Ancaman Allah ke atas penceroboh tanah

Semua Muslim boleh dikatakan maklum mengenai hukum meminta izin untuk memasuki rumah orang lain. Malah, non-Muslim atau orang yang tak beragama atau yang tidak percaya kepada Tuhan sekalipun boleh dikatakan tahu akan kewajipan untuk meminta izin jika ingin memasuki rumah orang lain. Allah (swt) berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّى تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian memasuki rumah yang bukan rumah kalian sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagi kalian agar kalian (selalu) ingat” [An-Nur (24):27].

Dalam ayat berikutnya, Allah (swt) melanjutkan:

فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فِيهَا أَحَدًا فَلا تَدْخُلُوهَا حَتَّى يُؤْذَنَ لَكُمْ وَإِنْ قِيلَ لَكُمُ ارْجِعُوا فَارْجِعُوا هُوَ أَزْكَى لَكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

“Jika kalian tidak menemui seorang pun di dalamnya, janganlah kalian masuk sebelum kalian mendapat izin. Jika dikatakan kepada kalian, “Kembalilah,” maka hendaklah kalian kembali. Itu lebih bersih bagi kalian. Allah Maha Tahu atas apa sahaja yang kalian kerjakan” [An-Nur (24):28].

Sehubungan itu, memasuki rumah orang lain, atau tanah orang lain tanpa izin pemiliknya, jelas merupakan sebuah pencerobohan dan keharaman. Lebih buruk lagi jika seseorang itu menceroboh tanah orang lain dan membina suatu bangunan atau menanam suatu tanaman di dalamnya. Islam sangat tegas menghalang pencerobohan atau perampasan tanah seperti ini dan mengancam pelakunya dengan seksa yang berat. Sabda Rasulullah (saw):

مَنْ ظَلَمَ قِيدَ شِبْرٍ مِنَ الأَرْضِ طُوِّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ

“Siapa saja yang merampas sejengkal tanah secara zalim, nescaya ia akan dibebani tujuh lapis bumi” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Dari Ibnu Umar, beliau menuturkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ أَخَذَ مِنَ الأَرْضِ شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّه خُسِفَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى سَبْعِ أَرَضِينَ

“Siapa saja yang mengambil tanah meski pun sedikit, yang bukan haknya, nescaya ia dibenamkan pada hari kiamat ke dalam tujuh lapis bumi [HR al-Bukhari].

Said bin Zaid (ra) menuturkan bahawa Rasul (saw) bersabda:

مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِه فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ سَرَقَ مِنَ الأَرْضِ شِبْرًا طُوِّقَه يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ

“Siapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid. Siapa saja yang mencuri tanah barang sejengkal, ia akan dibebani pada hari kiamat dengan tujuh lapis bumi [HR at-Tirmidzi].

Dalam riwayat Ya’la bin Murrah, Rasulullah (saw) bersabda:

أَيُّمَا رَجُلٍ ظَلَمَ شِبْرًا مِنَ الْأَرْضِ، كَلَّفَهُ اللهُ أَنْ يَحْفِرَهُ حَتَّى يَبْلُغَ آخِرَ سَبْعِ أَرَضِينَ، ثُمَّ يُطَوَّقَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ

“Lelaki mana pun yang merampas sejengkal tanah secara zalim, Allah akan membebaninya agar menggali tanah itu hingga mencapai akhir tujuh lapis bumi. Kemudian tanah itu dibebankan pada dirinya pada hari kiamat hingga diputuskan di antara manusia [HR ath-Thabarani dan Ibn Hibban].

Al-Hakam bin al-Harits as-Sulami menuturkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ أَخَذَ مِنْ طَرِيق الْمُسْلِمِينَ شِبْراً جَاء يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُه مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ

“Siapa saja yang mengambil dari jalan kaum Muslimin sejengkal tanah sahaja, dia akan datang pada hari kiamat memanggul tanah itu tujuh lapis bumi [HR Abu Ya’la, Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata sanadnya hasan].

Walaupun dengan lafaz-lafaz yang sedikit berbeza, hadis-hadis di atas memberikan satu pengertian yang sama iaitu siapa sahaja yang menceroboh tanah orang lain, atau menguasai tanah orang lain, atau mengambil tanah yang bukan haknya, yakni tanpa izin pemilik tanah, maka Allah menyediakan azab yang berat baginya di akhirat.

Sabda Rasulullah (saw) “qîda syibrin” (sejengkal sahaja) bermakna walaupun hanya sedikit sahaja tanah yang dirampas, namun ia memberi pengertian secara mafhuum muwaafaqah min baab al-aula, bahawa jika sejengkal tanah sahaja demikian azabnya, maka apatah lagi jika lebih daripada itu.

Lebih dari itu, Rasulullah (saw) menjelaskan bahawa merampas tanah merupakan satu tindakan ghulul (kecurangan/khianat) yang paling besar. Abu Malik al-As’ariy menuturkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

أَعْظَمُ الْغُلُولِ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ذِرَاعُ أَرْضٍ يَسْرِقُهُ رَجُلٌ، فَيُطَوَّقُهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ

“Ghulul yang paling besar di sisi Allah pada hari kiamat adalah sehasta tanah yang dicuri seorang lelaki, lalu ia dibebani dengan tujuh lapis bumi” [HR Ibnu Abi Syaibah dengan sanad hasan].

Selain itu, dapat difahami daripada hadis-hadis tersebut bahawa tanah yang dirampas itu boleh sahaja milik individu, milik umum mahupun milik negara. Jika ia milik umum (seperti hutan, pantai, sungai, tasik, padang dan sebagainya), maka berdasarkan kaedah mafhuum muwaafaqah yang sama, azabnya adalah lebih besar lagi ke atas si perampas, kerana hak yang dirampas itu merupakan hak orang ramai.

Begitu juga dengan kedudukan si perampas, boleh jadi si perampas tersebut adalah individu, kelompok mahupun negara (penguasa). Jika perampasnya adalah penguasa, maka sudah tentu azabnya lebih besar lagi, kerana penguasa seharusnya menjaga hak rakyat, bukannya merampas hak rakyat.

Seperkara lagi, menurut para ulama, hadis-hadis ini juga mengisyaratkan bahawa siapa saja yang memiliki tanah, itu bermaksud ia memiliki permukaan tanah, apa sahaja yang ada di bawah tanah (galian dan sebagainya) dan ruang udara di atas tanah. Ini kerana, maksud tanah itu mencakupi semuanya, kecuali jika dalam kes di mana terdapat galian yang banyak di dalam tanah, maka tanah tersebut akan bertukar menjadi milik umum sesuai syariat.

Atas dasar ini, pemilik tanah berhak melarang siapa sahaja menggali di bawah permukaan tanahnya itu tanpa kebenarannya, dan juga berhak melarang siapa pun untuk membina bangunan atau jejantas merentasi tanahnya.

Akhir sekali, perlu difahami bahawa jika si penceroboh atau perampas tanah itu merupakan orang kafir, maka azabnya tentu berganda lagi ke atas mereka. Azab paling besar ke atas mereka sudah tentu kerana kekufuran mereka kepada Allah (swt), dan di tambah lagi dengan azab lain atas kesalahan menceroboh tanah dan kesalahan-kesalahan lain yang mereka lakukan semasa di dunia.

Wallahu a’lam.