Jawapan Islam terhadap kes pencerobohan tanah

Isu pembinaan kuil haram ternyata gagal ditangani oleh kerajaan. Semua tahu bahawa isu ini bukanlah isu baru, tetapi telah lama wujud dan laporan juga telah lama dibuat oleh pemilik tanah. Kegagalan pihak berwajib mengambil tindakan menyebabkan penceroboh semakin naik kepala dan kesannya semakin banyak kuil haram didirikan, baik di atas tanah kerajaan sendiri, tanah wakaf mahupun tanah persendirian.

Setelah tindakan penceroboh melampau-lampau, inilah yang telah menimbulkan kemarahan yang semakin besar dari orang ramai, bukan sahaja terhadap penceroboh, tetapi terhadap kerajaan yang terus berdiam diri. Akhirnya pemilik tanah mengambil tindakan sendiri, dan apa yang berlaku adalah lebih buruk apabila pihak berkuasa menangkap pemilik tanah sedangkan penceroboh terus dibiarkan. Apa yang menambah petrol kepada api kemarahan rakyat ialah terdapat kuil haram yang diberi pampasan oleh kerajaan untuk dipindahkan dengan mendapat tanah percuma di tempat lain yang harganya mencecah jutaan ringgit.

Sesungguhnya isu ini bukan isu kecil, apatah lagi apabila tanah yang terlibat ialah kepunyaan Muslim, yang sudah tentu tidak mahu sebarang berhala di bina di atas tanahnya. Malaysia mempunyai undang-undang tanah, dan juga undang-undang jenayah yang seharusnya menjaga hak pemilik tanah, namun malangnya hak tuan tanah terus terabai dan penceroboh pula diberi keistimewaan. Demikianlah buruknya penguasa dan sistem sekular dalam menjaga hak rakyat. Ini semua tentunya tidak lepas daripada kepentingan undi, penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang telah lama mendarah daging di Malaysia.

Mungkin tidak ramai yang tahu apakah jawapan Islam terhadap kes pencerobohan tanah. Sebagai sebuah ad-Deen yang syumul, sudah pasti Islam mempunyai solusi tuntas kepada segala masalah, termasuklah isu pencerobohan. Islam mengharamkan pencerobohan atau perampasan tanah orang lain dengan larangan yang sangat tegas. Sabda Rasulullah (saw):

مَنْ ظَلَمَ قِيدَ شِبْرٍ مِنَ الأَرْضِ طُوِّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ

“Siapa saja yang merampas sejengkal tanah secara zalim, nescaya ia akan dibebani tujuh lapis bumi” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Bayangkan jika sejengkal sahaja tanah yang dirampas sudah sedemikian azabnya, maka berdasarkan mafhum muwafaqah, lagi banyak tanah yang dirampas lagi besarlah azabnya, tanpa mengira si perampas itu Muslim mahupun non-Muslim.

Persoalan seterusnya ialah, bagaimana jika si penceroboh atau perampas tersebut menanam suatu tanaman atau membina suatu bangunan di tanah yang dicerobohinya? Dalam kes seumpama ini terdapat hadis dari Rafi’ bin  Khadij menuturkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ زَرَعَ فِى أَرْضِ قَوْمٍ بِغَيْرِ إِذنهم فَلَيْسَ لَهُ مِنَ الزَّرْعِ شَىْءٌ وَتُرَدُّ عَلَيْهِ نَفَقَتُه

“Siapa saja yang menanam di tanah suatu kaum tanpa izin mereka, maka tidak ada hak  atasnya dari tanaman itu sedikit pun, dan biayanya dikembalikan kepada dirinya. HR Ibnu Majah dan Ahmad].

Hadis ini juga diriwayatkan dengan redaksi yang sedikit berbeza sebagai berikut:

مَنْ زَرَعَ فِى أَرْضِ قَوْمٍ بِغَيْرِ إِذْنهم فَلَيْسَ لَه مِنَ الزَّرْع شَىْءٌ وَلَهُ نَفَقَتُه

“Siapa saja yang menanam di tanah suatu kaum tanpa izin mereka, maka tidak ada hak atasnya dari tanaman itu sedikit pun, dan untuk dia biayanya” [HR Abu Daud dan at-Tirmidzi].

Berdasarkan hadis ini, jika si penceroboh menanam di tanah orang lain tanpa izin dari pemilik tanah tersebut, maka dia tidak berhak sedikit pun atas tanaman itu dan hasilnya. Tanaman dan hasilnya itu menjadi hak pemilik tanah. Orang yang menanam itu (penceroboh) hanya berhak atas perbelanjaan yang telah dia keluarkan, yakni perbelanjaan itu akan dikembalikan kepadanya.

Ini dalam keadaan di mana pemilik tanah memilih untuk mengekalkan tanaman tersebut, kerana mungkin sahaja ia adalah tanaman yang baik, yang disukai oleh pemilik tanah.

Bagaimana pula keadaannya jika pemilik tanah tidak mahukan tanaman tersebut? Kes seperti ini pernah terjadi dan dibawakan kepada Rasulullah (saw). Baginda kemudian mengeluarkan keputusan (penyelesaian)nya. Urwah bin az-Zubair menuturkan:

فَاخْتَصَمَ رَجُلَانِ مِنْ بَيَاضَةَ إِلَى رَسُولِ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – غَرَسَ أَحَدُهُمَا نَخْلًا فِي أَرْضِ الْآخَرِ، فَقَضَى رَسُولُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – لِصَاحِبِ الْأَرْضِ بِأَرْضِهِ، وَأَمَرَ صَاحِبَ النَّخْلِ أَنْ يُخْرِجَ نَخْلَهُ مِنْهَا. قَالَ: قَالَ عُرْوَةُ: فَلَقَدْ أَخْبَرَنِي الَّذِي حَدَّثَنِي، قَالَ: رَأَيْتُهَا وَإِنَّهُ لَيُضْرَبُ فِي أُصُولِهَا بِالْفُؤُوسِ، وَإِنَّهُ لَنَخْلٌ عُمٌّ حَتَّى أُخْرِجَتْ.

“Pernah ada dua orang lelaki dari Bayadhah bersengketa meminta keputusan kepada Rasulullah (saw). Orang pertama menanam pohon kurma di tanah orang kedua. Rasulullah (saw) lalu memutuskan, pemilik tanah berhak atas tanahnya. Baginda kemudian memerintahkan pemilik kurma (penceroboh) untuk mengeluarkan pohon kurma itu dari tanah tersebut. Urwah berkata: Orang yang memberitahuku (Said bin Zaid) berkata, ‘Aku melihat kurma itu digali akarnya dengan kapak. Itu adalah pohon kurma yang sudah sempurna (sudah besar). Lalu ia dikeluarkan dari tanah itu” [HR al-Baihaqi dan Abu Daud].

Dalam hadis ini, oleh kerana pemilik tanah tidak mahukan tanaman tersebut, maka Rasulullah (saw) memerintahkan si penanam (penceroboh) untuk mengeluarkannya dari tanah tersebut walaupun tanamannya (pohon kurma) itu sudah besar.

Ketentuan dalam hadis ini bukan hanya berlaku untuk orang yang “menanam” di tanah pihak lain. Ini kerana, makna غَرَسَ menurut para ulama adalah mencakupi apa sahaja aktiviti perkebunan dan jenis tanaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan lain-lain, dan turut mencakupi bangunan yang dibina atas tanah tersebut, perigi atau parit yang digali, atau aktiviti apa pun di atas tanah milik orang lain.

Malah, lebih dari itu, ia termasuklah aktiviti melombong atau mengeluarkan segala jenis galian atau mineral yang terdapat di dalam tanah, sebagaimana yang dilakukan oleh penguasa pada hari ini yang “merampas” segala macam hasil bumi di tanah milik umum (al-milkiyah al-ammah) seperti minyak, gas asli, emas, bauksit dan sebagainya. Semua ini termasuk dalam makna غَرَسَ.

Secara ringkasnya, apa yang dapat kita fahami daripada hadis-hadis di atas ialah:

Pertama: Penceroboh tidak berhak atas tanah yang dicerobohinya, dam mesti keluar dari situ.

Kedua: Tanah yang diceroboh boleh sahaja milik individu (al-milkiyah al-fardiyah), milik umum (al-milkiyah al-ammah) atau milik negara (al-milkiyah al-ammah).

Ketiga: Penceroboh tidak punya hak atas tanaman, bangunan, atau apa sahaja yang dia buat atas tanah tersebut, termasuk hasilnya. Tanaman atau bangunan dan hasilnya adalah hak pemilik tanah, sementara penceroboh hanya berhak atas perbelanjaan asalnya sahaja.

Keempat: Tanah yang dirampas tersebut wajib dikembalikan kepada pemiliknya, dan di sinilah negara memainkan peranan – sebagai qadhi dan sebagai pelaksana sekali gus. Ini kerana, si penceroboh biasanya tidak akan mahu keluar dari tanah tersebut sehingga akan menimbulkan persengketaan atau pergaduhan dengan tuan tanah. Hal inilah yang telah dilakukan oleh Rasulullah (saw) dalam hadis di atas, atas kapasiti baginda sebagai qadhi dan penguasa.

Kelima:  Dalam kes di mana penceroboh telah menanam suatu tanaman, atau membina suatu bangunan, pemilik tanah mempunyai pilihan samada:

  • Mengekalkan tanaman atau bangunan tersebut, dan membayar perbelanjaan asalnya kepada penceroboh tersebut berupa harga biji benih, baja atau kos bangunan.
  • Memerintahkan penceroboh mengeluarkan segala tanaman dan merobohkan segala bangunan. Dengan kata lain mengembalikan tanah sebagaimana keadaan asalnya. Jika ini pilihannya, maka penceroboh kena keluarkan biaya sendiri untuk melakukan semua itu – sesuai dengan hadis Urwah bin az-Zubair di atas.

Mungkin ada yang bertanya, bolehkah tuan tanah melakukan tindakan sendiri dengan mengeluarkan tanaman atau merobohkan bangunan yang ada? Tindakan seperti ini adalah menyalahi ketentuan hadis di atas, di samping akan menimbulkan ketidakadilan kepada pemilik tanah. Ini kerana dia terpaksa mengeluarkan biaya dan usaha sendiri untuk berbuat demikian, padahal dia tidak bersalah. Keadaan ini juga menjadikan si penceroboh seperti orang yang tidak bersalah, kerana tidak perlu melakukan apa-apa dengan kesalahan yang telah dia lakukan.

Seterusnya mungkin ada satu lagi persoalan– bagaimana jika wujud persengketaan dari segi pemilikan tanah itu sendiri, di mana masing-masing mengaku bahawa tanah itu adalah miliknya. Jawapannya sebagaimana diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dari Wail bin Hijr:

جَاءَ رَجُلٌ مِنْ حَضْرَ مَوْتَ وَرَجُلٌ مِنْ كِنْدَةَ اِلَى النَّبِيِّ فَقَالَ الْحَضْرَمِيُّ يَا رَسُوْلَ اللهِ هَذَا غَلَبَنِيْ عَلَى أَرْضٍ لِيْ، فَقَالَ الْكِنْدِيُّ: هِيَ أَرْضِيْ وَفِي يَدِيْ فَلَيْسَ لَهُ فِيْهَا حَقٌّ، فَقاَلَ النَّبِيُّ لِلْحَضْرَمِيِّ: أَلَكَ بَيِّنَةٌ؟ قَالَ: لاَ، قَالَ: فَلَكَ يَمِيْنُهُ، قَالَ يَارَسُوْلَ اللهِ الرَّجُلُ فاَجِرٌ لاَ يُبَالِيْ عَلَى مَا حُلِفَ عَلَيْهِ وَلَيْسَ يَتَوَرَّعُ مِنْ شَيْءٍ، قَالَ: لَيْسَ لَكَ مِنْهُ إِلاَّ ذلِكَ. فَانْطَلَقَ الرَّجُلُ لِيَحْلِفَ لَهُ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ لَماَ اَدْبَرَ: لَئِنْ حَلَفَ عَلَى مَالِهِ لِيَأْكُلَهُ ظُلْمًا لِيَلْقِيَنَّ اللهَ تَعَالَى وَهُوَ عَنْهُ مُعْرِضٌ

‘Seseorang lelaki dari (daerah) Hadhramaut dan seorang lelaki dari (suku) Kindah datang menjumpai Rasulullah (saw). Orang Hadhramaut itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, orang ini telah merampas tanahku.’ Namun orang Kindah itu membalas: ‘Sebenarnya tanah itu adalah milikku dan berada dalam penguasaanku, dan dia tidak memiliki hak atas tanah milikku itu sedikit pun.’ Rasulullah (saw) bertanya kepada orang Hadhramaut itu: ‘Apakah engkau memiliki bukti?’ Lelaki itu menjawab: ‘Tidak’. Rasulullah berkata lagi: ‘Kalau begitu engkau harus menerima sumpah orang Kindah itu.’ lelaki Hadhramaut itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia adalah lelaki yang fajir (zalim), dia tidak menghiraukan sama sekali sumpah yang ditujukan kepadanya, dan dia tidak merasa takut dengan sesuatu apa pun.’ Rasulullah menjawab: ‘Engkau tidak memiliki alasan lain mengenai dia selain harus menerima hal itu.’ Kemudian dia meninggalkan tempat itu supaya orang tersebut mau bersumpah. Setelah lelaki Kindah itu pergi Rasulullah (saw) berkata (kepada orang Hadhramaut): ‘Sungguh, jika dia bersumpah atas harta itu kerana hendak memakannya dengan cara zalim, maka ia akan menghadap Allah dan Allah akan berpaling darinya.’

Dari hadis ini dapat difahami bahawa jika timbul persengketaan mengenai pemilikan tanah, siapa pun yang cuba mengambil tanah orang lain dengan cara batil, maka, walaupun dia mungkin terlepas hukuman di dunia, tetapi di akhirat kelak dia tidak akan terlepas daripada hukuman Allah (swt).

Demikianlah jawapan Islam yang begitu jelas dan adil di dalam kes pencerobohan tanah. Islam tidak akan menganiaya pemilik tanah dan akan membalas sewajarnya kepada penceroboh. Namun, keindahan hukum Islam ini tidak akan berlaku dalam sebuah negara demokrasi-sekular yang penuh kezaliman ini, tetapi hanya akan berlaku dalam sebuah negara Khilafah Rasyidah, yang kita semua wajib berusaha menegakkannya.

Wallahu a’lam.