Tiga “kutiba” yang sama-sama wajib dan penting – as-siyam, al-qisas dan al-qital

Lafaz “kutiba alaikum” (كُتِبَ عَلَيْكُمْ) di dalam Al-Quran merupakan satu bentuk khitab (tuntutan) daripada Allah (swt) yang membawa hukum fardu atau wajib secara mutlak. Di dalam Surah al-Baqarah, seruan ini muncul dalam tiga hukum yang berbeza namun sama-sama wajib.

Allah (swt) menggunakan frasa “kutiba” yang sama untuk tiga jenis kewajipan yang berbeza – as-siyam (puasa), al-qisas (bunuh balas), dan al-qital (perang / jihad). Dari segi taklif, kewajipan puasa terkena ke atas setiap Muslim untuk melaksanakannya sebagai individu, manakala dua kewajipan lagi (qisas dan qital) terkena ke atas penguasa untuk melaksanakannya dalam pemerintahan negara.

Kutiba alaikum as-siyam”: Pembentukan Individu bertakwa

Firman Allah (swt):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” [Al-Baqarah (2): 183].

Melalui lafaz “kutiba”, setiap Mukallaf seharusnya memahami bahawa puasa merupakan kewajipan yang diletakkan secara langsung ke atas bahu setiap mereka. Ketaatan peribadi yang dibina melalui puasa ini seharusnya menjadi tunjang bagi seorang Mukmin untuk memikul beban syariat lainnya.

Ini kerana, jika seseorang itu mampu taat kepada Allah dalam perkara-perkara yang halal iaitu makan, minum, melakukan hubungan dengan pasangan dan sebagainya, maka seharusnya dia lebih mampu untuk mentaati Allah dalam perkara-perkara yang diharamkan seperti minum arak, berjudi, membunuh, mencuri, berzina, terlibat dalam transaksi ribawi dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, ketaatan ini tidak seharusnya terhenti pada diri sendiri, kerana ketakwaan yang sebenar menuntut setiap individu Muslim untuk memastikan seluruh syariat Allah (swt) tegak di muka bumi.

Kutiba alaikum al-qisas”: jaminan keadilan dalam masyarakat

Firman Allah (swt):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالأُنثَى بِالأُنثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنْ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ * وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas (bunuh balas) berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik. Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.” [Al-Baqarah (2): 178-179]

Qisas hadir sebagai mekanisme perundangan yang menjamin kelangsungan hidup manusia, sebagaimana firman-Nya bahawa dalam qisas itu terdapat “kehidupan”. Manusia yang waras sudah pasti tidak akan melakukan pembunuhan jika ia tahu bahawa ia akan dibunuh balas sebagai hukumannya. Jika ia tetap melakukannya, maka Allah memberikan kepada waris hak untuk qisas, yakni nyawa diganti nyawa. Di sinilah terdapatnya jaminan kehidupan dan keadilan dalam masyarakat.

Namun demikian, pelaksanaan qisas ini secara praktikalnya memerlukan kehadiran institusi kekuasaan. Di sinilah peranan penguasa dalam melaksanakan kewajipan ini, dan di sini jugalah kita dapati bahawa penguasa pada hari ini tidak pernah menyahut kewajipan ini, walaupun secara individu penguasa tersebut berpuasa kerana menyahut perintah Allah “kutiba alaikum as-siyam”.

Para penguasa ini telah menggantikan hukum qisas dengan hukum yang datangnya dari kafir Barat, dan mereka tidak pernah berusaha pun untuk menerapkan hukum qisas yang diwajibkan oleh Allah, sedangkan kewajipan qisas dengan kewajipan puasa diperintahkan oleh Allah dengan menggunakan lafaz yang sama.

Kutiba alaikum al-qital”: perisai umat dan kedaulatan negara

Firman Allah (swt):

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

“Telah diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal sesuatu itu baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal sesuatu itu buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui” [Al-Baqarah (2): 216].

Sama seperti qisas, qital merupakan kewajipan yang pelaksanaannya terletak di bahu negara, khususnya dari sudut memulakan perang. Peranan negara adalah untuk melakukan jihad dan futuhat dan sekali gus menjadi perisai bagi umat. Walaupun berperang adalah sesuatu yang tidak disukai oleh tabiat manusia, namun ia tetap merupakan satu “kutiba” yang tidak ada bezanya dengan “kutibasiyam dan qisas.

Sama seperti qisas, para penguasa hari ini langsung tidak melaksanakan kewajipan qital ini, bahkan lebih buruk, mereka menghalang tentera mereka daripada berbuat demikian. Mereka tunduk kepada sistem antarabangsa dan kehendak Barat sehingga sanggup membiarkan musuh-musuh Islam membantai kaum Muslimin tanpa ada pembelaan sedikit pun daripada mereka.

Pengabaian “kutiba alaikum al-qital” ini telah menjadikan mereka sebagai para penguasa yang hina di mata Islam, dan dalam masa yang sama menyebabkan umat Islam kehilangan izzah (kemuliaan) dan menjadi mangsa penindasan golongan kafir musuh Islam.

Peranan setiap Muslim terkait “kutiba

Dalam keadaan di mana negara mengabaikan dua daripada tiga “kutiba” yang diperintahkan, maka tugas individu Muslim tidak berakhir dengan sekadar melakukan puasa sahaja. Terdapat salah faham yang besar dalam masyarakat bahawa jika negara tidak melaksanakan hukum Islam, maka negaralah yang menanggung dosa dan setiap Muslim adalah terlepas daripada dosa dan tanggungjawab.

Perlu difahami bahawa apabila penguasa (negara) mengabaikan syariat, maka menjadi tugas yang bersifat fardhu ain ke atas setiap individu Muslim untuk melakukan muhasabah terhadap penguasa. Setiap Muslim wajib memuhasabah penguasa agar dua lagi “kutiba” (qisas dan qital) dilaksanakan sepenuhnya berserta dengan hukum-hukum syariat yang lain dalam pemerintahan negara.

Kesedaran ini perlu dibawa melampaui batas peribadi. Ketakwaan hasil daripada puasa seharusnya melahirkan keberanian pada setiap Muslim untuk menyuarakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim atau lalai.

Adalah satu kecacatan iman apabila seseorang itu sanggup berlapar kerana menunaikan perintah Allah tetapi dalam masa yang sama mendiamkan diri apabila hukum Allah yang berkaitan nyawa dan kedaulatan umat dipinggirkan. Muhasabah terhadap negara adalah sebahagian daripada kewajipan yang wajib dilakukan bagi memastikan penguasa kembali kepada landasan syariat yang sebenar.

Jadi, walaupun subjeknya berbeza di antara ketiga-tiga “kutiba” tersebut, namun dari perspektif Islam, ketiga-tiganya merupakan kewajipan yang tidak boleh dibeza-bezakan antara satu sama lain. Ia juga bukanlah kewajipan yang boleh dipilih-pilih yakni mana yang suka dilaksanakan, manakala yang tidak suka ditinggalkan.

Sungguh ironi pada hari ini apabila kita melihat hanya satu “kutiba” sahaja yang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh, manakala dua lagi diabaikan, seolah-olah ia adalah hukum pilihan atau hukum yang sudah mansuh mengikut peredaran zaman.

Biar pun dua “kutiba” (qisas dan qital) merupakan kewajipan yang ditaklifkan ke atas penguasa, dan penguasa berdosa besar apabila mengabaikannya, namun ia tidak bermaksud yang setiap individu Muslim turut boleh mengabaikannya begitu sahaja. Ini kerana, setiap individu Muslim itu terikat dengan setiap kewajipan syarak samada dari sudut melaksanakannya secara langsung, atau melakukan amar makruf nahi mungkar, atau mengusahakan kewujudannya di kala ia tiada.

Dalam Islam, setiap Muslim wajib melakukan muhasabah ke atas penguasa yang tidak melaksanakan hukum qisas dan qital, dan sekiranya penguasa tetap berdegil tidak mahu melaksanakannya (setelah dimuhasabah), maka setiap Muslim itu wajib berusaha untuk mendirikan sebuah pemerintahan Islam yang akan melaksanakannya. Dengan kata lain, mana-mana Muslim tidak boleh hanya berdiam diri melihat hukum Allah tidak dilaksanakan dan merasa terlepas daripada dosa.

Kesimpulan

Jika puasa boleh dilakukan secara sendiri, namun secara praktikalnya, qisas dan qital memerlukan sebuah wadah atau institusi politik untuk melaksanakannya. Di sinilah pentingnya kewujudan Negara Islam (Khilafah), yang tanpanya, dua “kutiba” akan terus kekal dalam lembaran kitab semata-mata. Maka, tugas individu Muslim pada hari ini bukan sekadar melaksanakan ibadah secara individu, tetapi wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan kembali Khilafah yang akan melaksanakan qisas dan qital berserta segala hukum Allah lainnya secara kaffah.