Tragedi pemandu mabuk ragut nyawa: Pemandu bersalah, tetapi kerajaan lebih bersalah!

Dengan adanya teknologi dashcam pada hari ini, setiap kemalangan yang berlaku telah dapat disaksikan oleh semua orang. Sebahagian kemalangan memang amat menyayat hati kerana ia sering berlaku disebabkan kecuaian. Namun apa yang lebih menyayat hati ialah apabila menyaksikan kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk, yang jelas membawa kereta dengan laju dan memotong di saat terdapat kenderaan yang datang dari arah yang bertentangan. Demikianlah video tular yang menyaksikan seorang penunggang motosikal maut setelah dirempuh secara berhadapan oleh sebuah kereta, di mana dia telah terpelanting dan berpusing di udara beberapa kali di udara sebelum jatuh di atas bumbung sebuah kereta lain dan terus meninggal.
Hati mana yang tidak panas, hati mana yang tidak sakit dan hati mana tidak sayu melihat kemalangan seperti itu – seorang bapa kepada anak-anak yang masih kecil maut dalam keadaan sedemikian. Jika pemandunya tidak mabuk sekalipun, hati memang tetap terbakar melihat kejadian seumpama itu, maka apatah lagi apabila si pemandu disahkan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Apa yang lebih menyakitkan dan membangkitkan kemarahan ialah mengingat hakikat bahawa sudah terlalu banyak kemalangan diakibatkan oleh pemandu mabuk yang melanggar pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian. Sudah banyak kritikan dan bantahan dikemukakan kepada kerajaan untuk menangani isu pemandu mabuk ini, namun keadaan tetap tidak berubah, sedangkan penyelesaiannya amat mudah.
Berapa banyak lagi nyawa yang tak berdosa perlu melayang sebelum kerajaan sedar bahawa isu ini amat serius? Adakah hanya apabila anak-anak menteri dilanggar mati oleh pemandu mabuk, baru kerajaan akan tangani isu ini dengan serius?
Ironinya, kerajaan dan sesetengah pihak hanya menuding jari secara mutlak kepada si pemandu yang mabuk. Atas dasar itu, akta-akta dicadang untuk disemak semula, hukuman denda dicadang dinaikkan hingga ratusan ribu ringgit, hukuman penjara dicadang diperketatkan, dan pelbagai lagi cadangan yang hanya “ditujukan” kepada pemandu, kerana mereka melihat hanya si pemandu mabuk itu sahaja yang bersalah dalam hal ini.
Ya, tidak dinafikan sama sekali bahawa pemandu mabuk memang bersalah dan wajib dihukum! Bahkan, tanpa mengira berlakunya kemalangan atau tidak, meminum arak dan memandu dalam keadaan mabuk tetap merupakan sebuah kesalahan dan mesti dihukum. Pemabuk sememangnya sentiasa berisiko mencelakakan orang lain, dan dia sememangnya sedar akan hakikat ini sebelum dia meminum minuman syaitan itu. Semua orang tahu hakikat ini, termasuklah kerajaan pun tahu akan hakikat ini.
Di sinilah letaknya satu persoalan besar dan mendasar – kenapakah boleh wujudnya pemandu mabuk sekiranya semua orang tahu hakikat ini? Jawapannya cukup mudah: Wujudnya pemandu mabuk kerana wujudnya arak yang boleh dibeli secara terbuka di banyak kedai yang menjualnya.
Persoalan seterusnya – dari manakah datangnya arak ini, dan bagaimana kedai-kedai boleh menjualnya secara terbuka? Jawapannya pun cukup mudah: Arak ini datangnya daripada kilang-kilang arak yang beroperasi secara bebas dengan adanya lesen, lalu diedarkan di pasaran, dan dijual secara meluas di kedai-kedai serbaneka mahupun pusat-pusat hiburan kerana adanya lesen.
Persoalan seterusnya – siapakah yang membenarkan kilang-kilang arak ini beroperasi, dan memberikan lesen untuk minuman syaitan itu dijual secara terbuka dan berleluasa? Jawapannya pun sangat mudah: Siapa lagi jika bukan kerajaan?! Ya, siapa lagi jika bukan kerajaan?! Inilah puncanya…inilah sumbernya dari mana datangnya pemandu mabuk yang melanggar orang sampai mati! Kerajaanlah puncanya! Maka, jika hati kita sangat sakit, atau perasaan kita sangat marah dengan pemandu mabuk, kesakitan hati kita dan kemarahan kita seharusnya lebih besar lagi terhadap kerajaan, yang menjadi punca kepada kewujudan pemandu-pemandu mabuk ini!
Kerajaan dan Sistem Kapitalis
Sebagaimana telah disebutkan di awal, pemandu mabuk itu memang salah, namun sesungguhnya kerajaan melakukan kesalahan dan dosa yang jauh lebih besar! Kerajaanlah yang sebenarnya bertanggungjawab “mewujudkan” minuman syaitan ini dalam negara dan masyarakat, dan ia bukan sedikit, malah dalam skala industri. Kerajaanlah yang telah mempermudah, bahkan melindungi kelangsungan industri haram ini dalam negara. Lebih dari itu, kerajaan mengaut pula keuntungan melalui hasil cukai (yang diharamkan oleh Islam) yang “disumbangkan” oleh industri haram ini.
Sesungguhnya Rasulullah (saw) telah melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
“Rasulullah (saw) melaknat dalam hal khamr (arak) sepuluh golongan: yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membelinya dan yang dibelikan untuknya” [HR at-Tirmidzi dan Ibn Majah].
Hadis ini dengan jelas mengharamkan keseluruhan “rantaian arak” dari rantaian pertama pihak yang melakukan proses untuk mengeluarkannya sehinggalah kepada pihak yang meminumnya dan kesemua “wakilnya” atau “pemudahcaranya” di rantaian yang terakhir.
Berdasarkan hadis ini juga boleh difahami bahawa Islam bukan sekadar melihat kepada permasalahan yang timbul dari “kesan” perbuatan meminum arak itu (mabuk) semata-mata, tetapi kesemua rantaiannya. Dengan kata lain, keseluruhan rantaian tersebut wajib dibendung kerana ia adalah haram, dan sekiranya tetap berlaku pelanggaran di mana-mana rantaian, setiap perbuatan haram tersebut wajib dihukum.
Malangnya, di Malaysia pada hari ini kesemua rantaian arak tersebut hidup subur. Puncanya tidak lain ialah daripada kerajaan yang telah menyuburkannya! Sama seperti keharaman-keharaman lain yang hidup subur di Malaysia seperti bank-bank ribawi, pusat-pusat perjudian, kelab-kelab malam, konsert-konsert dan banyak lagi, ia adalah hasil kerajaan yang telah menanam benihnya, menyiraminya, membajainya, menjaganya dan melindunginya saban hari demi memastikan kesuburannya yang berkekalan.
Perlu difahami bahawa kesemua tindakan kerajaan dalam hal ini sesungguhnya tidak lepas daripada sistem demokrasi-kapitalisme yang diamalkan, sistem yang bertunjangkan akidah sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan). Dalam sistem ini, halal dan haram bukan menjadi ukuran perbuatan, kerana apa yang menjadi pegangan ialah manfaat/keuntungan semata-mata. Jika industri arak, riba, judi dan sebagainya memberikan manfaat kepada kerajaan, maka ia akan dijaga dan dipastikan kesuburannya, tanpa mengira halal-haram, bahkan tanpa mengira kerosakan akal dan kehilangan nyawa rakyat yang diakibatkan olehnya.
Penyelesaian Islam
Masalah pemandu mabuk tidak akan pernah selesai dengan mengharapkan pindaan undang-undang, mahu pun pemberatan hukuman, jauh sekali melalui kempen kesedaran. Menangani simptom tidak akan pernah menghilangkan masalah. Masalah tidak akan pernah hilang selagi tidak dibasmi sumbernya. Pemandu mabuk hanyalah simptom, manakala kilang arak adalah sumbernya. Selagi sumbernya dibiarkan atau dibenarkan wujud, maka selagi itulah ia akan terus “menghasilkan” pemandu mabuk, dan tangan yang paling atas terhadap semua ini ialah kerajaan!
Sudah bersilih ganti parti dan kerajaan yang memerintah negara ini, termasuklah yang mengaku sebagai kerajaan Melayu-Islam, yang sebelum berkuasa begitu lantang mahu menutup kilang arak dan segala keharaman yang terdapat dalam negara ini, namun apabila berkuasa ternyata tidak satu kilang penghasil minuman syaitan ini ditutup. Bukan mereka tidak boleh menutupnya, tetapi mereka sebenarnya tidak mahu menutupnya!
Apa pun kerosakan yang berlaku dalam negara, sesungguhnya ia disebabkan oleh dua faktor iaitu pemimpin yang buruk dan juga sistem yang buruk. Kedua-duanya perlu diganti jika kita ingin menghilangkan kerosakan. Untuk pemimpin yang buruk, mereka boleh sahaja menjadi baik jika mereka sanggup mengganti apa yang ada dalam tempurung kepala mereka. Namun, realiti sejak sekian lama menunjukkan yang mereka tidak pernah mahu menggantikannya. Maka, pilihan yang ada ialah untuk umat ini menggantikan batang tubuh mereka. Manakala untuk sistem yang buruk, sudah tidak ada pilihan lain lagi kecuali sistem ini (demokrasi-sekular) yang datangnya dari penjajah diganti dengan sistem Islam. Titik.
Dalam sistem Islam (Khilafah), tidak akan ada kilang arak sama sekali, dan tidak akan ada penjualan arak secara terbuka. Rantaian arak tidak akan wujud sedari awal. Orang-orang kafir hanya dibenarkan meminum arak di rumah-rumah mereka atau dalam komuniti kecil mereka sahaja, tanpa boleh menzahirkannya di khalayak ramai.
Jika tetap ada yang meminum arak atau mabuk di tempat awam (baik kafir mahupun Muslim), atau jika tetap berlaku kes pemandu mabuk, maka uqubat (hukuman) Islam akan dikenakan ke atas si peminum iaitu sebat sebanyak 40 atau 80 kali, bergantung kepada Khilafah. Manakala jika ada kes yang melibatkan kematian, qisas akan dikenakan ke atas si pembunuh. Jika qadhi memutuskan bahawa ia termasuk dalam kategori khata’ (tersalah) atau ma ujri mujarral khata’ (tidak sengaja), maka menjadi hak waris si mati untuk mengenakan diyat atau memberi maaf kepada si pembunuh.
Kesimpulan
Boleh dikatakan hampir mustahil bagi sebuah kerajaan dan negara kapitalis seperti Malaysia untuk menutup kilang arak. Selain sebagai sumber pendapatan negara melalui cukai, melihat kepada “pihak-pihak” dan kepentingan yang ada di sebalik kilang arak tersebut, menutup kilang arak umpama tindakan bunuh diri politik kepada pemerintah. Keadaan bertambah parah apabila terdapat Mufti yang membela kilang arak dengan mempersoalkan di manakah orang akan bekerja jika kilang-kilang arak ditutup! Justeru, melihat kepada keadaan sekarang, nampaknya tidak akan berlaku apa-apa perubahan yang signifikan dalam isu ini.
Sesungguhnya kuasa dan pilihan ada di tangan kerajaan samada untuk menutup, atau terus membiarkan kilang arak, dan atas setiap pilihan tersebut ada kesan yang sangat besar yang perlu ditanggung, di dunia dan akhirat. Manakala bagi umat Islam, juga terdapat pilihan samada untuk terus mendukung kerajaan sekular yang tidak berhukum dengan hukum Islam ini, atau bangkit untuk melakukan perubahan mendasar dan menyeluruh, dengan berjuang menegakkan Negara Islam (Khilafah) yang akan menegakkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Wallahu a’lam.