berfikir secara strategik dan sebagai jiwa yang merdeka daripada perhambaan kepada sistem Kapitalis (neo-kolonialisme).
“Apakah hukum jahiliah yang mereka cari? Sedangkan hukum Allah itu adalah yang terbaik bagi kaum yang yakin.” [TMQ Al-Ma’idah: 50]
Jadi, penyelesaian sebenar terhadap masalah ini bukanlah mengubah klausa ART, bukan menambah baik rundingan perdagangan, dan bukan juga mencari bentuk “reformasi institusi” dalam kerangka demokrasi sekular. Penyelesaian hakiki adalah mengembalikan kedaulatan kepada Islam melalui penegakan Khilafah ‘ala minhaj an-Nubuwwah. Hanya Khilafah yang akan menerapkan prinsip mu‘āmalah bi al-mithl secara tegas, melarang penyerahan sumber strategik kepada musuh, memastikan dasar negara bebas daripada campur tangan asing, dan memimpin umat Islam sebagai kuasa yang merdeka dan mulia di pentas dunia.